Sabtu, 27 Februari 2010

Irama Cassanova Makhluk Bergelar LELAKI..



"Tidak ada lelaki yang bakal tidak disukai perempuan.Semuanya pasti ada kecualilah lelaki itu benar-benar hodoh..," keluar kata-kata dari Cikgu Tarmidzi.



Pecah deraian gelak ketawa kami sekelas 4 Sains Makkah, mendengar candaan Cikgu Tarmidzi, cikgu Kimia kami pada waktu itu. Sedikit masa senggang antara formula kimia dan cairan berbikar-bikar di makmal ujian, diisi dengan telatah cikgu yang melihat kami mula diserang kebosanan, ada yang tidur dan ada yang memulakan aktiviti ber'gosip'.



Anak-anak teruna semuanya pada waktu itu hanya menyeringai, melihatkan belahan gigi nan tersusun putih. Maklumlah umur I6 tahun, topik tentang perempuan memang menjadi agenda hangat.Ada 'gewe' belum, siapa bakal isteri, cantik tidak budak tu dan sebagainya menjadi bualan mengisi ruang waktu.



Cikgu Tarmidzi ternyata memahami gejolak jiwa para teruna didikannya. Fitrah untuk mencintai dan dicintai sudah membenih subur di dalam sanubari.



"Fokus belajar dulu. Lepas itu, petik saja jari, sekali petik sepuluh yang datang..," Cikgu Tarmidzi mula membajai pemikiran anak didiknya.



" Anak-anak ini masih sangat hijau, masih belum kenal selok-belok terajang dunia. Mereka perlu dikenalkan mana satu kawan mahupun lawan..," itu mungkin monolog seorang cikgu yang penuh dedikasi dan memahami..







Hati Seorang Perempuan..



Setelah 8 tahun dari peristiwa itu, saya mula mampu menghadam apa yang benar-benar dimaksudkan cikgu.Pengalaman melihat dunia nyata dan menambah dari persepsi hidup insan yang jauh lebih pengalaman, jelas mencambah pemahaman saya.



Kenapa pasti semua lelaki ada yang akan menyukainya?



Jawapannya sangat subjektif.Mungkin sebab lelaki itu kacak, banyak duit, baik, berakhlak dan sebagainya.Tetapi saya senang untuk mengatakan bahawa hati seorang perempuan itu sangat lembut, 'fragile'...



Disebabkan kena marah dengan lelaki, marah bertransformasi menjadi cinta.



Hanya dari jauh mengenal, melihat, tanpa pernah berbual bicara, cinta boleh berputik.



Apatah lagi dengan perempuan yang saban hari, kebajikan, kesihatan, makan, pakai, semuanya diambil berat. Hati perempuan mana yang mampu menafikan perasaan cinta itu. Naluri fitrah itu tumbuh tanpa memberi tanda berjaga-jaga.



Sensasi riang, gembira, bahagia bermain di batin jiwa. Pemuda idaman hati sering bermain di hati, walau fizikal ribuan kilometer terpisah jaraknya.



Hanya sang hati mampu mendiagnosa apakah namanya penyakit yang bersarang hinggap di badan.Lenanya tidur terganggu, seharian tidak mencicipi makanan, tiada sang perut mengalunkan 'keroncong' dan pelbagai keluhan luaran yang mendasari penyakit yang terinfeksi dek diri.



Sungguh aneh lagi pelik perasaan itu..







Lelaki Cassanova..



Saya tidak berniat melabel siapa-siapa. Saya berbicara tentang adegan atau perilaku bak Cassanova, seorang legenda pencinta, konon-kononnya. Dikatakan Cassanova mempunyai pesona yang cukup menawan. Sesiapa yang melihatnya ditambah dengan pujuk rayu membelai yang melemahkan hati nurani perempuan, hampir sesiapa sahaja boleh diajak berselingkuh olehnya.



Sehinggakan dari beberapa sumber mengatakan anak-anak haram hasil perbuatan Cassanova sangatlah banyak. Ada yang merupakan anak haramnya sendiri, yang dia sendiri tidak kenali, dijadikan sebagai mangsa.



Itu hikayat seorang bernama Cassanova..



Saya cuma ingin mengaitkan dengan sikap sesetengah lelaki berjiwa 'Cassanova'.



Ada yang dengan mudah mengambil kesempatan..



Ada yang melambakkan kasih-sayang, perasaan, mencuri hati seorang perempuan dan ditinggalkannya..



Ada yang memerah manis madu sehingga habis dan kemudiannya dibuang nista, ditendang bak anjing nan hina..



Dan pelbagai senario aksi yang mampu kita saksikan pada akhir zaman ini..



Saya mahu meninggalkan segala yang jelas buruk dan dosa seperti zina, rogol, bersekedudukan, khalwat, berdua-duaan bak belangkas dan juga 'monggek bak kata orang Kelantan' atau ' gelek porong bak kata teman-teman Terengganu'.



Sudah terang, tidak perlu lagi bersuluh untuk benda-benda di atas.



Ada sisi lain yang perlu diperhati bersama.







Salahkah Aku?





" Jangan main-mainkan anak gadis orang!" suatu hari Mak Long berkongsi pengalaman dengan saya.



Sudah resmi kalau pulang bercuti, sama ada atas arahan mama abah atau kerelaan hati sendiri, saya pasti akan bertandang ke rumah sanak saudara terutamanya Mak Long, kakak kepada abah.Mak Long seorang ustazah lulusan Al-Azhar, baru pencen tahun kelmarin.



Bukan mahu mengaibkan sesiapa. Nasihat Mak Long itu dijuruskan kepada saya, memandangkan keletah perangai seorang sepupu saya,anak Mak Long. Orangnya baik, taat pada agama cuma ada satu sisi kehidupan yang emaknya sendiri menggelengkan kepala pusing..



Mungkin kerana perilakunya yang penuh perhatian dan mengambil-berat, ramai anak gadis yang terpikat dengannya. Dan tidaklah dia me'monggek' anak siapa-siapa, jauh sekali berdua-duaan ke Pantai Cahaya Bulan, menikmati pemandangan malam disinari purnama di sana.



Tidak..



Hanya keprihatinannya bermasalah. Suka mengambil berat..



Sikap yang baik tetapi membungakan perasaan si perempuan.Calon suami soleh gamaknya, monolog sang kalbu.



Begitulah cerita sehingga bukan satu, tetapi 3 ,4 yang menyimpan perasaan kepadanya.Ada yang sampai menangis-nangis, merengek berkehendakkan jejaka tadi, yakni sepupu saya..



Walaubagaimanapun, jejaka ini tidak pernah mengatakan YA dan juga TIDAK.Semuanya terawang-awang, tiada keputusan rasmi. Harapan membara, tidak pernah padam dan surut.



Begitulah suatu sketsa dari sebuah babak kehidupan insan.



Ini perkara lumrah dan sering terjadi kepada insan-insan biasa, yang berhajatkan kasih dan sayang, cinta dan suka..



Persoalannya sebagai seorang lelaki adalah..








"Salahkah aku?"








"Aku tidak pernah melafazkan kata-kata AKU CINTAKANMU.."








"Kita hanya kawan biasa selama ini"







Itulah melodi justifikasi seorang lelaki. Sekali pandang, memang tidak ada silapnya. Semuanya kerana perempuan yang naif.Sekali pandang...







Jawapannya..



Cinta dan perasaan suka itu lumrah. Harus berterima kasih kepada kurniaan Ilahi..



Untuk lelaki, kalau sudah tahu perempuan hatinya lembut, jadi usah dibelai dan diberi perhatian membuta-tuli, semata-mata untuk mempermainkan perasaannya.



Jangan sesekali..



Juga bukan salah kita lelaki, andainya tiba-tiba perasaan cinta itu hadir di sanubari seorang anak hawa kepada kita.Itu FITRAH namanya..



Cumanya kalau kita tidak berkehendak dan serius, KATAKAN TIDAK sahaja padanya. Bunyinya kejam tetapi itulah tonik paling mujarab untuk meredamkan kecamuk jiwa sang hawa. Parahnya lebih jika keadaan itu dibiarkan berlanjutan kerana harapan itu akan sentiasa menyala.



Lebih baik nyalanya itu DIPADAMKAN sewaktu masih kecil, sukar sekali jika sudah marak nyalaannya.Silap-silap kebakaran terjadi, dan alhasilnya lebih buruk dengan kerugian berlipat kali ganda..



Dan untuk perempuan, jangan jadi NAIF dan BODOH. Jangan sesekali membuntuti lelaki yang anda idamkan ke hulu ke hilir, mempercayainya setengah mati..Dan andai tidak pernah terdengar perkataan JUMPA MAK AYAH, KAHWIN, ANAK, terkeluar dari mulut jejaka idaman, usahlah JIWA dan RAGA dikorbankan kepada jejaka ' plastik' tadi.



Kalau berani, silakan beradab jumpa dengan mak ayah si hawa.Itu cara orang 'gentleman'..Berdada dalam memikul tanggungjawab bukan segan malu bersembunyi di belakang langsir bak pengecut pondan..



Percayalah, jika inipun si 'plastik' ini tidak mampu, manakah mungkin urusan rezeki anak, bancuh susu, tukar lampin anak jam 2,3 pagi akan menjadi pilihan hatinya. Tidak masuk dek akal..







Pesan Buat Diri dan Anda..



Pesona seorang wanita itu hebat.Boleh menjatuhkan, dan juga sebaliknya boleh menaikkan izzah seorang lelaki.



Wanita boleh menjadi seindah perhiasan dunia kurniaan Ilahi, juga wanita boleh menjadi fitnah penghancur seorang lelaki, neraka duniawi ukhrawi..



Rentak Rasulullah mampu meningkatkan jatidiri seorang Khadijah, pesona seorang Aishah Humaira'..



Melodi seorang Ali , mencipta seorang Fatimah, sang setia berjiwa perwira..

Begitu juga irama Cassanova, mencelakakan lelaki, mendurjanakan perempuan bak abdi..

Mahu bertemankan Muhammad di SYURGA atau Cassanova di NERAKA nanti, tepuklah dada, tanyalah hati...





Khamis, 25 Februari 2010

Cinta Rasul? Ubahlah, Jangan Hanya Pandai Berkata-kata..






Andainya, sewaktu kita berjalan santai di tepi pantai pada suatu petang, tiba-tiba kita menyaksikan ada seorang kanak-kanak sedang tenggelam timbul kelemasan, apakah TINDAKAN kita yang paling wajar pada saat itu??

Insan yang masih berjiwa fitrah, masih punya hati dan nurani, pasti akan sedaya upaya menolong si kanak-kanak, yang lantang berteriak meminta tolong nun di tengah laut.

Tetapi manusia boleh dibahagikan kepada beberapa golongan pada waktu ini..

A melihat termangu-mangu, terkejut tanpa membuat apa-apa.

B berteriak " Ada orang lemas..", kemudian bersahut-sahutan dengan C dan D.Berteriak sambil berharap agar ada yang sanggup menyelamatkan yang sedang kelemasan.

E berkejar mencari pelampung, tali dan bot yang boleh digunakan secepat mungkin untuk menyelamatkan kanak-kanak tadi.

Dan F tanpa berfikir panjang, merembeskan segenap adrenalin yang boleh, terus terjun ke dalam laut, berenang ke arah mangsa dan cuba menariknya ke tepi pantai.



Senario Kehidupan

Kebanyakan orang akan setuju jika dikatakan bahawa E dan F adalah insan yang terbaik teladannya dalam kisah ini.Dua insan ini sanggup bersusah payah,hatta sampai mampu mempertaruhkan nyawa sendiri, semata-mata demi seorang kanak-kanak yang mungkin sahaja langsung tidak dikenalinya.

B, C dan D pula mungkin merupakan 'murai-murai' yang cuba mengulas status terkini perkembangan kisah di atas. Mereka jenis yang tahu apa yang berlaku, faham apa yang perlu dilakukan dan sebagainya.Tetapi mereka hanya pandai mengulas, mengulas dan terus mengulas.

Dan sebulat suara semestinya, spesies manusia yang paling teruk adalah yang sedang termangu-mangu, terkulat-kulat memerhati , tidak tahu apa yang berlaku dan tidak langsung mahu menawarkan huluran bantuan pada yang perlu..

Ini secebis senario dalam kehidupan..

Seterusnya..



PKPMI-CB dan KUBI..

Sering juga dalam kehidupan, kita bertemu dengan banyak benda yang salah, sama ada salah dari segi syarak mahupun dari segi adab.

Kita pergi kepada contoh yang lebih nampak di depan mata.

Saya mengambil waqi' atau kondisi di Bandung, Indonesia.

Di sini, ada 2 organisasi utama anak-anak Malaysia.

Pertama, Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Bandung ( PKPMI-CB) dan yang kedua adalah Kelab UMNO Bandung Indonesia (KUBI).

PKPMI bernaung terus dengan kedutaan besar Malaysia, seterusya dengan Kementerian Pengajian Tinggi manakala KUBI bernaung dengan sekretariat Kelab Umno Luar Negara (KULN).

Sesiapa yang berada di Bandung khasnya, pasti akan melihat kedua-dua sisi kebaikan dan keburukan kedua-dua persatuan ini.

" A coin has two sides"

PKPMI sebagai contoh, dengan saya sebagai bekas Yang Dipertuanya yang lepas, bermatlamatkan kebajikan dan perpaduan seluruh mahasiswa di bumi Bandung. Al-hasil daripada itu, banyak agenda, mekanisme dan program yang telah dirancang dan diimplementasikan sepanjang tahun semata-mata berobjektifkan 2 matlamat tadi. Tidak perlu dihuraikan mendalam tentang itu semua. Mesyuarat Agung yang 2 minggu sudah, telah memperincikannya..

Begitu juga dengan KUBI.

Saya punya pandangan sendiri tentang KUBI walaupun induknya adalah UMNO. Orang yang menggerakkan nadi KUBI adalah sahabat-sahabat yang motifnya juga sama seperti saya menggerakkan PKPMI. Persis..

Tiada dalam KUBI nepotisme, korupsi, politik cah keting dan sebagainya..Syukur di sini, KUBI bukanlah se'dajal' sesetengah kelab UMNO lain yang hanya menghabiskan duit semata-mata untuk bermesyuarat bulanan di restoran-restoran mewah , bukan juga hanya pandai mengeksploitasikan duit untuk agenda makan-makan dan melancong..

Alhamdulillah syukur..



Semenjak Tahun Pertama..

Pada penghujung Ogos 2006, saya dan kawan-kawan melabuhkan sauh kami di sini, Bandung.
Bercampur baur antara sedih dan gembira, antara semangat dan rindu keluarga..

Detik awal rencah kehidupan saya di Bandung bermula dengan segala ketidakpuasan hati.

Datang tidak bersambut senior, mata menaksir senior-senior ramai yang sengal, orang-orang Sunda pula ibarat musang berbulu ayam, sentiasa cuba memangsakan kami..

Saya tidak puas hati.

Annual Grand Meeting PKPMI dan KUBI tidak pernah saya lewati. Saya hadir..








"Duit lebih buat jalan-jalan.."





"Program tidak bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.."





"Kebajikan pelajar tidak terbela.."


"Duit yang banyak lebih baik beli peralatan seperti LCD.."






Ini antara ngomelan saya sewaktu AGM saban tahun.Mata saya memandang semua 'kesalahan-kesalahan' yang dilakukan.


Disebabkan marah dan tidak puas hati tadi, saya mengaku saya memang pernah mensasarkan biro agama PKPMI sebagai matlamat saya, sebagai medan saya mengubah semua benda yang 'tidak patut' tadi.Sekali lagi, sama ada dari segi syarak Islam mahupun adab.





Tetapi takdir Tuhan itu ternyata lebih berkuasa.


Saya menjadi pengerusi tetap persatuan dan tahun seterusnya diamanahkan memegang kendali PKPMI-CB. Berat, menyesakkan nafas..


Dari situ, segalanya berubah...


Medan saya bukan lagi sekecil dahulu.Sangat luas dan memenatkan..


Maaf kalau penulisan saya seterusnya ada membuat sesiapa terasa. Saya cuba berlapik..Tetapi kalaulah disebabkan kebenaran yang saya luahkan, saya tidak mampu untuk menyembunyikannya..









Berubah Itu Suatu Proses


Perubahan yang signifikan tidak mungkin berlaku dalam detik waktu yang singkat.Tidak mungkin melihat hari ini seorang perempuan, rambut bercat merah, pakai skirt paras paha dan dada tertonjol, keesokan harinnya 360 darjah berubah menjadi perempuan bertudung labuh, jalan menunduk pandangan, bercakap penuh budi dan bahasa.


Tidak mungkin dan ianya sesungguhnya memerlukan masa. Setahun, 2 tahun, mahupun sepuluh tahun..Ini kerja Sang Pengarah di atas..


Begitu juga dengan PKPMI dan KUBI tadi..


Kerja seorang YDP yang faham, tindakan seorang setiausaha yang penuh komited dan berprinsip serta biro-biro yang berkaitan pasti lagi masih terdedah dengan kekhilafan, tiada kemaksuman pada mereka..


Seorang yang berjiwa besar, mahu melakukan perubahan, adalah bak insan F tadi, sanggup terjun terus ke medan, sanggup berdepan risiko nyawa dan sebagainya..


Mereka mahukan perubahan dan mereka berani berdada turun ke medan...


Mereka bukan golongan B, C dan D, apatah lagi si 'Mat Jenin' A..


Tidak sama yang hanya bercakap dengan mereka yang terjun ke medan laga..







Medan HARAM..





Sesetengah orang mengatakan UMNO HARAM. Saya faham justifikasinya kenapa.Saya boleh melambakkan hujah dan dalil untuk menyokong tetapi bukan ini matlamat saya..


Dato Shahnon Ahmad, bekas ahli parlimen Sik, Kedah, pernah menggambarkan kerajaan UMNO adalah kerajaan tahi, najis dalam novelnya "SHIT". Dan alhasilnya banyak orang berpendapat, kalau mahu merubah UMNO, hendaklah dari luar. Usah membodohkan diri dengan turut sama memalit diri dengan ' keharuman' najis tahi.


Deduksi semberono bagi saya..


Cuba lihat lagi..


Ustaz Hasrizal dalam satu artikelnya menceritakan tentang kisah suatu kaum di Afrika yang setiap kali nama Muhammad disebut, kaum ini akan bangkit berdiri sambil 'melakukan gaya seperti menari'..Hukumya bidaah dan bidaah adalah HARAM.Berdosa..


Tetapi sahabat seperjuangan yang berada di dalam komuniti itu mampu MENGAJAR dan MERUBAH dengan perlahan-perlahan, dengan mekanisme memberi penerangan secara hikmah kepada kaum itu. Dan sahabat tadi terus-terusan berada dalam acara sebegitu, sehinggalah semuanya berubah menjadi ibadah selawat yang betul-betul sesuai kehendak Sunnah Rasulullah..


Begitu juga dengan kes pengurus-pengurus bank suatu ketika dahulu. Mereka terpaksa bergelumang dengan kepengurusan konvensional dan penuh riba. KeHARAMannya jelas..Tetapi di hujung perjalanan itu, merekalah yang menjadi ejen PERUBAHAN.Bak cendawan tumbuh selepas hujan, bank-bank syariah mula bertapak di negara kita, hasil kesabaran dan titik peluh mereka..


Semuanya HARAM..


Kalaulah ungkapan ' kapal bermuatan tahi' digunakan untuk setiap medan yang HARAM, pasti sekarang kaum tadi masih lagi ber'joget selawat' dan bank-bank di negara kita masih lagi dicengkam masalah riba tanpa sebarang alternatif..


Ramai yang mampu mengeluarkan fatwa hukum mana yang halal dan mana yang haram.


Sebaliknya, berapa ramaikah yang sanggup bergelumang untuk merubah yang HARAM menjadi HALAL...


Tidak semudah itu..









Fahami Mereka..


Orang berjiwa merubah ini hebat, penuh sabar di dada.


Kadang-kadang, persepsi pihak ketiga mungkin sahaja melabelkan mereka sebagai 'MURTAD', 'ahli BIDAAH' , ' kerjaya menempah neraka' dan sebagainya..


Betapa sakitnya hati andainya seorang sahabat yang berfikrah Islam juga MENGHUKUMI sang insan yang mahu MERUBAH tadi..


Betapa kecewanya jiwa, kalaulah sahabat yang selama ini mendokong, menyalahtafsirkan perbuatan diri..


Betapa lemahnya semangat, jika sahabat sefahaman mengatakan bahawa kita bukan lagi sahabat sejatinya, bukan lagi handai seperjuangan..


Tidak dapat dinafikan, dalam bergelut dengan semua yang 'HARAM' tadi, ejen-ejen perubahan ini kadangkala terleka. Gerakan silat langkah pernah tersadung. Pernah khilaf..


Sahabat-sahabat tegurlah dengan rasa empati, bekalkan imunisasi semangat kepada mereka secukupnya, dan jadikanlah diri sebagai bahu bersandar dan telinga mendengar sewaktu mereka diterkam masalah.Lebih-lebih lagi sewaktu prinsip mereka diuji..


Bukan dengan MENGHUKUMI,MENJATUHI, dan MEMULAUKAN mereka atas dasar mereka sudah berubah..







Ingatlah sewaktu Perjanjian Hudaibiyyah, Muhammad Al-Amin juga tidak didokong sahabat pada mulanya.

Mana mungkin perjanjian berat sebelah. Basmalah tidak di awal kalimah perjanjian..





Di manakah keadilan jika hanya orang Makkah yang ke Madinah sahaja yang perlu dikembalikan dan sebaliknya tidak..





Rasulullah bersemangat jitu, berbekalkan naungan Ilahi padanya. Mutiara hikmah terserlah di akhir perjalanan itu. Rupanya ada ruang tersirat yang dibuka..





Kerana Muhammad itulah GURU SEGALA EJEN PERUBAHAN..Dan sahabat di sisi, merekalah yang empati, pendokong murni dan bukan PENGHUKUM DIRI..





Cinta Rasul bukan sekadar seindah lakaran puisi..





Ayuh apa ditunggu, jangan hanya pandai MENILAI dan MENGHUKUMI, jadikanlah diri EJEN PERUBAHAN....







Rabu, 24 Februari 2010

Aku Malu Padamu..





Kelu lidahku meluah bicara..

Tangis mutiaraku hangat tiada berdaya..

Getar badanku keruan dek pesona..

Aku malu padamu..

Adakah aku umatmu?

Dengan diri yang masygul ini..

Lemah menghamba nafsu..

Tiada sanggup mengangkat wajah, menatapimu..

Tertunduk hina..

Aku malu padamu..

Adakah aku mengikutimu?

Maafkan aku wahai Al-Amin..

Rabu, 17 Februari 2010

Dabus Rohani Namanya..





Ada sahabat-sahabat yang bertanya sewaktu membuka blog saya..



" Lagu apa kat blog?"



Sejarah..


Tahun I999..



Kira-kira sebelas tahun yang lepas..



Pada waktu itu, saya baru berusia I3 tahun, dan baru menginjakkan kaki ke sekolah menengah.



Sekolahnya pada sesi petang, jadinya pagi adalah waktu me'rumah'kan diri..



Seingat saya, saya sering menonton Buletin Pagi di TV 3.Usai berita, ada sedikit selingan di mana akan ditayangkan beberapa klip video menarik oleh artis tempatan mahupun antarabangsa.



Ada Amad Amigoes, Elvi Sukaesih dan sebagainya.



Dan ada saru nyanyian Kopratasa yang memikat jiwa, mempesonakan diri. Terlihat Siso, Usop dan Sani semuanya berpakaian putih seakan-akan kaih ihram..



Sambil menyanyi , trio bertiga itu berjalan di lapangan yang gersang..





Baju putih,



Selendang putih,



Mari dibawa pergi sembahyang.


Allah kasih,



Muhammad kasih,



Rasulullah terlalu sayang.


Ertikan kehidupan ini,



Ucapkan syukur kepada-Nya,



Rabbul ‘Izzati Tuhan sesungguhnya,



Pasrah dan redha akar insani.


Waktu hidup di dunia,



Janganlah leka terpesona,



Oleh jaring segala kepalsuan.


Dengan wajah keindahan,



Tabir halus yang mengasyikkan,



Terkapar hayat sampai ke akhirnya.








Entah kenapa lagu ini terasa punya aura.



Kadang-kadang, terasa lagi bermanfaat dari melayan dengar nasyid-nasyid cinta, mendodoi khayal ke langit biru.



Jadi bagi sesiapa yang masuk ke blog ini http://www.maxchempaka.blogspot.com/, ketahuilah bahawa lagu ini adalah nyanyian Kopratasa dan tajuknya ialah..





DABUS ROHANI



Selamat mendengar halwa telinga ini :-)

Isnin, 15 Februari 2010

Sebuah Episod "Aku Tidak Pedulisme"




Sunyi sepi sang blog, menunggu jemari menari..



Kepasifan sepanjang 2 minggu terakhir di medan blog, ternyata berbeza di arena realiti.



Saya sangat sibuk menguruskan babak-babak terakhir dalam menempoh hidup berjawatankan Yang Dipertua.Terkejar-kejar menguruskan hal yang masih belum selesai.



Alhamdulillah, syukur pada Tuhan pada tangga I3 Februari 20Io, jawatan YDP telah diletakkan..





" Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya selaku YDP PKPMI-Cawangan Bandung, membubarkan sesi kepimpinan kali ke 37"





bercampur hiba.Bangga lagi gembira..



Lega kerana tanggungjawab yang super berat telah dilepaskan.



Hiba kerana melihat perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara selama setahun ini, telah tamat.



Bangga dengan segenap AJK yang bertungkus-lumus menjayakan setiap program dan agenda.



Gembira dengan pencapaian yang kami lakukan untuk merealisasikan matlamat kebajikan dan perpaduan antara para pelajar di Bandung.



Syukur kepadaNya...






Kecewa



Tetapi saya tidak mampu menyembunyikan perasaan kecewa saya dengan kehadiran ahli-ahli yang cukup tidak memberangsangkan.



Bandung mempunyai keanggotaan seramai lebih kurang II00 orang pelajar.Malangnya sewaktu mesyuarat dimulakan pada jam 9 pagi baru sekitar 70 orang yang muncul di dewan Pusat Studi Bahasa Jepang, Fakultas Sastra Unpad.



Jumlahnya bertambah perlahan-perlahan menjadi sekitar I40 orang yang hadir.Suatu jumlah yang relatif sedikit berbandingkan jumlah keseluruhan pelajar Malaysia di Bandung.



Sungguh sabar Aiza Amirah, Hifa Farah dan kawan-kawan menunggu di meja pendaftaran.Seorang demi seorang menghadirkan diri.



Cekal sekali melihat Aishah (Noi) mengabdikan masa tidurnya sepanjang malam, menyiapkan semua perkara melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Noi dan anak buah memang terbaik ..



Izzati ( Tety) pula bak murai tercongek ekor, menguruskan perjalanan mesyuarat yang julung kalinya diadakan di PSBJ. Menguruskan tempat, makanan dan sebagainya..



Buat setiausaha yang cukup berdedikasi, Sakinah,





“Your job is so SUPERB.You do not work for me. May GOD bless you SIS..”





Arif selaku juruaudit,atau nama masyhurnya Pok Che, membanting tulang, berjalan kaki mengangkat LCD dan skrin putih , dari rumahnya ke tempat mesyuarat. Ada dalam 2.5 km jaraknya.Datang dan balik..



Dan buat yang lain, bersengkang mata sampai ke pagi demi menjayakan sebuah Mesyuarat Agung Tahunan PKPMI-Cawangan Bandung.Semoga Tuhan merahmati anda sekalian..








Aku Tidak Pedulisme




Mereka di atas bekerja bukan dengan dibayar gaji.Bukan dijanjikan habuan pangkat atau nama. Mereka berkhidmat kerana mereka suka.



Ketika yang lain enak dibuai mimpi, mereka masih bekerja dengan tekun dan dedikasi.



Khidmat mereka bertunjangkan kepentingan semua, kemanfaatan bersama. Mereka gembira lagi bahagia melihat yang lain riang dan damai, hasil titik peluh mereka.



Hidup mereka untuk memberi..



Menjadi jiwa yang bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara..



Tetapi sayang seribu kali sayang..



Saya tidak mengharap mereka ini diberi ganjaran tetapi bagi saya mereka wajar untuk dihargai.



Tahniah buat mereka yang peduli dan masih punya hati.Bangun awal di pagi Sabtu, semata-mata untuk menghadiri sebuah mesyuarat.Mesyuarat yang berbicara tentang kepentingan semua.



Saya kecewa dengan yang TIDAK HADIR..



Di mana KEPEDULIAN anda-anda semua??



Tolak ketepi yang sakit, jauh di Bandung dan punya masalah besar lagi berat.



Saya bertanya bagi yang keluar enak ber'shopping' , tidur terbongkang di kamar, gila bermain Facebook atau permainan komputer di rumah..



Malang sekali andainya itulah jawapan yang anda berikan..



Sangat MALANG..






Erti Sebuah AGM





Mesyuarat Agung Tahunan atau Annual Grand Meeting (AGM), adalah sesuatu yang bermakna bagi mereka yang sedar.



Di sini, peluang mereka bertanya. Semua tentang persatuan. Dari bab kewangan sehinggalah aktiviti-aktiviti persatuan.



Sewaktu ini jugalah, pemilihan pemimpin yang baru akan diadakan..



Pemimpin itu akan memainkan peranan dalam mencorakkan persatuan pelajar.



Persatuan pelajar adalah sebuah "negara demokrasi yang bersaiz mini".



Baik pemimpin yang naik, maka baik jugalah corak kepimpinan mendatang.Begitu juga sebaliknya.



Dan disebabkan ini jugalah , setiap undi kita di sini ada NILAI PAHALA di sisi TUHAN..



Sesetengah orang hanya tahu mengutuk dan mengeji, bercakap tanpa bertindak apabila melihat pemimpin atau persatuan dipalit kelemahan dan kesalahan.



Sedangkan dia sendiri, ketika AGM, batang hidung entah ke mana.Sering pemimpin yang disalahkan, padahal dia sendiri tiada kontribusi untuk memilih dan berpartisipasi aktif.



Betapa dangkal pemikiran sebegitu..



Anjing menyalak bukit hanya sia-sia.



Saya melemparkan pertanyaan kepada anda yang terkena sihir "Aku Tidak Pedulisme".Adakah anda sang "penyalak bukit" itu??



Saya bukan...







Kerana Agama..





Bagi yang Muslim, saudara seakidah saya.



Saya tanyakan pada anda.


Sebagai Muslim, kita dituntut memenuhi undangan ke mana-mana majlis.


Hanya undangan berunsurkan maksiat kepada Allah sahaja, yang dilarang kita mendatanginya.


Cuba perhatikan adakah ada pada AGM itu pesta seks bebas sempena Valentine, hidangan arak di bawa ke meja, ataupun ada terselit gelekan-gelekan pesona penari dangdut sebagainya?


Beritahulah saya di mana terselitnya adegan sebegitu.


Undangan khas diberikan kepada setiap pelajar, siap lengkap tarikh dan tempat. Semaraknya ditambah lagi dengan SMS rasmi dari biro Informasi dan juga facebook dan entry di blog rasmi.


Sukar menggambarkan siapa yang tidak mengetahuinya.


Jawablah nanti di hadapan Yang Esa, betapa kecil sang hati, menghibakan perasaan tatkala undangan seseorang kita endahkan begitu sahaja..


Dan juga..


Menurut manual agung, Al-Quran, tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan adalah sesuatu yang disuruh.


Lainlah kalau difahami AGM itu meuar-uarkan saling menolong di dalam dosa dan permusuhan, nescaya saya akan memahami.Adakah sebegitu??


Dan lagi..


Anda Muslim?


Pasti pernah mendengar, menghafal dan juga memahami erti surah terpendek di dalam Al-Quran bukan?


Surah Al-Asr...


AGM itu membuka ruang dan perbaikan sebaiknya.


Saya bertanya lagi..


" Di manakah tanggungjawab anda untuk berpesa-pesan dengan kebenaran dan kesabaran??"


"Adakah ayat sependek al-'Asr inipun sanggup anda jadikan kalimah retorik, mainan bibir semata?"



Ruang sudah terbuka, cuma jangan disalahkan orang lain, jika tertunduk malu di hadapanNya nanti..





Nasihat



Saya hanya mampu menegur, kerana ini tanggugjawab saya sebagai seorang manusia hamba..


Sewaktu lahirnya kita, ada doktor dan bidan menyambut keluarnya kepala mungil dari celahan kangkang ibu, ayah pula mengerat tali pusat, dan ibu menyusukan makhluk kecil molek yang menangis kelaparan..


Jangan sesekali kita mendabik dada mengatakan " KUBUR SENDIRI-SENDIRI"..


Sendiri punya kubur bukan?Apa kata mandilah sendiri, kafankanlah sendiri, solatkanlah sendiri, dan berjalan kakilah ke lubang kubur sendiri...


Humbankanlah wajah dan badan ke dalam liang lahad, dan berdoalah agar ada anjing atau kucing melintas yang sudi 'mencemar duli' mengambuskan jenazah anda..


Selesai..


KUBUR SENDIRI bukan??


Ingatlah teman,


Kita makhluk sosial, saling bergantung sesama.


Tali dengan TUHAN itu penting, begitu juga..



TALI SESAMA MANUSIA..