Khamis, 25 Disember 2008

Muharam ; Antara Realiti dan Fantasi...

Saban tahun, kedatangan Muharam dimeriahkan dengan pelbagai jenis sambutan..Paling signifikan di kaca mata sesetengah kita,mungkin dengan berarak sambil berselawat dengan semangatnya,sambil melaungkan pelbagai slogan yang silih berganti setiap tahun.Dan trend terkini,muncul pula gelaran Tokoh Maal Hijrah,anugerah kepada sesetengah tokoh masyarakat yang dianggap berjasa kepada agama.

Begitulah manusia..
Mudah terjebak dengan kancah yang melebihkan perkara-perkara enteng dan remeh,akan tetapi persoalan yang lebih penting, dibutatulikan oleh mereka.Ada yang sekadar mengikut majoriti manusia menyambut kedatangan Muharam atas dasar ikutan dan adat semata-mata tanpa mengendahkan atas dasar apakah dia berbuat demikian.Persoalan asas...Banyak yang menganggap 1 Muharam merupakan tarikh di mana Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah.Padahal mengikut sejarah Rasulullah keluar dari rumah menuju rumah Abu Bakar pada malam 27 Safar tahun 14 dari nubuwwah.Muharam hanyalah merupakan bulan pertama daripada 12 bulan Hijrah,yang disusun oleh Umar Al-Khattab.Bukanlah mengatakan orang yang tidak mengetahui hakikat ini berdosa,tetapi ini sedikit sebanyak mempertontonkan ketidakcaknaan sejarah segelintir kita.

Tidak lengkap memperkatakan Muharam jika tidak diselitkan dengan istilah Ashura’.Ashura’ atau 10 Muharam terkenal dengan puasa sunnah pada hari ini.Juga masyhur dan menjadi satu kemestian di kalangan kita ialah juadah bubur Ashura’.Setiap tempat dengan resepi masing-masing.Banyak berpandangan resepi asal bubur Ashura’ dimiliki oleh Nuh a.s. Dikhabarkan tatkala pelayaran bahtera Nuh, simpanan makanan untuk penghuni bahtera itu berkurangan.Lantas,makanan yang ada dicampur-campur dan muncullah idea kreatif Nuh a.s , sejenis makanan yang kita sebut-sebut sebagai bubur Ashura’.Orang kita mensinonimkan Nuh a.s. dengan bubur Ashura’. Juga bila disebut nama nabi Allah ini,banyak yang akan takjub dengan peristiwa lambakan najis di atas bahteranya,yang ditakdirkan Allah berkuasa menyembuhkan.Si buta celik kembali,yang berpenyakit kulit kembali kepada keadaan asal.Kaum Nuh dengan rela hatinya menjilat balik ludah mereka sendiri..”Lihat,hebat benar mukjizat Nuh a.s. ini”, kata insan-insan yang kekaguman dengan keajaiban Nuh a.s.

Hebat lagi musuh Islam!!
Umat Islam diheret pandangannya kepada perkara sebegini tanpa melihat intipati utama dakwah Nuh a.s. Lebih-lebih lagi,kisah-kisah di atas tiada dasarnya di dalam Al-Quran, Sunnah mahupun kitab-kitab sirah muktabar.Al-Quran menceritakan kisah Nuh,khas di dalam surah yang dinamakan dengan nama Nuh a.s sendiri.950 tahun usia perjuangannya.Hanya sekelumit insan menyahut seruannya.80 orang,hasil perjuangannya siang dan malam.Menambah beban dakwahnya lagi, isteri dan anaknya sendiri bukan menjadi pendukung dakwahnya,tetapi lebih teruk, menjadi dalang penghancur semangatnya. Mereka ingkar dengan seruan penuh kasih-sayang seorang suami,seorang ayah yang penuh pengharapan pada keluarganya. Ayat 7 dari surah Nuh memaparkan tahap keingkaran melampau kaum Nuh a.s. Mungkin kita ada membenci seseorang individu, kita mungkin masih lagi mampu berpura-pura mendengar. Nuh a.s ternyata berbeza.Setiap kali Nuh melontarkan seruan mentauhidkan Allah,mereka menutup telinga mereka dengan jari-jari dan meletakkan wajah mereka ke dalam baju masing-masing. Kekaguman manusia sepatutnya diarahkan kepada kehebatan sabarnya Nuh a.s. dalam berdakwah kepada kaumnya,bukan ditumpukan kepada bubur Ashura’ dan kisah lambakan najis di dalam bahtera..

Selain itu,turut popular di kalangan masyarakat kita bahawa tanggal 10 Muharam,penuh dengan fadilatnya yang tersendiri.Usap,kepala anak yatim,baca Al-Fatihah 1000 kali,ziarah orang sakit,mandi Ashura’ dan sebagainya.Yang pasti tiada satupun dalil dan nas yang sahih menyatakan fadilat 10 Muharam.Hanya Allah, si pemberi pahala.Kemahuannya ditunjukkan oleh Al-Quran sambil dibantu petunjuk Rasululah.Tiada insan yang berkuasa mendabik dada bahawa amalan sekian sekian mempunyai pahala tertentu kecuali ianya disuluhi dari 2 sumber yang agung ini.Segala amalan soleh tersebut wajar dilakukan sepanjang masa,tanpa terikat dengan tarikh dan tempat tertentu.

Sebaliknya, golongan Syiah menjadikan Muharam ini sebagai Hari Kesedihan.Mereka mengingati hari di mana Hussain,cucunda Rasul dibunuh di Karbala pada tahun 61H. Mereka mencucuk diri mereka dengan besi,rantai dan sebagainya sehingga berdarah-darah.Sama kayaknya dengan kavadi Hindu.Mereka mendakwa ini sebagai bukti kecintaan mereka kepada Hussain dan keluarga Rasulullah yang lain.Padahal tidak pernah dicontohkan Rasulullah dan para sahabat melampaui batas dalam berkabung terhadap kematian seseorang yang disayangi.Fikirkanlah..Betapa sedihnya Rasulullah apabila Hamzah syahid,apabila Khadijah pendampingnya yang setia meninggal dunia.Sebagai manusia, Rasulullah juga fitrahnya pasti bersedih.Kalaulah berkabung ala Syiah itu,tanda kecintaan dan mendapat ganjaran pahala,pasti Rasulullah dan sahabat-sahabat lebih jauh mendahului kita dalam bab ini.Satu kontra yang cukup jelas dengan golongan Syiah..

Muharam ini merupakan Muharam yang kali ke 1429 dalam sejarah.Biarlah Muharam-Muharam yang telah lepas dibiarkan berlalu..Mungkin sebelum ini kita ‘mabuk’ dibuai sogokan sejarah dan cerita-cerita yang tidak jelas kebenarannya.Moga-moga Muharam ini menjadi titik perubahan dalam hidup kita dalam memahami Islam yang asli,murni tanpa terus dinodai anasir-anasir luar yang cuba merosakkan keaslian agama ini.Semoga picu kebenaran terus mekar menerobos pemikiran umat yang diracuni kefahamannya.Ameen....

Sabtu, 20 Disember 2008

Jatinangor Weirdies...

Hmm...Hampir tamat satu lagi secebis waktu dari kehidupanku untuk hari ini.

Alhamdulillah tamat sudah ujian sistem 'DermatoMusculoSkeletal System(DMS)'.

Penat..Mental dan fizikal.

Bayangkan 200 soalan objektif perlu dijawab selama 3jam 20 minit.Habis buah fikiran dimuntahkan untuk mencari suatu jawapan.Tidak semudah itu memilih satu dari lima pilihan jawapan..

Yang terbaik telah dikerahkan.Moga-moga dengan izinNya,InsyaAllah,yang terbaik juga hasilnya nanti..

Akan tetapi,topik kali ini bukanlah tentang ujian.Sedikit ingin berkongsi rasa pengalaman hari ini..Sudah lumrah kejadian di sini,tetapi hati tetap tergeletek lucu.


PERISTIWA 1:


Sepanjang pagi,beruzlah dalam bilik.Bertemankan buku-buku di sekeliling dan komputer riba di depan mata.Tidak sedar panggilan azan Jumaat hampir menjelang.Sebagaimana rutin mingguan,solat Jumaat pastilah di Masjid Jami’ As Solihaat Cikuda.

Azan pertama dikumandangkan tatkala kaki baru melangkah masuk ke dalam ruangan masjid.Usai solat sunat,aku mengesan sedikit riak kepanikan terjadi antara bapak-bapak yang mengungsi saff paling hadapan.

Pak Idin,sang bilal hari Jumaat tidak nampak batang hidungnya!!

Kecoh hanya seketika.Tiba-tiba,bangunlah seorang lelaki,berkaca mata, berpeci putih.Kedut seribu pada raut wajahnya jelas memperihalkan gerangan usianya..Biasa dipanggil Aki Mulyana.Dia dinobatkan orang kampung sebagai warga paling tua di RT 02 Cikuda.

Sedikit gusar bermain di hati.Dengan alunan suara tersekat-sekat di kerongkong,dia membaca bait-bait zikir sebelum khatib naik mimbar.Kemuncaknya,azan kali kedua..Tebaklah sendiri apa jadinya.Dengan sisa suara yang ada,antara dengar dan tidak..

Aku tunduk memandang lantai,tersenyum simpul..



Aki Mulyana (barisan depan,dua dari kiri)


PERISTIWA 2:


Usai kertas DMS pada pukul 5 petang.Hati tidak bercadang ingin pulang ke rumah.Malas..Jam 7 malam nanti harus turun lagi.Ada jemputan makan malam dengan Pengarah JAWI yang datang melawat ke Jatinangor..Untuk mengisi masa senggang,aku halakan motorsikal ke penghujung jalan Hegarmanah.Rumah adik kelasku,Jamal,menjadi tempat bertandang.Datang dengan tujuan memberi sedikit amanat dan nasihat.

Tiba waktu Maghrib..Kami melangkah ke masjid berdekatan rumah Jamal.Sesampainya di masjid,rupa-rupanya jamaah sudah selesai.Mereka terus iqamah tadi,tanpa solat sunat sebelum Maghrib.Berdua,kami berjamaah sambil dihiasi dengan hingar-bingar anak-anak yang bermain di dalam masjid.

Al-kisahnya,sewaktu sedang wirid,aku melirik Pak Imam yang masih khusyuk berada di tikar sejadahnya.Tiba-tiba perlakuannya menyebabkan aku tersentak.Dibuangnya kilas kain pelikat,pecinya diletak ke samping dan dengan selamba, badannya dilabuhkan terus di atas tikar sejadah tadi.Kain pelikat tadi lantas bermetamorfosis menjadi selubung yang mahsyuk.Anak-anak yang tadinya ligat bermain,kini seakan-akan tertarik sama untuk ‘berjamaah’ bersama dengan Pak Imam tadi ; ayah mereka…

Jamal memandangku sambil terukir senyum di bibirnya.Aku hanya mampu menggarukan kepala yang tidak gatal…


JAUH BERJALAN LUAS PENGALAMAN

Masih ada seribu satu cerita yang belum dikongsikan.

Sudah terbiasa dengan sebuah negara yang dinamakan sebagai Indonesia.

Lain kali,mungkin dengan justifikasi dari cerita-cerita dari bumi Merah Putih.

Buat kali ini biarlah sekadar sedikit gambaran awal apa sebenarnya yang terdapat di sini..




P/S Cerita ini berlaku pada 12 Disember lepas.Lambat untuk di’post’..

Khamis, 11 Disember 2008

Demi Sebuah CINTA..


“Anakku,sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu,”berat hamburan kata-kata Sang Bapa.

“Ayahku,kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu.Insyaallah, engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar,”ringkas balasan Sang Anak.

Diseka perlahan rembesan manik-manik jernih dari kelopak matanya. Tidak terbayang kalbu sang Bapa tika itu.Hati pedih bak disiat-siat sembilu bisa sambil pisau di jemari menggeletar maha hebat..Sang Anak menunduk rela,pasrah dalam ketaatan.Luluh tangkai jantung pasti melihat cereka ini...Demi sebuah CINTA,Ibrahim sanggup memperjudikan nyawa buah hati pengarang jantungnya..

Takjub!! Suatu jawapan yang cukup agung..Pasti, tidak terfikir di dalam benak seorang manusia yang waras akalnya, untuk menyembelih darah dagingnya sendiri.Akan tetapi,kepatuhan dan ketaatan kepada perintah Yang Esa, lebih jauh diutamakan..Begitulah kisah Ibrahim dan puteranya Ismail yang dipotretkan Allah dalam Surah As-Soffat (37:102).

Saban tahun, kita lewati tanggal 10 Zulhijjah..Semua maklum inilah tarikhnya Hari Raya Aidil Adha,hari kebesaran umat Islam.

Cuma sayang seribu kali sayang..Aidil Adha seakan-akan sudah tiada tempat di hati sesetengah daripada kita.Taring dan sengatnya entah ke mana menghilang. Hambar!Tawar!..Cuti yang sekadar sehari dua,digunakan untuk bersantai.Mahasiswa lena di katil empuknya,penjawat awam senang bergoyang kaki di istana masing-masing,anak-anak kecil terpaku melongo di hadapan kaca TV dari pagi hingga ke petang..

Mulut mungkin mahu menidakkan,pandangan mungkin disebelah matakan,tetapi hakikatnya inilah fenomena yang mula membarah dalam nubari masyarakat kita.Pahit pasti,tetapi itulah yang harus ditelan..

Di mana titik khilaf itu??

Jelas,dangkalnya kefahaman tentang peri pentingnya Aidil Adha itu kian membelenggu jiwa-jiwa Muslim hari ini.Manifestasi pengorbanan Ibrahim dan Ismail langsung tidak membekas di hati.Kosong..Adakah sama nilai tumbangnya seekor lembu korban dengan jasad mulus Ismail?Andai dikumpul semua haiwan korban AidilAdha nanti pun,tetap neraca pengorbanan memberat kepada Ismail.Jelas..

Wahai teman sekalian...Tatkala nanti laungan Allahuakbar menggamit suasana pagi 10 Zulhijjah,marilah kita sama-sama menghayati erti sebuah pengorbanan.Berkorban terpisah dengan keluarga tersayang di seberang,berkorban bergelut dalam jerih-perih dunia kedoktoran...Semuanya mengandalkan jiwa,masa,tenaga,harta..Alangkah rugi andaikata pengorbanan itu, hujung pangkalnya tidak ketahuan..Atau sekalipun tujuan itu wujud,tetapi berkiblatkan materialisme hedonistik sesaat cuma,tetap ia tidak punya pulangan.Korbanlah kita kernaNya dalam rangka kita sebagai hamba dan khalifah di bumiNya.Inilah cinta yang abadi dan hakiki,dambaan hati...

Semuanya kerana CINTA...

Selasa, 2 Disember 2008

Berkorban Bersama Rasulullah...


Mengerjakan Ibadah Korban Menurut Sunnah Rasulullah SAW




Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh ALLAH. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima ALLAH.

Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.

Firman ALLAH S.W.T:

"DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." - Surah al-Mulk: 2.

Oleh itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w seperti berikut:

1. Waktu perlaksanaan ibadah korban.

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

Imam Syafie r.h berkata:

"Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban." – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh karya Imam Syafie, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m.s. 737.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَّهْلِهِ لَيْسَ مِنْ النُّسُكِ فِي شَيْء

Maksudnya:
"Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1961

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَلْيُعِدْ
Maksudnya:
"Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah mengulanginya." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5561.

Sabda Rasulullah s.a.w:


كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ
Maksudnya:
"Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan." – Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151.

2. Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.

Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.

Sabda Rasulullah s.a.w:

أَرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الأََضَاحِيِّ فَقَالَ الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ظَلْعُهَا وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى
Maksudnya:
"Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, 2420.

3. Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.

Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
Maksudnya:
"Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.

Menurut Imam al-Nawawi r.h:

"Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain." – Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Diukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98.

Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata:

"Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada ALLAH. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." – Rujuk Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96. Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, ms. 99

4. Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian.

Jabir r.a berkata:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya:
"Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1318.

5. Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.

Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.

Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Abu Ayyub menjawab:

كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ
Maksudnya:
"Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1425.

6. Ibadah korban dilaksanakan di musolla.

Menurut sunnah Nabi s.a.w. solat sunat Aidiladha mahupun Aidilfitri dilaksanakan di musolla. tempat terbuka (seperti padang) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى. فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.
Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w. keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 956.

Sebagaimana yang telah kita maklum solat di Masjid Nabawi adalah lebih baik daripada solat 1000 kali di masjid lain selain Masjidil Haram. Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah s.a.w. tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla. Ibnu Qudamah r.h di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:

“Mengerjakan solat Hari Raya di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi s.a.w. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.”
Oleh itu disunnahkan melaksanakan ibadah korban di tanah lapang yang digunakan untuk mengerjakan solat Aidiladha (musolla) demi memperlihatkan syiar Islam.

Menurut Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْبَحُ وَيَنْحَرُ بِالْمُصَلَّى

Maksudnya:
"Sudah menjadi kebiasaan baginda menyembelih dan berkorban di musolla." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5552.

7. Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban.

Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.

Anas r.a berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.

8. Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah.

Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta. Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر).

Anas r.a berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama ALLAH dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.

9. Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.

Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mensedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.

Sabda Nabi s.a.w:

فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا
Maksudnya:
"Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu)." - Hadis riwayat al-Muslim di dalam Sahih al-Muslim, hadis no: 1971.

10. Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.

Sudah menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.

Ali r.a berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1317.

Demikianlah beberapa sunnah Rasulullah s.a.w ketika melaksnakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha. Oleh itu, kita hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah-sunnah tersebut.

Berbahagialah orang-orang yang diberi taufik oleh ALLAH dalam beribadah kepada-NYA dengan mengikuti sunnah Nabi-NYA dan tidak mencampur-adukkannya dengan amalan bid'ah.

Kerana Dirimu Begitu Berharga..



http://bihurin.blogspot. com/

Ukhti...
Tidakku mahu bertanya khabarmu,
Kerana ku menunggu,
Tibanya saat aku,
Merasai sendiri jiwamu.

Ukhti...
Tidakku mahu memandangmu,
Kerana ku menunggu,
Tibanya saat aku,
Halal memegang wajahmu.

Ukhti...
Tidakku mahu senyum padamu,
Kerana ku menunggu,
Tibanya saat engkau,
Halal bercanda denganku.

Ukhti...
Engkau bagiku,
Umpama mawar kembang berduri,
Yang dipagari oleh jernihnya kilauan kristal,
Memancarkan sinar yang hebat,
Apabila sang mentari menyinari,
Dan bagaikan titisan-titisan permata,
Apabila hujan menyirami
Membuat diriku terpaku,
Terpesona,
Tidakku berani untuk terus memandangnya,
Kerna ku tahu mataku pasti akan silau,
Dek kerana hebatnya sinaran,
Tidakku mahu menyentuhnya,
Walau hanya dengan hujung jari,
Kerna ku tak mahu sinarnya hilang,
Dek kerana bayang-bayang ku.
Jauh sekali untuk memegangnya,
Pagarnya sahaja sudah cukup mengagumkan,
Apatah lagi bunganya..

Ukhti...
Tidakku mahu meluahkan isi hatiku,
Kerana aku dan engkau,
Adalah lelaki dan wanita,
Yang ada batasannya,
Yang harus menjaga hati,
Kerana Islam itu suci.

Ukhti...
Tujuan hidup kita sama,
Teruslah berjuang,
Tulus hanya untuk Allah,
Mencintai Allah adalah tuntutan,
Cinta Allah cinta yang pasti.

Kerana...
Sesuatu yang ku sendiri tidak pasti,
Adakah engkau ditakdirkan untukku,
Semua hanya andai engkau milikku...



p/s saja nak letak dalam blog ni.dah lama kosong :-)


Ahad, 9 November 2008

Mencari Semangat Yang Hilang...

Salam..Begitulah bak dicanang tajuk di atas.Diri ini sudah kehilangan jentikan jemari-jemari yang rancak menulis..Suatu ketika dahulu,karangan Bahasa Melayu,Bahasa Inggeris menjadi medanku melampiaskan hujan idea yang sering bertandang di nubari ini...
Entah mengapa,semangat itu tiba-tiba luntur.Sukar untuk dicari di mana pangkal silapnya...Mungkin sibuk dengan kehidupan seorang mahasiswa,atau sering bersahabat dengan kemalasan,tidakpun mengkambinghitamkan teknologi dengan alasan tidak pandai menaip dengan laptop..Walau apapun,itu semua adalah sejarah,mengajar diri ini untuk tidak lagi berkubang dalam parit kekhilafan yang sama..
Dengan namaMu Ya Allah Ar-Rahman Ar-Rahim,kusematkan semangat di dada,agar diri ini istiqamah di jalanMu..Tidak mahu kulihat roda sejarah kembali berputar..Biarlah nikmat jemari yang Engkau anugerahkan kepadaku dapat kuterjemahkan kembali untuk mengajak manusia ke jalan yang diredhaiMu Ya Allah....
Ameen....