Jumaat, 28 Mei 2010

SUMPAH, saya dah TAUBAT dari JUDI!!



Suatu ketika dahulu, sekitar pada tahun 1994, saya masih di darjah dua. Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Chempaka, sebuah sekolah di pinggir bandar Kota Bharu.

Adegan biasa seorang anak kampung, sementara menunggu abah datang menjemput pulang, saya dan kawan-kawan akan bertandang ke gerai-gerai menyediakan makanan ringan di sekitar sekolah..

" Aku boleh RM 1"

"Aku boleh Coca-Cola 1 liter"

Oh, rupanya ada mainan baru yang mengasyikkan.Kawan-kawan semua berkerumun.Beli sahaja satu nombor yang terpampang antara deretan nombor, kalau ada rezeki dan tuah, 20 sen yang dilaburkan boleh mendapat balasan yang lebih besar..

20 sen beli, dapat RM 1. Dapat air karbonat percuma dan segala-galanya.Dan ada juga yang kecewa, pulang berlenggang kosong.

Untung..Untung..

Kami tergelak bersama..

Sekali Bismillah, satu nombor dipilih. Agar berkat nama Tuhan dalam segala urusan kita, kata bonda di rumah. Tetapi Bismilllah tadi tidak cukup berkatnya, nasib tidak menyebelahi..

Hampa, kecewa..

Orang sebut main tikam. Kami budak-budak Kelantan sebut main ' ni'ke ' .. Seronok melihat diri dan kawan-kawan bergelak ketawa. Dapat hadiah air, minum kami secara berjemaah. Tidak dapat apa-apa, kami tetap ketawa mengenangkan nasib yang dirundung malang..

Anak-anak berumur 8 tahun yang bergelar mumaiyyiz, belum dapat membezakan baik dan buruk..


Cikgu kata..

" Balik nih bo (jangan) la gi ni'ke lagi, doso (dosa). Tuhe maghoh, masuk nerako!!"

Seorang cikgu menasihati kami, anak didiknya. Cikgu tahu gerak-geri kami. Lagipun anak sehijau ini mana mungkin pandai berbohong. Nakal mungkin, jahat tidak pernah sekalipun kami fikirkan..

Aura sentuhan kasih sayang sang cikgu menyentuh hati kami. Kami anak murid yang tidak tahu baik dan buruk..

Rupanya inilah satu bentuk judi yang kami pernah dengar dari cakap-cakap ustazah dalam kelas Agama Islam..

" Judi ini HARAM!! Kamu semua anak yang soleh dan solehah. Ingat pesan ustazah.." suatu hari ustazah yang disayangi berbicara.

Kami tersengih-sengih bak kerang busuk, mengiyakan.

"Kami tidak akan berjudi!!" sepakat kami sekelas.

Sepakat untuk tidak berjudi dengan kedhaifan diri yang masih tidak tahu, apakah itu sebenarnya JUDI..


Kesian Cikgu, Ustazah dan Mama!!

Itu kisah lebih kurang 15 tahun silam.Saya masih ingat..

Sekarang, fikiran saya berputar ligat. Di manakah pangkal silapnya..

" Melayu ni teruk.. Pencen-pencen umur dah tua pun, masih lagi jadi tahi judi!!" curahan hati seorang pak cik pemandu teksi. Pada waktu itu, saya dalam perjalanan dengan teksinya di Ampang.Saya mendengar dan mendengar curahan pengalamannya sambil tersenyum seraya sedikit memberi komentar..

Melalui lorong-lorong di Negeri Sembilan, Melaka, pada cuti yang lepas, fenomena ini bukan lagi kuman di seberang laut, tetapi telah bertransformasi kepada sebesar-besar gajah di depan mata..

Saya hanya tersenyum tersendirian. Ada benarnya..Sepasang mata ini menjadi saksi, memandang gejala ini di bumi Hang Tuah dan tanah Minangkabau, namun, hakikatnya saya percaya di mana-mana pun gejala ini ada, sama ada secara rasminya ada lesen HALAL ataupun dibuat secara haram..

Kenapa ada mereka yang berjudi?

Mereka juga ada cikgu, punya ustazah dan memiliki ibunda tercinta, seperti saya dan kawan-kawan.

Nampaknya, cikgu, ustazah dan mama mereka pasti sangat kecewa..


Wahai Tuhan, saksikanlah!!

Setiap orang ada salahnya. Sama ada kecil atau besar..Dan orang yang berbuat salah dan dosa ada jenisnya. Jenis yang terbaik adalah tahu dan sedar akan kesalahan dan dia BERTAUBAT..

Untuk orang yang melihat orang lain berbuat salah, adalah suatu TANGGUNGJAWAB untuk menegur dan membetulkan mana yang silap. Menegur adalah tanda kasih dan cinta..

Marah seorang ibu apabila melihat bayinya memegang pisau tajam ,adalah tanda cinta.

Menegur seorang kawan yang berbonceng motorsikal dengan bukan mahramnya, adalah tanda persahabatan sejati.

Dan memberikan pandangan berbeza serta nasihat kepada pemimpin adalah tanda SAYANG sebagai seorang rakyat dan saudara.Rakyat yang baik mahu melihat sang pemimpin berjiwa adil dan sentiasa dirahmati oleh Tuhan..Rakyat yang bobrok akan mengatakan YA kepada semua benda..

Dan dari saya, saya tidak mahu berhujah tentang JUDI BOLA dan komplikasinya. Banyak yang sudah berbicara kecuali mufti-mufti belum bersidang dan Majlis Mufti terkesima, diam seribu bahasa.

Anak-anak berjudi tikam ekor di kampung, siapa mahu bicara..

Pak cik-pakcik berlaga ayam sabung di hujung belantara, siapa mahu menegur saksama.

Kakitangan kerajaan singgah sebentar di kedai SPORTS TOTO, siapa mahu turun menyapa.

Dan bila Piala Dunia membuka panggungnya, JUDI BOLA diHALALKAN oleh BERJAYA, siapa mahu menanggung dosa dan celaka.

Cikgu-cikgu sudah berusaha, ustazah-ustazah kering tekak menasihat pelbagai, bonda-bonda menyapa penuh sayang dan cinta.. Tinggal anda sang pemimpin untuk melaksana..

Saya tidak rela,kami tidak rela..

Saya mungkin berputih mata di dunia, tetapi di akhirat, apabila MAHKAMAH ALLAH bersidang, saya yakin setiap bicara insan akan didengar saksama.

Kita semua mahu berjemaah di bawah naungan SyurgaNya, bukan dengan MENGHALALKAN judi tiket masuknya..

Wahai Tuhan, saksikanlah aku sudah menyampaikan!!!

2 ulasan:

Dr Amad berkata...

Pembetulan, Judi bukan dihalalkan oleh Berjaya. Judi dihalalkan oleh Kerajaan Negara Islam Malaysia untuk Berjaya =)

Unknown berkata...

Dr Amad~

Oh ye ke? Kat mana tue Kerajaan Negara Islam...