Sabtu, 31 Disember 2011

Subuh,Abah dan Honda C70..



Beek...Beek..Beek..

Honda C70 tua meraung kuat memecahkan sepi dinginnya pagi.

Suara yang cukup dikenali.

Motor tua kepunyaan Abah mengaum dari luar rumah.Auman sebagai siren terakhir, tanda bahawa kami adik beradik harus mengangkat kaki langkah seribu ke kamar mandi.Gandingan Abah dan motor tua itu menandakan bahawa mereka sudah selesai berjamaah Subuh di masjid.

Saya yang paling tua, namun antara yang paling liat untuk bangun pagi.

Disiram oleh mama itu biasa.Dibambu oleh mama sedikit luar biasa.Kalau dari mama, semuanya tidak lut.Saya kebal, anti bangun Subuh.

Namun, rengekan motor tua Abah, itu maha menakutkan.Kalau berjaya 'ditangkap basah' oleh Abah, padah jawapannya.

Pasti berbirat badan.Suara guntur bakal kedengaran.

Inilah saya, saya sepanjang di sekolah menengah agama tersohor di bumi Kelantan, Maahad Muhammadi.

Jangan diharap mahu berjamaah Subuh, solat sehari 5 waktu pun hanya di rumah.Paket kilat lagi..



Di Intec,Shah Alam

Allahuakbar..Allahuakbar..

Sayup-sayup kedengaran suara azan berkumandang dari surau Cemara.

Terpisat-pisat membuka mata.

Dingin, sungguh enak terbalut di dalam selimut.

" Ada ke orang yang nak solat Subuh kat surau tu?Sedangkan aku,budak sekolah agama pun haram nak pergi!"

Entah tiba-tiba terpancar kilasan di fikiran.

Perlahan-perlahan, kaki menapak.

Wuduk perlahan,berbaju Melayu bersarungkan kain pelikat yang seminggu sekali digunakan untuk pergi bersolat Jumaat di masjid.

Surau Cemara menjadi destinasi.

Hati yang kepingin tahu.Berdebar-debar.

Pintu surau sudah di hadapan.

Dengan namaMu ya Tuhan..

Hanya ada beberapa sosok.Sosok biasa geng masjid yang saya kenali di kuliyah.

"Ala biasa.Budak-budak ni memang dah baik sejak azali.Tak hairan!"

Saya bermain dengan kata-kata sendiri.

Namun mata saya terpaku pada sekujur tubuh yang cukup saya kenali.

Sosok seorang teman yang sehariannya cukup biasa, bersekolah tidak bercopkan Maahad mahupun sekolah agama, teman yang sama mengambil Advanced Level Medicine.

Ego saya berkecai.

Sesungguhnya hati saya menangis.

Sujud dan rukuk pada Subuh hening itu,mengingatkan daku bahawa aku benar-benar seorang hamba yang lupa.

Mujur Tuhan, pada usia 19 tahunku memberikanku petunjuk dengan menghantar seorang sahabat kepadaku.

Sahabat yang sampai sekarang yang sampai ke saat ini, tidak mengetahui bahwa dia telah menjadi asbab hidayah kepadaku.

Terima kasih sahabat!



Syarat Kemenangan Islam

Berdegar-degar memperkatakan tentang perjuangan syahid di bumi Palestin.

Somalia bagaimana, khabar Pattani,Iraq,Syria pula.

Seorang musuh Islam pernah berkata,

" Islam tidak akan menang selagi mana solat Subuh setiap hari di masjid tidak menjadi seperti solat Jumaat setiap minggu!"

Kata-kata ini realiti yang harus ditanggung bersama.

Saya,dengan keterbatasan sebagai seorang manusia bergelar doktor, berjuang untuk sama-sama merealisasikan agar makmurnya solat Subuh di masjid.

Kadang-kadang, pasca 'oncall', badan tidak mendengar deringan jam dan telefon tangan.Tidur yang tidak cukup, fizikal yang tidak segar,membantutkan torehan langkah.

Biasa solat Subuh terlajak menginjak jam 6, 7 pagi (waktu Indonesia Barat lambat sejam dari Malaysia).Walau atas bukan dasar sengaja, keadaan ini cukup meresahkan jiwa. Kekeringan.

Dan pada saat ini, saya sangat merindui suara guntur Abah dan rengekan Honda C70nya.

Baru sekarang, setelah 8 tahun meninggalkan sekolah menengah, baru saya memahami fikiran seorang Abah.

Terima kasih Abah atas nilai yang cuba dipupuk kepada anakmu ini.




Isnin, 5 Disember 2011

A Good Samaritan


Kiranya saya, dia adalah keluarga si pesakit yang mengalami kecelakaan jalan raya.

Setia di samping,mendampingi.

Disuruh membayar wang pendaftaran X-Ray, dia berkejar.

Diarah menghantar borang hasil darah lab, dia mengiyakan, tanpa berkira.

"Bapa bukan keluarganya, bapa hanya penjual di jalanan"

" Tadi sewaktu si ibu ditabrak (dilanggar) dari belakang, saya berada berdekatan.Maka, saya yang membawanya ke sini"

Saya hanya tersenyum.

" Tadi duit pengangkutan ke sini gratis (percuma) pak?"

Jajarkan ke Tengah
" Tidaklah.Saya yang bayarkan.Tidak usahlah menyusahkan si supir (pemandu).Dia juga mahu punya penghasilan!"

Saya kagum.

Kerjanya hanyalah sebagai penjual kaki lima, namun hatinya bermartabat raja.

Asal ikhlas,semuanya mahakarya pengukir Syurga~

Sabtu, 3 Disember 2011

Update I GIVE : Sudah masuk 30 buah bahagian Qurban (lebih 4 ekor lembu)


Alhamdulillah setakat ini, Program I GIVE, Medium Menabung Untuk Korban, kira-kira 30 orang peserta sudah menyertai kafilah taqwa ini.Sudah 4 ekor lembu, setidaknya Insyaallah akan ditumbangkan nanti.

Tarikh penyertaan masih dibuka sehingga 31 Disember 2011.

Anda Mampu Sebenarnya,Bersama Kami,Wadah Pengorbanan Anda!

^___^


Jumaat, 2 Disember 2011

Mahakarya Petugas Kebersihan


Bandung dirundung hujan berpanjangan.

Kedinginan membungkus hawa yang sedia mencengkam tulang hitam.

Dan sewaktu mundar-mandir,menunggu kuliyyah bermula, saya memerhati.

Ligat.

Manusia lalu lalang, terpaku pada urusan sendiri.

Dan sepasang mata ini bersaksi.

Doktor berkot putih, bergentayangan stetoskop di leher.

Jururawat bersimpang-siur,mendorong pesakit ke sana ke mari.

Wajah manusia ada yang gembira, ada yang duka.

Dan di pojok itu, ada petugas kebersihan.

Kerjanya ya, membersih.Sesuai portfolio kerjanya.

Kerjanya sekarang,menyapu takungan air hujan yang membasahi lantai laluan doktor, jururawat dan orang ramai.

Kerjanya biasa,namun sinergisnya luar biasa.

Kala itu, terlihat ada ibu tua tergelincir kerana air hujan yang menakung di lantai.

Kerja si petugas kebersihan bertambah penting.

Menyelamatkan nyawa manusia, mengelakkan bahaya menimpa mereka.

Kecil di mata manusia, di mata Tuhan, itu mungkin sebuah mahakarya pahala.

Sinis profesinya di mata manusia, namun asal di hati berfikir bahawa inilah detik kerja yang sangat penting dan memberi manfaat, profesi itu tetap sebuah kebanggaan.

Sebuah mahakarya melakar garapan Syurga.

Sabtu, 26 November 2011

Nukilan Anakanda


Dari jauh kedengaran suara ibunda..
Sudah lama tidak kukucup manja..
Rindu menyembur di kamar dada..

Insan yang melahirkan daku suatu kala..
Dalam duka dan ceria..
Dia tetap setia..
Menatap si anak teruna..
Menadah telinga, pendengar saksama..

Betapa berdosa..
Andai aku mempersia..
Dirimu bonda..

Betapa durhaka..
Tiada sembah taat dari anakanda..
Yang jauh membuana..

Apa baktiku demimu bonda..
Mata tiada berjumpa..
Hati lemas tidak betah rasa..

Hanya titipan doa..
Nukilan ikhlas sekujur anakanda..
Agar dirimu sejahtera..

Di dunia dan di Syurga...

Lakaran Pena,
Ahmad Zulfahmi
Sukagalih, Bandung
26 November 2011

Selasa, 22 November 2011

I GIVE ; Komiti Kami Wadah Pengorbanan Anda


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, kami kini telah menubuhkan satu komiti untuk membantu anda menabung selama setahun bagi memperoleh sejumlah wang agar anda mampu untuk menjalani ibadah korban tahun depan, 10 Zulhijjah 1433H (Aidil Adha 2012) bersamaan 26 Oktober 2012.

Berikut adalah syarat-syarat yang telah ditetapkan:

1) Duit bulanan adalah sebanyak Rp 100,000, bermula dari November 2011-Oktober 2012.
2) Duit bulanan hendaklah dibayar selewat-lewatnya tanggal 10hb setiap bulan.
3) Semua pembayaran hendaklah dibayar kepada wakil setiap angkatan (penanggungjawab/PJ).
4) Jumlah pembayaran boleh berubah, tertakluk pada harga semasa lembu dan kambing.

Jika Anda berminat sila hubungi wakil angkatan masing-masing:

2006 - Cik Khairi Fatimah (081931348864)
2007 - Cik Nurul Farhana (087827530148)
2008 - Saudara Ahmad Akmal (081910590364)
2009 - Saudara Tajul Al-Adib (081910590338)
2010 - Cik Syahirah Jani (085721258433)
2011 - Saudara Mohd Najmir Mohd Maliki (087821077978)
Asy-Syifaa’ RSHS - Saudara Nesta Enggra (085263337067)


Tarikh tutup penyertaan: 30 Disember 2011


* Borang perjanjian akan ditandatangani dan dipersetujui setelah sah menyertai program ini,
*Maklumat lain dan sebarang pertanyaan akan dijelaskan lebih lanjut oleh pengurus program nanti.

Sama-samalah kita berkorban mengumpul wang dan merasai nikmat erti berkorban itu pada tahun hadapan insyaAllah. Yang paling utama kita meraih pahala berkorban itu sendiri. Wallahua’lam
Anda mampu sebenarnya…

“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik” (Al-hajj, 22: 37




Rabu, 2 November 2011

Yoyoh Yusroh, Mutiara yang Telah Tiada



Saya langsung tidak mengenalinya sebelum ini.

Mengenalinya hanya pabila jasadnya sudah tidak bernyawa lagi.

Di dada akhbar di Indonesia, gempar kehilangan sang permata.


Yoyoh Yusroh, Mutiara yang Telah Tiada

Tabik hormat saya buatnya.

Saya terhenyak dengan peribadinya.

Walaupun sibuk di Parlimen Republik Indonesia, dengan anak seramai 13 orang, suami untuk dijaga, berjawatankan ibu, isteri, nenek dan seorang pemimpin, semuanya ada pada dirinya.

Lengkap.

" Saya ingin menjadi ejen rahmatan lil 'alamin"

Kata-kata Yoyoh Yusroh, yang lebih mesra dipanggil ummi, mengetuk tangkai qalbu.

Dia pejuang Palestin, dia pembela saudara di Sudan.

Apa yang saya dapat dari buku ini adalah, bahawa mati itu , walaupun siapa empunya diri, doktor, ulama, ustaz, cikgu, tiada yang tahu bilakah jadual dirinya bakal dijemput Malakul Maut.

Saya melihat diri.

Membandingkan dengan orang yang hebat lakaran amalnya, melangit saya mendongak dek kecilnya diri.

Banyak masa yang diri ini siakan, sedangkan diri Ummi, disela-sela kesibukan super, tetap istiqamah dengan 3 juzuk bacaan Al-Quran setiap hari.

" Istirehat yang sebenar hanyalah di Syurga!"

Kata-kata Ummi terngiang-ngiang di telinga.


Di dunia kita tidak pernah bersua muka, semoga di Syurga kelak, kita bertatap mata.


Semoga dirimu berbahagia di samping Khadijah yang diidolakan, berbicara dengan Aishah yang setia, berbual mesra dengan Fatimah, si solehah taat.

Semoga Syurga buatmu Ummi.




Beberapa hari sebelum meninggal, beliau menuliskan SMS berisikan kegelisahan dan muhasabah hatinya kepada seorang akhwat:

" Ya rabb, aku sedang memikirkan posisiku kelak di akhirat. Mungkinkah aku berdampingan dengan penghulu para wanita Khadijah Al-Kubra yang berjuang dengan harta dan jiwanya? Atau dengan Hafshah binti Umar yang dibela oleh Allah saat akan dicerai karena shawwamah (rajin puasa-red) dan qawwamahnyaI (rajin tahajud-red)?
Atau dengan Aisyah yang telah hafal 3500 an hadits, sedang aku.... ehm 500 juga belum... atau dengan Ummu Sulaim yang shabiroh (penyabar) atau dengan Asma yang mengurus kendaraan suaminya dan mencela putranya saat istirahat dari jihad... atau dengan siapa ya. Ya Allah, tolong beri kekuatan untuk mengejar amaliah mereka... sehingga aku layak bertemu mereka bahkan bisa berbincang dengan mereka di taman firdaus-Mu."

Selasa, 1 November 2011

Tuhan, Aku Divonis Cuci Darah..





Entah kenapa, buku ini menggamit jiwa medis saya untuk membelinya.

"Tuhan, Aku Divonis Cuci Darah"

Inilah judulnya.

Divonis itu, bagi yang tidak mengerti bahasa Indonesia, bermaksud 'didiagnosis/disahkan'.

Cuci darah pula adalah bahasa umum, yang menunjukkan proses mencuci kotoran dari darah, terutamanya oleh pesakit buah pinggang kronik. Bahasa medisnya hemodialisis.

Ceritanya berkenaan seorang pesakit, yang bercerita liku-liku perjuangan hidup dalam menghadapi sakit yang diderita.


A True Story...

Selesai membaca hasil labku yang terbaru, tiba-tiba dokter itu menatapku dalam. Aku tersenyum. Dia menatapku semakin dalam. Tak lama kemudian, meluncurlah kalimat panjang yang seolah menjadi pengantar bayanganku tentang sesuatu: ... kematian.


“Kamu punya Askes? Kerja di mana? Ada jaminan kesehatan nggak? Dengarkan baik-baik, kamu harus menjalani cuci darah dua kali seminggu. Satu kali cuci darah 600.000 rupiah. Artinya, kamu harus sedia minimal 4.800.000 rupiah setiap bulan. Kalau tidak, kamu akan mengalami komplikasi penyakit sampai koma dan bisa berakibat kematian, gimana?”

Aku, perempuan muda usia, yang datang sendiri ke rumah sakit dengan keyakinan bahwa penyakitku masih bisa diobati dengan minum obat secara rutin, tiba-tiba mendengar istilah baru bernama cuci darah.

Ya Tuhan, apa lagi ini? Jenis pengobatan macam apa ini? Mengapa begitu mahal?

Apakah tidak ada alternatif lain? Sudah sedemikian parahkah penyakitku ini?

Segala hal tentang kematian tiba-tiba menggantung di pelupuk mataku. Kucoba menahan bulir bening itu turun dengan mengangkat wajah sambil menatap gambar-gambar yang menempel di dinding....

Tidak mungkin aku menjalani cuci darah yang demikian mahal. Membayangkannya pun bahkan aku tak sanggup. Yang terngiang di telingaku hanyalah ungkapkan sang dokter: cuci darah atau mati.


Persepsi Seorang Pesakit

Saya menghabiskan bacaan buku 138 halaman ini dalam masa beberapa jam, di dalam sela menolong pesakit yang memerlukan.

Apa yang menarik, penulisnya memaparkan persepsi seorang pesakit apabila dia disahkan harus menghadapi terapi cuci darah 2 kali seminggu.

Seperti dihukum mati rasanya.

"Hidupku hanya tinggal kematian, begitu fikirku!"

Hanya satu hal yang ingin kukatakan saat itu.

"Doktor, tidak bolehkah anda memberikan sedikit harapan untuk seseorang yang harus menghadapi kematian ketika teman-temannya sedang mencipta mimpi untuk masa depan?"

Ini bahasa difikirkan di benak si pesakit sewaktu diperdengarkan hasil lab darah.


Fikiran Seorang Doktor

Sewaktu berada di bahagian Ilmu Penyakit Dalam (Internal Medicine), pesakit-pesakit yang harus menjalani hemodialisis sering saya ketemui.

Sering yang sudah berusia, namun ada juga yang muda belia.

Saya terkesima sekilas mendengar curahan hati, yang dipotretkan dalam buku ini terhadap seorang doktor.

Si doktor dianggap kurang memerhatikan aspek psikologi pesakit dalam kondisi ini.Bicara fakta dalam mendedahkan diagnosis penyakit, diolah dengan bahasa kosong, kering emosi dan empati.

Pesakit yang sudah gundah gulana, bertambah sesak dadanya memikirkan maut nan menjelma.

Si doktor tidak menggayakan bahasa yang lebih bernada empatis. Setidaknya motivasi diberikan, kerana harapan itu sentiasa ada.

Pengajaran yang ditempa dari buku ini sangat mengesankan.

Saya pasrah dengan kudrat diri seorang manusia. Ada batas penghadang, ada ruang tidak dapat dijangkau.

Walau sering berhadap pesakit yang berpenyakit sama, kematian sering di depan mata, jangan sesekali mati rasa.

Layanlah pesakit sebagaimana diri mahu dilayani dan dihormati.

Kerna mereka dan diriku adalah sama-sama manusia, di alam kelana sementara.

Khamis, 27 Oktober 2011

Tamu Zulhijjah...



Malam ini bertamulah Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Islam.

Bulan yang munculnya Aidil Adha, hari kebesaran ummah.

Raya Haji, Adha mahupun Qurban.

Apapun namanya, pintu rahmat Zulhijjah terbuka luas pada 10 hari yang pertama ini.

Mengingat Ismail yang mahu diqurbankan..

Memori di kampung menggamit.

Zaman diri masih anak-anak kecil, berkampung di halaman nenda, melihat lembu menyembah bumi, terdetik kagum dengan aksi sembelihan.

Usai sembelihan, menjadi tukang hantar daging kepada tetangga, menjadi 'rasul' daging qurban abah.

Rindu.....



Selasa, 25 Oktober 2011

Jurus QIYAM Seorang Doktor



" Alah oncall lagi!"

"Penat la, malas la!"

Inilah ayat-ayat yang paling sering dikumandangkan oleh pelajar-pelajar perubatan.

Berkeluh-kesah meratapi hari perlu berjaga malam, dengan serbuan pesakit nan pelbagai kerenah. Semuanya merobek perasaan.Hati tidak senang.

Saya juga, selaku seorang pelajar perubatan, tidak terlepas dari terpalit pengaruh yang sama.

Pernah sewaktu jaga di ruangan , saya dibangunkan oleh keluarga pesakit.


Jam menunjukkan pukul 230 pagi.

Saya sudah terjelepuk di kaunter jururawat.Serba sedikit tenaga mahu disisakan untuk perjuangan panjang untuk keesokan harinya.

" Doc, tabung kencing bapak bocor!"

Kata si isteri tercinta. Suaminya pesakit yang bermastautin di ruangan.

Jujur, saya sangat mengantuk.

Malas bertamu.

" Ibu, tadi ibu buka penutupnya.Tutupnya kurang kemas.Maka, tidak hairan kencingnya bocor!"

Marah bersarang di akal fikir.

Syaitan berarak menghasut adu domba.

"Oh doc, maaf saya kurang tahu!"

Saya membetulkan sedikit, dan kemudian berlalu dengan muka kosong, meninggalkan pesakit dan si ibu tadi.


Di Rumah

Entah mengapa.Sewaktu sudah selesai berjaga malam, ingatan kepada peristiwa tadi terus bermain di fikiran.

Serba salah jadinya.

Biasanya, senyuman setidaknya saya lirikkan kepada pesakit.

Saya hanya sekilas menjalankan tugas.Mungkin terbawa serangan mengantuk yang nian, waras saya tidak jelas.

Pada jam 230 pagi, saat Tuhan mendekat kepada hambaNya, saya alpa kepada sesuatu.


Sebuah Qiyam

Saya mengerti benar apa itu bangun malam.

Ya tahajud, baca Quran,berdoa dan sebagainya.

Pahalanya segudang, mustajab doanya.

Dan dengan tugas berjaga di ruangan, dengan bilangan pesakit yang bukan sedikit, peluang untuk bangun Qiyam itu ternyata sangat tidak memungkinkan.

Sulit.

Paling sering apa yang saya lakukan, usai solat Isya (sering juga terlambat kerana 'follow-up' pesakit), saya usahakan solat Witir satu rakaat sebagai khatim pada malam itu.Seringkali Witir nan satu itu juga solatnya saya juga dalam keadaan duduk.

Sangat minimal.

Saya terlupa sesuatu.

Benar-benar terlupa.

Saat dinihari, fokus otak hanya pada ertikata Qiyam yang lazim.

Saya tersedar.

Qiyam seorang doktor itu adalah Qiyam menghadap pesakit.

Mengurus pesakit, bukan sekadar untuk tindakan-tindakan kecemasan, namun juga untuk benda-benda kecil seperti membetulkan saluran infus yang tersumbat, ataupun menambah cairan infus yang sudah habis.

Qiyam yang tetap dicatat dalam diari Yang Maha Melihat.

Tetap disaksikan Atid dan Raqib.

Dan alangkah cantik seandai dihiasi dengan doa kesembuhan dan senyuman terukir.

Sebuah Qiyam berupa sedekah waktu dan ketika.

Sedekah waktu dinihari kepada pesakit yang memerlukan tangan sang doktor. Sedekah yang sangat dipinta oleh pesakit dan keluarga yang amat memerlukan.

Kalau tidak kerana beban sakit, nescaya tidak sesekali rasional orang mahu menyusahkan sesiapa.

Kerna doktor tugasnya sang penyembuh( sebagai asbab) , maka, sang doktor dicari dan diperlukan untuk menghulurkan bantu.

Sayang sekali, sedekah waktu pada dinihari itu dilontarkan dengan penuh kesal dan marah, kata-kata nista bermain di awangan.

Sia-sia belaka jadinya.

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. (2:264)


Kapten Kapal Sendiri..

Diri kita adalah milik kita.

Mahu melabuhkan sauh, atau meluncur laju di buana luas, kita kapten kehidupan kita sendiri.

Coraknya terserah tangan yang menari.

Boleh-boleh sahaja berterusan mengomel penat dan letih, malas dan marah, namun, itu tidak membawa ke mana.

Boleh juga, melihat sisi positif sewaktu 'oncall', selain untuk belajar menjadi seorang doktor yang bagus, juga menjadi ladang untuk menyemai Syurga kelak.

Sayang sekali kalau serampang dua mata tidak dimanfaatkan dengan benar.

Doktor yang tetap mampu Qiyam, itu wawasan destinasi.

Semoga dimudahkan...


Jumaat, 21 Oktober 2011

Derma Darah : Setitis Kasih, Sejuta Harapan


Darah..

Komponen super penting untuk kehidupan seorang manusia.

Terluka, kemalangan, kehilangan darah, membawa ancaman gugurnya nyawa dari jasad.


Derma Darah

Ulama sepakat bahawa menderma darah adalah suatu perbuatan mulia. Berpahala bagi yang ikhlas melakukannya.

Ulama-ulama mazhab , pada zaman mereka, masih belum mengenali erti menderma darah. Teknologi belum meresap ke zaman mereka.

Kebanyakan fatwa terbaru datangnya dari ulama kontemporer seperti Syeikh Yusuf Qardhawi.

Ulama asal Mesir yang kini menetap di Qatar ini malah menyatakan bahwa derma darah adalah bentuk sedekah yang paling utama di zaman sekarang ini.
Sebab menjadi derma darah dalam konteks ini bukan sekedar membantu, tetapi sudah sampai taraf menyelematkan nyawa seseorang. Jadi nilainya sangat tinggi di sisi Allah. Bahkan menyelamatkan nyawa manusia yang seharusnya mati tidak tertolong, tapi dengan berkat derma darah ini mengakibatkan bisa terus berlangsungnya kehidupan seseorang, digambarkan seperti memberikan kehidupan kepada semua manusia.
Sebagaimana firmanAllah SWT:
ومن أحياها فكأنما أحيا الناس جميعًا
Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. (QS. AL-Maidah: 32).
Di dalam hadits shahih Rasulullah SAW bersabda:
من فرج عن مسلم كربة من كرب الدنيا فرج الله عنه كربة من كرب يوم القيامة
Siapa yang membebaskan seorang muslim dari bebannya di dunia, maka Allah akan membebaskannya dari bebannya di hari kiamat. (HR Bukhari dan Muslim)
Maka menurut beliau orang yang mendermakan darah akan mendapat pahala yang berlipat ganda bilangannya, sampai 700 kali lipat.


Siapa Penerima Darah?

Antaranya ialah:

1. Wanita yang tumpah darah ketika bersalin.

2. Pesakit talasemia.

3. Pesakit leukemia.

4. Pesakit haemofilia.

5. Individu yang mengalami masalah anemia.

6. Mangsa kebakaran.

7. Mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah.

8. Bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.

9. Mangsa demam denggi.


Sebenarnya, darah kita membabitkan beberapa komponen dan darah yang didermakan ini akan diasingkan mengikut komponen berkenaan iaitu darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, faktor VIII dan IX.

Semua komponen ini mempunyai kegunaan masing-masing yang diperlukan individu berlainan. Sel darah merah contohnya, digunakan untuk merawat pesakit talasemia, leukemia, orang yang kehilangan darah dan kekurangan darah (anemia).

Manakala plasma pula penting untuk merawat mangsa kebakaran dan kebanyakan kes kehilangan darah seperti ketika menjalani pembedahan. Walaupun ada teknologi moden yang boleh menghasilkan bahan yang menggantikan beberapa komponen darah, sumber darah asli masih diperlukan kebanyakan pesakit. Bagaimana pula dengan komponen lain?

Pusat Darah Negara menghantar plasma beku ke Makmal Serum Commonwealth di Melbourne, Australia. Plasma ini akan menjalani proses pemecahan bagi menghasilkan faktor VIII, immunoglobulin dan albumin 20 peratus yang digunakan bagi merawat pesakit haemofilia, iaitu masalah darah lambat beku. Jadi, tiada setitis pun darah anda akan terbuang sia-sia. Jadi, ambil peluang untuk menderma darah bagi menyelamatkan nyawa orang lain kerana giliran kita memerlukan darah mungkin tiba satu hari nanti.


Mahu Menjadi Penderma Darah?

Bagaimanapun, bukan semua orang layak menderma darah kerana anda perlu memiliki ciri seperti senarai di bawah iaitu:

1. Berumur 18 hingga 65 tahun.
2. Berat badan melebihi 45 kilogram.
3. Tahap hemoglobin sekurang-kurangnya 12.5 peratus.
4. Tidak menghidap penyakit kronik.
5. Tidak minum alkohol 24 jam sebelum menderma.
6. Tidak mengambil ubat antibiotik, kecuali dengan kebenaran doktor.
7. Tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari menderma.

Anda dilarang menderma darah buat sementara waktu jika:

1. Demam.
2. Berat badan kurang 45 kilogram.
3. Makan antibiotik yang tidak membenarkan mereka menderma darah.
4. Tidur kurang lima jam.
5. Minum minuman beralkohol kurang daripada 24 jam.
6. Menjalani pembedahan dalam tempoh enam bulan.
7. Mendapatkan rawatan gigi dalam tempoh 24 jam sebelum menderma.
8. Mendapat suntikan vaksinasi tiga minggu sebelum hari menderma.
9. Menindik telinga, menjalani akupuntur atau tatu dalam masa setahun.

Paling penting, jangan menderma darah jika anda:

1. Menghidap penyakit kelamin, Aids, tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetes, talasemia, haemofilia dan hepatitis B atau C, sawan, asma dan batuk kering.
2. Pernah atau masih mengadakan hubungan seks rambang dengan ramai pasangan.
3. Pernah melanggani pekerja seks (pelacur).
4. Pernah atau masih mengamalkan hubungan sejenis (homoseks) atau dengan kedua-dua jantina (biseksual).
5. Mengambil dadah secara suntikan.


Persoalan : Muslim Kepada Non-Muslim, Non Muslim kepada Muslim.Bolehkah?

Ada yang membangkitkan persoalan.

Bolehkah kita menderma darah kepada orang Non-Muslim.

BOLEH, berdasarkan dalil al-Quran: “Allah tidak melarang kalian untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kalian kerana agama dan tidak mengusir kalian dari negeri-negeri kalian.” (Al-Mumtahanah:
Kondisi terbalik pula.

Bolehkah pula seorang Muslim menerima darah seorang non-Muslim, sedangkan pasti ada yang memakan benda haram seperti khinzir, arak dan sebagainya.

Jawapannya boleh. Islam tidak memberatkan, namun memudahkan.Padahal, keperluan nyawa lebih diutamakan jauh, daripada memikirkan sesuatu yang tidak pasti pucuk pangkalnya.



TAKUT?!

Jahil akan hukum menderma darah?

Rasanya kebanyakan tidak.

Namun kenapa?

Ya.Kerna sebuah stigma TAKUT.

Darah itu berhantu.

Darah itu sinonim dengan Vampire.

Dan sebagainya.

Ada takut yang terbit kerana kekurangan nilai tertentu dalam diri. Di sinilah saya cuba menguji diri. Saya bayangkan yang di hadapan saya ada sekeping papan yang saya letakkan sebagai penghubung di antara dua meja. Dengan ketinggian 1 meter dari lantai, sanggupkah saya menyeberang dengan melintasi papan itu? Nyata sekali saya sanggup. Tiada risiko. Jika meja itu ditinggikan setinggi sebuah almari, apakah saya masih berani? Mungkin saya sedikit teragak-agak tetapi boleh mencuba jika jelas apa tujuannya. Ada upah? Barangkali…

Tetapi beranikah saya jika dua almari itu diganti dengan bangunan 3 tingkat?

Jawapan saya jelas… saya tidak berani, dan saya tidak perlu untuk mengatasi ketakutan saya kerana tiada keperluan di situ.

Bagaimana jika ada keperluan? Bagaimana kalau di tingkat 3 bangunan di seberang sana itu, anak saya sedang menjerit meminta tolong? Tingkat 1 dan dua sudah dijilat api. Satu-satunya cara untuk anak saya diselamatkan adalah dengan saya pergi mendapatkannya sendiri. Dengan melintasi papan itu. Pada kadar setinggi 3 tingkat. Sanggupkah saya? Saya sanggup. Mengapa tadi tidak sanggup, kini sanggup? Apa yang mendorong saya untuk berani? Keghairahan apa yang membara di dalam diri ini?



Kerana satu.Itulah nilai KASIH SAYANG.


“Tidaklah sempurna iman sesiapa dari kalanganmu, sehingga dia mengasihi untuk saudaranya, apa yang ia kasih untuk dirinya sendiri” (Hadith Muslim)


Mereka Sudah..Anda Apa Lagi? ^^,

Rabu, 19 Oktober 2011

Anda tahu apa itu TENTAMEN SUICIDE?



Saya hanya melirik sekilas si ibu yang terbaring di pojok ruang kecemasan.

Keadaannya kelihatan stabil, dengan tiada sebarang keadaan darurat yang perlu ditangani. Fokus saya lebih terarah kepada 2 orang pesakit stroke, dan seorang pesakit yang mengalami 'diabetic ketoacidosis', suatu komplikasi kronis untuk pesakit kencing manis.

Si ibu tadi masih tetap di sana.

Lirik-lirik sekilas kepada doktor senior yang bertugas, saya terbaca profil si ibu tadi.


TENTAMEN SUICIDE

Apakah bendanya ini bermain di fikiran saya.Perkataan 'suicide' saya mengerti sekali.Bunuh diri.

Setelah diselidiki, rupanya si ibu baru menelan beberapa tegukan racun aerosol berjenama Bygone.


Saya terkedu.

Atas dasar apakah sebegitu tindakannya.Gurat wajah dan pakaian menampakkan yang dia benar seorang Muslimah.

Sebentar hala fikir saya terarah kepada kejadian bunuh diri yang sering kali dilakukan oleh artis-artis Korea dan Jepun kerana stress dengan kehidupan.

Disangka syurga bahagia,rupanya sangkar emas menempah derita sukma.

" Pagi pak. Suami ibu ya?"

Saya menyapa seorang lelaki pertengahan usia, yang dari tadi di samping si ibu.Benar, lelaki itulah si pendamping setia.

Menggangguk lemah si lelaki.

Isterinya belum sedar, dan dia lemah tersadai.

Doktor di ruang kecemasan, hanya mampu mengembalikan keadaan si ibu untuk kembali normal.Paling cepat, perut dan ususnya dibilas agar racun yang masuk tadi boleh diminimalkan kesannya.Prosedur 'gastric lavage'...

Namun , di sini, pedekatan terbaik adalah pendekatan psikiatri.

Kebarangkalian tinggi, si ibu akan mengulangi cubaan membunuh diri, di lain waktu dan ketika.Dan langkah pencegahanlah yang paling sesuai untuk arena bunuh diri.

Doktor sakit jiwa belum muncul.

" Cuba gali sebab kenapa seseorang itu mahu membunuh diri!"

Terngiang-ngiang kata guru sewaktu berlabuh di bahagian Psikiatri dahulu.Tiada salahnya mencuba.

Si suami didekati perlahan.

" Kenapa ya pak? Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan si ibu berkelakuan sebegini!"

Saya memulakan bicara.

Pandangan matanya kosong.

" Banyak hutang, doktor!"

Saya mengerti.

Si suami juga trauma. Keadaan fiziknya kelihatan normal. Namun, saya percaya, dia juga memerlukan terapi batiniah.

Dan setelah beberapa ketika, si ibu sedar.

Kerlipan-kerlipan kosong menembak siling putih ruang kecemasan.

Di pojok, 2 insan yang pernah melafaz akad sehati sejiwa, berkongsi pandangan kosong.1 ke Timur, 1 ke Barat.

Marah, kecewa, sedih berkecamuk.Anak-anak di rumah entah di dunia mana.

Dan saya menapak kaki ke kediaman, dengan untaian istigfar.

Diselidiki..

Rupa-rupanya, TENTAMEN SUICIDE itu adalah dalam bahasa Latin, yang jika dialih bahasakan kepada Bahasa Inggeris maksudnya adalah SUICIDE ATTEMPT.

CUBAAN BUNUH DIRI, bahasa orang kita.



Aduhai..

Dari Abu Hurairah ra, katanya Rasulullah saw., bersabda : “Siapa yang bunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab Sahihnya.

Sungguh mengerikan balasan kepada orang yang membunuh dirinya sendiri.

Setiap insan mempunyai masalah, sama ada kecil mahupun besar.

Masalah sentiasa menyesakkan oksigen jiwa, mencantas rasional fikir.

Sering, jalan pintas mengatasi masalah adalah dengan melarikan diri dari masalah.

Minum arak, membaham pil-pil khayal, dan juga ya, membunuh diri.

Bukan begitu caranya.

Wujud setiap masalah, bertujuan untuk dicari solusinya.

Masalah itu paket ujian, titipan dari Ilahi untuk sang hamba.

Lulus ujian, bertambahlah darjat si hamba.

Bunuh diri, ujiannya gagal.

Pabila gagal, sudah tiada jalan kembali.

Kita berlindung dengan Tuhan Semesta Alam, dari ujian dan masalah yang tidak mampu ditangani oleh diri.

Semoga~

Isnin, 17 Oktober 2011

Istiqamah Seorang 'BLOGGER'..



" Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi!"

Kalam Rasulullah yang dibentangkan kepada sahabat yang khusyuk mendengarkan.

Terpinga sebentar.Ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Lantas ada yang kembali bertanya.

" Wahai Rasulullah, menolong yang dizalimi itu kami sangat mengerti. Tetapi bagaimanakah pula dengan yang menzalimi? Bagaimanakah caranya untuk menolong?"

Sambil tersenyum Rasulullah menjawab.

" Halanglah, cegahlah kezaliman yang dilakukan olehnya!"

Itu sketsa dari abad Rasulullah dan sahabat.

Melakukan sesuatu bukan dengan tujuan asalnya adalah sebuah projek mencipta arca kezaliman.


BLOG

Orang punya blog, kita juga mahu punya blog.

Seakan-akan mempunyai blog adalah suatu gaya hidup semasa yang wajib diikuti.Tidak ikut berblog, maka cap ketinggalan zaman sangat ditakuti.

Begitulah kisahnya.

Tidak salah berblog, asalkan tujuan akhirnya semata-mata mengejar kemanfaatan dunia dan akhirat.

Maka, di sini, saya menasihatkan diri dan tuan-tuan empunya blog yang lain, agar tidak menzalimi blog masing-masing.

Berdebunya blog kadang-kadang sudah mencapai tahap berbulan-bulan.Kosong kemaskini.

Biarlah sedikit asalkan ada coretan yang bermanfaat buat sesama.

Istiqamahlah kalian semua, dan beruntunglah jika kalian istiqamah (HR. Ibnu Majah).