Jumaat, 31 Disember 2010

Malam Tahun Baru ; Pintu Bahgia, Pintu Celaka



2010 sudah bertemu dengan detik-detik akhirnya..

2011 sekejap lagi hampir menjelma..

Dan bumi terus berputar,masa terus bergerak..

Umur bertambah, nafas kian pendek..


Kerna Apa?

Kerana apa kami dibunuh?

Apa salah kami, di mana letak dosa kami?

Bayi-bayi itu menyoal lelaki dan perempuan yang berkontribusi sperma dan ovum dalam menciptakan mereka..

Lelaki dan perempuan itu digiring ke neraka. Pandangan mata mereka tertunduk layu..

Teringat kejadian di dunia sana, sewaktu usia mereka masih muda dini..

Malam tahun baru, mereka tidak ingat dunia..

Berpeleseran ke sana sini, berfoya-foya seakan-akan dunia itu syurga.Nafsu didaulatkan tinggi membukit..

Dan sedar tidak sedar, perut si perempuan mula membusung..

Disangka sakit, masuk angin atau bagaimana, rupanya tiba-tiba terhambur ucapan tahniah datang dari doktor.

"Tahniah ye puan..Usia kehamilan anda sudah masuk 2 bulan!"

Kaget..

Tahniah yang berupa celaka. 'Hadiah bom jangka' pada malam tahun baru..

September 2011, detiknya mahu 'meletup'.

Lahir sang mungil, tiada berbapa..Sang ibu tiada belas, melempar ke dalam tong sampah.Lantas, daging yang kemerahan dan rentan itu, dimamah kawanan anjing...

Aah..Detik itu rupanya..

Sang perempuan tidak mampu berbalas hujah. Rakaman video kejadian, gurisan pena Atid, secebis tidak mampu dikata tidak..

Lautan api itu kini di depan mata..

Hari yang tiada lagi penyesalan..


Muhasabah Diri..

Babak di atas hanyalah rekaan imaginasi.

Tahun 2010 sudah menyaksikan kebanjiran kes buang bayi..

Sebabnya kenapa?

Malam tahun baru 2010 dan Hari Valentine..

Dan detik itu kembali lagi.Masa subur menyemai benih gamaknya..

Kepada saya dan kita, bergembira itu tidak mengapa. Asal tahu batas dan susila..

Asal tahu boleh dan tidak..

Asal tahu haram dan halal, dosa dan pahala..

Asal tahu paket syurga dan pakej neraka..

Bahasa seorang tetamu, jangan pandai-pandai ke dapur makan dan minum,jangan biadap terus ke kamar utama, langsung tidur di atas tilam empuk..

Begitu juga resmi manusia..Kita bertamu di 'rumah Tuhan'..

Andai tidak mahu dikata biadap dan engkar, ikutlah tatakrama acuan milikNya..

Nescaya aman dunia, bahagia akhirat..

Selamat Tahun Baru 2011

Jumaat, 24 Disember 2010

Medan Dhuha 24/12/2010 ; Langsung dari Kota Bharu..



Hari ini hari liburan di Indonesia,bersempena Natal yang berkunjung besok hari.Dan kesempatan pagi hari ini, saya pergunakan dengan berteleku di hadapan komputer riba Asus F3F-series.

Bukan sekadar mencari khabar seantero dunia,melayari dunia Facebook dan sebagainya, tetapi kali ini,pujian kepadaNya,dapat bertatap muka dengan orang yang saya kagumi peribadi dan sahsiah, Tok Guru Nik Aziz,empunya jolokan.

Perantara hanyalah dunia maya. Kerna fizikal saya tetap di Bandung, dan majlis naungan malaikat itu nun jauh di bumi Cik Siti Wan Kembang, di tengah-tengah bandar Kota Bharu...


Medan Ilmu 24/12/2010

Tilawah perbahasan pada hari ini adalah berkenaan Surah Muhammad, 47 :32-38.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ وَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَشَآقُّواْ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْهُدَى لَن يَضُرُّواْ اللَّهَ شَيْئاً وَسَيُحْبِطُ أَعْمَـلَهُمْ - يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَلاَ تُبْطِلُواْ أَعْمَـلَكُمْ - إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ وَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ مَاتُواْ وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ - فَلاَ تَهِنُواْ وَتَدْعُواْ إِلَى السَّلْمِ وَأَنتُمُ الاٌّعْلَوْنَ وَاللَّهُ مَعَكُمْ وَلَن يَتِرَكُمْ
أَعْمَـلَكُمْ
إِنَّمَا الْحَيَوةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَإِن تُؤْمِنُواْ وَتَتَّقُواْ يُؤْتِكُمْ أُجُورَكُمْ وَلاَ يَسْـَلْكُمْ أَمْوَلَكُمْ - ؤإِن يَسْـَلْكُمُوهَا فَيُحْفِكُمْ تَبْخَلُواْ وَيُخْرِجْ أَضْغَـنَكُمْ - هَآ أَنتُمْ هَـؤُلاَءِ تُدْعَوْنَ لِتُنفِقُواْ فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبْخَلُ وَمَن يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَن نَّفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِىُّ وَأَنتُمُ الْفُقَرَآءُ وَإِن تَتَوَلَّوْاْ يَسْتَبْدِلْ قَوْماً غَيْرَكُمْ ثُمَّ لاَ يَكُونُواْ أَمْثَـلَكُم
32. Verily, those who disbelieve, and hinder from the path of Allah, and oppose the Messenger, after the guidance has been clearly shown to them, they will not harm Allah in the least, but He will make their deeds fruitless

33. O you who believe! Obey Allah, and obey the Messenger and invalidate not your deeds.

34. Verily, those who disbelieved and obstructed others from the path of Allah and then died as disbelievers -- never will Allah not forgive them.

35. So do not lose heart and beg for peace while you are superior. Allah is with you and He will never deprive you of (the reward of) your deeds.

36. This worldly life is only amusement and diversion. And if you believe and have Taqwa of Allah, He will grant you your rewards, and will not ask from you (to sacrifice all of) your possessions.

37. If He would demand of you all of it and urge you, you would withhold. And He will expose your (secret) ill--wills.

38. Here you are now invited to spend in Allah's cause; but among you are those who withhold (stingily). And whoever acts stingily is but stingy toward himself. For Allah is indeed free of needs, while you are the needy. And if you turn away, He will replace you with other people; then they will not be like you.


Ambo tok lebai pun suko ore pue comey!

Kata-kata ini menarik hati saya.Ini suatu fakta bahawa seorang lelaki pasti akan menyukai perempuan yang jelita.Saya pun tidak ketinggalan..Namun jangan disalah sangka, apabila sudah suka, mata akan terus melihat,dan hati akan terus mengingati.Itu bahana hasutan syaitan..

Analoginya santai tetapi cukup menarik..

"Bayangkan kita dapat duit banyak.Kita tidak akan genggam dalam tangan semata-mata. Kita pun tidak akan simpan dalam poket yang biasa-biasa, yang bocor apatah lagi..

Normalnya kita akan masukkan dalam sampul, letak dalam beg,zip ketat-ketat.Itu resmi barang berharga.Begitu juga aurat manusia..Ini barang berharga.Namun manusia salah tingkah dalam menjaga aurat..Bayangkan manusia apabila menjaga wang, sangat berhati-hati gamaknya..."


Penggunaan Bahasa Muhammad..

"Orang Melayu biasa memanggil Muhammad dengan panggilan Mat, orang Cina pula memanggil Muhammad dengan panggilan Ma..Sebab itu ada nama Yusuf Ma,Ibrahim Ma..

Tapi orang Melayu kita kurang sensitif dengan penggunaan kata MAT. Mat dimaksudkan dengan Muhammad. Namun sering digandingkan dengan Mat Rempit,Mat Gian dan sebagainya..

Sepatutnya Syaitan Rempit, tidakpun Iblis Rempit..

Dan berkaitan dengan Ekspo Cheng Ho yang diadakan di Kelantan tempoh hari, saya( Tok Guru) ada mencadangkan agar ada nama jalan dinamakan dengan nama Jalan Haji Cheng Ho.Kalau Cheng Ho semata, orang Melayu tak tahu yang Cheng Ho ini Islam ke tidak..."


Ini membuatkan saya teringat tentang cerita Muhammad di negeri Badiuzzaman Said An Nursi.Orang Turki menggunakan Mehmet menggantikan Muhammad.

Ada orang mengatakan disebabkan hasil sekularisasi melampau pasca Mustafa Kamal sang perosak, orang Turki sudah sampai ke tahap tidak pandai melantunkan kata Muhammad,lantas bertransformasi kepada Mehmet..

Namun cerita sebenar adalah berpunca dari kesensitifan mereka dalam penggunaan kata Muhammad.Tidak mahu mereka melihat ada anak bernama Muhammad yang mencuri, merompak dan pelbagai adegan maksiat lagi..

Muhammad perompak.

Muhammad perasuah..

Mereka tidak mahu nama Muhammad Rasulullah tercemar dek 'Muhammad' Turki.

Namun Mat di arena Melayu sudah menjadi biasa,tiada kesensitifan di sini..Teringat juga sewaktu Ramadan kelmarin istilah Bazaar Ramadan, yang ditegur Tok Guru akan penggunaannya. Seakan-akan Ramadan sudah menjadi bulan berpesta makan.Hampir terlupakan akan kelebihan dan fadilat sebenar Ramadan..Dan di sinilah munculnya Qoryah (Kampung) Ramadan di dalam bandar Kota Bharu.


Kesimpulan..

Apa yang sangat spesifik yang selalu ada dalam kuliyyah Tok Guru adalah percakapan berkenaan dosa dan pahala, syurga dan neraka...Inilah isi-isi utama gubahan beliau dalam setiap bait bicaranya.

Semoga dengan izinNya,saya masih diberi peluang untuk mengecas kembali iman yang pudar dengan mendengarkan buah bicara Dato Bentara Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat..

Semoga Tok Guru Nik Aziz terus diberi kesihatan oleh Robbi Sang Penguasa Alam..




Rabu, 22 Disember 2010

Dari Kekandamu : Sanah Helwa Akhi Ukhti...

Fakhri 'Eriey'

Bulan 12 ini banyak peristiwa yang bermakna, bermakna di benak akal, berbekas di nurani jiwa.

Walaupun jauh dari laman bonda,tarikh yang bermakna pasti dekat di hati..


20/12..

Pada detik ini, tahun 1987, adik saya Mohd Fakhri dilahirkan ke alam ini.Insan yang dari kecil saya gelarkan sebagai 'Eriey'..Nama yang 'keren banget'.

Dialah tempat saya jadikan sasaran bermain,bergusti,makan dan tidur..

Kata mama..Kaki sayalah yang memijak jarinya yang cedera dek terkena seterika panas.Sering diulangi cerita sama, setiap kali kami sekeluarga berkumpul.

Apa yang diingati, baju kami sentiasa sama.Baju Melayu,t shirt raya pasti sedondon..Kalau berbeza, pasti ada yang merengek tidak puas hati..

Dan dia ternyata lebih sadis dari saya.Kegemaran waktu dini baginya adalah BINATANG.Jadi tidak menghairankan apabila ayam, tikus,cicak, lembu sentiasa dikejarnya..Apa yang paling diingati adalah peristiwa kami bekerjasama 'mengebom' seekor katak dengan mercun ketupat.Dalam bulan Ramadan,dan semestinya ketika berpuasa..

Resmi anak-anak kecil..Alahai..

Namun sekarang, profesinya sudah menyimpang jauh.Dari binatang, objek kesukaan sudah berubah kepada gigi manusia.Eriey bergelumang di Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia..

Hanya setahun lebih lagi sebelum berpangkat doktor..


26/12..

Ini ceritera seorang lagi.Anak perempuan sulung pasangan Cikgu Kamaruzaman dan Cikgu Maimon, anak ketiga kurniaan Ilahi..

26/12/1989 tarikhnya..

Nur Farhana empunya gerangan.Cahaya kegembiraan erti namanya..

Kesukaan dirinya adalah mengira,membilang dan apa-apa berkaitan nombor dan angka.Novel,buku cerita,jauh panggang dari api,bakal disentuhnya..

"Maaf,Long berbeza denganmu,cik Ana!"

Kami berbeza 360 darjah.

Saya sering mengusik.

Saya sering membuat marah.

Saya selalu menyindir sinis.

Itu abangmu suatu ketika dahulu.Sekarang sudah banyak berubah gamaknya..

Saya sudah lebih rajin, tidak tinggal solat, dan tidak memilih makan..

Cik Ana,3 tahun lamanya bergelumang di belantara Jengka, bernaung di Uitm Jengka.Pengkhususannya adalah Diploma Sains.

Sekarang cita-citanya, disambung di Uitm Shah Alam..

Jiwa pendidik Mama dan Abah,mengalir di dalam urat darahnya.

Seorang bakal pendidik,bakal guru anak bangsa..


Farhana 'Ana'(baju hijau), Faizah 'Ijah' (baju ungu), Faiz (berkopiah)

Sanah Helwa Akhi Ukhti..

Walaupun masih jua kita jauh tanpa tatapan mata,namun di hati, kita tetap menyatu..

Teruskan berjuang mengejar cita-citamu.

Ayuh metamorfosiskan diri sebagai pejuang agama, pendaulat bangsa, pencinta negara.Jangan sesekali lalai dan leka..

Hanya sekadar luahan rasa, untaian kata dari kekandamu jauh..

Barakallahulakuma..

Sanah Helwa Akhi Ukhti :-)


Isnin, 20 Disember 2010

Paediatrik ; Antara Dua Tangisan...

Sebuah Mukaddimah Hidup..

Si ibu meraung kesakitan. Si suami bersebelahan mengusap lembut, sedaya cuba meredakan gejolak sakit meneran yang bertambah.

Perut yang memboyot itu seakan-akan mahu meletup.

Saya hanya memerhati.

Datang ke ruang Obstetric and Gynaecology (Obgyn) hanyalah sebagai tetamu, pembantu kepada doktor-doktor senior di Paediatrics (bahagian Anak).Proses menyambut dan menguruskan bayi yang baru dilahirkan dipertanggungjawabkan kepada kami.

Detik demi detik, dari minit berganti jam, pembukaan lubang vagina terasa sangat lama. Raung sang ibu,sekali sekala menyentap perasaan. Hanya sejenak cuma sebelum lahir seorang makhluk Tuhan yang baru di atas muka bumi ini.

Doktor dan jururawat bersiap siaga. Tahap terakhir proses persalinan hampir tiba..

Si ibu meneran..

"Kuat lagi ibu, kuat !" kata-kata penguat dilontarkan doktor.

Aaarghh..Aaargh..

Suara ibu itu berjuang meneran bermaharaja di ruangan.Memang sebuah mujahadah besar untuk melahirkan seorang insan.

Pembukaan vagina terpaksa dipotong sedikit untuk memberi lebih ruang bagi kepala sang anak untuk keluar.Prosedur yang dikenali sebagai 'episiotomy'. Darah memercik..

Namun sakit meneran itu jauh lebih dirasai sang ibu. Luka 'episiotomy' tidak seberapa dibandingkan..

"Sedikit lagi..Kuat bu.." kata sang doktor.

Kepala mula muncul, perlahan-lahan.

Muncul terus ditarik oleh tangan sang doktor.Keluar sekujur tubuh berlumuran darah dan cairan ketuban. Tali pusat penghubung ibu dan anak di alam kandungan , dipotong.

Anak itu dibersihkan kami. Cairan darah,ketuban semua dilap bersih. Kehangatan diberikan..

Lantas, sang bayi diberikan kepada ibu yang masih kesakitan. Perih sakit itu hilang tiba-tiba..

Tawa dan suka ceria menggantikan pedih sakit.Si anak mula menyusu..

Dan datang sang ayah, mendekati isteri dan anak kurniaan Ilahi.Ke telinga kanan, dia mendekatkan diri.

Dialunkan perlahan-perlahan..

Allahuakbar..Allahuakbar..

Allahuakbar..Allahuakbar..

Sambil saya, memangku sang bayi, azan dan iqamah itu dikumandangkan.

Bacaan sang ayah tersekat-sekat.Bukan kerana lupa, akan tetapi dek kerana terharu sebak menahan gembira sukacita atas rezeki.


Perjuangan seorang ibu melahirkan seorang zuriat, memperjudikan nyawa sebagai barang taruhan.Sebuah perjuangan yang mulia..

Dan pada waktu itu, saya teringat mama.Oh betapa mulia dirinya..Sesakit ini,sesusah begini dia berjuang untuk kelahiranku..

Saya juga menumpang sekaki.Empati syukur mengundang tangis..Semoga menjadi manusia berjaya dunia akhirat wahai sang bayi..


Sebuah Pengakhiran..

Usianya baru 2 minggu.Namun bayi itu sudah mengungsi inkubator.Nafasnya turun naik kencang..Otot-otot pernafasan berusaha keras untuk menampung kemasukan oksigen ke dalam peparu sang bayi mungil..

Nafasnya nafas buatan, ditolong mesin sebagai penyambung talian hayat.

Sepanjang beberapa hari, keadaan sang mungil memang harus sentiasa waspada dek saya dan kawan.

Denyut nadi, tekanan darah, suhu, frekuensi nafas dijaga per detik demi detik. Sebarang kelainan abnormal memerlukan tindakan cepat dan tepat.

Dan pada pagi hari itu, saya menjengukkan kaki di wad Perinatalogy, wad khas untuk bayi-bayi yang baru dilahirkan..Yang normal, hanya seketika bertamu di laman. Namun, bagi yang beraral sakit,sesak dan sebagainya, pulang ke laman ayahbonda harus ditunggu..

Sang bayi tiada di ruang biasa buat dirinya.

Dari kejauhan, dua orang doktor sedang melakukan bantuan pernafasan. Otot-otot pernafasannya tidak lagi mampu untuk bernafas secara spontan..Oksigen dipam masuk dan dadanya diberi stimulasi dari bahagian luar.

"Doc, bagi saya bantu!" saya menghulurkan pertolongan kepada doktor berdua itu.Mereka kelelahan setelah sekian lama.

Detak jantung antara ada dan tidak.

"Doc., jantungnya berhenti!" kata saya.

Ubat epineprine, sejenis stimulasi pernafasan jantung diberikan kepada bayi.

Bunyi jantung kembali, dalam keadaan sangat lemah.

" Anak ini harus pulang paksa.Orang tuanya tiada wang untuk melanjutkan biaya ke tempat lain, dan mereka juga sudah bersetuju dengan segala kemungkinan.."

Saya hanya mendengar dan menggangguk.Hakikat itu dimengertikan, namun bukan saatnya sekarang.Bantuan masih diberikan, hati tidak merelakan.

Perlahan-lahan, segala peralatan dan bantuan pernafasan diberhentikan.Bayi itu diserahkan kepada orang tuanya.

"Ibu,bapa, kemungkinan itu semuanya sudah jelas. Hayatnya sebentar saja lagi!" kata jururawat bertugas kepada keluarga sang bayi.

Saya hanya mendengar. Sambil melihat, tangan mungil itu sudah terkulai. Jemari kaki dan tangan sudah mengdingin.

Bayi itu hanya mampu bernafas dengan bantuan nafas buatan. Jika dihentikan, akibatnya jelas.Dan saya sangat mafhum dengan keadaan bayi di pangkuaan ayah bondanya..Mata ini hanya mampu melirih sayu, hati hanya bertatap muram.

Selamat tinggal wahai sang bayi.Ternyata kamu pergi dengan tiada dosa secubitpun..Berbahagialah kamu di SyurgaNya sana. Insyaallah ku kan datang bertemu denganmu nanti...

Innalillahi wainna ilaihi rojiun...


Antara Dua Tangisan..

Ya..

Inilah lumrah hidup. Yang pergi takkan kembali, yang patah tiada galang ganti.

Hidupkan hati, berkongsi empati..

Janganlah hanya kerana sering melihat sebuah perjuangan menghidupkan seorang makhluk, hati sudah hilang perasaan ria.

Usahlah kerana dek terbiasa melihat nyawa dicabut Izrail, hati sudah berani melawan sebuah kematian.Bukan sekadar orang lain , kita juga akan mati...

Orang yang mengingat mati itu punya TIGA kriteria.

Satu, cepat bertaubat.Kedua, banyak ibadah.Ketiga, syukur dengan apa yang ada..

Dan ingatlah kata pujangga HAMKA..

" Sewaktu kita lahir, kita menangis meraung sendiri.Namun, ternyata semua manusia sekeliling bersujud syukur tanda gembira. Usahakan ketika kita mati nanti, semua manusia pula menangis duka kesedihan"



Rabu, 15 Disember 2010

Muharam ; Antara Realiti dan Fantasi..


Perhatian : Artikel ini ditulis kira-kira 2 tahun lepas.Gaya penulisan yang bersifat fakta, dan sudah lama tidak menghala ke arah ini..Semoga dengan kedatangan Muharam,dan Tahun Baru Hijrah, kita mampu menaikkan semangat untuk terus berjuang demi agama,bangsa dan negara.Semoga artikel ini memberi manfaat :-)


Saban tahun, kedatangan Muharam dimeriahkan dengan pelbagai jenis sambutan..Paling signifikan di kaca mata sesetengah kita,mungkin dengan berarak sambil berselawat dengan semangatnya,sambil melaungkan pelbagai slogan yang silih berganti setiap tahun..

Dan trend terkini,muncul pula gelaran Tokoh Maal Hijrah,anugerah kepada sesetengah tokoh masyarakat yang dianggap berjasa kepada agama.

Begitulah manusia..

Mudah terjebak dengan kancah yang melebihkan perkara-perkara enteng dan remeh,akan tetapi persoalan yang lebih penting, dibutatulikan oleh mereka.Ada yang sekadar mengikut majoriti manusia menyambut kedatangan Muharam atas dasar ikutan dan adat semata-mata tanpa mengendahkan atas dasar apakah dia berbuat demikian.

Persoalan asas...

Banyak yang menganggap 1 Muharam merupakan tarikh di mana Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah.Padahal mengikut sejarah Rasulullah keluar dari rumah menuju rumah Abu Bakar pada malam 27 Safar tahun 14 dari nubuwwah.Muharam hanyalah merupakan bulan pertama daripada 12 bulan Hijrah,yang disusun oleh Umar Al-Khattab.Bukanlah mengatakan orang yang tidak mengetahui hakikat ini berdosa,tetapi ini sedikit sebanyak mempertontonkan ketidakcaknaan sejarah segelintir kita.

Tidak lengkap memperkatakan Muharam jika tidak diselitkan dengan istilah Ashura’.Ashura’ atau 10 Muharam terkenal dengan puasa sunnah pada hari ini.Juga masyhur dan menjadi satu kemestian di kalangan kita ialah juadah bubur Ashura’.

Setiap tempat dengan resepi masing-masing.Banyak berpandangan resepi asal bubur Ashura’ dimiliki oleh Nuh a.s. Dikhabarkan tatkala pelayaran bahtera Nuh, simpanan makanan untuk penghuni bahtera itu berkurangan.Lantas,makanan yang ada dicampur-campur dan muncullah idea kreatif Nuh a.s , sejenis makanan yang kita sebut-sebut sebagai bubur Ashura’.

Orang kita mensinonimkan Nuh a.s. dengan bubur Ashura’. Juga bila disebut nama nabi Allah ini,banyak yang akan takjub dengan peristiwa lambakan najis di atas bahteranya,yang ditakdirkan Allah berkuasa menyembuhkan.Si buta celik kembali,yang berpenyakit kulit kembali kepada keadaan asal.Kaum Nuh dengan rela hatinya menjilat balik ludah mereka sendiri..”Lihat,hebat benar mukjizat Nuh a.s. ini”, kata insan-insan yang kekaguman dengan keajaiban Nuh a.s.

Hebat lagi musuh Islam!!

Umat Islam diheret pandangannya kepada perkara sebegini tanpa melihat intipati utama dakwah Nuh a.s. Lebih-lebih lagi,kisah-kisah di atas tiada dasarnya di dalam Al-Quran, Sunnah mahupun kitab-kitab sirah muktabar.Al-Quran menceritakan kisah Nuh,khas di dalam surah yang dinamakan dengan nama Nuh a.s sendiri.950 tahun usia perjuangannya.

Hanya sekelumit insan menyahut seruannya.80 orang,hasil perjuangannya siang dan malam.Menambah beban dakwahnya lagi, isteri dan anaknya sendiri bukan menjadi pendukung dakwahnya,tetapi lebih teruk, menjadi dalang penghancur semangatnya. Mereka ingkar dengan seruan penuh kasih-sayang seorang suami,seorang ayah yang penuh pengharapan pada keluarganya. Ayat 7 dari surah Nuh memaparkan tahap keingkaran melampau kaum Nuh a.s. Mungkin kita ada membenci seseorang individu, kita mungkin masih lagi mampu berpura-pura mendengar. Nuh a.s ternyata berbeza.Setiap kali Nuh melontarkan seruan mentauhidkan Allah,mereka menutup telinga mereka dengan jari-jari dan meletakkan wajah mereka ke dalam baju masing-masing.

Kekaguman manusia sepatutnya diarahkan kepada kehebatan sabarnya Nuh a.s. dalam berdakwah kepada kaumnya,bukan ditumpukan kepada bubur Ashura’ dan kisah lambakan najis di dalam bahtera..

Selain itu,turut popular di kalangan masyarakat kita bahawa tanggal 10 Muharam,penuh dengan fadilatnya yang tersendiri.Usap,kepala anak yatim,baca Al-Fatihah 1000 kali,ziarah orang sakit,mandi Ashura’ dan sebagainya.Yang pasti tiada satupun dalil dan nas yang sahih menyatakan fadilat 10 Muharam.Hanya Allah, si pemberi pahala.Kemahuannya ditunjukkan oleh Al-Quran sambil dibantu petunjuk Rasululah.Tiada insan yang berkuasa mendabik dada bahawa amalan sekian sekian mempunyai pahala tertentu kecuali ianya disuluhi dari 2 sumber yang agung ini.Segala amalan soleh tersebut wajar dilakukan sepanjang masa,tanpa terikat dengan tarikh dan tempat tertentu.

Sebaliknya, golongan Syiah menjadikan Muharam ini sebagai Hari Kesedihan.Mereka mengingati hari di mana Hussain,cucunda Rasul dibunuh di Karbala pada tahun 61H. Mereka mencucuk diri mereka dengan besi,rantai dan sebagainya sehingga berdarah-darah.Sama kayaknya dengan kavadi Hindu.Mereka mendakwa ini sebagai bukti kecintaan mereka kepada Hussain dan keluarga Rasulullah yang lain.Padahal tidak pernah dicontohkan Rasulullah dan para sahabat melampaui batas dalam berkabung terhadap kematian seseorang yang disayangi.

Fikirkanlah..Betapa sedihnya Rasulullah apabila Hamzah syahid,apabila Khadijah pendampingnya yang setia meninggal dunia.Sebagai manusia, Rasulullah juga fitrahnya pasti bersedih.Kalaulah berkabung ala Syiah itu,tanda kecintaan dan mendapat ganjaran pahala,pasti Rasulullah dan sahabat-sahabat lebih jauh mendahului kita dalam bab ini.Satu kontra yang cukup jelas dengan golongan Syiah..

Muharam ini merupakan Muharam yang kali ke 1429 dalam sejarah.Biarlah Muharam-Muharam yang telah lepas dibiarkan berlalu..Mungkin sebelum ini kita ‘mabuk’ dibuai sogokan sejarah dan cerita-cerita yang tidak jelas kebenarannya.

Moga-moga Muharam ini menjadi titik perubahan dalam hidup kita dalam memahami Islam yang asli,murni tanpa terus dinodai anasir-anasir luar yang cuba merosakkan keaslian agama ini.Semoga picu kebenaran terus mekar menerobos pemikiran umat yang diracuni kefahamannya.Ameen....

Ahad, 12 Disember 2010

Sanah Helwa Ya HAMAS..


14 Disember 1987, detik itu rasmi dimulakan..

23 tahun sudah hidupnya.

Nafasnya masih gagah, menghidupi nadi pembuluh darah Al-Quds..

Harakatul Muqawamatul Islamiyah atau nama pendeknya HAMAS.

Pemimpinnya silih berganti, dari hidup menjadi syahid mati..

Dari perwira hidup bertukar syahid panglima.

Syeikh Ahmad Yassin, Rantisi sudah mendahului, menunggu kita di sana..



Palestin Tertindas (Sedutan Perang Gaza,2009)



Sultan Abdul Hamid,Idolaku..

Tidak sempurna ceritera ini tanpa nama Sultan Abdul Hamid 2, sultan terakhir khalifah Usmanian Turki,sebelum sultan-sultan boneka diperalatkan di atas takhta..

Di bawah sedikit lakonan semula kisah kehebatan bicara dan akidah seorang pemimpin dunia Islam..


Dan HAMAS, istiqamah meneruskan mata rantai perjuangan ini.Jalannya jauh, hujungnya belum tiba.Namun janji Ilahi, hujungnya memang ada..

Bukan sahaja HAMAS, juga kita.Kerna HAMAS,kita,dan sesiapa yang bertelunjukkan syahadah adalah PERAJURIT ALLAH..

Allhuakbar..

Sabtu, 11 Disember 2010

Pahlawan Politik, Perwira Ferrari



Ferrari Merah, bersimbolkan kuda hitam nan gagah, meluncur laju di trek.Sungguh menawan..Namun, tidak sampai beberapa detik, jentera secanggih itu terbalik, meletup beberapa kali di udara.Para penonton melongo, terkesima.

Itu Ferrari Merah..

Schumacher,Irvine,Massa,Raikkonen,Barichello antara yang pernah menjadi pemandu bagi ciptaan gah ini.Seperti kilat di garisan lurus, suatu ketika meluncur mencapai 300 kilometer per jam..

Para penonton masih kaget.Hanya kerlipan mata dan detak jantung menandakan bahawa mereka masih bernafas.Oksigen masih menjalar dalam darah daging mereka.Cuma posisi patung mati itu terus melekat.

Entah pemandu 'angkot' mana yang tiba-tiba diberi kesempatan mengendarai.Dari Bandung bumi si Sule, atau dari Jogjakarta,laman Merapi.Masakan hadirin dapat menebak benar.

Lantas, muncul di benak fikir yang hadir.

"Oh rupanya Ferrari Merah ini berbahaya.Tidak elok..Tak laju pun sebenarnya.Hurm.."

Lama-kelamaan, idea kehebatan Ferrari Merah dari bumi Itali, terhapus dari akal fikir manusia.


Nasib Si Politik..

Suatu ketika..

Berborak santai dengan beberapa orang pimpinan baru pelajar di Bandung, dan mereka adalah insan bernama perempuan.

"Politik itu kotor!"

Ayat biasa didengari.

"Hendak naik dalam politik,perlu membodek, ikut arahan orang atas.."

Tidak salah.Ada benarnya juga..

"Orang perempuan tidak minat politik!"

Yang ini juga, kepala hanya mengangguk setuju. Perempuan lebih suka kepada kecantikan,cerita Korea dan Jepun dan mungkin juga Irfan Bachdim.Hurm...

"Apa rencana 1Malaysia?"tanya seorang sejawat.

Diam membatu.

Belum lagi ditanya soalan-soalan tahap tinggi,soalan mudah pun belum tentu dapat dijawab.

"Siapa nama Menteri Pengajian Tinggi,Menteri Dalam Negeri?"

"Siapa nama Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat?"

Masih mujur jika jawapan yang diterima Ibrahim Ali, orang yang 'perkasa'.Walaupun salah, 'Datuk Paduka' ini masih lagi seorang ahli Parlimen.Malang nian jika soalan yang ditanya,dijawab dengan soalan..

" Dewan Rakyat itu apa?"

Untung bukan itu jawapan yang keluar..


Politik= Ferrari Merah

Jangan katakan politik kotor, kerana politik itu hanyalah alat.Dan alat itu bersifat neutral.Bergantung pada tangan si pengendali mahukan negatif,ataupun positif.

Ferrari adalah jentera hebat pada tangan Schumi, namun ia ibarat kereta lembu pada tangan seorang pakcik 'angkot'..

Salahkah Ferrari?

Salah itu pada sang pakcik..Kualifikasi dia belum memadai untuk mengemudi. Bukan sekadar jentera Ferrari yang rosak, malahan imej Ferrari merudum di mata khalayak.

Kesian..Kesian..

Begitu juga politik...

Politik itu kenderaan Rasulullah..

Hijrah Mekah ke Madinah itu strategi politik.

Menewaskan sistem riba Yahudi di Yathrib itu juga agenda politik.

Menghantar Musaab Bin Umair ke Yathrib, sebagai duta kecil juga sebagai perangkat politik.Setiap pintu di Yathrib, berpuluh ribu jumlahnya, habis diketuk oleh sang duta..

Datang Rasulullah, pasca hijrah, disambut puji dan syukur. Tanpa pilihanraya, Rasulullah diangkat sebagai pemimpin negara Islam Madinah...

Hebat strategi itu!


Aku Pedulisme..

"kamu datang mesyuarat agung kan?" tanya saya.

"Datang mengundi,mencari pemimpin baru kan?"lagi hujan pertanyaan.

Angguk dan angguk.

"Nak cari yang baru, kena lah tahu calon itu siapa, bagaimana orangnya, bagus ke tidak.Betul?"peluru masih belum tuntas.

Tiada gelengan.Hanya anggukan tanda setuju.

"Dan akhirnya seorang pemimpin baru dilahirkan.Kamu setuju, itu suara demokrasi.Kamu datang, hadir, tanda kamu peduli siapa yang akan memperjuangkan nasib kamu!"

"Hanya orang yang memikirkan tembolok sendiri sahaja yang masih tidur, bergoyang kaki di rumah!"

"Kerana kita orang yang peduli, makhuk sosial!"

"Kerana kita Melayu, yang semangat sosial, pemilik semangat gotong royong dan kepedulian sesama yang tinggi.Kerana kita Muslim, yang menjaga hubungan sesama kita!"

Dan begitu juga senario yang sama dalam politik negara tercinta sekarang.


Umur 21 tahun..

Umur ini sudah dikira bijaksana.Sudah boleh berfikir mana yang baik,mana yang jelek.

Sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, menjalankan pilihanraya umum sekitar 4,5 tahun sekali.Bermula pada 1955, sehinggalah pada kali ke 12, pada 8 Mac 2008.Dan khabar angin semakin memuncak, mengatakan bahawa pilihanraya sudah semakin dekat.Hanya menunggu masa Dato' Seri Najib mengatakan bila dan ketika.

Tanda kita peduli, kita hendaklah turun mengundi.

Hendak mengundi, kenalah mendaftar sebagai pemilih terlebih dahulu.

Masuk sahaja angka 21 tahun, terus mendaftar.

Sediakan salinan kad pengenalan, pergi ke pejabat pos, isi borang berkenaan, dan selesai.Anda sudah menjadi seorang pemilih, siap segar untuk mengundi bila-bila masa.

Syarat pertama AKU PEDULISME POLITIK sudah selesai.

Syarat kedua pula..Tika memilih calon manakah yang sesuai.Ini bukan proses memilih ikan di pasar,semudah itu. Memilih calon harus ditilik latar peribadi, agenda politik dan rekod perkhidmatannya.

Kaki lompat tolak.

Toyol korupsi tidak sesekali.

Pelakon adegan lucah di video, jauh panggang dari api.

Pencadang hub hiburan, lempar ke api.

Penguras harta marhaen rakyat, bakulsampahkan.

Bahkan perokok tegar,pencandu arak, tiada dalam senarai.

Orang Kelantan kata,

"Pakoh dacing ko bule?"

Pada saya, sama ada calon itu dari jenis yang 'mengangkasakan Melayu menjunjung keris', mahupun jenis bersimbolkan 'bulan purnama ', mahupun roket sekalipun, kalaulah dia ada ciri-ciri di atas, secara automatik, TERTOLAK.

Tolak ketepi agenda manifesto yang ingin dibawa seandainya diri sendiri pun lingkup akhlak, murah maruah menjual badan.

Titik...


Kerna Kita Muslim,Sebab Kita Melayu



Ayuh, mulakan langkah.

Kita makhluk sosial, bukan makhluk individu.

Usah difikir tembolok sendiri.Lapar mahu diisi, kenyang membuntal di kamar.Itu ibarat haiwani darjatnya.

Bukan disuruh menjadi Mahathir Mohammad,Nik Aziz Nik Mat, mahupun sesiapa. Apa yang diminta hanyalah tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim mencari pemimpin, peranan kita Melayu mencari penghulu.

Pemimpin menunjukkan jalan nikmatan, satu duniawi, dan pastinya juga menjejak jalan ke Syurga..

Dan janganlah terus menuding pada 'Ferrari'. Ayuh tunggangi 'Ferrari', dan buktikan pada dunia bahawa kitalah penunggang 'Ferrari' handalan...




Perhatian :

Sedikit info berkenaan daftar pemilih dari http://www.spr.gov.my/



PENDAFTARAN PEMILIH

1. Latar Belakang

Mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, salah satu fungsi SPR adalah untuk mendaftarkan warganegara yang layak sebagai pemilih supaya mereka dapat menyertai proses memilih wakil untuk menyuarakan pendapat mereka dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Urusan pendaftaran ini telah dilaksanakan oleh SPR semenjak ia ditubuhkan tanpa gagal. Urusan yang dahulunya dilakukan secara bermusim iaitu setahun sekali selama antara 21 hingga 42 hari, kini dibuka setiap hari untuk sepanjang tahun sejak 16 Julai 2002.
2. Kenapa Anda Perlu Mendaftar ?
Adalah menjadi hak setiap warga negara yang layak untuk memilih kerajaan untuk memerintah negara melalui pemilihan wakil rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri. Sebelum anda dibenarkan mengundi wakil rakyat pilihan anda dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, anda perlulah mendaftarkan nama anda sebagai pemilih. Anda tidak boleh mengundi sekiranya nama anda tidak disenaraikan dalam daftar pemilih.
3. Siapa Boleh Mendaftar ?
Syarat-syarat kelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih adalah seperti yang berikut:
(a)
seorang warganegara Malaysia;
(b)
telah mencapai umur 21 tahun;
(c)
bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan; dan
(d)
tidak dihalang / hilang kelayakan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.
4. Jenis-Jenis Pendaftaran
SPR menjalankan 2 jenis pendaftaran pemilih iaitu:
(a)
Pendaftaran Baru: SPR menerima permohonan warganegara yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih buat pertama kali.
(b)
Pendaftaran Tukar Alamat dan Pusat Mengundi: SPR juga menerima permohonan pemilih berdaftar yang memohon untuk mendaftarkan alamat tempat tinggalnya yang baru. Ia dikaitkan dengan pertukaran alamat Pusat Mengundi kerana secara lazimnya, sekiranya seorang pemilih berpindah ke tempat baru, maka, Pusat Mengundinya akan ditetapkan mengikut pendaftaran alamat tempat barunya itu.
5. Jenis-Jenis Pemilih?
Mengikut undang-undang pilihan raya, SPR boleh mendaftarkan 2 jenis pemilih iaitu:
(a)
Pemilih Biasa: Pemilih biasa adalah pemilih berdaftar yang perlu hadir untuk mengundi di pusat-pusat mengundi semasa pilihan raya.
(b)
Pengundi Tidak Hadir: Pengundi Tidak Hadir atau PTH adalah golongan pemilih yang dinyatakan dalam Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, iaitu, anggota tentera dan pasangan, anggota perkhidmatan awam yang bertugas di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya serta pelajar sepenuh masa yang menuntut di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya. PTH ini dibenarkan mengundi secara pos.
6. Di Mana Tempat Untuk Mendaftar?
Untuk Pemilih Biasa
Sekiranya anda adalah warganegara yang telah layak tetapi belum mendaftar sebagai pemilih atau seorang pemilih yang ingin mendaftarkan pertukaran alamat pusat mengundi, anda boleh melakukannya di:
(a)
pejabat-pejabat SPR
(b)
pejabat-pejabat pos berkomputer
(c)
wakil-wakil jabatan
(d)
wakil-wakil parti politik (daftar baru sahaja);
(e)
Pasukan Outreach SPR |Tiada aktiviti ketika ini
Bagi warganegara yang tidak layak mendaftar sebagai PTH, tetapi berada di luar Negara, anda masih boleh mendaftar sebagai pemilih biasa melalui pejabat-pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara.
Untuk Pemilih Tidak Hadir
Sekiranya anda adalah tergolong dalam golongan yang layak mendaftar sebagai PTH, ada boleh mendaftar di tempat-tempat seperti yang berikut:
(a)
Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP)bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
(b)
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar Negara bagi pegawai awam luar negara dan pelajar serta pasangan.
7. Bagaimana Cara Untuk Mendaftar?
Untuk Pemilih Biasa
Untuk mendaftar sebagai pemilih biasa, anda perlu:
(a)
datang sendiri ke mana-mana pusat-pusat pendaftaran;
(b)
serahkan kad pengenalan anda kepada petugas SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda;
(c)
semak borang pendaftaran yang telah diisikan oleh petugas SPR dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul dan mengikut sebagaimana dalam kad pengenalan anda sebelum menurunkan tandatangan;
(d)
menurunkan tandatangan anda selepas berpuas hati; dan
(e)
dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran, Rang Daftar Pemilih Tambahan nanti.
Untuk Pengundi Tidak Hadir
Anggota Tentera
Pendaftaran PTH dari kalangan ATM dilaksanakan oleh pegawai-pegawai JRP-ATM. Untuk mendaftar sebagai PTH, anda perlu:
(a)
menghubungi petugas-petugas SPR yang dilantik dari kalangan pegawai JRP;
(b)
serahkan kad pengenalan tentera anda dan MyKAD (untuk pasangan) kepada petugas yang dilantik oleh SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda.
(c)
apabila diserahkan kembali borang yang telah diisikan, semak borang pendaftaran yang telah diisikan dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul, sebelum menurunkan tandatangan;
(d)
turunkan tandatangan anda selepas berpuas hati; dan;
(e)
dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran draf Daftar Pemilih Tambahan.
Nota:
(a)
Pusat Mengundi anggota ATM dan pasangan adalah ditetapkan mengikut alamat tempat bertugas anggota ATM tersebut.
(b)
Hanya anggota ATM dan pasangannya sahaja yang layak untuk mendaftar sebagai PTH. Anggota keluarga yang lain perlu mendaftar sebagai pemilih biasa dan Pusat Mengundi ditetapkan menggunakan alamat kediaman pemohon (sebagaimana dalam kad pengenalan).
Warganegara Malaysia yang Berada di Luar Negara
Pendaftaran PTH dari kalangan penjawat awam atau pelajar di luar Negara serta pasangan mereka dilaksanakan oleh pegawai-pegawai pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara. Untuk mendaftar sebagai PTH (luar negara), anda perlu:
(a)
datang sendiri ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara;
(b)
serahkan MyKad anda kepada petugas yang dilantik oleh SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda;
(c)
nyatakan alamat tempat tinggal di luar Negara anda, pekerjaan anda dan nombor siri borang A kepada petugas untuk diisikan dalam sehelai kertas A4 dan dikepilkan dengan borang pendaftaran anda.
(d)
semak borang pendaftaran yang telah diisikan dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul, sebelum menurunkan tandatangan;
(e)
turunkan tandatangan anda setelah berpuas hati; dan
(f)
dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan.