Rabu, 19 Mei 2010

Mutiara Jernih Demi Seorang Mama...


Masih tertancap erat di ingatan peristiwa sewaktu cuti semester pada bulan Julai-Ogos tahun lepas..Kalau tidak silap,17 Ogos tarikhnya.Kakiku menjejak bumi negeri Cik Siti Wan Kembang,tanah lahir tercinta.

Berdebar-debar hati tidak keruan.Mata ligat melingas mencari sosok ibuku.Dari jauh kupandang wajah jernih itu..Adik lelakiku,Faisal dan adik bongsuku,Faizah,menyeringai di sisi..

Perlahan-lahan,kaki menapak ke arah mereka.Ada cairan jernih bertakung di kelopak mata ibuku.Tangannya kusalam erat.Dahi dan pipinya kukucup syukur.Manik-manik air mata yang diempang,tidak tahan melawan gejolak rasa kasih dan cinta seorang ibu.Terharu kalbu melihat wajah gembira seorang ibu menyambut anaknya setelah sekian lama di perantauan..

Inilah ibuku yang 23 tahun silam,bersusah-payah melahirkan insan ini..


SAKIT


Ibuku kupanggil mama.Dari aku seorang anak yang masih berhingus ,pelat menyebut perkataan ‘mama’,sehinggalah detik ini..Panggilan itu pasti kan kekal walaupun nyawa memisahkan kami.Mama tetap mama ,dunia dan akhirat…

Pulang yang sekejap,akan aku cuba berbakti sebaik mungkin.Ke kedai,ke sekolah,ke masjid,ke pasar, pasti akan kuhantar mama atau di dapur sekalipun.Tidak sanggup aku menghampakan mama.Berat hati melihat gurat rasa kecewa berputik di wajahnya..

Berbakti selagi nyawa dikandung badan…

Belum sampai seminggu aku di rumah,badanku mula berasa tidak sedap.Suhu badan meninggi,kepala berat..Memang sedaya upaya,aku cuba bertahan.

“Kejap je ni,sehari dua kebahla,”kataku kepada mama dan abah..

Memang jenisku kurang ke doktor kecuali keadaan sudah di luar kawalan,dan mama dan abah sudah bernada memaksa.Akhirnya,aku akur ke klinik berdekatan,bertemankan mama.Preskripsi doktor diambil sebaiknya..Keadaan tidak banyak berubah.Demam kebah sebentar,kemudian naik menggunung tinggi.Rasanya pertama kali dalam sejarah hidupku,demam yang kali ini luar biasa,mencecah 41 darjah Celcius…

Abah menyangka aku terkena demam denggi.Sememangnya,ketika itu,di sekitar Kota Bharu memang demam denggi mewabak.’Fogging, sentiasa dilakukan di kawasan kami.Beberapa orang saudara dan jiran turut menjadi anggota jamaah denggi di hospital..

Bimbang…

Abah mendampingiku ke hospital.Ujian darah dibuat…Keputusannya,semuanya agak normal walaupun kadar platelet berada pada tahap batas hampir kurang.Hemoglobin masih dalam kadar normal..Doktor menasihatkan agar berehat di rumah sahaja.

“Keadaan awak tidak seserius pesakit yang lain.Cukuplah sekadar di rumah,”kata sang doktor memberi nasihat.Preskripsi turut diberi..

Keadaan tidak berubah.Selama 2 minggu,hampir setiap hari aku ke hospital,membuat pemeriksaan darah.Jawapannya hampir sama..Badan tersangat lemah,kaki tidak lagi larat melangkah..Solat sudah duduk,masjid sudah ditinggalkan dalam keterpaksaan.Panas badan memuncak setiap kali kesan ubat habis…Suhu badan sudah berpangkalkan nombor empat.Badan sudah berada di luar kawalan diri..

Menggigil….

Panas membahang.Mendemah dahi ibarat memegang bara api lagaknya..

Mama selalu setia di sisi.Tangan sang ibu berjiwa penawar..Sedaya upayanya,mama mengelap wajah dan badanku yang hangat membara.Hanya beberapa patah kata,mampu ku lafazkan..

Akibat terlalu lemah,antara malam-malam ujian itu,ketahanan badanku sudah jatuh berada di tahap paling mimimum.Mama dan abah mengejarkan diriku ke Unit Kecemasan Hospital Kota Bharu.Sesungguhnya aku benar-benar tidak berdaya.Kesedaranku menurun..

Mukanya menceritakan segala.Resah menjarah wajah,sukmanya apatah lagi.Hanya Allah mampu melakar gelisah seorang ibu ketika sang anak,lemah tidak bermaya di hadapan mata…Hatiku menangis hiba.Jiwaku longlai melihat sosok itu durja.Hatiku bermandi duka melihat adik yang mengiringi..Matanya kuyu menahan kantuk.Bahkan,ada ujian di sekolah menanti sang bongsu..

“Maafkan Mi,ma.Mi tak berniat pun nak susahkan mama,abah dan adik-adik,”monolog hati ini,bagai disiat-siat melihat insan-insan tersayang,kepayahan bersalut cemas melihat perihalku…


AKHIRNYA






Setelah 2 minggu berulang –alik hospital,akhirnya aku dimasukkan ke wad.Subhanallah…Barulah tahu kenapa doktor tidak mampu mendiagnosa penyakitku dengan betul.

Rupa-rupanya aku positif demam tifoid dan denggi pada masa yang sama.Rawatan selama ini hanya khas untuk tifoid..Tiada antibiotik khas untuk membunuh Salmonella paratyphii, yang menjajah badanku selama ini..

9 hari lagi pertapaanku di katil hospital…..

Demamku belum kebah sepenuhnya.Rawatan masih berjalan…

Mama dan abah sabar menemaniku di katil hospital.Aku masih longlai tidak bermaya.Selimut 2 lapisan pun masih belum menghilangkan rasa sejuk yang melanda.Menggigil sepanjang malam…

Mama keluar mengajar pada waktu petang.Kira-kira 5 jam sehingga pukul 1830.Syifnya disambung di katil hospital.Sepenuh masa menemani anak sulungnya yang terkapar tidak bermaya…

Aku sangat faham dia sangat-sangat penat.Pagi menyediakan sarapan adik-adik kesekolah,kemudian membasuh baju,mengemas rumah,kemudian memasak makanan tengah hari untuk abah dan adik-adik yang bakal pulang dari sekolah..Itu belum dicampur dengan tugasan sebagai seorang guru penyelia Petang merangkap guru Matematik…Badannya sudah berkata penat dan lelah.Cuma semangat dan naluri keibuaan yang terus membekalkan tenaga tidak putus-putus kepadanya…

Mama punya asma,tidak tahan kesejukan.Hujan sedikit ataupun musim tengkujuh melanda Pantai Timur,itulah saat-saat Mama mendambakan perhatian.

Wad tempat rawatanku itu terpasang pendingin hawa.Harus dipasang sebagai ruang pengudaraan, wahana bakteria-bakteria dinyahkan…

Suatu saat terbangun di tengah heningnya malam,kulihat jasad hawa pertengahan usia itu menggigil kesejukan,dingin yang menggigit ke tulang sumsum…………

Hatiku diruntun hiba…

Air mataku tidak mampu diempang lagi…

Berjejeran keluar,mengalir menyoroti belahan pipi..

Berderaian dalam diam…

Aku tidak mampu memaafkan ke’salahan’ ini..

Sepatutnya,akulah yang berbakti,bukan DIA..

Sepatutnya,aku menyelimutinya,menghangatkannya,bukan melihat dengan pandangan tidak berdaya…

Sepatutnya ketika diri ini sudah mampu berjalan,bercakap,menggerakkan tangan dan kaki,diri inilah yang sewajibnya membalas BUDI yang selamanya tidak akan terbalas..

Sesungguhnya,hanya Allah yang maha mengetahui betapa siksa jiwa dan raga ini menonton tayangan secara langsung itu…

“Mi minta maaf Ma.Mi tak sengaja nak sakit macam ni,takda niat pun nak meyusahkan Ma dan Abah,”aku membungkus diriku di dalam balutan selimut,menangis sedu-sedan…

Aku berjanji pada sang diri..

“Jangan engkau sakiti hati hawa ini selama-lamanya,jangan sesekali!!”

Kasih sayangnya tidak mengharapkan balasan..

Cinta kepada zuriatnya tanpa ada maksud tersirat..

Memberi cinta tanpa dipinta

Cinta yang TANPA SYARAT…



DEMI REDHANYA….



“Redha Allah dengan redha kedua ibubapa,dan murkanya Allah dengan murka kedua ibubapa”


Begitulah secebis untaian kata dari Rasulullah yang dikhabarkan oleh Bukhari dalam Sahihnya…

Tanpa keredhaan ibubapa,bagaimanalah pula mahu mendapatkan redha Allah,Tuhan sekalian alam.Tuhan yang meletakkan darjat ibubapa itu berada di tingkatan teratas di bawah darjat keagunganNya..

Nasihatnya penuh maksud tersirat,tiada yang lain kecuali mahukan sejuta kebaikan didoakan untuk sang anak.Jauh ke hadapan dia memikirkan kemaslahatan zuriat tersayang..

“Nak tak nak,saya nak kawen dengan dia jugak.Mak setuju ke tak,saya dah fikir masak-masak.Keputusan saya dah muktamad,”
lancang perkataan kata dua dihamburkan oleh seorang anak yang sudah kemaruk cinta.

Resmi orang bercinta,dunia punya dia dan permaisuri di hatinya.Tiada yang lain..Langsung lupa dengan kewujudan perempuan yang selama ini bersusah-payah siang dan malam kerana dia..Hanya kerana seorang anak gadis,langsung si ibu tua diendahkan ke tepi..

Hakikatnya,si ibu pasti tersenyum gembira melihat anaknya tumbuh mengikut jalur fitrah seorang manusia biasa.Lelaki sukakan perempuan,hawa inginkan adam..Cuma mungkin nada seorang ibu yang penuh kasih dan cinta,inginkan yang terbaik untuk anaknya..Cinta itu membutakan,rasional ditolak ke tepi.Si ibu mungkin sahaja mahu memberi celik dari buta yang menggerhanakan.

“Apakah salah ibu wahai anakku??”pertanyaan hati seorang ibu,sambil melambaikan tangisan sayu kepada sang anak yang melangkah laju,tanpa berpaling sepicis…

Hancur hati seorang ibu…….


…………………………………………………………………

“Ma,Mi rasa macam nak kawen lar,dah sampai seru kot,”usikku riang kepada Mama suatu saat bersamanya.

“Kalau nak,pilih yang Kelantan je,”selamba Mama menjawab.

“Kenapa kena Kelantan je,negeri lain tak boleh ke?”tanyaku kembali sambil tersenyum.

Mama memandang,tiada emosi dipamerkan.Riak wajah yang belum dapat diteka sebetulnya…

“Orang sini ramai yang baik,agama pun ok.Dah la dekat…
,”sepotong demi sepotong kata diluahkannya..

“Oh macam tu.Orang nak tanya sikit ye.Mama ingat tak kawan baik Mama.Tak silap Mi,orang Merlimau dulu.Baik tak dia?”aku memasukkan jarum,mencucuk perlahan-lahan.

Mama suka bercerita.Dan aku anak yang sulung yang suka mendengar.Tentang asal-usulnya dari orang Kuala Kangsar,tentang datuk nenek,tentang zaman mudanya dan pelbagai lagi rencah pengalamannya…..

Tidak silap,kawan Mama itu bernama Hamidah.Teman karibnya di maktab perguruan dulu..Pertemuan mereka yang terakhir adalah kira-kira 25 tahun silam,sewaktu masing-masing masih anak dara sunti.Tetapi,hubungan mereka masih rapat walaupun sudah bersuami dan beranak-pinak.

Cara orang lama berhubung,surat menyurat,kad hari raya,sering berbalas kunjung..

“Pandai la tu,”
Mama membalas dengan mimik muka terukir senyum,mekar..

Kami pecah dengan hilai ketawa…….

...... ……………………………………….


Setiap sesuatu ada tempat dan caranya..

Setiap yang diutarakan pasti ada sebab musababnya,susur-galurnya...

Adakah tidak boleh berdialog dengan cara yang terhormat dengan seorang yang bergelar ibu dan bapa??

Adakah tidak boleh disapa halus,belai lembut hatinya sebelum mengutarakan pandangan yang sedikit berbeza??

Jawapannya boleh-boleh sahaja.Bergantung sepenuhnya kepada setiap orang bagaimana mahu menyikapinya.Diri kitalah yang mengawal “controller”nya…

Cubalah sedaya upaya kita untuk memutikkan senyuman seri di wajahnya..

Mungkin dengan belajar sedaya upaya,pulang ke kampung halaman dengan IPK yang bagus..

Mungkin juga dengan berakhlak dengan akhlak yang baik,menjadi hamba Allah yang taat dan sebagainya..

Apa-apapun tugasan kita,gembirakanlah mereka,ibu dan ayah…

Kita adalah jambatan wasilah kebahagiaan mereka.Selagi mana mereka masih bernyawa dan kita juga masih bernyawa,selagi itulah kita berbakti…

Bukan sekadar di dunia,akhiratlah yang paling utama..

Anak soleh dan solehah sebagai harta….



Tiada ulasan: