Sabtu, 9 November 2013

Kenapa Perlu Berpuasa Sebelum Pembedahan?


" Kejam la macam ni. Mak saya yang dah berusia ni tak tahan kalau nak berpuasa lama-lama. Dari 12 malam tadi sampai pukul 2 petang dah!" Bentak seorang anak kepada pesakit.

Terkedu saya apabila 'disergah' sedemikian.

Si pesakit dijadualkan untuk mengikuti pembedahan ' Above Knee Amputation', sebuah prosedur memotong  kaki.Keputusan berat yang terpaksa diambil oleh pesakit dan keluarga kerana saluran darah di pangkal pahanya tersumbat penuh.

Tiada aliran darah ke bahagian bawah kaki.Kaki terasa sakit mencucuk-cucuk, tiada oksigen terhidang buat sel-sel. Akibatnya semua sel-sel, anggota terkecil kehidupan akan mulai menamatkan kehidupan.

" Maaf puan. Ini prosedur yang harus dipatuhi semua orang yang akan menjalani pembedahan!"

" Nampak memang kejam, namun ada sebab kenapa ibu puan harus berpuasa terus!"

" Untuk pembedahan besar, dan menggunakan bius umum, selain pesakit tidak akan sedarkan diri sewaktu pembedahan, semua otot akan lumpuh. Otot pernafasan akan lumpuh, maka ibu puan akan bernafas dengan bantuan mesin pernafasan sewaktu pembedahan!"

" Begitu juga usus kecil, usus besar, perut, semuanya lumpuh secara keseluruhan. Biasanya makanan yang dimakan memerlukan sehingga 8 jam untuk dicerna secara sempurna. Jadi, kalau peraturan puasa tidak diendahkan oleh pihak pesakit, ia boleh membawa impak buruk kepada pesakit!"

Hening suasana seketika.

" Pembedahan kaki mungkin boleh berjaya. Tetapi kalau pesakit tidak berpuasa sempurna, sisa-sisa makanan boleh naik ke bahagian atas, sehingga boleh memasuki ruang paru-paru. Kita tidak mahu paru-paru menderita sehingga terjangkit radang paru-paru, jangkitan kuman yang semua orang tidak mahukannya!"

" Begitu juga keadaan perut yang berasid ketika masih mencerna makanan. Kita tidak mahu asid-asid ini menceroboh saluran atas dari perut, dan juga boleh memberi impak yang buruk juga kepada paru-paru kalau terserap masuk!

Panjang saya menjelaskan.

" Saya faham dengan keprihatinan keluarga. Kalaulah ibu puan merupakan ibu saya sendiri, saya juga sedih apabila melihat dia menderita di usia senja sebegini. Saya terpaksa membenarkan ibu menunggu, demi prioriti yang lebih utama!"

" Buat ketika ini, kita masukkan air melalui saluran darah. Air ini akan menjaga tekanan darah ibu puan dalam keadaan stabil dan optimum untuk menjalani pembedahan!"

Alhamdulillah, nampak gayanya keluarga pesakit mula dapat menerima.

" Boleh tak kami lapkan sikit bibir dia dengan air? Kering sangat-sangat!" Pinta si anak lagi.

Saya menggangguk lemah.

Prinsip ' Seek First To Understand, Then To Be Understood' harus ditanamkan secara perlahan-lahan.Semua orang mahu dirinya difahami terlebih dahulu.

Tiada salahnya kalau kita merendahkan diri seketika, cuba memahami orang terlebih dahulu, demi mendapat keberhasilan komunikasi dalam kehidupan seharian..

Ya..Benar sekali firman Tuhan. Sesunnguhnya manusia itu dicipta dengan banyak keluhan..




Khamis, 31 Oktober 2013

Kisah Surgeri : Bantal Milik Arwah..


Pesakit lelaki itu terlantar di katil. Patah riuk tulangnya..

Akibat kemalangan sewaktu menunggang motorsikal bersama anak lelaki bongsunya yang berusia 4 tahun.

Komplikasi sampingan menyebabkan dirinya kekurangan zat natrium di dalam badan dan menderita strok akut (angin ahmar).

Isteri setia mendampingi.

Panjang bertanya keadaan kesihatan ini dan itu, lantas saya bertanya kepada isterinya.

" Anak pula macam mana?"

Senyuman kelat terukir di bibir sang isteri.

" Anak lelaki bongsu kami, yang paling manja, meninggal terus di tempat kejadian!"

" Suami saya hanya mengetahuinya selepas 6 hari anak kami dikebumikan. Kalau doktor nampak bantal yang suami saya sedang gunakan untuk tidur, dan peluk, itulah bantal arwah anak saya.Dia mahu melepaskan kerinduan terhadap anak kami!"

" Tapi takpe. Anak saya sudah berbahagia di sana. Di sini, saya dan suami sangat berduka, namun saya harus kuat untuk suami yang masih berjuang di katil dan demi anak-anak yang lain!"

Ya ujian yang menimpa insan.

Kalau kita merasakan ujian, beban yang ditanggung sekarang sangat berat, masih ada ramai yang lebih berat ujiannya.

Pesakit saya dan isterinya, memberikan semangat secara tidak langsung untuk terus berjuang di dalam bidang perubatan ini.

Hidup ini menuju mati, buat yang terbaik, ikhlaskan niat, maju terus, kerna mati tidak mengenal waktu..




Sabtu, 12 Oktober 2013

Nur Falah Suffiyah..


Alhamdullilah atas kelahiran zuriat pertama kami ke dunia ini pada 2310, 8 September 2013.

Abi menamakan dirimu dengan nama NUR FALAH SUFIYYAH BINTI AHMAD ZULFAHMI.

NUR bermaksud cahaya.

FALAH merupakan ungkapan yang sering dikumandangkan saat azan. Ertinya kejayaan.

SUFIYYAH pula bererti suci bersih.

Semoga menjadi anak solehah, mujahidah istiqamah di dunia dan akhirat..


Selasa, 8 Oktober 2013

Success In Life Through Positive Words

Succes In Life Through Positive Words..

I have bought this book,3 years back..

But dont know I just hooked up by this book..

In the condition full of negative aspects,full of stressors,we have to endure it..

Keep positive and spread the positiveness..

All the negative persons,negative matters,all thise toxicity spread up,cannot give us any harm if we do not permit it to harm us..

Allahuakbar


Rabu, 21 Ogos 2013

Meneran Ibu Bersalin Itu Satu Perjuangan


Dewan Bersalin menemukan saya dengan pelbagai macam ragam suami yang menemani isteri yang hampir bersalin.

Ada yang suami takut darah, hanya menunggu di luar.

Ada suami terjelepuk letih, terlelap di sisi.Mata bengkak menahan kantuk.

Saat isteri meneran, ada suami yang diam membisu.Kaku.

Ada suami yang tercegat, hanya memerhati kosong.

Ada juga suami yang mengelap peluh isteri, disua seteguk dua air kosong dan memotivasi isteri untuk meneran.

Sungguh, meneran merupakan sebuah perjuangan, demi melahirkan seorang khalifah cilik ke alam muka bumi ini.

Lebih-lebih lagi, bagi pasangan kali pertama berdepan dengan situasi ini.

Meneran kekok.

Memegang anak yang baru lahir juga kelihatan janggal.


Hormat


Seorang suami, dengan isteri sedang berjuang meneran anak pertama.

Sebuah perjuangan untuk melahirkan si kecil, sehingga perlu menggunakan 'instrument', alat vakum.

Bayi berjaya dilahirkan namun keadaannya tidak berapa baik.

Doktor kanak-kanak yang sudah bersiap sedia terus menangani bayi.

Tiada suara raungan.

'Flat'..Istilah perubatan bagi bayi yang teruk keadaannya.

Bayi dipasang bantuan pernafasan dan dikejarkan ke Neonatal Intensive Care Unit (NICU).

Saya dan doktor senior memberi fokus kepada si isteri, ibu kepada bayi tadi.

Uri harus cepat dilahirkan, robekan jalan lahir harus cepat dijahit.

Tekanan darah, kadar pernafasan harus cermat diawasi.

" Macam mana anak saya doktor? Macam mana?"

Hati si isteri tidak keruan.

Secara langsung melihat anak yang baru dilahirkan , berjuang untuk hidup.

" Kita serahkan kepada doktor kanak-kanak, selebihnya kita berdoa banyak-banyak kepada Allah.."

Suaminya menitiskan air mata, berjuraian melihat anak sulung yang baru dilahirkan, dilarikan ke dalam NICU.

Air mata yang ikhlas.

Semoga Tuhan memberi kemudahan buat mereka.



Nadi

Kerja doktor ini memang sangat melelahkan.

Dari satu pesakit, kepada pesakit yang lain.

Tiada putus.

Apa yang membuatkan saya masih boleh hidup dan terus bergerak, hanyalah dengan perasaan bahagia dan senang apabila mampu menolong.

Memberi manfaat kepada orang lain.

Saya mahu saat isteri saya mahu bersalin, doktor dan jururawat yang menangani adalah jenis yang memberikan perkhidmatan terbaik.

Teori ' What You Give You Get Back' teraplikasi di sini.

Semoga keikhlasan bercambah di dalam hati setiap petugas perubatan..




Selasa, 20 Ogos 2013

Ayah Menjadi Bilal Kepada Bayi..


Saya  sekarang sedang berada di Jabatan Obstetrik &  Ginekologi.

Senang cerita, bahasa awamnya adalah 'Sakit Puan'.



Nasihat Pertama Buat Bakal Ayah..

Uweek..Uweek..Uweekk

Tangisan pertama si mungil membingitkan suasana dewan bersalin.

Apabila bayi menangis, itu suatu tanda yang baik.

Bayi menangis untuk membuatkan paru-parunya berfungsi dengan elok.

Selama 9 bulan lebih, hidupnya bersumberkan ibu, hari ini, hirupan oksigen harus diusahakan mandiri.

Alhamdulillah, syukur.

Lelah ibu meneran terhapus dek melihat wajah fitrah makhluk mungil, penghuni baru dunia.

Debar bapa surut dek melihat buah hati pengarang jantung, sudah selamat menjengah alam dunia.

Penantian 9 bulan ini berakhir sudah.


Ragam Bapa-Bapa

Islam menjadikan azan dan iqamah kepada bayi yang baru lahir sebagai suatu sunnah tuntutan.

Minimum 5 kali sehari azan dikumandagkan dari corong pembesar suara masjid.

Ada bapa menitiskan air mata kesyukuran dek kelahiran zuriat saat mengazankan anak.

Ada yang azan sekuat hati, tanda syukur kepada Ilahi.

Ironinya, Melayu Muslim ada yang 'buta' azan.

Isteri saya bercerita sampai ada yang menggunakan telefon bimbit, memperdengarkan rakaman azan.

Allahu..

Suatu kejadian lain, sewaktu saya sibuk memeriksa bayi yang baru lahir.

" Dah azan anak belum encik?"

Saya bertanya kepada seorang lelaki yang baru menjadi bapa.

" Belum,"

Jawabnya sekilas.

" Mari sini. Sila azan sekarang!"

Saya menyuruhnya azan.

Tugas sebagai doktor  rupanya tidak selesai saat berjaya menolong ibu melahirkan bayi, ada sisi lain yang belum tuntas.

Rupanya si bapa berseluar di atas lutut dan tidak ada wuduk.Itu yang dijadikan alasan untuk tidak mengazankan bayi.

Macam-macam..

Sedangkan azan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isya' dan Subuh, azan tetap sah walau tidak punya wuduk. Wuduk itu untuk mendirikan solat.

Berwuduk itu digalakkan, bukan syarat untuk mengazankan bayi.


Kepada Bakal Pengantin

Buat anak-anak dara yang masih mendambakan suami, sila pastikan setidak-tidaknya bakal suami anda reti azan.

Kita belum bicara soal lampin, susu, pakaian, pendidikan untuk anak-anak.

Andai azan pun tidak lepas, bagaimanakah pula untuk mengharapkan benda yang lebih besar dari suami sebegini.

Ya.. Pastikan anak yang bakal dilahirkan itu mempunyai seorang ayah yang tahu mengalunkan azan.Asal dia Muslim, tidak perlu sampai menjadi seorang imam, bilal mahupun seorang ustaz.



Isnin, 22 Julai 2013

Erti Hidup Pada Memberi.


Hidup ketika bergelar doktor 'houseman', peluang saya turun ke medan semakin sedikit.

Hidup terfokus kepada pesakit di hospital.

Sekarang, keluar sebelum Subuh, balik kalau bernasib baik sebelum berbuka, dan kalau waktu oncall, akan bersambung terus sehingga selepas Subuh keesokan hari.

Setidak-tidaknya, melihat adik-adik di bumi Bandung dan Jatinangor menghulurkan tangan kepada para penduduk, dapat juga menimbulkan perasaan bahagia.

Program Cry No More; From Malaysia With Love berjalan lancar.

Di Bandung, juadah berbuka dibahagikan kepada para penduduk sekitar.

Di Jatinangor, barang-barang makanan mentah disalurkan kepada penduduk di sana.

Sesungguhnya Allah Maha Melihat, semoga barakah kepada tangan-tangan yang menghulur, segala tenaga yang tercurah, segalanaya ada seribu satu nilai kebaikan..







Sabtu, 6 Julai 2013

PROMO : Cry No More ; From Malaysia With Love



Jom bersama kafilah Ramadan , sebuah projek menebarkan senyuman bahagia di bumi Indonesia.

^__^


Jumaat, 21 Jun 2013

CRY NO MORE ; From Malaysia Wit Love..




CRY NO MORE ; From Malaysia With Love..

Sebuah projek mega pahala, meriah dengan barakah, yang akan dipelopori oleh mahasiswa-mahasiswa Malaysia di bumi Bandung, Indonesia..

Projek ini bermatlamat untuk membekalkan juadah berbuka puasa kepada anak-anak yatim, anak-anak jalanan, orang-orang miskin dan kurang upaya..

Sepanjang lebih 6 tahun saya mendiami Bandung, bergelumang dengan orang-orang Sunda yang aneka ragam, mendatangi pelbagai majlis dan keraian, melawati pelbagai ceruk tempat, bumi Indonesia yang merupakan bumi paling banyak umat Islam, ternyata masih sangat memerlukan bantuan.

Yang kaya menjadi lebih kaya, yang miskin terus kedana melarat.

Anak-anak jalanan dibiar tidak terurus.

'Mengamen' ( aksi menyanyi di jalan, dalam bas, dalam kenderaan awam, sambil mengharapkan derma dan belas ehsan dari orang ramai) kebanyakan juga dari anak-anak jalanan ini.


Compang camping pakaiannya, ditambah kusut masai penampilannya, demi kepingan rupiah.

Demi sesuap nasi.Belum lagi kita bercerita tentang pendidikan mereka.

Yang cacat dan kurang upaya dibiar tanpa peduli.Malahan menjadi mangsa sindiket permainan mengemis di jalanan.


Masjid-masjid begitu banyak, dalam senggang yang begitu hampir antara satu dengan yang lain.

Pada bulan Ramadan, masjid akan penuh dengan jamaah.

Seakan suatu kebiasaan apabila berselawat ketika rehat antara solat sunat tarawikh, menjadi suatu aksi yang penuh pekikan. Pernah saya umpamakan seperti gaya orang Red Indian bertempik..

Tidak percaya?

Tanyalah mana-mana pelajar Malaysia yang pernah mendiami Bandung dan Jawa Barat.Pasti akan diiyakan mereka.

Berbuka puasa di masjid mungkin menjadi pilihan sesetengah kita di Malaysia.Aneka hidangan dari beriani gam, nasi Arab, kambing guling, bubur lambuk dan sebagainya.

Ramadan di Malaysia, kita berpesta dengan makanan.

Di bumi Bandung, saya menyaksikan masjid hampir tidak pernah mengadakan majlis berbuka puasa.

Yang biasa saya lihat adalah disediakan air kosong dan ' gorengan' ( istilah Indonesia untuk cekodok atau jemput-jemput) sebagai ' taajil' ( istilah Arab yang popular di Indonesia bermaksud makanan awal berbuka).

Semata-mata itu..

Inilah Bandung pada kaca mata saya, bekas seorang pelajar perubatan di sana.

Alangkah bahagianya hati jika kita mampu mengalirkan sedikit rezeki dari bumi Malaysia yang penuh barakah ini kepada jiran kita di sebelah sana..

Kita memilih makanan apa lagi untuk berbuka, mereka pula berfikir adakah ada makanan yang cukup untuk berbuka..

Sekadar sedikit perkongsian pengalaman..

Semoga Ramadan ini membawa seribu makna dalam kehidupan kita seharian..


Isnin, 20 Mei 2013

Who Moved My Cheese !!!




A really nice book..

A book that changed paradigm, the perspective how we see a problem in life..

Very nice to know Hem, Haw and two mice, Sniff and Scurry..

Thumbs up!



What you have learnt are these ..


Ahad, 12 Mei 2013

Doktor, Tayamum Berapa Rakaat?


Allahuakbar..Allahuakbar..

Azan Maghrib berkumandang dari corong pembesar suara masjid berdekatan..

Kaki ligat menapak memasuki wad..

Waima apa waktupun, pesakit tetap wajib didatangi..

Tiada masa yang tiada pesakit..

Jadual 'oncall' seorang pegawai perubatan siswazah, kadang-kadang boleh melangkaui 40 jam, tanpa berhenti, tanpa tidur.

Bukan tiada langsung, respon normal manusia pastilah tersengguk-sengguk di meja ada ketikanya.


Maghrib, waktunya itik berlenggang pulang ke reban, kambing lembu dipulangkan ke kandang, saya masih berteleku menekuni pesakit.

" Macam mana nak solat ni doktor?"

Tanya seorang pesakit kepada saya.

Usianya sudah menjangkau 80-an. Serban terlilit kemas di bahagian lehernya.

Saya memang tiada masa.Masih ada banyak urusan pesakit lain yang jauh lebih perlu diutamakan.

" Saya dulu imam di kampung.Jadi bilal pun biasa.Tapi saya tak pernah tahu macam mana nak solat dalam hospital ini!"

Terkesima seketika dibuatnya.

" Pak cik pandai tayamum?"

" Pak cik tahu jamak solat?"

"Pak cik tahu cara solat duduk atau baring?"

Saya mengejar masa.Berderet langsung soalan saya ujarkan kepada si pak cik tua.

" Saya ada masa 5 minit nak terangkan secara ringkas kepada pak cik!"

" Pak cik boleh guna air untuk wuduk kalau mampu. Anak atau jururawat boleh tolong ambilkan.Kalau tak mampu guna air, boleh tayamum. Tayamum guna debu, sapu muka dan sapu tangan, kemudian selesai!"

" Pak cik juga boleh gabungkan solat.Cuma jangan diqasarkan. Zohor 4 rakaat tambah Asar 4 rakaat, Maghrib jamak dengan Isya' !"

Saya menghela nafas. Memang sukar untuk dijelaskan secara terperinci dalam masa 5 minit.

" Niat pula macam mana? Pak cik tak ingat la!"

" Maghrib dijadikan 2 rakaat ye? "

" Niat tayamum macam ni ke ' nawaitu tayammumi arba'a rakaatin lillahi taala?"

Saya memandang wajah berkedut seribu itu, seraya tersenyum.

Cuba disuguhkan mekaran senyuman kepada hati saya.

Panas juga mahu menjelaskan dalam keadaan terkejar-kejar.

" Pak cik niat dalam hati pun dah sah.Lain kali , untuk lebih baik, pak cik boleh hafal bila balik rumah!"

" Pak cik nak tak saya tayamumkan pakcik?"

Saya menawarkan khidmat.

Saya lumurkan tangan ke birai katil, mencelup debu, ditepuk sedikit sebanyak, dan disapu kepada wajah dan tangan si pak cik tadi.

Selesai.

" Silalah solat pak cik.Dah tayamumkan.."

Saya bergegas keluar.

Gemersik lembut suara takbir kedengaran..

Alhamdulillah, syukur..


Walau hanya beberapa detik, walau hanya sekelumit ilmu dikongsi, entah mengapa saya merasa bahagia.

Melihat seorang Muslim, mengadap Tuhan, membuahkan seribu satu perasaan puas.

Semoga si pak cik istiqamah, dan kita juga terus istiqamah..




Sabtu, 20 April 2013

Ibu Dia, Ibuku Jua...



Di birai katil itu, si anak setia mendampingi ibu nan tua.

Setiap liur tersingkap meleleh , disapunya lembut dari tirai bibir si ibu.

Sentuhan penuh kasih dan sayang.

Setiap ada keluhan mengaduh, si anak mengurut halus, mengurangkan lenguh ratap si ibu.

Aku merenung dari jauh.

Menguntum senyum.


Ibu Dia, Ibuku Jua

Pasangan anak beranak itu keturunan Cina.

Si anak lelaki dengan si ibu yang sudah umurnya berpangkalkan 7.

Tidak pernah aku lihat dia merungut, meratapi nasib.

Kagum meraup tangkai kalbu.

Aku teringat mama di kampung.

Teringat salah silapku, bicara nan kasar, perbuatan mengguris rasa dari umurku setahun jagung sehinggalah sekarang.

Teringat mamku pernah berkata,

" Ajar anak orang lain, bersungguh-sungguh biar pandai, jadi orang berguna. Biar orang lain ajar anak mama juga jadi orang pandai dan berguna!"

Mamaku seorang cikgu.Masih seorang cikgu.

Sebati nalurinya mendidik anak bangsa.


Aku Seorang Doktor

Baru sekarang aku mula memahami.

" Layanilah pesakit seperti melayani ibu sendiri!"

Kata-kata yang mudah diungkap, namun tidak mudah untuk dihadam dalam kehidupan yang penuh tekanan.

Pesakit perangai elok, bolehlah terukir senyum.

Namun kalau yang datang meracau-racau, menghamburkan kata kasar akibat tidak sedarkan diri, dan seribu macam perangai, bagaimana senyum mahu dihambur.

Silap-silap, hamburan kesat pula yang termuncul di bibir.

Tidak mudah.

Namun cuba aku ajarkan diri, bayangkan yang berada di depanku adalah ibuku sendiri.

Hikmah aku tercampak jauh di belantara batu Kuala Lumpur, jauh dari kampung halaman,membuatkan hati ini lebih menghargai.

Aku niatkan setiap kali aku menyentuh pesakit, saham pahala turut tercurah kepada mama dan abahku, yang banyak menyumbang kepada diriku sekarang.

Baru datang pancaran ikhlas sedikit sebannyak.

Benar-benar ujian apabila keadaan diri yang penat, dengan pelbagai stres yang menimpa.

Pasangan anak beranak Cina tadi benar-benar mengajarku bahawa erti hidup adalah benar-benar untuk memberi.

Doa buat ibubapaku,

" Wahai Tuhan, ampunkan dosaku, dosa kedua ibubapaku, berilah rahmat kasih sayang kepada mereka, sebagaimana mereka menyayangi dan mendidikku sejak aku masih kecil"


- Dr Ahmad Zulfahmi, Jabatan Perubatan PPUKM-

Selasa, 16 April 2013

Bila Nafas Nan Terhenti...



Baru sahaja derapan kaki ini melangkah ke wad Perubatan 2, wad di mana 2 bulan ini, tangan dan kaki ini melabuhkan khidmat, pandanganku menyapa katil no 10.

Semalam empunyanya orang lain.

Hari ini, tuan punya katil bertukar milik lagi.

Sekali pandang, wajah perempuan itu masih muda.

Penghujung 20-an, atau awal 30-an barangkali.

Nafasnya berat.Dihela seluruh tenaga untuk bernafas.

Sepasang lelaki dan perempuan tua setia mendampingi.

Bonda ayahandanya barangkali.



Detik Terakhir

Sesak nafasnya kerna jangkitan kuman pada paru-paru yang kronik, menyebabkan masalah teruk pada buah pinggangnya.

Sudah 3 jenis ubat penguat otot jantung diberikan, namun tekanan darahnya terus melemah.

" Tidak payahlah untuk masukkan tiub ataupun CPR anak saya ye doktor!"

Si ibu melafazkan ungkapan yang maha berat.

Biarkan dia pergi secara baik.

Dengan sejarah penyakit 'Cerebral Palsy' dan 'Epilepsy' sejak kecil, kemungkinan untuk terus hidup sangat rendah, dengan kadar pengetahuan yang Tuhan Maha Mengetahui kurniakan kami, para doktor.


Syahadah Terakhir

Mendayu kalimah Allah dilantunkan.

Bacaan Yasin berkumandang.

Detik bertemu Malakul Maut mendekati.

Innalillah wainna ilaihi rojiun..

Pergi tidak kembali seorang hamba, menghadap Sang Pemilik Alam.


Kematian

Umur 31 tahun.

Kematian ini, membuat saya tersentak seketika.

Dalam kesibukan bekerja, sering saya alpa dengan detik solat, Al Quran entah ke mana, jamaah sudah tidak di fikiran.

Namun kematian sering mengintai waktu untuk muncul menjemput pulang ke kehidupan sana.

Jangan beralasankan muda, ,masih sihat, sangat sibuk dan sebagainya.Pabila bertemu Munkar dan Nakir, alasan hanya tinggal alasan.

DariNya kita dicipta, kepadaNyalah kita dikembalikan..



-Dr Ahmad Zulfahmi, Jabatan Perubatan PPUKM-



Ahad, 7 April 2013

Kebahagiaan Memberi ...




Memberi itu membahagiakan.

Lambaian pak cik makcik keluar wad itu memberikan nikmat seronok.

Sukar digambarkan dan diluahkan.

Layanan terbaik buat seorang pak cik kaum Cina, sehinggalah kematiannya, mengundang duka pasti.

Namun, keluarga tetap datang kembali, menghulurkkan sedikit cenderahati sebagai tanda terima kasih.

Bukan hadiah diminta, namun layanan tanpa syarat itu, membahagiakan hati.


Yang membuatkan saya masih mampu tersenyum, disela-sela tanggungjawab yang bertimbun adalah keseronokan untuk memberi ini.

SemogaTuhan Yang Maha Memberi terus memberikan hambaNya semangat dan kekuatan untuk terus memberi...

Sabtu, 23 Mac 2013

Coretan Sebulan Menjadi Doktor


Hampir sebulan menadah nasib di bumi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Sendirian memasuki PPUKM dan ditugaskan ke Jabatan Perubatan terus.Jabatan yang terkenal dengan kesibukan.

Pegawai Perubatan Siswazah aka Housemen (HO) sangatlah sedikit di sini.Hanya sekitar 10 orang..Dan wad yang perlu dijaga ada hampir sepuluh, termasuklah wad-wad kritikal seperti High Dependency Ward dan Cardiac Care Unit.

Pada waktu hari biasa, seorang HO ada yang menjaga 1 wad.Ada yang berdua 1 wad.1 wad hampir 30 orang pesakit.

Kerana kekurangan tenaga, sistem syif tidak dapat dilaksanakan di PPUKM.

Sistem oncall memaksa diri berjuang bertahan hampir 40 jam bekerja tanpa berhenti.Ketika oncall, seorang HO akan menjaga 5 buah wad, lebih 100 orang pesakit harus dipantau.

Pada awalnya, saya memang sedikit tertekan.

Sistem yang perlu diadaptasi, suasana berbeza, sosok asing di bumi asing.

Semuanya mencengkam sukma. Resah gelisah..


Positif

Setelah sebulan, beban masih terasa berat.Namun, ketenangan itu sedikit sebanyak muncul di balik awan.

Sudah selesa dengan para jururawat, doktor pakar dan doktor atasn.

Sistem sudah dimengerti elok.

Cuma harus menggarap ilmu klinikal yang masih tumpul. Biar diasah semakin tajam.

Dimarah dam ditegur itu perkara biasa.

Di zaman Bandung, sewaktu menuntut di Ilmu Penyakit Dalam (IPD), para guru saya lebih banyak yang menakutkan dan garang.Cara mengajar mereka berbeza.

Betul kata isteri saya tercinta.

" Doktor- doktor di Malaysia lebih mudah berbincang, suasana lebih berhemah dan positif!"

Marah dan teguran di Malaysia tetap ada.

Ya..Tetap ada yang sinis dan skeptikal.Tapi yang penting, biarlah akal sentiasa positif.

Biar apa yang dimarahi, biarlah apa yang tercampak keluar dari mulut, dunia tetap tidak akan kiamat.

Kiamat yang paling ditakuti itupun, milik Yang Maha Kuasa.


Belajar

Tetap belajar dari kesilapan.

Jangan tercampak ke dalam lubang biawak berkali-kali.Cukuplah sekali tersadung langkah.

Biar diri nampak bodoh, teruskan bertanya dan bertanya.

Tiada istilah pertanyaan bodoh. Baik bertanya dan pentingkan keselamatan pesakit.

Jangan sesekali mengagak..Tiada perkataan 'SAYA INGAT', ' SAYA FIKIR' dan sebagainya.

Nyawa manusia bukan untuk diperjudikan mudah.


Sukakan Kerja

Kerjaya doktor berat.

Benda paling asas, sukakan kerjaya ini.

Orang lain berjuang di bumi Palestin, terbang ke Gaza dan Syria, dikerah ke Lahad Datu.

Hati saya turut terpanggil menyahut perjuangan.

Biarlah saya mengerah keringat dan tenaga, menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada manusia yang memerlukan.

Mengerah sehabis baik agar manusia boleh kembali beraktiviti seperti sediakala.

Amal mereka, kebaikan yang mereka lakukan, sedikit sebanyak ada sisa saham pahala kepada saya.

Masa semakin sedikit untuk berjamaah di masjid, mahupun untuk lama membuka helaian kalam Ilahi.

Sebagai hamba, inilah ibadah saya.Lillahi Taala..

Teringat moto hidup saya , berasaskan tinta sabda Rasulullah tercinta , sebaik-baik manusia adalah yang paling memberi manfaat..

Dan saya sangat berharap inilah medan manfaat yang selama ini saya impikan.

Doakan saya kuat dalam melalui bahtera hidup ini..

Terus berjuang dan tak kenal henti.Harapan itu sentiasa ada...

Semangat...

Khamis, 14 Februari 2013

Sakit Bukan Alasan Untuk Meninggalkan Solat



Saya secara tidak sengaja bertemu dengan buku ini ketika singgah di Syarikat Muda Osman, Kota Bharu.

Anggapan saya buku ini seperti buku fekah ibadah pesakit yang lain.Tiada yang berbeza.

Saya silap.

Selain daripada ilmu-ilmu ibadah yang diterangkan dalam buku ini, yang menarik adalah disertakan kajian dan kaji selidik yang dilakukan terhadap kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Antara dapatan yang diperolehi.

  • 74 % pesakit meninggalkan solat kerana segan dan malu.
  • 85.6% pesakit dianggap malas, cuai dan tidak mengambil kisah perihal solat.
  • 53.7% pesakit langsung tidak merungut walaupun meninggalkan solat.
  • 41.9% pelawat/keluarga pesakit yang kadang-kadang bertanyakan perihal solat pesakit.
Dapatan ini sangat menarik perhatian saya.

Saya percaya peratusan ini mewakili hampir semua hospital di Malaysia.
Konsep Hospital Mesra Ibadah sudah dipelopori di Malaysia, namun setakat ini, prosesnya masih belum menyeluruh.

Saya percaya masih ada hospital yang tiada kemudahan untuk pesakit solat di samping aspek promosi kepada kakitangan hospital yang banyak berinteraksi dengan pesakit.

Pendedahan kepada para pesakit dan keluarga pesakit juga perlu dititik beratkan.

Saya teruja untuk melihat peranan yang dimainkan majlis agama negeri, YADIM, JAKIM, NGO-NGO seperti PPIM, PAPISMA, Ikram Health dan sebagainya dalam menelusuri isu ini.

Prospek dakwah dalam dunia perubatan sangatlah luas....


Khamis, 7 Februari 2013

Diari Seorang Diplomat, HIKMAH YANG TERSIRAT



Sewaktu membelek buku ini buat kali pertama di booth Galeri Ilmu, di Pesta Buku 1 Malaysia tempoh hari, saya tidak merasakan apa-apa yang sangat istimewa.

Hanya cerita seorang pegawai diplomatik di Islamabad, Pakistan.

Namun, ketika menyelak lebih mendalam, baru saya ketahui bahawa sang penukil buku ini, Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd atau nama penanya Nafastari sudah meninggal dunia.


Nafastari bersama isterinya Mawar, dan Embun serta Kekwa, anak-anaknya

Saya lantas membelinya.

Tertarik secara tiba-tiba.

Sejujurnya saya belum pernah membaca tulisan beliau sebelum ini. Ini kali perdana bertemu wajah dengan kalam tulisan beliau.

Beliau ditugaskan ke Pakistan, negara yang bergolak dengan pelbagai peristiwa pembunuhan, pengeboman.

Diceritakan pengalamannya bersama orang Pakistan, makanan, tempat-tempat yang dilawati.

Saya terasa dibawa mengembara bersama ke dalam dunianya.

Islamabad, Karachi, Lahore sehinggalah kepada etnik Pashtun dan rencam kaum dan mazhab di bumi Benazir Bhutto ini.

Terkedu saya.

Umurnya baru 27 tahun, masih muda.Dan beliau telah dijemput bertemu Tuhannya ketika dalam perjalanan pulang ke Setiu, Terengganu, kampung halamannya.

Kemalangan yang tidak disangka-sangka.

1 Mac 2011 detiknya. Seusia saya sekarang.

Sesungguhnya maut itu benar.Bilakah detiknya, hanya ilmu milik Yang Maha Berkuasa.

Raut wajahnya, gaya penceritaannya menceritakan segalanya.

Beliau seorang insan yang baik, ayah yang teladan, suami mithali,dan anak yang soleh.Muslim yang taat semestinya.

Semoga coretan beliau dalam Diari Seorang Diplomat ; HIKMAH YANG TERSIRAT, akan memberikan ilmu dan pengalaman kepada kita para pembaca, dan semoga dengan ilmu yang diperturunkan oleh beliau menjadi jambatan pahala kepada allahyarham di sana.

Semoga Allah menempatkan allahyarham di kalangan hambaNya yang soleh.

Amin..


Silakan melawat blog Nafastari dan juga blog isterinya Mawar yang masih aktif.

http://mawarnafastari.blogspot.com/



Rabu, 6 Februari 2013

Don't Sweat the Small Stuff



All praise to AlMighty God..

Finishing this extaordinary book.

Don't Sweat the Small Stuff and it's all Small Stuff.

So many of us would like to live our lives in a calmer and less stressful way, and be able to let go of our problems.

This book will show you how to stop letting the little things in life drive you crazy.

In 100 short essays, Dr Richard Carlson teaches us, in his gentle and encouraging style, simple strategies for living a more fulfillled and peaceful life.

We can all learn to put things in perspective by making the small daily changes he suggests, including advices such as :


  • Ask yourself this question ' will this matter this year?'
  • Do something nice for someone else- and dont tell anyone about it.
  • Surrender to the fact that life is not fair
  • Live this day as it were your last.
With these thoughtful and supportive suggestions, Dr Carlson reveals ways to make your actions more peaceful and caring, and encourages you to trust your intuitions so that you live each day as it mght be your last.

And the most important of all, most of his advices are related what Muslims obliged to implement.

Rasulullah mentioned all those stuff..

What a nice reading...



Jumaat, 1 Februari 2013

Travelog Seorang Daie




Saya kali pertama mengenali penulis ini dengan karyanya Pelik Tapi Benar.

Sebuah buku yang pada anggapan saya pada waktu itu sangat menarik dan membuka minda tentang rukhsah dalam solat seperti solat sewaktu memegang bayi, membuka pintu dan dalam keadaan musafir.

Kalau diselak kitab-kitab hadis dan feqah memang ada hadis-hadis yang membuktikan.Yang lebihnya pada buku tersebut adalah ilustrasi-ilustrasi yang disertakan bersama.

Jelas.


Setelah beberapa tahun diterbitkan oleh Telaga Biru, Kementerian Dalam Negeri menarik balik buku ini dari pasaran Malaysia kerana dikatakan dapat menggugat akidah orang Islam.

Setakat pemahaman dangkal saya, saya tidak nampak di mana kesalahannya.

Sewaktu berjalan mencari buku di Pesta Buku 1 Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), saya tertarik dengan buku biografi travelog Ustaz Abdul Rahman ini.

Buku Travelog Seorang Daie banyak menceritakan pengalaman peribadi penulis. Dari semenjak zaman anak kecil, menjadi anak yatim, berdagang kuih muih, menahan lapar dengan meneguk air paip, terlibat dengan kancah merokok.

Kemudian, diberi hidayah untuk belajar agama di Sinagapura, merantau lagi ke Jawa Tengah, sambung lagi ke bumi Madinah.

Pengalaman beliau menguruskan masjid-masjid, di samping cerita bobrok Melayu, banyak membuat saya terfikir perangai bangsa sendiri.

Tidak senang dengan kejayaan orang lain, malah mencantas pula kerjanya.

Sebuah buku yang banyak memberikan motivasi untuk berjaya kepada semua lapisan masyarakat yang cintakan kebaikan dan kebenaran.

Di Malaysia, buku ini diterbitkan oleh Telaga Biru dengan harga RM 20.00.

Tidak rugi membelinya.Percayalah...

Isnin, 21 Januari 2013

Bahana Sebiji Anggur..


Kredit foto tati@2009

Sewaktu membeli belah barangan dapur di sebuah pasar raya, saya terserempak dengan seorang mak cik tua bersama sang suami.

Bertudung, 90% saya merasakan pastilah dia seorang perempuan muslimah.

Saya hanya melihat sekilas.

Sambil berjalan melewati anggur yang masak ranum, sempat tangannya memetik sebiji buah anggur dari gugusan.Kakinya terus berjalan pergi.

Jauh di hujung sana, saya melihat mulutnya mengunyah-ngunyah sesuatu.

Allahu....

Sebuah aksi zalim.

Terlupa mungkin pada yang mencatat di kiri dan kanan.

Lalai juga pada CCTV punya Yang Maha Esa.

Tangan yang memetik..

Kaki yang melangkah..

Mulut yang mengunyah..

Semua bakal bersaksi menentang kita..

Kita  tersungkur duka di dalam kandang pesalah.


Ayuh bergerak.Pintu taubat sentiasa terbuka..

Astagfirullahalazim...

Selasa, 15 Januari 2013

Patani, Cerita Sebuah Palestin Nusantara



Dalam kesibukan kita menggalang dana, berpenat lelah berjuang demi bumi Al-Aqsa yang dijajah Zionis Israel, rupanya ada satu lagi bumi umat Islam yang merana seksa.

Kekejaman pemerintah Thailand terhadap umat Islam Patani Darussalam.

Tahukah kita bahawa Patani ini hanyalah sedepa cuma dari Pengkalan Kubur, Tumpat dan Rantau Panjang di bumi Kelantan Darul Naim.Pemisahnya hanya sebatang sungai, bernama Sungai Golok.


Sungai Golok nan sedepa

Tahukah kita bahawa rakyat Patani banyak saudara di bumi Kelantan khasnya, dan bertutur dengan nuansa bahasa yang sama, 'kecek Kelate'.

Peristiwa Tak Bai 25 Oktober 2004 umpamanya antara noda hitam yang memperlihatkan darah merah segar tumpah di bumi Patani.

Tidak terperi kezaliman rejim di bawah bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan , Thaksin Shinawatra. Dialah dalang yang melaungkan misi 'war-on-drugs'sehinggakan semua insan yang tidak bersalah menjadi pesalah undang-undang negara.

Hampir setiap hari ada yang dibunuh, hilang tanpa kesan, dirogol dan sebagainya.




Ya mereka saudara kita,saudara yang seksa menderita diseksa tanpa mempertahankan diri.

Jom ringankan tanggungan mereka.Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.




Sumber :

a) http://amanpattani.blogspot.com/2012/06/air-mata-islam-patani-apa-yang-berlaku.html

b) http://kembaralisan.blogspot.com/

c) http://pattanimerdeka.blogspot.com/


Ahad, 6 Januari 2013

Lelaki Celik Duit


Seorang lelaki, yang mengepalai sebuah rumah tangga wajib mengetahui apa yang diperkatakan oleh gambar di atas.

'Raja kertas' yang bertambah helaiannya dari sehari ke sehari, tidak melambangkan nilai.Semakin banyak helaian, tetapi nilainya bertambah susut.

Hari ini harga bagi sebungkus nasi berlauk ikan aya di Kelantan bukan lagi RM 0.50 seperti pada 15 tahun lepas. Sekarang sudah menjangkau RM 3.00.

Tidak hairan apabila banyak yang cuba menambat harta mereka dengan emas. Tidak kisah sama ada berbentuk jongkong mahupun dinar.

Harga kambing 15 tahun lepas 1 dinar, sekarang juga 1 dinar. Harga kambing 15 tahun lepas RM 150, sekarang meroket ke RM 600 seekor.Jelas perbezaan di sini.

Di sinilah muncul istilah inflasi. Secara mudahnya, ia bererti suatu kenaikan tingkat harga barangan dan perkhidmatan.

Pokoknya, kita kena celik kewangan dengan mempelajari tentang kewangan, pembelian kereta, rumah, makan minum dan sebagainya.

Jangan sampai terbeban hutang nan melampau, tidak menyisihkan apa-apa bekal untuk bekalan hari tua dan anak-anak.

Silakan membaca dan menghadam :

a) Rich Dad, Poor Dad tulisan Robert T Kiyosaki
b) Ke Mana Wang Anda dan Bijak Mengurus Wang tulisan Hajjah Rohani Shahir
c) Panduan Membeli Rumah Pertama.

Khamis, 3 Januari 2013

Antara PAGAR dan PEGAR, dan KERANJANG dan KE RANJANG

Saya suka peribahasa.Saya baru mendapat tahu tentang istilah pagar dalam peribahasa " Harapkan pagar, pagar makan padi" nmerupakan kesalahan penafsiran dari tulisan jawi..

PA..GA..RO..

PAGAR, juga sepatutnya dmaksudkan dalam peribahasa ini adalah PEGAR.


Silakan membaca dari blog http://bedaduz2.blogspot.com/2011/12/harapkan-pegar-pegar-makan-padi.html.


Today I’m going to talk about a rather important issue in Malay language; which is lost in translation of words from Jawi to Rumi.

Sewaktu menelaah Bukumuka sekejap tadi (takdelah sekejap, adalah dalam 3 jam yang lepas), saya terbaca status kawan saya dari Brunei. Namanya Rashid Rahman Hassan. Nama panjang: Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit. Untuk yang tak tau, Rashid ialah pemenang tempat kedua Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2011 dekat PICC awal tahun ni, dan dia mewakili negara Brunei.
Ini ialah status dia yang saya printscreen dari facebook:

clip_image002

Agak menarik status dia! Tiada pagar makan padi. Tetapi burung pegar. Kesilapan berlaku disebabkan perubahan ejaan rumi daripada jawi.  

OK, saya terus mintak keizinan dia nak share, dan lepas je dia bagi kebenaran, terus saya copy paste letak dalam status saya, tapi saya tambah sikit:

clip_image004

Saya tambah bahagian batuk dalam status saya, atau sebenarnya batok. Daripada kecik lagi, saya selalu pelik kenapa “melepaskan batuk di tangga” tu bermaksud buat kerja separuh jalan?

Cikgu-cikgu Bahasa Melayu saya masa sekolah rendah pun takde explain lebih lanjut pasal apa batuk tu. 

Jadi saya assume maksudnya kita batuk dekat tangga. Tapi memang tak boleh relate, kenapa batuk dekat tangga tu maksudnya buat kerja tak habis? Kenapa batuk? Bukan bersin di tangga ke, sendawa ke, menguap ke?

Masa sekolah menengah, barulah cikgu saya (tak ingat dah cikgu mana...) cakap yang sebenarnya bukan batuk, tapi batok. Disebabkan perubahan ejaan jawi ke rumi, ramai orang tersalah anggap bahawa batok tu bermaksud batuk.

Apa batok tu? Batok tu sebenarnya sejenis perkakas yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Adat orang Melayu, sebelum naik ke atas rumah, kita akan basuh kaki dulu dekat tempayan. Batok digunakan untuk menceduk air dari tempayan. 

“Melepaskan batok di tangga” bermaksud kita tak letakkan balik batok dekat tempat asal, iaitu kita tinggalkan macam tu je dekat tangga lepas guna. Macam lepas guna getah paip dalam tandas, tak letak hujung dia dekat pemegang lah lebih kurang. Daripada situlah ia bermaksud buat kerja separuh jalan.

Inilah contoh batok tu ye kawan-kawan:

clip_image006
“Kau ada batok dekat rumah? Kau mampu?”


Untuk burung pegar pulak, saya cuba google gambar dia. Kemudian jumpa dekat wikipedia.

clip_image008
Namaku Si Pegar, bukan Pagar!

Ha, nilah contoh burung pegar, atau dalam Englishnya berbunyi ‘pheasant’. Saya pun letak gambar ni dekat facebook.

Dekat Malaysia rupanya kita panggil ayam pegar, dekat Indonesia pulak dipanggil burung pegar. Tapi ayam ke, burung ke; kedua-duanya bertepatanlah dengan peribahasa ‘harapkan pegar, pegar makan padi’. OK, patutlah. Selama ni ingatkan pagar. Sebab tulah rasa pelik, kenapa pagar makan padi? 

Lagipun zaman dulu mana ada orang pagar sawah padi (ada ke? Rasa macam takde...).
Rupanya orang maksudkan pegar. Pegar ni digunakan macam burung hantu lah agaknya. Kawalan biologi untuk membunuh tikus dan serangga perosak dekat sawah padi. Tetapi ketika mengharap burung pegar ini tolong makan tikus dan serangga di sawah, burung pegar ni makan pulak padi. Dia mengkhianati kepercayaan tuan punya sawah untuk menjaga sawahnya daripada dimakan binatang perosak; dia sendiri jadi binatang perosak. Jadilah pepatah ‘harapkan pegar, pegar makan padi’.

Mula-mula ingat nak share dekat facebook je, tapi Rashid galakkan share dekat blog. Biar kongsi ilmu dengan ramai sikit orang. Sebelum ni saya pernah janji dengan Rashid nak post pasal kenapa chicken pox boleh berjangkit dua kali (tapi takde peluang lagi, tapi insyaAllah akan ditulis jugak nanti, kamu tunggu ya Rashid...votayhehehe).
Disebabkan janji tu belum ditunaikan, saya pun publishlah dulu pasal pegar dan batok ni dalam blog.

clip_image010

OK Rashid, janji yang ni sudah saya tunaikan!

Kepada yang membaca, marilah kita mula membetulkan persepsi orang tentang kesilapan-kesilapan terjemahan tulisan Jawi ke rumi. Disebabkan satu huruf je, maksudnya lari terus. Ramai orang yang tak tahu sebelum ni, (mungkin) termasuk cikgu-cikgu Bahasa Melayu.

So kita dah tahu ni, jom sama-sama sebarkan! Jangan biarkan kesilapan ni menghantui anak cucu kita! (ini adalah SERIUS!)


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Sedikit penambahan dari saya berkenaan simpulan bahasa 'MATA KERANJANG'.

Umum beranggapan keranjang di sini bermaksud bakul.


bakul atau keranjang

Disebabkan itulah bola keranjang dinamakan dengan basketball dalam bahasa Inggeris.

Habis diteliti apa pula kaitannya antara keranjang dan orang yang gatal atau miang.

Rupa-rupanya ada kesalah fahaman dalam tulisan jawi yang dirumikan.

KERANJANG dan KE RANJANG adalah dua benda yang berbeza.

RANJANG adalah katil, sinonim dengan adegan suami isteri, 'taboo' diperkatakan dalam adat Melayu.

Mata KE RANJANG lebih menepati dari segi istilah bahasa Melayu.


katil atau ranjang

Semoga petiakn artikel ini bermanfaat...