Selasa, 5 April 2016

Cerita Tipu Hadis Garam


Kira-kira 5 tahun lepas,sewaktu pulang bercuti dari Bandung,saya berpeluang mengikuti abah untuk pergi berbekam.

Tempatnya di Pasir Mas Kelantan.

Pesan abah,
"Kalau tukang bekam banyak cakap,tolong senyap saja.Tak perlu balas ya!"

Saya hanya mengiyakan sepatah.

Jauh terbang ke ufuk fikir mencari sebab dek kenapa pernyataan sedemikian keluar dari mulut abah.

Sesampainya di sana,sudah ada beberapa buah kereta parkir di pekarangan rumah tukang bekam.

Orangnya separuh baya,berketayap putih.


Hadis Garam

"Antara petua Nabi adalah makan secubit garam sebelum menu utama!"

Menyirap darah dibuatnya.

" Makan garam boleh elak pelbagai jenis penyakit!"

Kata tukang bekam lagi.Nadanya serius dan penuh keyakinan sambil tangannya sibuk memperagakan tusukan jarum bekam ke bahagian belakang abah.

Akal rasional saya tidak mampu dibendung.Empangan fakta harus dihujahkan kepada 'pembawa ajaran sesat'.

Mujur isyarat abah menyuruh saya bertenang.

Gelisah punggung,panas hati siapa yang tahu.

Belum lagi cerita pemahaman perubatan Nabawi yang menyeleweng.

Secara mudahnya, hadis makan garam itu tertolak.Tidak sahih dari Rasulullah.

Mohon dibaca artikek dari Dr Rozaime Ramli berkenaan hadis garam ini.

http://rozaimiramle.blogspot.com/2012/09/adakah-mengambil-sedikit-garam-sebelum.html?m=1


Sunnah Garam

Garam itu bersifat masih.

Garam diperlukan dengan kadar sedikit untuk kegunaan tubuh kita,sekitar 6g per hari (1 sudu teh).Banyak makanan kita pada hari ini sudah terkandung garam di dalamnya.

Untuk pesakit darah tinggi umpamanya,makanan tinggi garam,budu,ikan kering dan sebagainya sangat harus dikurangkan.

Garam (Sodium Chloride aka NaCl) diperlukan untuk tujuan yang baik ; keseimbangan cairan,pH darah,kontraksi otot dan sebagainya.

Namun apabila sudah pada kadar berlebihan, garam akan merosakkan fungsi buah pinggang.

Seharusnya garam berlebihan harus dinyahkan dari tubuh,akan tetapi sifat garam adalah mengikat air.Garam akan kekal di dalam badan.

Apabila kekal di dalam badan,isipadu darah akan bertambah,dan seterusnya menyebabkan tekanan darah tinggi.

Analogi mudah seperti aliran sungai ketika hari biasa dan pada musim tengkujuh.Malapetaka maksudnya kalau isipadu air sungai terlampau tinggi.

Kita sudah melihat bah kuning pada penghujung 2014.


Kesimpulan

Rasululllah membawa mukjizat.Ajarannya dianggap sunnah.Maka mustahil amat kalau sunnah Nabi itu bersifat merosakkan seperti cerita garam tadi.

Mesti ada yang tidak kena.

Oleh itu,garam itu keperluan pada kadar wasatiyy.Jangan berlebih-lebihan sehingga garam dimakan sebagai menu utama.

Kita ada akal kurnia Ilahi,maka manfaatkanlah.

Sekian.