Selasa, 26 Jun 2012

Pengajaran Sebuah INTUSUCCEPTION...




"Ada pesakit rujukan dari bahagian Surgery doc"

Kata si ibu jururawat.

Segera saya mendatangi katil pesakit. Si mungil terjelepuk lemah di atas katil.Setia sang bunda menemani di sisi.

Cirit-birit berdarah beberapa kali, perut kembung, dan muntah-muntah.Semuanya berlaku secara tiba-tiba..

Pengalaman biasanya akan mengarahkan kepada kes 'diarrhea' disebabkan oleh dysentry atau amoeba.

Sekilas saya juga terfikir ke arah cirit birit.

"Ini kes emergency.Tak mungkin dirujuk dengan 'diarrhea'!"


Saya berfikir lama.

Tup..Tup..Rupa-rupanya.

Bayi itu terkena keadaan dinamakan sebagai 'Intusucception/Invagination'. Tidak terfikir saya ke arah sana. walaupun pernah beberapa kali berjumpa kes yang sama.

Doktor pakar anak, guru saya cepat mengembalikan bayi tadi kepada bahagian Surgery, kerna kalau tindakan terlalu lambat, keadaan nyawa bayi tadi akan sangat berbahaya.

Dan kelmarin, saya melawat bayi mulus berusia 6 bulan itu.Ususnya sudah dibuang beberapa puluh sentimeter.Nyawanya dihujung tanduk..

Nafasnya dibantu pernafasan buatan.Sudah 'apnea' (berhenti nafas) beberapa kali

Ibunya sudah kehilangan semangat.Terjelepuk layu di birai katil Intensive Care Unit (ICU).

Sayu.

Saya dan ketua jururawat dari bahagian Pediatrik, mampir kepada si ibu.Sedikit menghulurkan doa,dan kata-kata semangat.

Sejuk kaki si mungil.

Hanya doa, titipan saya buatnya.Semoga diberi kekuatan untuk kembali sihat dik..


Hening Sebuah Isnin


Ruang ICU Katil 1

Pagi-pagi lagi saya berangkat ke ruang Intensive Care unit (ICU).

Terasa tidak sabar untuk menjenguk si mungil.Bagaimanakah khabarnya bermain-main, memicu detak jantung.

Kreek..

Terkuak pintu.

Katil 1, tempat diam si bayi kosong.Tiada berpenghuni.

Hati sudah tidak keruan.Lintasan-lintasan negatif bergentayangan menerobos dada.

"Bu, bayi yang Sabtu lepas di katil 1 di mana sekarang?"

Saya bertanya kepada jururawat bertugas.

"Yang 'intusucception' itu sudah meninggal doc.Pukul 1230 tengahari Sabtu!"meluncur jawapan dari si jururawat.

Astagfirullahalazim..

Saya kaget, senyap tidak terkutik, bak tersampuk jembalang momok di siang-siang hari.

Dari Allah kita datang, dari Allah jugalah kita kembali.

Terpacak sepasang kaki itu di hadapan arena pertemuan dengan si bayi mungil.

Terasa sangat bersalah.Sangat bersalah.

Saya benar memaksudkannya.

Rupanya, setelah setengah jam saya meninggalkan ruangan ICU pada hari Sabtu, si bayi itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Masih suci.

Sangat putih bersih,tiada noda dosa.


Pengajaran

Masih terbayang wajah pesakit-pesakit yang meninggal dengan seribu satu harapan dari keluarga yang menemani.

" Tolong anak saya doktor!"

Wajah si ibu bermain-main lagi di mata fikir.

Saya tahu doktor juga adalah makhluk Tuhan, manusia biasa, tidak mampu melawan ketentuan hidup mati Ilahi.

Namun, suatu yang saya sematkan dalam akal fikir adalah doktor harus berusaha sedaya upaya, terbaik dari dalam dirinya.

Kualiti harus dipertingkatkan.Pembacaan harus diperbanyak,pemahaman harus dihayati.Tidak ada istilah 'MALAS' dalam kamus kehidupan seorang bergelar doktor.

Saya tidak mahu matinya seorang pesakit kerana kebodohan dan kelalaian saya.

Insyaallah mahu menjadi lebih pintar, lebih pandai.Dan nak menjadi lebih rajin.

Kerana nyawa manusia, bermain di dalam genggaman tangan ini~


p/s : 
1)Really cannot believe of myself. I could not get to the underlying fatal disease as soon as my supervisor did. It's a life of an innocent baby. Oh GOD, what I have learnt so far..

Pity of myself.Promised to extra hard work Insyaallah..

2) Intusucception adalah keadaan apabila usus terlipat masuk ke dalam usus yang lain.Perlu cepat bertindak untuk mengembalikan usus kepada posisi asal agar usus tidak berdarah lebih banyak.Lama kelamaan,usus boleh bocor dan mati.Dan akibatnya, sangat mengancam nyawa.

Ahad, 17 Jun 2012

Azan Yang Indah..



Ruang Perinatalogi merupakan tempat di mana bayi yang baru lahir ditempatkan dan diberi rawatan sebelum dirawat gabung dengan ibunya.

Selain bayi-bayi yang comel, situasi yang paling saya suka dan memberikan aroma motivasi dan semangat untuk memberi manfaat, adalah tatkala melihat ayah kepada makhluk mungil yang baru menjengah kamar dunia, mengumandangkan azan di telinga kanan, dan iqamah di telinga kiri.

Allahuakbar..Allahuakbar..

Sebuah permulaan yang cukup bersih, cukup thohir bagi seorang hamba, dalam memulakan kembara di muka bumi milik Tuhan.

Terasa mengalir sebuah harapan baru ke dalam diri sendiri.

Kepada orang tua yang dianugerah cahaya mata,

" Semoga Allah memberikan keberkahan untuk dirimu atas kurnia yang diberikan kepadamu.Semoga engkau mensyukuri Yang Maha Memberi, sehingga anakmu dewasa, dan engkau dikurnia baktinya"

Alhamdulillah ^__^

p/s :

Bagi sesiapa yang berpendapat bahawa azan dan iqamah bayi baru lahir termasuk hadis sangat dhaif dan palsu, silakan menukar dengan bacaan lain seperti surah Al-Ikhlas ataupun apa-apa doa, asalkan tidak beriktikad bahawa perbuatan ini suatu yang pernah dilakukan Rasulullah.



Jumaat, 8 Jun 2012

Aku Terima Nikahnya..


Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah..

Segenap puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, akhirnya lafaz 'Aku Terima Nikahnya' selamat sudah saya kumandangkan.

Tanggal 25 Mei 2012, hari Jumaat yang berkah, sejurus selepas solat Asar berjemaah, bertempat di Masjid Jami' Putra, Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka, sahlah Nurul Aimi Binti Mustaffa menjadi pendamping hidup saya.

Liku-liku perjalanan hubungan meniti jinjang pelaminan, satu persatu tersimpan erat di lemari sejarah hidup kami berdua.

Cerita kami bukanlah sebuah cerita epik Cinderella, cerita kami hanyalah satu cerita insan biasa tentang  hubungan antara sosok anak Adam dan anak Hawa.

Insyaallah, ke hadapan, akan saya kongsikan sedikit perihal kami.Cerita bukanlah cerita sempurna, mahu dibangga-banggakan, mahu dipertontonkan.Doakan kami jauh dari perasaan riya' menunjuk, doakan kami agar perasaan ikhlas terpapar di kamar hati kami. Baik yang tersurat,silakan diambil teladannnya jika berkenan.

Andai jelek di pandangan, tegurlah kami , kerna kami tetap manusia hamba, banyak salah dan silap yang menodai perlakuan kami.


Tidak lupa, jutaan terima kasih kepada mama abah di Kota Bharu, babah dan mama di Kuching, Sarawak, kerana doa dan restu untuk anakanda berdua selama ini.

Kepada adik-adik, saudara-mara, sahabat handai, terima kasih juga atas doanya buat kami selama ini.

Yang paling utama, kepada bekas tunang, isteri yang disayangi, terima kasih tidak terhingga buatmu kerana selama ini sangat sabar dalam melayari perjuangan sebelum kita sah diijabkabulkan sebagai suami isteri.

Demi Tuhan, abang sangat mencintaimu.

Terakhir,mohon doanya agar pelayaran cinta bahtera rumah tangga yang baru dibina ini, kekal bukan sekadar sepanjang hayat dikandung badan, mahunya agar berkekalan abadi sehingga ke Syurga kelak, Insyaallah.

Sehingga bertemu di coretan yang lain.

Salam sejahtera buat kalian semua ^__^