Sabtu, 9 November 2013

Kenapa Perlu Berpuasa Sebelum Pembedahan?


" Kejam la macam ni. Mak saya yang dah berusia ni tak tahan kalau nak berpuasa lama-lama. Dari 12 malam tadi sampai pukul 2 petang dah!" Bentak seorang anak kepada pesakit.

Terkedu saya apabila 'disergah' sedemikian.

Si pesakit dijadualkan untuk mengikuti pembedahan ' Above Knee Amputation', sebuah prosedur memotong  kaki.Keputusan berat yang terpaksa diambil oleh pesakit dan keluarga kerana saluran darah di pangkal pahanya tersumbat penuh.

Tiada aliran darah ke bahagian bawah kaki.Kaki terasa sakit mencucuk-cucuk, tiada oksigen terhidang buat sel-sel. Akibatnya semua sel-sel, anggota terkecil kehidupan akan mulai menamatkan kehidupan.

" Maaf puan. Ini prosedur yang harus dipatuhi semua orang yang akan menjalani pembedahan!"

" Nampak memang kejam, namun ada sebab kenapa ibu puan harus berpuasa terus!"

" Untuk pembedahan besar, dan menggunakan bius umum, selain pesakit tidak akan sedarkan diri sewaktu pembedahan, semua otot akan lumpuh. Otot pernafasan akan lumpuh, maka ibu puan akan bernafas dengan bantuan mesin pernafasan sewaktu pembedahan!"

" Begitu juga usus kecil, usus besar, perut, semuanya lumpuh secara keseluruhan. Biasanya makanan yang dimakan memerlukan sehingga 8 jam untuk dicerna secara sempurna. Jadi, kalau peraturan puasa tidak diendahkan oleh pihak pesakit, ia boleh membawa impak buruk kepada pesakit!"

Hening suasana seketika.

" Pembedahan kaki mungkin boleh berjaya. Tetapi kalau pesakit tidak berpuasa sempurna, sisa-sisa makanan boleh naik ke bahagian atas, sehingga boleh memasuki ruang paru-paru. Kita tidak mahu paru-paru menderita sehingga terjangkit radang paru-paru, jangkitan kuman yang semua orang tidak mahukannya!"

" Begitu juga keadaan perut yang berasid ketika masih mencerna makanan. Kita tidak mahu asid-asid ini menceroboh saluran atas dari perut, dan juga boleh memberi impak yang buruk juga kepada paru-paru kalau terserap masuk!

Panjang saya menjelaskan.

" Saya faham dengan keprihatinan keluarga. Kalaulah ibu puan merupakan ibu saya sendiri, saya juga sedih apabila melihat dia menderita di usia senja sebegini. Saya terpaksa membenarkan ibu menunggu, demi prioriti yang lebih utama!"

" Buat ketika ini, kita masukkan air melalui saluran darah. Air ini akan menjaga tekanan darah ibu puan dalam keadaan stabil dan optimum untuk menjalani pembedahan!"

Alhamdulillah, nampak gayanya keluarga pesakit mula dapat menerima.

" Boleh tak kami lapkan sikit bibir dia dengan air? Kering sangat-sangat!" Pinta si anak lagi.

Saya menggangguk lemah.

Prinsip ' Seek First To Understand, Then To Be Understood' harus ditanamkan secara perlahan-lahan.Semua orang mahu dirinya difahami terlebih dahulu.

Tiada salahnya kalau kita merendahkan diri seketika, cuba memahami orang terlebih dahulu, demi mendapat keberhasilan komunikasi dalam kehidupan seharian..

Ya..Benar sekali firman Tuhan. Sesunnguhnya manusia itu dicipta dengan banyak keluhan..




1 ulasan:

SYUKOR berkata...

saya berminat kaitkannya dengan ibadah puasa dalam Islam. Bagaimanakah untuk saya berinteraksi dengan tuan Dr untuk kajian Pendidikan Islam saya. Bolehkah Dr berikan emel Dr. Atau Dr emelkan kepada saya di; asyshakor[a]yahoo.com.my