Isnin, 19 September 2011

Fikah Perubatan ; Sebuah Terobosan Ilmu dan Rukhsah


Sewaktu mencari buku dan sumber rujukan berkaitan fekah perubatan, saya banyak bertemu dengan buku-buku yang banyak berkisar pada teori dan hukum-hukum lama dalam perubatan.

Ilmunya ada, cuma sangat susah mahu berinjak pada zaman realiti sekarang.Antara teori dan realiti, terasa langit dan bumi rentangnya.

Dengan zaman kemajuan teknologi perubatan, manusia bertanya bagaimanakah mahu bersolat sewaktu sedang dipasang jarum di tangan (saluran infus), bagaimana pula tiub kencing (urine catheter), dan alat-alat yang dimasukkan ke dalam anggota badan untuk meneropong organ dalaman manusia..

Maka tidak hairan, jikalau menurut kajian di Malaysia, 50% pesakit di hospital tidak akan solat selama keberadaan di hospital.

Puncanya adalah kerana kejahilan dalam mengaplikasikan tuntutan rukhsoh dalam solat.Ini belum dicampur dengan mereka yang azali liat bersolat.


Buku FIKAH PERUBATAN

Buku Fikah Perubatan ini adalah terbitan PTS Millenia dengan gabungan pakar di bidang perubatan seperti Dr Harmy Mohd Yusoff dan Dr Rosediani Muhammad.

Sebagai pelengkap rencah, pakar agamanya adalah Ustaz Syamsul Kamal Abdullah dan Ustazah Wan Ainon Wan Abdullah.

Buku ini membahaskan tentang,

1) Asas Fikah Perubatan
2) Hukum Berubat
3) Bendalir Badan, Aplikasi dan Thaharah
4) Pelaksanaan Ibadah Semasa Sakit
5) Puasa dan Isu-Isu Perubatan Moden

Sejujurnya, banyak benda yang banyak saya pelajari sewaktu membaca buku ini.

Dari aspek haid, nifas, dan istihadha, setidak-tidaknya boleh diketahui hukumnya bagaimana.Beza warnanya pula dan sebagainya.

Keterbukaan dalam aspek ibadah membolehkan seorang bakal ibu yang sarat hamil dan hampir melahirkan, terus beribadah.


Wuduk dan Tayamum

Isu yang sering didebatkan dan dijadikan alasan tidak boleh bersolat oleh banyak pesakit, dan sering isu qadha solat ditimbulkan.

Pesakit dengan memakai beg tampung najis (colostomy bag), disimen (Plaster of Paris) dan sebagainya, bagaimanakah cara bersuci mereka.



Di sini dibentangkan dari menggunakan wuduk, bertayamum dan juga gabungan keduanya.

Perbahasan dari segi fekah dibuka, dan tidak terbatas kepada pandangan satu mazhab aliran semata-mata.Fokus akhirnya adalah memaksimalkan kemudahan untuk pesakit agar ibadahnya terus tetap berlangsung sewaktu di hospital.


Jamak Solat

Pesakit dibolehkan menggabungkan solat kerana pelbagai faktor seperti mahu menjalani pembedahan yang melangkaui waktu solat.

Begitu juga untuk doktor dan operator pembedahan yang lain.

Namun, ada satu aspek diangkat oleh buku ini, yang menarik pandangan saya untuk diketengahkan.

Bagaimanakah pula kalau pembedahan tadi bersifat kecemasan seperti perdarahan dalam perut akibat kemalangan, tiba-tiba pada pukul 530 pagi dan berakhir pukul 730pagi?

Sedangkan Subuh seperti diketahui tidak boleh dijamak dengan mana-mana solat.



Penyelesaiannya, doktor hendaklah bertindak secepat mungkin, dan menyegerakan solat yang dia tertinggal. Latar masa juga mungkin dengan pembedaha multi komplikasi yang boleh menjangkau berbelas-belas jam. Mungkin sahaja waktu Zuhur,Asar dan Maghrib luput.

Usai pembedahan, si doktor harus segera menunaikan fardu solat yang terpaksa ditinggalkan tadi mengikut urutan. Umpamanya seperti kes di atas Zuhur 4 rakaat,Asar 4 rakaat dan kemudian terakhir Maghrib 3 rakaat.

Di sini ada beberapa prinsip fekah yang perlu diperhatikan.

1) Apabila bertemu 2 kepentingan, hendaklah didahulukan kepentingan yang lebih besar.Dalam kes di atas adalah berkaitan NYAWA.

2) Apabila bertemu 2 mudarat, hendaklah cuba dielakkan mudarat yang lebih besar. Dalam kes di atas, nyawa pesakit dan tidak solat adalah kemudaratan.Namun, NYAWA mudaratnya lebih besar dan harus diutamakan.

3) Menolak kerosakan adalah lebih utama daripada mendatangkan kebaikan. Apabila bertemu antara menyelamatkan nyawa (menolak kerosakan) dan solat awal waktu (mendatangkan kebaikan), hendaklah dipilih untuk menyelamatkan nyawa terlebih dahulu.

4) Mendahulukan perkara yang terhapus tanp ada ganti adalah lebih perlu berbanding dengan perkara yang terhapus tapi ada ganti. Dalam kes ini, NYAWA pergi tidak akan kembali.Namun sekurang-kurangnya solat masih boleh digantikan.


Kesimpulan

Jika ditanya pada saya, sejujurnya,buku ini adalah buku yang WAJIB dibeli, dikhatam dan dihadamkan oleh ummat Islam, khasnya kepada petugas-petugas perubatan yang banyak bergelumang di medan.

Setidak-tidaknya apabila ada pesakit yang kurang mengerti, ada usaha promotif dari petugas-petugas perubatan seperti doktor untuk memberikan tunjuk ajar.

Setidaknya, sewaktu bersengkang mata di arena medik, berkeringat panjang, lenguh lutut sendi di kamar operasi, adalah sedikit sebanyak saham pahala yang terhasil oleh petugas medik. Terhapus juga dengan pahala sebegini untuk menggantikan waktu bacaan Quran, qiyam dan solat sunnah yang sangat minimal senggangnya.

Selamat membaca (^^,)

Sabtu, 10 September 2011

Agama ; Tranquilizer Orang Kedana..



Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.


Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.


"Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan NabiNya s.a.w."







Aku hanya marhaen biasa.

Wang cukup apa adanya.

Barang berjenama, harga dewata, terliur dek jiwa.



Di sana, ada yang kebulur seksa.

Di pelosok, ada lambung membahana.


Sedang di puncak, perkasanya wahai istana.

Mewah harta.

Kaya meraja.

Wang di mana-mana.


Aku hanya marhaen biasa.

Merindukan sosok Umar Al Aziz di takhta.


Tribut Buat Seorang Murabbi


Harimau mati meninggalkan belang,manusia mati meninggalkan nama.

Bidalan Melayu memperkatakan perihal si dia yang sudah berangkat ke alam fana.


Ustaz Hasan Syukri

Seorang ustaz.

Seorang ulama.

Seorang pejuang.

Seorang senator.

Seorang timbalan presiden parti.

Namun si dia sangat merendah diri.Mangkuk tandas dialah pencucinya.Semak-samun membelantara pasti harapan kosong jawapannya.

Buku ini mengajar saya erti sebuah perjuangan, keikhlasan dan keistiqamahan.

Tidak sia-sia kemeriahan Syawal di laman bonda, sambil diselingi bicara Tribut Buat Seorang Murabbi.

Murabbi bernama Ustaz Hasan Syukri...

Semoga berbahagia di dunia sana..

Selasa, 6 September 2011

Bahana Si VODKA..




"Hurm, jarang kes sebegini!" hati kecilku berbisik halus.

"Alcohol Intoxication!"

Seingat diriku, sewaktu di bahagian Mata, ada kes seorang lelaki yang hilang pancaindera penglihatan, akibat meminum minuman keras tiruan.Minuman yang dipercayai mempunyai kadar metanol yang tinggi.

Biasanya harga minuman keras yang murah, lebih berkemungkinan.Kerna kadar metanol dicampurkan dengan lebih banyak.

Alhasilnya, berlakulah gejala toksik di retina saraf mata.

Buta buatan, bahana meneguk air syaitan.


Cerita di Wad

Hanya melihat sekilas status pesakit, daku menyangka pastilah si pesakit itu lelaki,bermuka ganas, bertatu mungkin.

Namun, jauh benar panggang dari api.

Lelaki yang ditebak, rupanya seorang puan empunya diri.Ibu dua orang cahaya mata lagi.

Pabila ditanya kenapa ter'masuk' ke dalam wad, si ibu tersipu-sipu malu.

" Minum Vodka doc!"

Ya Vodka.Sejenis arak.

Arak hukumnya haram.Haram itu dosa.Dosa itu merintis jalan ke api abadi.Namanya neraka.

Entah bagaimana rasanya Vodka.Hanya Tuhan dan mereka si peneguk yang mengetahuinya.Katanya teman-teman bukan Muslim, sebelum meminum Vodka, harus dicicipi dengan air limau.

" Vodka tu perit kat tekak bro. Tekniknya kena minum air limau dulu sedikit sebelum 'bedal' Vodka!"

Teringat borak dengan teman bukan Muslim.Menambah pengalaman dan seni meminum Vodka, walaupun seumur hidup, sumpah,wallah, saya tidak mahu mencicipinya.

Mencari bahana dunia akhirat,walau setitik yang masuk ke rongga perut.

Dan si ibu tadi..

Saya percaya dianya Muslim, hanya dari melihat dari iras wajahnya dan nama nya sendiri.

Tidak bertanya saya apakah agamanya.

Seprofesional mungkin, arah haluan pertanyaan diatur agar soalan-soalan yang diutarakan tidak berbau terlampau sensitif.

Jurang komunikasi antara doktor dan pesakit harus diminimalkan sekecil mungkin. Ketika sudah tidak canggung dialog wawancara, hasilnya akan semakin positif, dan perawatan dapat diterapikan sebaik mungkin.

"Saya sering minum sama teman-teman.Wine, bir, vodka menjadi hirupan saya bersosial.Terakhir hari Khamis malam!"

" Biasa-biasa saja.Cuma setelah satu hari, saya sesak nafas.Dan langsung berkejar ke sini!"

Saya menggangguk-angguk, sambil memikirkan kusamnya hati.

"Si ibu ini meneguk air syaitan, pada malam kedua Aidilfitri.Hari fitrah insan!"

Aduhai...

Terkedu sebentar memikirkan di manakah mahu dicari Aideen Wal Faeezeen dengan sambutan mungkar sebegini.

Jauh benar kalam Ilahi dari Surah Al Maidah 91, kepada hati si peneguk najis khamr.

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah , adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan..

Hiba hati.Berat juga mahu bersuara.

Mahu juga langsung mengucapkan selamat tinggal kepada si ibu.

Namun...

Setelah dijelaskan sedikit sebanyak-banyak kondisi terakhir yang semakin baik, dan kemudiannya sudah diizinkan pulang, ada bait amanah yang perlu dilaksana.

" Pada pandangan ibu, apa langkah terbaik yang harus dilakukan?"

" Ya walaupun menurut ibu, teman-teman seVodka kelmarin tidak mengalami apa-apa gejala, kemungkinan besar tingkat ketahanan ibu rendah berbanding yang lain, lantas menyebabkan ibu mengalami gejala sesak nafas!"

" Boleh sahaja ibu minum minuman yang lebih kurang kadar alhoholnya seperti wine atau bir sahaja.Bagaimana bu?"

Doktor muda berkostum putih ini bertanya, seraya tersenyum mekar.

" Baiknya doc, langsung berhenti.Lebih baik.." tersembul jawapan dari si ibu.Gurat wajahnya masih biasa-biasa sahaja.

Ternyata tidak sia-sia menggunakan bahasa yang lebih neutral dalam berbicara.Tidak memaksa, tidak menghukum.Hanya menggambarkan adegan hitam dan putih yang bakal dihadapi.

" Ya bu.Begitulah sebenarnya.Saya hanya memberitahu baik buruknya.Selebihnya, tergantung ibu untuk menentukan jalan yang mahu dipilih!"

'Jebakan' ke arah nurul huda sedikit sebanyak berhasil.

" Nanti ibu teruskan makan ubat yang diberikan sampai habis ya.Semoga cepat sembuh ya bu !"

Katil pesakit perlahan ditinggalkan.Sorotan mata , diukir bunga senyum, melambaikan perpisahan dengan si ibu.

Daku hanya menyampaikan, pada yang Maha Perkasa segala hidayah kebaikan.

" Semoga cepat sembuh, dan jangan sesekali lagi menyentuh air tegahan Tuhan itu ya ibu!"

Sebuah monolog doa dari qalbu.