Sabtu, 23 Mac 2013

Coretan Sebulan Menjadi Doktor


Hampir sebulan menadah nasib di bumi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Sendirian memasuki PPUKM dan ditugaskan ke Jabatan Perubatan terus.Jabatan yang terkenal dengan kesibukan.

Pegawai Perubatan Siswazah aka Housemen (HO) sangatlah sedikit di sini.Hanya sekitar 10 orang..Dan wad yang perlu dijaga ada hampir sepuluh, termasuklah wad-wad kritikal seperti High Dependency Ward dan Cardiac Care Unit.

Pada waktu hari biasa, seorang HO ada yang menjaga 1 wad.Ada yang berdua 1 wad.1 wad hampir 30 orang pesakit.

Kerana kekurangan tenaga, sistem syif tidak dapat dilaksanakan di PPUKM.

Sistem oncall memaksa diri berjuang bertahan hampir 40 jam bekerja tanpa berhenti.Ketika oncall, seorang HO akan menjaga 5 buah wad, lebih 100 orang pesakit harus dipantau.

Pada awalnya, saya memang sedikit tertekan.

Sistem yang perlu diadaptasi, suasana berbeza, sosok asing di bumi asing.

Semuanya mencengkam sukma. Resah gelisah..


Positif

Setelah sebulan, beban masih terasa berat.Namun, ketenangan itu sedikit sebanyak muncul di balik awan.

Sudah selesa dengan para jururawat, doktor pakar dan doktor atasn.

Sistem sudah dimengerti elok.

Cuma harus menggarap ilmu klinikal yang masih tumpul. Biar diasah semakin tajam.

Dimarah dam ditegur itu perkara biasa.

Di zaman Bandung, sewaktu menuntut di Ilmu Penyakit Dalam (IPD), para guru saya lebih banyak yang menakutkan dan garang.Cara mengajar mereka berbeza.

Betul kata isteri saya tercinta.

" Doktor- doktor di Malaysia lebih mudah berbincang, suasana lebih berhemah dan positif!"

Marah dan teguran di Malaysia tetap ada.

Ya..Tetap ada yang sinis dan skeptikal.Tapi yang penting, biarlah akal sentiasa positif.

Biar apa yang dimarahi, biarlah apa yang tercampak keluar dari mulut, dunia tetap tidak akan kiamat.

Kiamat yang paling ditakuti itupun, milik Yang Maha Kuasa.


Belajar

Tetap belajar dari kesilapan.

Jangan tercampak ke dalam lubang biawak berkali-kali.Cukuplah sekali tersadung langkah.

Biar diri nampak bodoh, teruskan bertanya dan bertanya.

Tiada istilah pertanyaan bodoh. Baik bertanya dan pentingkan keselamatan pesakit.

Jangan sesekali mengagak..Tiada perkataan 'SAYA INGAT', ' SAYA FIKIR' dan sebagainya.

Nyawa manusia bukan untuk diperjudikan mudah.


Sukakan Kerja

Kerjaya doktor berat.

Benda paling asas, sukakan kerjaya ini.

Orang lain berjuang di bumi Palestin, terbang ke Gaza dan Syria, dikerah ke Lahad Datu.

Hati saya turut terpanggil menyahut perjuangan.

Biarlah saya mengerah keringat dan tenaga, menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada manusia yang memerlukan.

Mengerah sehabis baik agar manusia boleh kembali beraktiviti seperti sediakala.

Amal mereka, kebaikan yang mereka lakukan, sedikit sebanyak ada sisa saham pahala kepada saya.

Masa semakin sedikit untuk berjamaah di masjid, mahupun untuk lama membuka helaian kalam Ilahi.

Sebagai hamba, inilah ibadah saya.Lillahi Taala..

Teringat moto hidup saya , berasaskan tinta sabda Rasulullah tercinta , sebaik-baik manusia adalah yang paling memberi manfaat..

Dan saya sangat berharap inilah medan manfaat yang selama ini saya impikan.

Doakan saya kuat dalam melalui bahtera hidup ini..

Terus berjuang dan tak kenal henti.Harapan itu sentiasa ada...

Semangat...