Sabtu, 29 Disember 2012

Buat Yang Mahu dan Baru Menikah..Panduan Mudah Membeli Rumah Pertama Anda



Bagi pasangan yang baru menikah, antara benda pertama yang difikirkan adalah rumah.

Rumah untuk berteduh dari hujan panas, beristirehat dan medan bersama isteri dan keluarga.

Banyak yang akan memikirkan untuk menyewa kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri. Lainlah kalau tinggal bersama orang tua, ataupun orang tua mempunyai banyak rumah sewa unttuk diduduki.

Buku ini sangat menarik perhatian saya.

Bagaimana sang penulis bercerita cara mencapai kebebasan kewangan yang diidamkan semua orang.


Panduan Mudah Membeli Rumah Pertama Anda.

Begitulah judul tercipta.

Berharga RM 39.90 dan boleh dibeli di MPH Bookstore.

Sangat bermanfaat!

frontcover


backcover


kandungan buku


Kredit gambar dari http://kirana24.blogspot.com/2011/07/panduan-membeli-rumah-pertama.html.

Isnin, 24 Disember 2012

Cinta Kerana Allah ; Sebuah Bingkisan Buat Para Pencinta

Sebuah bingkisan buat para pencinta...

Begitulah nukilan pembuka dari penulis buku Cinta Kerana Allah, Ustaz Pahruol Juoi.

Dari buku Tentang Cinta, sehinggalah buku ini, idea Ustaz Pahruol Juoi sentiasa segar dan menjentik rasional ke dalam fikiran.

Betapa cinta kepada Allah itulah ibu segala cinta.

Ulasannya bukan sekadar retorik cinta, namun berpaksikan realiti.Landasan yang cukup utuh untuk para pencinta.

Buku yang cukup baik untuk segala peringkat umur, terutamanya kepada pasangan suami isteri, yang bakal berkahwin, yang sudah berpuluh tahun berkahwin dan sebagainya.

Terima kasih kepada isteri tercinta yang membelikan buku ini untuk dijadikan santapan bersama.

Sangat bermanfaat dalam pelayaran rumah tangga ini.

Sangat diajukan untuk dibeli dan dibaca.

Semoga bermanfaat..



Sedikit video oleh Ustaz Pahruol Juoi




Sabtu, 22 Disember 2012

Wohaa..Big Bad Wolf!


Sungguh nikmat apabila bertemu buku-buku.

Dikelilingi buku, penyalur ilmu kepada minda.



Jualan paling meriah, paling murah pernah saya kunjungi.

2 kali ke sana, baru dapat memuaskan hati dan kaki.Tidak terasa penat melangkah dek mengejar buku.

A must go, really. Thumbs up!


Jumaat, 21 Disember 2012

Promo Qurban I GIVE


Menabung selama setahun untuk berqurban pada tahun depan..

Seeing is believing..Itu suda terbukti pada tahun lepas Alhamdulillah.

5 ekor lembu, 5 ekor kambing berjaya ditumbangkan.



Tahun ini tahun kedua.

Bagi yang berminat untuk bergabung sama, silakan.Anda sangat-sangat dialu-alukan...


Isnin, 17 Disember 2012

Buya Hamka : 1001 Soal-Soal Hidup



Haji Abdul Malik Bin Karim Bin Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA, merupakan seorang ulama terbilang rantau ini.

Tulisannya banyak bermadah puitis, namun orangnya berjiwa tegas, teguh dengan prinsip diri.

Buku 1001 Soal-Soal Hidup merupakan salah satu karya 'evergreen' miliknya.Dari Pustaka Panjimas, Jakarta, sehinggalah dicetak ke bumi Tanah Melayu melalui perantaraan Pustaka Dini.

Di dalam buku ini, Hamka banyak bercerita dan menjawab persoalan hidup,kebanyakan datangnya dari orang-orang muda belia.

Antara isinya,

a) Perselisihan pendapat antara anak lelaki dan ayahnya.

b) Pertentangan antara memilih pasangan hidup pilihan sendiri atau pilihan ibubapa.

c) Isu kebahagiaan dan cerai berai dalam rumah tangga.

d) Pilihan antara calon isteri bisu pilihan orang tua dan pilihan sendiri yang cukup sifat.

e) Menggantikan arwah kakak dengan menikah dengan abang ipar kerana kasihankan anak saudara yang masih kecil

f) Mengahwini pelacur

g) Perkahwinan yang melanggar adat.

h) Disuruh menjadi bidan.

i) Keadaan terbalik antara pelajar sekolah agama dan lulusan Barat.

j) Nasihat kepada pemuda didikan Barat yang mahukan agama.

k) Angan-angan dan fikiran.

l) Isu melihat nasib dan berjumpa tukang tenung.

m) Sahabat dan persahabatan.


Kesimpulannya, Hamka banyak bermain dengan logik akal, emosi dalam membimbing anak -anak muda yang memnita pandangan daripadanya.

Buku ini masih relevan dengan kehidupan hari ini, walaupun karya berharga ini sudah ditulis mulai tahun 1940, lebih 70 tahun yang lalu.



Prof Dr Hamka


"Pengubat jerih manusia adalah dua keutamaan.Pertama, Iman kepada Allah.Kedua, percaya kepada sahabat"

" Bila orang telah merasa dirinya besar, dia lupa akan salahnya. Hanya sahabat yang setia yang sanggup membukakan matanya"


Selasa, 11 Disember 2012

I GIVE on TV





Liputan televisyen dari Malaysia sewaktu program Qurban 1433H di Bandung tempoh hari.

Syabas buat adik-adik yang berjaya membuktikan bahawa dengan sistem yang teratur, disiplin disertai niat yang ikhlas kernaNya, banyak yang mampu berqurban.

Terima kasih I GIVE kerana menjadi wahana jambatan...


Rabu, 31 Oktober 2012

I GIVE ; Cerita Sedikit-Sedikit Lama-lama Jadi Korban










Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Sujud syukur buatmu Tuhan..

Bagi orang yang sudah bekerja, mempunyai gaji yang banyak, tidak pelik jika dia mampu berkorban.

Bagi kami yang masih menerima duit dari biasiswa, dari orang tua, ia sungguh satu pengorbanan, menyisihkan Rp 100,000, sekitar RM 40.00 sebulan selama setahun.

Berjaya juga berkorban buat pertama kali dalam sejarah hidup.Lebih-lebih lagi posisi berkorban di tengah Sumedang,Indonesia, yang rata-rata orang
nya lebih memerlukan.

Tahniah kepada AJK I GIVE.Kalian telah berjaya menunjukkan dedikasi dan profesional dalam melakukan kerja.Semoga Allah membalas usaha baik kalian dengan ganjaran Syurga.

Kepada para peserta I GIVE, tahniah kerana keistiqamahan kalian menabung selama setahun.Semoga korban mencetus taqwa yang mendalam buat kalian semua.

Izinkan saya merakamkan jutaan terima kasih kepada penggerak utama I GIVE, Cik Rozaliamisah, Cik Farhain Amir, Cik Nur Farhanis Assila , Bro Ahmad Akmal dan ajk-ajk yang lain.Sangat bangga dengan kalian.

Walau fizikal jauh beribu batu, namun hati ini terpaut setia di sana.

Barakallahu lakum ^__^







Selasa, 9 Oktober 2012

Keringat dan Futsal



Alkisah pada tahun 2006, tim Atletico Cikuda

Saya akan merindui saat sama-sama bermain futsal dengan rakan-rakan seperjuangan.

Bukan menjaringkan gol matlamat utama, mengeluarkan keringat, bergelak ketawa demi mengeratkan hubungan silaturahim.

Tinta sabda Muhammad Rasulullah ada menyebut,

" Silaturahim itu memperpanjang umur dan meluaskan pintu rezeki!"

Ya Tuhan, di bumi Bandung kami dipertemukan, semoga bumi Syurga, menjadi tempat pertemuan abadi..

Rabu, 29 Ogos 2012

Etika 'Operation Theatre'..


" Petugas medik sama ada doktor, jururawat haruslah orang yang sangat jujur!"

Mengomel-ngomel saya dibuatnya.

Apabila sering memasuki ruang pembedahan (" operation theatre"), petugas medik pada kebanyakan keadaan akan dihidangkan dengan pesakit yang dibius, hilang kesedaran, tiada kawalan terhadap diri sendiri.

Aurat pesakit terdedah sana dan sini.

Cacat cela, buruk baik semua tersingkap dek mata manusia.

Mata boleh meloroti sekujur tubuh, tangan boleh memegang seenak rasa.

Lebih-lebih lagi yang melibatkan pembedahan Caesarean, mengeluarkan hasil kandungan dengan membelah rahim dari luar.

Banyak yang tersingkap.

Seandai bukan jujur dan taqwa yang dianuti, andai bukan profesional yang dipegang, pasti ada permainan iblis yang menyelinap.

" Tahu tak perempuan tadi macam ni dan macam ni...!"

Andai kata-kata sebegini terkeluar dari petugas medik, bahanalah mulutnya.

Andai tadi isterinya yang ditelanjangi, dikeronyok ramai, apakah gembira hatinya.

Andai tadi ibunya yang dipertonton, dipermain, masihkah ada seronok rasa.

Andai sedar bahawa kulit, mata akan bersaksi terhadap diri, masihkah mahu seenak hati berperilaku.

Semoga Tuhan merahmati petugas medik..


Selasa, 28 Ogos 2012

Shaken Baby Syndrome..



Shaken Baby Syndrome, itulah gerangan nama penyakitnya.

Kejadian di mana seorang bayi tercedera akibat digoncang secara berlebihan. Ia boleh berlaku akibat kes dera bayi, secara sengaja, mahupun secara tidak sengaja, akibat kejahilan ibubapa dan keluarga.

Pernah melihat bayi diputar-putar, dilambung-lambung dengan gaya memujuk? Ala-ala gaya memujuk AR Tompel terhadap cucunya dalam cerita Ahmad Albab.


Ya, silap-silap di sinilah puncanya. Kegembiraan orang tua yang membunuh secara tidak sedar.

Akibatnya, dari lumpuh anggota gerak, mata berdarah, kejang, buta, sehinggalah kematian bayi tidak berdosa.Bahasa mudahnya, 'stroke'  untuk bayi.

Dan pada malam yang malang ini, kali pertama saya bersua dengan bayi yang dirundung malang itu.Yang jauh lebih malang adalah kemiskinan ilmu orang tuanya.

Datang dengan keluhan badan yang lemah, pucat dan menangis-nangis.Awalnya tidak menampakkan sebarang kelainan.

Kadar darah dalam badan menurun secara drastis.Tidak ada langsung perdarahan dari luar kelihatan.Sebarang trauma tumpul akibat kecederaan juga tidak terlihat.

Lama kelamaan, keadaan fizikal si bayi terus menurun.Tiba-tiba sahaja senyap dan berhenti nafas.

Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dilakukan saya dan jururawat bertugas.Belasan kali putaran CPR terus dilakukan.Tiada nadi berdenyut, tiada denyutan jantung terdengar.


Datuk, nenek, seluruh isi keluarga sudah tidak keruan.Ibubapa si bayi bak tersampuk jembalang, melihat bayi mungil, pucat tidak bernyawa.

Si ibu lemah longlai, pengsan beberapa kali.Sudah kering air mata hiba.

Air mata darah sekalipun tidak mampu menebus nyawa si buah hati pengarang jantung.

Dalam masa 5 jam dari 'digoncang-goncang', bayi itu dijemput pergi oleh Malakul Maut.

Hanya sempat 7 bulan si bayi menghirup nafas oksigen di atas muka bumi milik Tuhan.

Innalillah wainna ilaihi rojiun..


Sunnatullah Pendidikan Anak

Kita boleh berfikir positif dengan mengatakan bahawa bayi itu sudah menempa Syurga.Tanpa dosa, ibubapanya dijanjikan ganjaran Syurga, Tuhan mahu memberikan rezeki yang lebih baik dan pelbagai lagi hikmah yang tersirat.

Saya hanya mahu mengheret perhatian kita agar jangan memudahkan urusan bayi.

Bukan sekadar nama yang baik, diazan dan diiqamah, aqiqah dan sebagainya, sunnatullah dalam proses tumbesaran bayi harus menjadi aspek penting ilmu dasar pembentukan anak-anak.

Kalaulah Tarbiyatul Aulad, karangan Abdullah Nasih Ulwan, menjadi antara rujukan utama pembentukan karakter seorang anak, bidang medik, sesuai sunnatullah, juga harus dilengkapkan dengan ilmu membesarkan anak, sihat secara fizikal dan mental.

Khususnya kepada ibubapa, suami isteri, bakal-bakal pengantin dan yang senada dengannya.

Dari hal sekecil susu ibu, sehinggalah pendidikan seksual.Al-Quran sendiri sudah menyentuh perihal susu badan selama 2 tahun, menyentuh juga tentang waktu larangan masuk ke dalam bilik orang tua.


Sedar

Saya menulis kes Shaken Baby Syndrome ini di laman Facebook kira-kira 3 minggu yang lalu.Sangat menarik perhatian saya apabila melihat banyak kenalan yang mengongsikan cerita saya di laman utama masing-masing.

Kecaknaan kejadiaan kes sebegini ternyata masih kurang di kalangan orang awam, dan Alhamdulillah banyak yang mulai membuka mata apabila muncul kes berupa realiti di dalam masyarakat.

Dan bagi saya, selaku salah seorang petugas medik, saya menemui sesuatu yang sangat penting dan istimewa..

Rupa-rupanya menyampaikan kalimah Allah itu bukan sekadar dengan menjadikan diri hebat berhujah dengann Al-Quran dan Hadis, ijmak dan qiyas, ada sisi sunnatullah (ketentuan Allah) yang kebanyakan masyarakat masih lagi alpa.

Bidang perubatan , sebagai contoh, kes Shaken Baby Syndrome. Proses terjadinya penyakit dan kematian itu adalah suatu kekuasaan Allah, dalam tanganNya. Manusia, petugas perubatan khususnya berperanan di sini dalam menyampaikan bagaimanakan proses ketentuan Allah ini boleh berlaku.

Benar sungguh kalimah Allah dalam ayat 33, surah Af -Fussilaat.

" Siapa lagi yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyampaikan kalimah-kalimah Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ," Sungguh , aku termasuk orang Muslim yang berserah diri?"

Allahul Mustaan..Dialah sebaik-baik yang memberikan pertolongan..

Rabu, 8 Ogos 2012

Sebuah Soff Milik Ummah..




Ini sepotong gambar, diambil ketika solat tarawikh rakaat 9,10 di sebuah masjid di Tasikmalaya, Jawa Barat.

Kelihatan ada pelbagai kerenah makmum yang sendiri-sendiri membuat saff solat.Berdua-duaan, ada yang di bawah kipas.Belum lagi dari
 kesempurnaan saff dengan merapatkan tumit ke tumit, bahu ke bahu seperti yang diperintahkan Rasulullah.

Teringat Umar sampai mengupah jurubetul saff ketika mahu bersolat jamaah. Betapa jauh pemahaman..

Mula-mulanya, saya mengira ini hanyalah simptom terpencil.Rupa-rupanya saya kemungkinan besar salah setelah melihat kondisi jamaah solat di beberapa buah masjid di sini.

Saff solat memang seperti ular kena palu, dan prinsipnya ikut suka.

Bertambah pelik dan hairan apabila solat tarawikh, kadar kecepatan bacaan imam memang luar biasa. Pernah saya mendengar bacaan surah Al-Humazah, yang tersangat cepat, lintang-pukang tajwidnya.

Fokus terawikh pada menyelesaikan 23 rakaat solat secepatnya.Bayangkan hanya sejam diperlukan dari azan Isya' sampailah selesai rakaat witir terakhir.

Bukan dipermasalahkan kadar kecepatan itu, tetapi sudah hilang nilai sebuah ibadah, kualiti entah ke mana.

Belum ditambah dengan tazkirah keafdalan setiap tarawikh mengikut malam.

Menggeleng kepala saya dibuatnya. Jauh kalau mahu dibandingkan dengan tarawikh di masjid-masjid di Malaysia, mahupun di Qoryah Ramadan di Kota Bharu. Bicara bonda tentang meriahnya Ramadan di halaman sendiri, kadang-kadang mencetuskan cemburu nan dalam.

Terasa tidak lengkap Ramadan seperti ini.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ini salah satu situasi di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia.

Saya bukan mengeluh, bukan juga menghukum.

Cuma, apa yang saya pertontonkan mampu menjadi suatu gambaran bahawa masih sangat banyak 'homework' untuk para pendakwah, ustaz ustazah, muslim muslimah yang cintakan agamanya, di Indonesia khususnya, seluruh ummah umumnya.

ILMU agama yang sangat 'basic'. Pemahaman masih sangat dangkal. Namun, kehidupan beragama masih hidup di sini, dipertahankan kerana masih menjadi tradisi yang kuat mencengkam.

Saya percaya di pedalaman Malaysia juga sama.Badwi-Badwi Arab juga sama.

Teringat kisah Badwi kencing di masjid Nabawi, dan analogi najis unta dengan kewujudan Allah.

Menyampaikan sesuatu haruslah dengan kadar pemikiran akal seseorang.

Bukan mahu diperdebat, ditahqiq hadis keutamaan saff pertama, cuma konsepnya harus disampaikan dengan bahasa paling mudah dimengerti umum.

Apa yang saya buat? Mengeluh semata-mata?

Dengan kadar saya sebagai seorang musafir di tempat orang, hanya silaturahim , bertukar senyuman, salam-salaman, kenal mengenal menjadi tapak asas.Pokoknya berukhuwwah..

Dan iringi dengan doa agar kebaikan dan perubahan bakal berlaku.

Doa dari kita semua juga.

Kisah ini hanya secebis kisah, dari potongan aneka ragam cerita ummah.

" Wahai Tuhan kami, berikanlah kami hamba-hambaMu kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan jauhkan kami dari api nerakaMu"

p/s :
Saya memilih mengikut pendapat mengatakan hadis-hadis kelebihan setiap malam Ramadan adalah hadis palsu.Feel free to disagree..


Ahad, 15 Julai 2012

Jangan Fikirkan Gajah!



" Jangan fikirkan seekor gajah, berwarna kelabu!Jangan!"

Percaya atau tidak, apabila ayat jangan di atas diungkapkan, apa yang terlintas di fikiran kebanyakan kita adalah tetap seekor gajah berwarna kelabu.

Dalam berbahasa positif dengan metode 'reverse psychology', untuk memiliki dan menyebarkan perasaan positif, jangan sesekali menyebut perkara/perkataan/sikap yang tidak kita mahu.

Gantikan dengan ayat dengan maksud yang sama.Yang bernuansa positif.

A berkata:

" Dah pening kepala dan demam.Macam nak sakit je.Tapi tak Insyaallah aku tak sakit!"


Percayalah si A pasti akan sakit kerna dia mempercayainya.Perkataan sakit itu 'merasuki' akal dan badannya bergerak ke arah sakit.

B berkata :

" Badan kurang nyaman.Insyaallah, hari ni aku tetap sangat sihat dan boleh beraktiviti dengan semangat!"


Percayalah,si B pasti akan sihat, kerana fikirannya sudah terarah kepada sihat dan aktiviti.


Kesimpulan

Bahasa positif akan mempengaruhi peribadi kita.Sentiasa positif dan memandang jauh ke depan.


Manakala bahasa negatif akan merencatkan perjalanan,malahan menjangkiti orang yang di sekeliling kita terpalit dengan kenegatifan.

Acu cuba..Dengan izinNya, Insyaallah berjaya ^__^

Sabtu, 14 Julai 2012

Wahai Anak Adam, Jagalah Maruah Seorang Hawa (Edisi Seorang Suami)






Bismillahirrahmanirrahim..

Sebenarnya ini artikel yang saya tulis pada tahun 2010.


Kalau hadis ada sababul wurud(sebab turun hadis), Al-Quran ada asbabun nuzul (sebab turun), begitu juga artikel ini.

Artikel ini berlatarbelakangkan Permai 2010 di Bandung, ditambah dengan kes seorang perempuan muslimah dikacau seorang lelaki bejat, dan kes-kes hubungan lelaki perempuan yang saya ketemu.

Dan saya pada waktu ini dalam fasa merencanakan lanjutan rencana hubungan dengan tunang(isteri saya sekarang).Banyak masalah melintang aralnya.

Antara tonik untuk saya menghibur hati, yang sering saya katakan pada diri.

" Biar aku susah, biar aku sabar, biar aku banyak berdoa dan usaha, bersungguh-sungguh untuk menjaga hubungan ini, agar kesusahan bermujahadah ini menjadi KENANGAN TERHALAL buat diriku dan isteri"

Alhamdulillah berjaya juga.

Coretan ini sebenarnya untuk menguatkan semangat saya agar jangan sesekali berbuat melampaui batas yang patut perihal hubungan lelaki perempuan yang bukan mahram.

Saya bukanlah makhluk sempurna, sepi daripada dosa.Ada ketika saya terkecoh jatuh, dipalit noda dosa.Namun segeralah beristigfar, mohon diberi kekuatan olehnya.

Bagi yang sedang berjuang,ku titipkan doa buat kalian.Doakan juga agar diriku dan isteri, berlayar maju ke destinasi Syurga.

Terimalah,semoga ada manfaat buat kalian~

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah,setinggi syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi.

Permai 2010 telah melabuhkan tirai dengan jayanya.Titik pertemuan di Bandung,membawa seribu rahmat.

Dan semoga mutiara-mutiara berharga yang dikutip sewaktu Permai 2010 mampu untuk dicerna elok dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian oleh semua peserta...


Kenangan Terhalal Abu Saif

Banyak kali sudah saya berinteraksi dengan pengalaman Abu Saif ini, sama ada melalui tulisan di blognya Saifulislam.com ataupun melalui perkongsian secara langsung dengan 'sifu cinta' ini..

Sedikit petikan dari artikel 'Kenangan Terhalal" :


“Macam mana kita nak tentukan yang kita masih ada rasa sayang kepada isteri, kalau semasa itu kita sedang marah-marah?” beliau terus mengajukan soalan.Wah, bagus sungguh anak muda ini. Tajam fikirannya, dan kritis dalam menghalusi pandangan.


“Hmm… kenanglah balik peristiwa-peristiwa semasa cinta sedang mekar dan segar bugar itu,” saya membalas.


“Apa kenangan terhebat ustaz? Yang boleh mengingatkan ustaz kepada cinta ustaz untuk Kak Muna? Cewah!” kata beliau dalam nada bergurau tetapi serius.


“Ehh, apa pula yang ada cewah di hujung tu?” saya ketawa mendengar ekspresi beliau.


“Tak ada apa-apa. Saya rasa malulah pula tanya ustaz soalan-soalan macam ini,” jelas beliau. Jujur.


“Hmm, kalaulah ada masa yang kami berselisih faham, atau jika tiada salah faham sekali pun, saat yang paling bermakna untuk ustaz kenangkan ialah petang ustaz menentukan tarikh bertunang. Selepas menetapkan persetujuan, ustaz ditanya oleh bakal ibu mertua ustaz sama ada sudah pernah bersua muka dengan bakal tunang atau tidak?” saya mengomel.


“Ustaz pernah jumpa?” tanya beliau.


“Anta ni, tak baca buku analah ya!” saya menduga.


“Bacalah ustaz. Tapi tak pasti yang mana satu. Saya ni ada sifat pelupa sikit,” katanya lagi.


“Tentulah tak pernah jumpa. Memang abang ustaz pun terkejut masa itu. Jadi, bakal emak mertua ustaz panggillah Kak Muna yang menyorok di dapur tu supaya keluar. Dan itulah kenangan terindah ustaz sebab kali pertama ustaz menatap wajah bakal isteri, ialah di dalam majlis yang paling mulia dan halal iaitu di rumahnya sendiri, dan di hadapan ibu serta bapanya!” saya tersenyum sambil bercerita.


“Wah, sweetnya! Betullah kata guru saya, kemanisan dan kenikmatan itu ada pada yang halal!” beliau membuat kesimpulan.


“Ya. Sebab itu, janganlah dicemar perhubungan pra perkahwinan dengan apa-apa yang haram atau syubhat. Biar kenangan semuanya halal dan indah belaka,” saya menokok.


“Samson kena buat lagu baru sempena Ramadhan ni!” katanya dengan nada gurau.

 “Lagu apa?” saya tidak dapat menangkap maksudnya.


“Kenangan Terhalal!” jawab beliau.


Kami ketawa… bermanfaat sungguh usrah kami di lebuh raya..


 Di Luar Sangkaan

Saya sangat terkesan dengan perkongsian pengalaman sebegitu.Insyaallah boleh menjadi sumber kekuatan pada masa mendatang.

Dan pertama kali saya mendengar secara langsung adalah sewaktu di Sekolah Al-Amin,Gombak,sewaktu program yang dianjurkan oleh IMAN,PKPMI-Cawangan Bandung.

Sangat bermakna bagi saya..

Walaupun usai perkongsian ustaz,saya terpaksa berkejar ke Jakarta untuk mengikuti Kongres Pelajar di sana.Dan di Jakartalah,cerita bermula.

"Assalamualaikum.Apa khabar?Lama tak nampak!"

Saya menegur seorang muslimah yang saya kagumi peribadinya.

'Mangsa pertama' saya di Bandung kerana ketidakpuasan hati.Datang kami ke bumi Jatinangor pada penghujung Ogos 2006,langsung tidak bersambut sebarang senior.

Dan saya melampiaskan dukacita kepadanya,yang mengenalkan diri sebagai salah seorang senior pada waktu itu.

Selepas saling bertanya khabar,seperti biasa,saya berkongsi cerita dengannya.Saya menganggapnya seperti kakak sendiri,senang untuk berkomunikasi dan meminta tunjuk ajar.

Saya tahu persis masalahnya dan saya mencuba sedaya upaya tidak bersifat 'judgemental' ataupun suka menghukum.

Cuma saya perkongsikan adegan 'Kenangan Terhalal' karya Abu Saif.

Babak ke babak saya menjiwainya.

Dan di luar sangkaan,dia menangis mengalirkan air mata.Saya tenggelam punca.Betul-betul di hadapan saya..

"Yusuf memilih untuk lebih menyukai penjara dari dia terpaksa menggadaikan maruah diri dan maruah seorang perempuan.Yusuf memilih bersabar di dalam penjara.."

"Semata-mata kerana maruah,Yusuf berbuat demikian!!" saya mengalunkan kata,tenang.

Air mata diempang kejap, tisu dikesat penawar basahnya pipi.

Saya mendiagnosis mungkin tangisnya itu bersangkut paut dengan urusan bakal suaminya.Semoga Tuhan mempermudah segalanya..

Segalanya berkait tentang maruah..


Usai Permai 2010

Disebabkan pengangkutan agak terhad mahu pulang ke rumah,kami,sebagai panitia diundurkan waktu kepulangannya,memberi ruang untuk para peserta terlebih dahulu beredar.

Masa yang ada digunakan untuk berkongsi pengalaman sesama para peserta.

Dalam ruang dan keterbatasan,saya merapat dengan seorang dua adik yang saya rapat.Semenjak mereka tahun pertama lagi,ikatan itu sudah disulam..

Sepanjang program,masing-masing fokus jadi tidak adalah ruang mencukupi untuk bersua lama.Sekadar bertemu di jalanan nan sebentar.

Kedua-dua mereka insan yang baik.Senang sekali berdamping dengan mereka selama ini.

"Abang Fahmi percaya tak saya menangis sewaktu dalam pembentangan ustaz?"tiba-tiba terpacul soalan itu daripada mulut salah seorang mereka.

Soalan itu dari seorang anak muda yang cukup periang,bersemangat.

"Saya datang untuk meluruskan hubungan kami.Saya mahu memelihara maruahnya!!"tambah seorang lagi adik.Datangnya ke Permai mahu mencari solusi krisis 'cinta fitrahnya' sambil mengejar suntikan semangat.Nada bicaranya serba mendatar.

Kedua-duanya menyebakkan saya.

Saya kongsikan sedikit pengalaman peribadi dan sahabat-sahabat terdekat.Perjuangan menjaga maruah diri dan maruah seorang perempuan itu sangat besar ertinya bagi mereka,dan juga saya.

"Usah malu adik-adikku!Lelaki yang sedang bercakap ini juga gugur air mata kelakiannya!!"

Perkongsian sebentar itu menumbuhkan lagi semangat dan perjuangan kami menegakkan maruah diri dan perempuan,walaupun dalam kehidupan ini,ada masanya pernah kaki tersadung akar nafsu.

Saya menyayangi kedua-dua mereka.Dan semoga Tuhan memberikan mereka kekuatan dalam perjuangan mereka mengikut jejak langkah Nabi Yusuf mengdekam lama di dalam penjara.


Coretan Hati Seorang Muslimah

Seorang sahabat,seorang muslimah mengadu kepada saya.

"L ni asyik mengacau saya.Asyik kata sukakan saya,mahu bertemu ibu saya dan sebagainya"

"Sampai satu tahap L selalu memalukan saya di hadapan khalayak ramai.Mereka yang tidak mengenali saya,mula memandang serong,mengatakan saya perempuan gedik,gatal dan sebagainya.."

"Hatta apabila saya sudah memberitahunya saya sudah bertunang,dia masih tetap mengacau saya!"

Ini coretan hati seorang sahabat baik saya.Saya mengaku darah saya menyirap sampai ke kepala.Saya sampai sudah memikirkan sama ada mahu menghadiahkan pelempang dua,tiga biji ataupun menghayunkan sabiji tumbukan ke muka lelaki haprak tadi,biar lebam biji mata.

Dasar manusia bertuhankan nafsu,bertopengkan syaitan.Sudah beristeri dan beranak tiga,masih mahu menggatal.Lebih-lebih lagi apabila L dikenali sebagai seorang lelaki yang wara' dan alim kerana hidupnya bersama gerakan Islam,dan sering melantunkan ayat-ayat Allah dalam bicaranya.

Sehinggakan sahabat muslimah ini mula dipandang serong oleh komuniti.

Lelaki sebegini,sejak dari dahulu,memang sangat saya anti.

Kesabaran saya selalu di tahap maksimum apabila bertemu lelaki-lelaki dayus sebegini.

Sepatutnya di dalam Islam,lelaki adalah pelindung maruah wanita.Bukan perosak maruahnya!!

Dan fitrahnya manusia,walaupun agama anutannya,pasti meletakkan maruah seorang wanita di martabat yang tinggi.

Islam sangat menentang perilaku jahiliyyah yang meletakkan strata wanita hanyalah sebagai objek pemuas nafsu lelaki dan boleh diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Inilah hikmahnya apabila lelaki itu dijadikan lebih 'kuat' dari seorang perempuan.Lelaki mesti menjaga maruah seorang wanita..

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka (An-Nisa' : 34)


Mencari Al-Mu'tasim

Seorang wanita dipermainkan maruahnya oleh seorang lelaki Yahudi.Mendengar khabaran itu,bergegas sang khalifah Al-Mu'tasim berkejar ke tempat itu dan mengumandangkan bendera Islam di situ.

Demi maruah seorang perempuan!!

Di realiti dunia hari ini,di belahan Palestin,banyak para wanita dan muslimah yang dicerobohi maruahnya,dimalukan di khalayak oleh tentera Zionis Israel.

Di Baghdad, wanita-wanita Muslimah diperiksa seluruh badan dengan menanggalkan pakaian mereka oleh tentera-tentera penjajah.

Di Sudan suatu ketika dahulu, perempuan-perempuan di sana ditangkap,kemudian dimandikan dan dibersihkan elok-elok dan kemudiannya ditelanjangi untuk dirogol oleh tentera penjajah.Sesetengahnya sampai melahirkan anak luar nikah..

Dan lelaki-lelaki di luar sana hanya mampu melihat dan terus melihat.

Di mana mahu mencari 'Al-Mu'tasim-A-Mu'tasim' di dalam dunia hari ini?

Di mana,wahai para lelaki di luar sana?

Segala-galanya bermula dengan langkah pertama.Jari telunjuk sepatutnya menghala kepada diri kita sendiri..Kita yang harus memulakan agar suatu saat nanti akan muncul jelmaan Al-Mu'tasim yang baru..

Rintihan wanita di Al-Quds akan dibela..

Tangisan hawa di Baghdad,akan dikesat..Mulakan dengan sekecil-kecilnya.Lihatlah bagaimana kita menjaga maruah ibu,adik perempuan, isteri dan bakal isteri kita..

Kalaulah berjalan masih berpegangan tangan,memalit janji ukiran nafsu,hatta sampai habis usia dikandung badan,maruah seluruh perempuan Muslimah yang tertindas di seluruh dunia tidak akan terbela..

Dan bagi perempuan yang mengaku muslimah,jangan bodohkan diri anda 'dipeluk,dicium,dibelai manja' lelaki bukan mahram bagi anda.Anda hanya meng'keldaikan' diri mengikut resmi khinzir..Tidak punya maruah diri..

Khinzirkah kita?

Saya tidak, DAHULU,KINI dan SELAMANYA!!!

Selasa, 10 Julai 2012

Sebaik Harta Dunia Di Birai Sakit..



Si ibu tua itu tetap setia mendampingi suaminya yang merana sakit.

Di birai katil, itulah mihrab baktinya kepada sang suami.Penuh ketaatan.

Saat saya menekan perut suaminya yang kembung, membuncit, dek tidak mampu membuang air kecil, suaminya mengaduh sengsara.

Ooush..Ooush..

Kesakitan sekali.

Kesumba merah warna air seni yang mengalir dari tiub kencing.

Sambil mengurut, mengeluarkan kencing suaminya yang tersumbat, saya perlahan melirik si ibu tua.

Manik-manik halus,berjejeran,membasahi lurah pipinya yang sudah keriput dimakan usia.

Di antara sela berkhidmat kepada pak cik itu, saya bermonolog sendiri.


" Sangat suci dan berkah hubungan pasangan tua ini."

Hati saya mengesan aura ikhlas dari raut wajah si ibu tua.


" Terima kasih doktor!"

Genangan air mata si ibu, hanya dibalas dengan senyuman mekar dari saya.

Suaminya masih tersandar lemah.

" Saya pergi dulu bu ya.Assalamualaikum.."


Sebaik-baik Harta


' Dunia itu harta, dan sebaik-baik harta dunia adalah seorang perempuan yang soleh'

Hadis Riwayat Muslim

Dalam menderita kesakitan, namun saya percaya bahawa lelaki itu sangat bahagia.

Bahagia kerna mempunyai sebaik-baik harta dunia, penenang hati gundah gulana, pembangkit semangat tika duka, harta yang berupa seorang isteri yang solehah.

Semoga kita semua mendapat isteri yang solehah dan suami yang soleh, berbahagia di dunia sehingga ke Syurga hendaknya.Insyaallah~


Selasa, 26 Jun 2012

Pengajaran Sebuah INTUSUCCEPTION...




"Ada pesakit rujukan dari bahagian Surgery doc"

Kata si ibu jururawat.

Segera saya mendatangi katil pesakit. Si mungil terjelepuk lemah di atas katil.Setia sang bunda menemani di sisi.

Cirit-birit berdarah beberapa kali, perut kembung, dan muntah-muntah.Semuanya berlaku secara tiba-tiba..

Pengalaman biasanya akan mengarahkan kepada kes 'diarrhea' disebabkan oleh dysentry atau amoeba.

Sekilas saya juga terfikir ke arah cirit birit.

"Ini kes emergency.Tak mungkin dirujuk dengan 'diarrhea'!"


Saya berfikir lama.

Tup..Tup..Rupa-rupanya.

Bayi itu terkena keadaan dinamakan sebagai 'Intusucception/Invagination'. Tidak terfikir saya ke arah sana. walaupun pernah beberapa kali berjumpa kes yang sama.

Doktor pakar anak, guru saya cepat mengembalikan bayi tadi kepada bahagian Surgery, kerna kalau tindakan terlalu lambat, keadaan nyawa bayi tadi akan sangat berbahaya.

Dan kelmarin, saya melawat bayi mulus berusia 6 bulan itu.Ususnya sudah dibuang beberapa puluh sentimeter.Nyawanya dihujung tanduk..

Nafasnya dibantu pernafasan buatan.Sudah 'apnea' (berhenti nafas) beberapa kali

Ibunya sudah kehilangan semangat.Terjelepuk layu di birai katil Intensive Care Unit (ICU).

Sayu.

Saya dan ketua jururawat dari bahagian Pediatrik, mampir kepada si ibu.Sedikit menghulurkan doa,dan kata-kata semangat.

Sejuk kaki si mungil.

Hanya doa, titipan saya buatnya.Semoga diberi kekuatan untuk kembali sihat dik..


Hening Sebuah Isnin


Ruang ICU Katil 1

Pagi-pagi lagi saya berangkat ke ruang Intensive Care unit (ICU).

Terasa tidak sabar untuk menjenguk si mungil.Bagaimanakah khabarnya bermain-main, memicu detak jantung.

Kreek..

Terkuak pintu.

Katil 1, tempat diam si bayi kosong.Tiada berpenghuni.

Hati sudah tidak keruan.Lintasan-lintasan negatif bergentayangan menerobos dada.

"Bu, bayi yang Sabtu lepas di katil 1 di mana sekarang?"

Saya bertanya kepada jururawat bertugas.

"Yang 'intusucception' itu sudah meninggal doc.Pukul 1230 tengahari Sabtu!"meluncur jawapan dari si jururawat.

Astagfirullahalazim..

Saya kaget, senyap tidak terkutik, bak tersampuk jembalang momok di siang-siang hari.

Dari Allah kita datang, dari Allah jugalah kita kembali.

Terpacak sepasang kaki itu di hadapan arena pertemuan dengan si bayi mungil.

Terasa sangat bersalah.Sangat bersalah.

Saya benar memaksudkannya.

Rupanya, setelah setengah jam saya meninggalkan ruangan ICU pada hari Sabtu, si bayi itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Masih suci.

Sangat putih bersih,tiada noda dosa.


Pengajaran

Masih terbayang wajah pesakit-pesakit yang meninggal dengan seribu satu harapan dari keluarga yang menemani.

" Tolong anak saya doktor!"

Wajah si ibu bermain-main lagi di mata fikir.

Saya tahu doktor juga adalah makhluk Tuhan, manusia biasa, tidak mampu melawan ketentuan hidup mati Ilahi.

Namun, suatu yang saya sematkan dalam akal fikir adalah doktor harus berusaha sedaya upaya, terbaik dari dalam dirinya.

Kualiti harus dipertingkatkan.Pembacaan harus diperbanyak,pemahaman harus dihayati.Tidak ada istilah 'MALAS' dalam kamus kehidupan seorang bergelar doktor.

Saya tidak mahu matinya seorang pesakit kerana kebodohan dan kelalaian saya.

Insyaallah mahu menjadi lebih pintar, lebih pandai.Dan nak menjadi lebih rajin.

Kerana nyawa manusia, bermain di dalam genggaman tangan ini~


p/s : 
1)Really cannot believe of myself. I could not get to the underlying fatal disease as soon as my supervisor did. It's a life of an innocent baby. Oh GOD, what I have learnt so far..

Pity of myself.Promised to extra hard work Insyaallah..

2) Intusucception adalah keadaan apabila usus terlipat masuk ke dalam usus yang lain.Perlu cepat bertindak untuk mengembalikan usus kepada posisi asal agar usus tidak berdarah lebih banyak.Lama kelamaan,usus boleh bocor dan mati.Dan akibatnya, sangat mengancam nyawa.