Ahad, 31 Oktober 2010

Kelantan, Juara Piala Malaysia V(^^,)V



Sujud syukur kami rakyat Kelantan, Piala Malaysia akhirnya, buat sekian kalinya, bertamu di laman Tok Janggut.

Pahlawan Merah tiada erti penat lelah, bersemangat dengan lautan merah marhain Negeri Darul Naim..

Perlawanan yang sungguh mengujakan..

Kelantan tertekan dengan serangan awal Negeri Sembilan sehingga Apek (panggilan Khairul Fahmi), penjaga gawang Kelantan, terpaksa merempuh pemain Negeri Sembilan dalam kotak penalti..

Penalti dan 1-0...


Separuh masa kedua dimulakan..

Pahlawan Merah berjuang berhabis-habisan menyerang.

Sehingga minit ke 57, Hairuddin Omar, penyerang asal Setiu, Terengganu, jiran Kelantan, menanduk cantik, menewaskan Sani Anuar Kamsani, penjaga gol Negeri Sembilan..

Gempita di Bukit Jalil. 60,000 penyokong sang Kijang dilanda euforia..

Begitu juga penghuni rumah no 4, Jalan Sukagalih 2, Sukagalih, Sukajadi ,Bandung, Indonesia..

Saya dan sahabat, Khalis (berbaju jersi Kelantan), bersorak sampai tenggelam timbul suara kami.


Semangat kami, penyokong kembali bangkit. Igauan tahun kelmarin ditinggalkan jauh-jauh.

Tahun ini pasti milik Kelantan..

Dan di layar komputer riba, Nur Farhan melarikan bola dari sayap kanan. 'Through pass' kepada Badru Razi ( nama manjanya Piya) cukup tepat dan cantik..

'On the run', sepakann deras dilepaskan dalam kotak penalti.

GOLLLLLLLLLLLLL.............

Kami berdua melompat, seperti anak kecil.


2-1 sekarang...Tersisa dalam 15 minit sebelum detik penamat ditiupkan sang pengadil.

Aksi serang menyerang, mendebarkan dada. Rentak jantung seakan-akan berlari pecut 100 meter lagaknya..

Dan akhirnya...

Wisel akhir permainan ditiup sang pengadil..

Laungan, teriakan, jeritan dan juga tangisan bangga bercampur gembira menggamit arena Bukit Jalil dan seantero bumi Kelantan..

Kelantan MENANG...

Dali Omar tidak berjaya, Hashim Mustapa tersekat, tetapi Indra Putra, Piya,Akmal, Farhan, Shahrul Idlan berjaya juga. Impian tergapai...

Sujud syukur padaMu ya Rabbi....


P/s :

Alhamdulillah menang semangat..Menang Piala Malaysia dan paling penting kami, seluruh penyokong Kelantan dan Negeri Sembilan MENANG AKHLAK....

Semoga Malaysia terus maju di persada dunia.Mulakan dengan Sukan Asia bulan hadapan...Insyaallah~

Dan hari ini seluruh Kelantan berpesta, Kami CUTI...

Sabtu, 30 Oktober 2010

Semangat Tok Janggut....



Saya bangga menjadi rakyat negeri Kelantan, laman bermain Cik Siti Wan Kembang..

Orang Kelantan sinonim dengan semangat, berapi-api. Pentas politik umpamanya, bagai medan perang bagi orang Kelantan. Pilihanraya umum disambut bak pesta 5 tahunan..

Buka sekadar pegawai-pegawai di kerusi empuk, malah nelayan dan petani di Bachok dan Jeli sana turut bersantai sama..

Dan saya, semenjak zaman Hashim Mustapha,Zami dan Zamri Mohd Noor, memang penyokong setia bola sepak negeri Kelantan.Dibelek halaman Berita Harian, helaian Sukan dibuka dan dicari berita tentang bola sepak Kelantan.

Kelantan tercampak di Liga FAM, liga kelas tiga di Malaysia, saya masih menyokong dengan penuh harapan.

Selangor dan Perak saya lihat dengan pandangan cemburu. Mereka bertakhta di Liga Super dan Piala Malaysia.Hebat...

Semangat saya terbakar. Saya masih berdarah Tok Janggut..

Dan sekarang, kini, kesempatan datang lagi untuk merenggut Piala Malaysia.Sudah beberapa cubaan di aksi final belum berjaya...

Semoga kali ini, mohon doanya..

Saya mohon bicara dalam dialek asli negeri tercinta..Jangan katakan kami Asobiyyah. Mahu mengatakan, jom berdebat dengan saya terlebih dahulu..Baru tahu langit itu tinggi atau rendah.Sang Rasul juga bermatian mencintai buminya Makkah,dengan darah dan air mata rindu itu mengalir..

" Saim-saim ambo, oghe Kelate semo. Male ni kito pakak-pakak tunjuk perangai comey. Tok soh lah kito terbakar denge emosi...

Ingat pese Tok Guru, kito nok mene.Tapi kito tok sey mene denga perangai huduh. Kito oghe semangat denga peranga comey..


Saim-saim ambo,

Kito oghe Isle, bawok Isle, saye ko Isle, saye ko agamo, saye ko bangso kito.. Gano-gano pon jadi, kito doa Kelate mene male nih.Mene kito sujud syukur, kaloh pun kito sujud syukur...

Allahuakbar"

Jumaat, 29 Oktober 2010

Di Arena Psikiatri Kita Bertemu, Wahai Teman...



Kali pertama melangkah ke dalam ruangan Jiwa, hati saya berdebar-debar.Antara seronok dan takut..

Seronok kerana pengalaman yang bakal ditimba, merupakan kesempatan yang tidak semua insan punya kesempatan untuk mendapatkannya. Takut dek kes-kes yang timbul bersangkutan pesakit-pesakit mental.Membunuh, mengamuk, mencederakan diri sendiri dan aneka ragam tingkah yang menerbitkan aroma-aroma keseraman di benak hati..


Mereka..

Dari cuak nan memuncak,seram yang membukit, saya mulai beradaptasi. Ruangan dikenali dengan saksama. Jururawat-jururawat, yang kebanyakan berstatus ibu dengan saya, disapa mesra.

Sudah dikenali Pak Nurman, ketua jururawat di ruangan, dibantu oleh Ibu Indra yang sangat suportif dan jururawat-jururawat lain. Doktor-doktor yang sedang mengambil pengkhususan dalam bidang Psikiatri juga melemparkan senyuman mekar, menghulur tangan , membuka bicara apabila konsultasi diperlukan.

Dan di sinilah juga kukenali mereka..

Mamat,Asep, Tuyanto,Pak Arif, Rudy, Aang, Cepi, Hatari, Taufeq..Mereka lelaki yang tertimpa malang. Tuhan menghantarkan ujian kepada mereka,insan-insan terpilih..Beban ujian yang sedikit di luar kemampuan tanggungan , menjadikan mental mereka 'terkejut'.

Setiawati dan Ami yang masih anak remaja, Euis dan Yanti yang sering berulang-alik setahun dua, tiga kali masuk ke ruangan, dan juga Nek Masilah dan Mahayanti, sudah 70-an usia gerangan. Anak-anak hawa ini berkumpul di dalam satu ruangan, dengan hati yang sudah mati rasa, hilang rasional di akal.

Dan di laman inilah ku kenali dirinya..


Kisah Seorang Iwan..

Hari itu ada seorang pesakit yang baru didaftarkan masuk.Seorang lelaki, seusia saya. Namanya Iwan. Masih segak, sihat dan bergaya.

Saya amati rekod kesihatan anak muda ini.

Ditelusuri sejarah silamnya. Bila, kenapa dan apa yang berlaku pada dirinya. Tekun menyiasat..

Dari jauh saya memerhati, melihat gerak-geri gerangan diri. Secara fizikal, tiada keanehan terpancar daripada luaran.

"Assalamualaikum.." saya memulakan mukaddimah bicara.

"Waalaikumussalam.." dijawabnya sepatah, seraya melabuhkan punggung di samping.

Perkara pokok dalam ilmu kejiwaaan, jangan biarkan ada jurang yang mendasar antara doktor dan pesakit. Anggaplah pesakit seperti teman seperjuangan, nescaya dia akan suka untuk bersama kita..Bukan sekadar disebabkan pakaian serba putih sebagai hak mutlak mewawancara, kepercayaan secara semulajadi pesakit juga antara tunjang penting..

Iwan mulai bercerita dan bercerita.Saya tahu sejarah silamnya, cuma biarkan sahaja dia berbicara..Biar dia melepaskan sesak di dada, menyimpan perasaan di lubuk hati.

" Saya mendengar suara perempuan, mengejek-ejek. Suara itu mengancam untuk membunuh adik perempuan saya.Saya takut suara itu akan benar-benar melakukannya!" jelas Iwan dengan raut wajah bersungguh.

Saya mendengarkan.

Biasanya, simptom-simptom halusinasi ini didahului dengan stressor atau faktor pencetus yang menyebabkan pesakit hilang kawalan terhadap fikirannya sendiri. Sama ada disebabkan kehilangan orang tersayang, kematian ibubabapa, hilang harta benda dan sebagainya.

"Cari faktor pencetus itu, gali dari kata-kata pesakit!" terngiang-ngiang kata doktor spesialis yang membimbing saya.

"Teruskan.." saya menyambung noktah pada bicaranya.

"Saya ada cubaan mahu membunuh diri, kerana itu syarat untuk menyelamatkan adik saya! Saya mahu memotong kemaluan saya!" ujar sang pria tuntas. Tiada sesal terpancar di wajahnya.

Astagfirullah..Astagfirullah..Mengurut dada saya dibuatnya.Bukan sekali tetapi 3 kali cubaannya mahu 'menyembelih' alat sulitnya.

Gurat wajah saya masih tenang, tetapi hati beristigfar panjang.

"Sekarang bagaimana? Masih mahu 'potong' kemaluan kamu?" saya menguji sama ada masih ada idea bunuh diri pada dirinya.

"Tidak..Tidak ada."katanya..

Hati ini bersyukur, lega.Syukur padaMu ya Tuhan..

"Benda ini salah kan?"

"Kalau tahu sudah salah, kalau saya yang menyuruh kamu memotong kemaluan kamu, kamu masih mahu lakukannya?" saya menasihati, memotivasi biar dia boleh berfikir.

Iwan mengangguk setuju.

"Ya, sesiapa sahaja yang menyuruh, perbuatan ini tetap salah.Saya berjanji tidak akan melakukannya lagi Doc!" kerasionalan berfikir pada dirinya sudah hampir normal. Sudah boleh diperkirakan bahawa aksinya sebelum ini memang menyanggahi norma manusia normal.

Faktor pencetus belum saya ketemu.

"Kamu ada perasaan bersalah?" terkeluar pertanyaan itu dari mulut saya. Seringnya dari perasaan bersalah, timbul tekanan atau stress kepada pesakit sehinggan menimbulkan gangguan kejiwaan.

"Ya ada.." kata Iwan, mengaku spontan.

"Saya sering masturbasi , Doc..Selepas melakukannya, saya rasa sangat bersalah!"

Setelah sekian lama berinteraksi, akhirnya, terbit juga sumber dan akar aral yang menimpa.

Kesian.

Empati.

Saya juga lelaki sebaya.

Saya juga memahami gejolak nafsu yang sering mengajak melakukan benda-benda mungkar.

Tidak dapat melampiaskan nafsu kepada perempuan, diri sendiri menjadi mangsa..


Perihal Solat..

"Kamu solat lima waktu?" tanya saya.

"Solat Doc.." jawapan itu keluar dari mulutnya, tiada teragak-agak.

"Di sini solat?"

"Tidak Doc.."

" Solat itu kan tiang agama. Solat itu menjadi benteng kamu mengawal nafsu, berdoa, memohon pada Allah.."

"Kan solat yang benar caranya, ikhlas niatnya, nescaya kamu tidak akan melakukan perkara-perkara berdosa tadi.."

"Bila kamu mengingati Allah, Dia akan sayang sama kamu.Dia akan memelihara kamu dari perkara-perkara tadi.Asal kamu mengingatiNya.."


Panjang saya ber'ceramah' di hadapannya. Nadanya bukanlah nada seorang ustaz.Nada itu datangnya dari seorang teman, yang prihatin mendengarkan.

"Sudah waktu Zohor kan Doc?" tanya Iwan sambil saya mengiyakan.

Lantas, perlahan-lahan dia meminta izin ke bilik mandi. Wuduk diambil dan dari kejauhan saya memerhati.

Sejadah dihampar menghadap kiblat Baitullah.Dan...

Allahuakbar....

Mata saya berkaca-kaca. Hati sudahpun 'menangis' hiba. Penuh syukur..

Dalam hapak dan masam aroma ruangan, di sini lahirnya seorang insan fitrah..Sedar akan khilaf silam, berjanji pada diri dan Ilahi untuk menjadi hamba sebenar hamba..

Di dunia yang punya pahala dan dosa, menuju akhirat yang membahagiakan, Syurga di sana..

Dan bagi diriku, walaupun hanya dialog sebentar, aku bahagia menolongmu wahai temanku..

Duhai sang teman, semoga menjadi insan yang berbakti kepada orang tua, menyebarkan manfaat pada agama, bangsa dan negara..Aku mendoakanmu..

Jumaat, 22 Oktober 2010

Selesai Sudah.. Ayuh Teruskan Perjuangan



Alhamdulillah, selamat sudah pengebumian jenazah Allahyarhamah Inani Zalikha Binti Zainal Abidin...

Sudah selesai perjalanan duniawi, masuk pula ke laman ukhrawi..

Walau jasadmu tiada bersama, selama-lama ingatan akan terus subur, mekar tumbuh di hati nurani ini..

Berbahagialah kamu di sana wahai teman...

Dan di medan ini, kami akan terus berjuang, menyebarkan tangan-tangan manusiawi, menolong insan-insan yang memerlukan..

Tetap semangat..

Ayuh teruskan perjuangan..


P/S :

Berikut adalah petikan-petikan berita yang dipaparkan di media massa di Malaysia.




Khamis, 21 Oktober 2010

Salam Terakhir Seorang Teman..





Hari ini saya melangkah penuh semangat, memasuki Rumah Sakit Hasan Sadikin,Bandung.

Sambil berjalan perlahan-lahan, sempat juga bertegur sapa dengan teman-teman yang turut mengorak tapak ke medan memberi kami.

Tiba-tiba datang seorang kawan perempuan. Esakan tangisnya membuat saya kaget. Kenapa dan kenapa bermain di fikiran.

"Nani dah tiada!"

Kawan-kawan mula berkumpul. Khabar yang diterima cuba dikenalpasti kesahihannya.

Masing-masing terkesima. Sungguh mengejutkan..


Di Rumah Sakit Advent

Jenazah ditempatkan di Rumah Sakit Advent, Cihampelas, kira-kira 2 kilometer dari kediaman kami para pelajar Malaysia.

Ruangan Jiwa saya tinggalkan.. Dengan beberapa orang teman, kami bergerak dengan 'angkot' ke sana. Mahu menghulurkan bantuan kepada sahabat-sahabat yang terlebih dahulu bergegas ke sana..

Ke ruangan Forensik kami menapak. Berdebar adakah benar berita yang terngiang di telinga.

Usai di destinasi, sudah ramai yang menanti. Membaca Yasin , menguruskan surat menyurat rasmi dan pemberitahuan kepada pihak kedutaan Malaysia, pihak fakulti, saudara mara dan sebagainya.

Hawa dukacita menguasai gelanggang.Suram dan muram.

Ya benar, 100 %. Jasad itu terbujur kaku. Kain diselak, rona wajahnya bersih, memancarkan nur ketenangan. Sempat dibingkiskan kalimah doa, mengharapkan kebaikan dunia akhirat buatnya..


Tunggu Kami Di Sana..

Selesai sudah urusan seorang keturunan Adam dan Hawa di bumi milik Ilahi ini.

Saya melamun jauh. Instrospeksi ke dalam diri yang kerdil..

" Tak rasa apa-apa ke?"

Sengaja saya lemparkan persoalan menikam sukma kepada seorang 'abang', sahabat saya.Nada saya bergurau, dalam mengingatkan sahabat dan diri sendiri. Terasa dekat benar sebuah kata bernama M.A.U.T.

Hakikat sebenarnya, saya merodok jantung, nyawa sendiri. Terasa benar dosa-dosa yang bertimbun , dilakukan saban hari.

Ketakutan ini datang bertandang. Saya betul-betul belum bersedia.

Astagfirullah tidak terucap dengan banyaknya noda-noda hitam yang mengarati hati nan putih bersih.

Buat temanku, Inani Zalikha Binti Zainal Abidin, semoga tenang di persemadian abadi. Dan moga-moga ruhmu dutempatkan bersama hamba-hambaNya yang solehah dan beriman.

Tunggu kami di sana, Insyaallah kami akan mengikuti jejak langkahmu, wahai teman.Jenazah-jenazah ini kan mengiringimu..

Innalillahi wainna ilaihi rojiun.....




p/s :

1) Inani meninggal dunia sekitar jam 5 pagi di biliknya. Sebab kematian tidak diketahui secara penuh, cuma berkaitan dengan masalah pernafasan.

2) Autopsi untuk mencari sumber kematian tidak dilakukan atas kehendak keluarga allahyarhamah.

3) Keluarga allahyarhamah telah tiba di Bandung, kira-kira jam 1530 waktu Indonesia Barat.

4) Urusan penghantaran jenazah berjalan lancar Alhamdulillah. Terima kasih kepada pihak Fakulti Kedokteran Unpad, pihak PADMA, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan juga para sahabat seperjuangan yang banyak turun tangan.. Insyaallah jenazah akan dibawa pulang melalui Bandar Udara Soekarno Hatta, Jakarta, pada pagi esok, 22/10/2010.

5) Memandangkan berita kematian ini telah dimasukkan ke dalam Bernama, Berita Harian dan juga Buletin Utama TV3, saya sebagai seorang teman, tidak mengharapkan ada pihak yang akan mengeksploitasi kematiannnya untuk kepentingan peribadi, politik dan sebagainya..Hanya harapan seorang teman..

Selasa, 19 Oktober 2010

3 Minggu Berdamping Ahli Syurga..




" Tuan puan nak tengok ahli syurga?"

"Betul-betul ni. Tak percaya ke?"

Dalam nada serius berceramah, sang orator sempat bergurau canda.

" Ni yang banyak jalan-jalan kat bandar. Jangan main-main, mereka tu ahli syurga. Kepingin tidak jadi macam mereka!"

Lawak lelucon itu ada benarnya.Gempita hadirin hadirat menggamit sukma duha di tengah-tengah bandar Kota Bharu.

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man empunya cereka. Di sebalik ketawa ceria, tersingkap sebuah kebenaran.

Ya, mereka ahli syurga. Tiada taklifan pahala dan dosa terhadap mereka.

Ya, orang yang punya masalah psikiatri atau bahasa rakyat, orang gila, adalah golongan yang tidak mampu disaman oleh Raqib dan 'Atid.


Ilmu Kesehatan Jiwa..

Di Indonesia, umum memanggil Psikiatri dengan Ilmu Kesehatan Jiwa atau ringkasnya J.I.W.A.

Sekarang, saya berada di dalam putaran di bahagian ini, 3 minggu lamanya. Dan hari ini, baru 2 hari baru dinoktahkan.

"Wahyu, Wahyu, kamu Wahyu kan?"

Ketika jejak sulung di bahagian ini, kami kaget seketika. Seorang teman di'serang hendap' oleh seorang pesakit wanita. Sangkanya teman ini adalah anaknya.

Cuak sang teman tiada berkesudahan. Kawan-kawan perempuan pula mula memposisikan diri di bahagian tengah, agar terhindar dari ' ancaman'.

Saya kurang memerhatikan taklimat oleh jururawat bertugas. Mata saya melilau-lilau melihat suasana sekeliling. Hapak, tengik menyambar aroma ciuman hidung.

Kurang menyenangkan.

" Ala bosannya. Menakutkan pun ada!"

Mula ada komentar terlontar sesama kelompok.

Kes pembunuhan berprofail tinggi dan penuh sadis di Malaysia, sering sinonim dengan pesakit mental. Menyembelih ibu dan bapa, membunuh anak kandung..

Benak fikiran kembali memutarkan kembali rakaman kejadian yang dipapar di dada akhbar dan kaca televisyen.Tidak tenang qolbu jadinya..


Positif Masih..

Saya percaya sesuatu kendali adalah di dalam tangan kita, kita yang menentukan jadinya A,B mahupun C. Ya, dengan doa dan kudrat Tuhan pastinya.

Memandang sebuah gelas yang masih penuh setengah airnya adalah betul.

Juga gelas yang sama bisa ditafsirkan sebagai kosong setengah, tidak pula suatu kesalahan fakta.

Tetapi, di situ ada bezanya.

Setengah penuh itu sentiasa bernada aura positif, kosong setengah pula mendambakan negitivism, salbiah benar akal di kepala.

Begitu juga di Jiwa..Penentunya adalah diri sendiri.

Mahu takut, sentiasa mencari eskapisme, kosonglah tangkapan ilmu.

Mahu berlapang dada, turun berkenalan, berdamping dengan 'ahli-ahli syurga', bertanya khabar, adalah suatu kesempatan emas. Jarang yang dihidangkan peluang seumpama.


Dan Hari Ini..

Tunggu punyalah tunggu, rupanya bimbingan dengan konsulen (doktor pakar psikiatri) ditunda ke sekian waktu.

Ada teman yang mengisi keperluan perut dan ada yang menghala pulang ke kediaman masing-masing. Saya pula malas untuk pulang.

Usai mencatat sedikit nota, saya masuk ke ruangan pesakit. Mereka dilepas, bebas.

Pendek cerita, aneka ragam adegan disaksikan dan terlibat.

Bermain pingpong dengan pesakit itu biasa, cumanya tadi kot putih saya 'terancam'.

Kot yang diletak di samping, diambil dan diperagakan oleh seorang pesakit skizofrenia. Mujur diminta terus diberikan kembali. Kalau tidak, jenuh mahu mengejar 'anak dara' seorang .

Bergaduh sesama pesakit, meludah-ludah.

Berjemaah menghidangkan 'air oren' ( baca air kencing) kepada teman-teman sewad. Semuanya meminum. Ubat kata sang penghidang.

Mandi di tengah-tengah ruangan, sambil cuba berbogel kerna permintaan baju baru tidak dilayan jururawat.

Dalam pening melayan kerenah mereka, saya tersenyum sendiri...

Kerja Tuhan itu sungguh istimewa..

Ada pesakit mental, adalah juga doktor datang menghulurkan terapi. Kedua-duanya manusia berlainan aksi dan cerita.

Ada yang punya halusinasi dan ada yang suka ada delusi.Sedih, marah dan kecewa bermaharajalela di takhta akal.

Pesakit mental ibarat anak-anak mumaiyyiz lagi. Beban dosa dan pahala hanyalah sekadar penghidupan sihat mereka dahulu, sebelum tersimbah sakit.

Yang satu hapak dan berbau, satu lagi wangi lagi kemas.. Belumlah tentu taqwa sang wangi lebih tinggi dari yang hapak berbau..Bahkan lebih tinggi, mungkin sahaja.

Moga satu sudah bercop rasmi Syurga. Mereka sudah 'mati' sebelum mati.. Manakala doakan yang satu lagi, yang berjuang menyelamatkan nyawa insan, bergerak juga menuju 'ajrun 'azim. Syurga yang abadi..

Semoga di J.I.W.A. , kita bertemu kasih, dan di Syurga , hati kita bersimpul mati..Dengan izinNya Rabbi,,

Jumaat, 15 Oktober 2010

Jejak Sulung di IGD (Unit Kecemasan)



Setinggi kemaafan dijunjung wahai lamanku tersayang. Hampir sebulan tiada sebarang artikel baru..Sekarang empunya diri sudah berpindah mukim ke Jalan Sukagalih, Sukajadi, di tengah jantung kota Bandung..

Bertugas di rumah sakit (baca hospital) dengan bidayahnya di bahagian Saraf. Dan kini telah 3 minggu berlalu dan bahagian saraf telah dilalui dengan jayanya. Syukur Alhamdulillah..

Internet pula baru 2 hari berjaya dengan stabilnya mengetuk pintu laman rumah kami, Villa Intan, gerangan kun'yahnya.


Jejak Sulung di IGD

Bismillah.. Jejak diatur, hati dicerna seikhlas mungkin.

Instalasi Gawat Darurat atau Unit Kecemasan menanti di depan.

'Oncall' kali pertama di ruangan nyawa bersabung. Malakul Maut berkunjung datang dan pergi.

Tugas saya hanya di ruangan Penyakit Dalam kerana di situlah pesakit-pesakit bahagian Saraf datang bertandang.

Mudah bahasanya, Saraf adalah anak kepada Penyakit Dalam. Tetapi kadang-kadang, pesakit-pesakit yang datang menderu dipertanggungjawabkan kepada doktor-doktor saraf.

Seringnya serangan angin ahmar ataupun bahasa klinisnya stroke adalah penyebab paling utama, di samping sawan epilepsi, tetanus, meningitis ( radang otak) dan aneka ragam nama penyakit yang lain.

Mendebarkan namun mengasyikkan.

Detik demi detik berjalan, namun tiada terasa sang waktu melambai pergi.

Dari tugas asas mengambil nadi, suhu, kadar respirasi, dan tekanan darah, sehinggalah memasang 'nasogastric tube' ( tiub dari hidung sampai ke perut), memasang ' catheter' ( saluran kencing tiub) dan pelbagai tugas dokter muda, saya beranikan diri untuk mencuba.

Lihat jururawat lakukan terlebih dahulu, kemudian dengan namaMu Tuhan, saya memberanikan diri. Pesona memberi manfaat sesama manusia, saya sukakannya.

" Semangat nampak. Rajin benar ke sana ke mari!"

Doktor-doktor yang sedang membuat spesialisasi (panggil Residen) menegur ramah. Pertama kali mungkin. Kalau sudah berpuluh kali hadir di Unit Kecemasan, mungkin saya juga dihinggap jemu melata. Sudah terlalu biasa pasti..

Cuma saya berkata pada diri, sematkan dalam nubari, semuanya pasti ada ganjaran di sisi Ilahi Rabbi..

"Aku hanya seorang hamba insani, sekadar perpanjangan tangan Tuhan kepada makhluk dikasihi. Aku bangga untuk peribadi ini.. DemiMu Ya Allah..."


Detik Itu..

Setelah penat lebih 2 jam berjuang dengan pesakit yang mengamuk kerana tidak mahu cairan tulang belakangnya diambil, saya melepaskan lelah di kerusi. Sebentar..

Masuk seorang pesakit, sudah tidak sedar.

Menurut keluarganya, semenjak 3 minggu lalu, kesedarannya kian menurun.

Umur pak cik itu sudah melebihi 80 tahun. Subsidi umur yang diberikan Tuhan kepadanya.

Berganding dengan seorang teman, kami berbuat prosedur biasa. Saya memeriksa nadi. Masih berdenyut elok..

Sang teman pula terkebil-kebil, tekanan darah tidak juga-juga berjaya didapatkannya. Sangkaan diri kemungkinan tekanan darahnya tinggi, sehingga sukar untuk dibaca jitu.

Datang seorang jururawat, saluran vena di tangan kiri sang pesakit ditusuk jarum. Hajatnya untuk memasukkan cairan infusa. Sang pak cik masih lagi kaku, tidak sedar. Pernafasannya berbantu tabung oksigen.

" Doktor, matanya sudah 'mydriasis' (bebola mata berkembang tanda pesakit hampir meninggal dunia)"

Berkejar saya mencari doktor residen yang berada di kaunter.Secepat kilat..

" Sudah meninggal. Biarkan sahaja.." kata doktor apabila saya masih cuba melakukan CPR. Dadanya ditekan-tekan..Hanya mencuba.Kudrat lemah seorang manusia biasa.

Terpaku.

Kaget.

Keluarga pesakit dijelaskan. Nyawanya sudah habis. Kembara dunia berakhir, perjalanan akhirat bermula.

"Allah..Allah..Allah.."

Anak-anak sang jasad kaku membisikkan kalimah agung di telinga. Air mata mengalir tiada henti. Esak tangis bergema di ruangan kecemasan.

Saya melihat, memandang sayu suatu episod yang pasti.Doa dihambur dari hati dan lidah..

Saya, ibu dan bapa saya, anda dan juga keluarga anda..Kita bakal-bakal jenazah itu..Tiada Insyaallah untuk sebuah kematian , Insyaallah hanya pada sebuah husnul khatimah, penutup yang terpuji.

Sama ada esok atau lusa, sekarang atau sedekad lagi, hanya dalam pengetahuan Rabbi..


Jangan Mati Rasa..

Sebagaimana kubur itu dikunjungi untuk menerbitkan insaf dan ingat, begitu juga ruang kecemasan. Laman kunjungan rutin makhluk pencabut nyawa, Malakul Maut panggilannya.

Sedar seketika..

Sesungguhnya hospital itu suatu perkara yang subjektif. Kita menentukannya dengan nilai kita secara individu.

Mencari jururawat-jururawat comel (baca perawat imut) , bergaul tanpa batas dengan teman berlainan jantina, bertempuk tampar sedaya mahu, memperlaku pesakit seperti tiada mata dek kemiskinan dan papa kedana dan pelbagai aneka sikap celaka dan mencelakakan.

Mahu mengawal mata sangat susah, merawat hati yang sakit, bergelap dosa apatah lagi..

Kepada sejawat, tatkala bertungkus lumus di kamar kecemasan, sama-sama kita ingatkan diri tentang MATI.

Di bawah pepohon kelapa, banyak kelapa-kelapa tua berwarna coklat bertebaran sana sini. Namun di antara sensasi tua itu, ada kelapa-kelapa muda berwarna hijau khudra' berselang seli.
Jatuhnya tidak punya alamat dan ketika..

Sekarang mungkin yang sekujur kaku di perbaringan di depan mata adalah pesakit kita, esok lusa, perbaringan itu kan menjadi takhta milik sendiri.Kaku sendiri..

Cerdaslah wahai diri, jom mengingat mati..

" Sesungguhnya setiap yang hidup pasti kan merasai MATI"