Ahad, 22 Mei 2011

Kerana Setitik Darah Wanita...



" Doc,doc..Saya mahu solat.Boleh kan?"

Seorang ibu yang datang dengan usia kehamilan 9 bulan bertanya kepada saya.Saya terkesima dengan pertanyaan itu.

" Biasanya ibu solat sambil duduk ya?"

Kepakaran saya adalah menjawab soalan dengan soalan kembali.

Si ibu menggangguk.

" Ya ibu.Silakan solat di atas katil. Wudu' pula bagaimana?"

Saya bertanya seperti anak kecil layaknya.

" Oh tidak mengapa doc.Saya bisa tayamum dengan menyapu dinding ini.Debu ada.."

Sekali lagi dokter muda ini mengiyakan sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.Ternyata pengetahuan ibadahnya mencukupi bagi seorang muslimah.Syukur..

Datang seorang ibu yang lain.Rutin biasa seorang doktor menanyakan keluhan dan merencanakan perawatan kepada sang ibu.

"Ibu sudah solat?" saya bertanya,usai anamnesis (wawancara) dengan si ibu hamil.

" Memang boleh solat ya doc kalau sudah sakit-sakit memulas dan keluar darah macam ini?" si ibu bertanya.

Sejujurnya, saya terkejut. Betul,betul, saya terlupa dengan perihal darah dalam hal ehwal keperempuanan.

Kecelaruan bermain di benak fikir antara sosok haid, nifas dan istihadhah.


Perempuan dan Darah

Pelajaran pendidikan Islam ketika di sekolah menengah berkenaan hal ehwal darah ternyata tidak mencukupi.

Apa yang saya tahu.

Haidh adalah darah fisiologis yang keluar dari rahim seorang perempuan setiap bulan. Biasanya kitar haid adalah sekitar 21-35 hari, dan hari di mana darah keluar adalah antara 3-7 hari.

Nifas pula adalah apabila seorang perempuan melahirkan anak sehinggalah maksimum hari ke 40 pasca persalinan.

Istihadhah pula adalah darah yang keluar disebabkan oleh penyakit.

" Macam mana pula apabila perut dah mulas-mulas, darah dan lendir dah keluar, tapi belum melahirkan anak..Macam ni pun perlu solat lagi ke?"

Setelah diteliti beberapa pandangan ulama', saya bersetuju yang mengatakan bahawa darah nifas adalah :

  • Nifas adalah darah yang keluar dari rahim disebabkan melahirkan, baik sebelum, bersamaan atau sesudah melahirkan
  • Disertai dengan tanda-tanda akan melahirkan (seperti rasa sakit, dan lain-lain) yang diikuti dengan proses kelahiran
  • Bayi yang dilahirkan/ dikeluarkan sudah berbentuk manusia (terdapat kepala, badan dan anggota tubuh lain seperti tangan dan kaki, meskipun belum sempurna benar)

  • Bahasa medisnya, apabila datang seorang perempuan dengan kala 1 fasa laten ( keadaan apabila sudah ada kontraksi persalinan, serviks sudah ada pembukaan dan bercak-bercak darah terkeluar) , maka perempuan itu sudah dikira masa NIFAS.

    HARAM baginya untuk melakukan,
    • Solat
    • Tawaf
    • Puasa
    • Bersetubuh
    Persoalan seterusnya, berapa lamakah masa NIFAS.Adakah sudah boleh usai sahaja proses melahirkan anak dan plasenta, terus solat dan berpuasa?

    Ulama berselisih pendapat. Kebanyakan bersetuju dengan penanda sebanyak 40 hari lamanya masa NIFAS.

    Bukan bermaksud wajib 40 hari, cuma keadaan yang biasa pada kebanyakan perempuan. Di sini ada hadis dari Ummu Salamah.

    “Kaum wanita yang nifas tidak shalat pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam selama empat puluh hari.” (HR. Ibnu Majah dan Tirmidzi. Hadits hasan shahih)

    Namun apabila, perdarahan nifas telah berhenti lebih awal, jadi wajiblah untuk mandi hadas besar. Setelah itu, solat, puasa, tawaf dan bersetubuh kembali dibenarkan di sisi syara'.

    Berikut merupakan penjelasan lengkap yang diambil dari pandagan ulama' muktabar.

    Secara ringkas, ada beberapa kondisi wanita yang sedang nifas:

    1. Darah nifas berhenti keluar sebelum 40 hari dan tidak keluar lagi setelah itu. Maka sang wanita wajib mandi (bersuci) dan kemudian melakukan ibadah wajibnya lagi, seperti shalat dan puasa, dll.
    2. Darah nifas berhenti keluar sebelum 40 hari, akan tetapi kemudian darah keluar lagi sebelum hari ke-40. Maka, jika darah berhenti ia mandi (bersuci) untuk shalat dan puasa. Jika darah keluar, ia harus meninggalkan shalat dan puasa. Akan tetapi, bila berhentinya darah kurang dari sehari, maka tidak dihukumi suci.
    3. Darah nifas terus keluar dan baru berhenti setelah hari ke-40. Maka sang wanita harus mandi (bersuci).
    4. Darah terus keluar hingga melebihi waktu 40 hari. Ada beberapa kondisi:
      1. Darah nifas berhenti dilanjutkan keluarnya darah haid (berhentinya darah nifas bertepatan waktu haid), maka sang wanita tetap meninggalkan shalat dan puasa. Darah yang keluar setelah 40 hari dihukumi sebagai darah haid. Sang wanita baru wajib mandi (bersuci) setelah darah haid tidak keluar lagi.
      2. Darah tetap keluar setelah 40 hari dan tidak bertepatan dengan kebiasaan masa haid, ulama berbeda pendapat mengenai hal ini. Menurut ulama yang berpendapat bahwa lama maksimal nifas adalah 40 hari, menilai darah yang keluar setelah 40 hari sebagai darah fasadh (penyakit) yang statusnya adalah sebagaimana istihadhah. Sedangkan menurut ulama yang berpendapat bahwa tidak ada batasan minimal dan maksimal lama nifas, mereka menilai darah yang keluar setelah 40 hari tetap sebagai darah nifas. Pendapat inilah yang lebih kuat, insya Allah.

    Akan tetapi, jika ingin berhati-hati, setelah 40 hari dinilai suci. Sehingga sang wanita bersuci untuk melaksanakan solat dan puasa, meski darah tetap keluar. Akan tetapi hal ini tidak berlaku pada 2 keadaan:

    • Ada tanda bahwa darah akan berhenti/ makin sedikit. Maka sang wanita menunggu darah berhenti keluar, baru kemudian mandi (bersuci)
    • Ada kebiasaan dari kelahiran sebelumnya, maka itu yang dipakai. Misal, sang wanita telah mengalami beberapa kali nifas yang lamanya 50 hari. Maka batasan ini yang dipakai.

    Darah Selama Kehamilan

    Perlu diperhatikan kepada perdarahan ketika usia kehamilan belum lagi memasuki fasa-fasa melahirkan, takut-takut tersamar dan disangka sebagai darah nifas.

    Contoh keadaan perdarahan seperti,
    • Placenta Previa ( placenta berada di bawah dan menutupi jalan kelahiran)
    • Keguguran pada usia kehamilan kurang dari 80 hari ( janin belum berbentuk manusia)
    • Kanser rahim atau serviks
    Di sini, darah yang keluar dianggap sebagai darah Istihadhah. Dan si perempuan berkenaan tetap DIBENARKAN solat, tawaf, puasa dan bersetubuh dengan suaminya.Tidak perlu mandi hadas besar untuk keadaan seperti di atas.

    Selesai satu permasalahan darah wanita.


    Saya Seorang Lelaki

    "Tidak diperlukan kami tahu secara terperinci hal darah-darah ni..."

    Mungkin akan ada lelaki di luar sana yang endah tidak endah dengan permasalahan darah perempuan.

    Ya..Mana ada lelaki pernah haidh, nifas apatah lagi.

    Namun ingatlah, siapalah seorang lelaki tanpa seorang perempuan.

    Perempuan itulah bonda tersayang.

    Perempuan itulah isteri pendamba cinta.

    Perempuan itulah anak si jantung hati.

    Lelaki, seorang nakhoda kapal, bukanlah seorang yang hanya tahu tembolok sendiri, akan tetapi lelaki yang mesra dengan keperluan dan kesejahteraan seluruh awak-awak kapalnya.

    Begitulah perihal darah wanita ini.

    Darah ini bersangkutan dosa dan pahala, Syurga dan Neraka.

    Darah ini juga berkaitan dengan hidup mati. Salah menyangka darah nifas sebagai Istihadhah boleh menimbulkan pelbagai petaka. Nyawa seorang perempuan itu taruhan.Mahal sekali harganya..

    Demi sebuah bahtera hidup yang lebih baik..

    Selamat belajar V(^_^)V

    Ahad, 15 Mei 2011

    Bibliophilia Positif ; Cerita Seorang Aku



    Buku yang tidak baca berlambak-lambak.Sedangkan kegilaan hati mahu membeli lagi dan lagi tidak pernah berkesudahan.

    Menzalimi buku?

    Banyak sangat wang, sampai tidak ada cara untuk menghabiskan?

    Atau tersampuk penyakit Bibliophilia, sukakan buku berlebihan?

    Tersengih sendiri daku memikirkan.

    Alasan saya.

    Membeli buku tidak akan pernah merugikan.Memang tidak terbaca dengan lambakan menggunung.Namun stok buku itu ibarat stok makanan,boleh dibaca pada waktu mendatang.

    Pada masa diskaun besar-besaran, maka berbukitlah makanan dan apa yang sewaktu dengannya diborong.Begitu juga buku bagi saya.

    Promosi besar, terjumpa buku-buku yang jarang ditemukan, maka janganlah emas dilepaskan sewenangnya.Menyesal tiada sudah.

    Dan sekali lagi Islamic Book Fair di kota Bandung,saya menyempatkan diri bertandang.


    Di Braga empunya jalan..

    Kali ini hanya sempat sejam berputar dan menganalisa buku.

    Alhasil 7 buah buku berjaya dibeli dengan total pengeluaran sekadar Rp 120,000 sekitar Rm 50.

    Buku ini berbicara tentang Politik dan Islam pada sudut pandang Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin.Hanya 58 halaman dan bersaiz poket.Berbaloi dengan harga Rm 1.


    Diskaun 50%,dengan harga Rp 12,ooo sekitar RM 5.Sekadar menambah koleksi autobiografi seorang mujaddid hebat dari Mesir.

    Berinterakasi dengan AL-Quran adalah yang paling mahal harganya antara semua.Karya Qardhawi ini berharga Rp 37,500 (RM 15), namun sangat berbaloi memandangkan harga asli di kedai-kedai buku adalah Rp 120,000.

    Model Manusia Muslim Abad XXI adalah sebuah karya fenomenal Anis Matta, wakil ketua DPR di Indonesia.Terima kasih pada Teh Moi yang mempromosikan saya untuk membelinya.Dahulu, saya sudah punya karya Anis Matta berjudul serial Pahlawan dan Serial Cinta, sudah dibaca dan sangat HEBAT! Dari Gerakan ke Negara, dan seangkatan belum lagi terhabiskan.Insyaallah di masa hadapan..

    Dan buku Ust Khozin Abu Faqih berjudul melangkah bersama ke Syurga.Seorang yang terkenal di bumi Bandung dan saya menggatalakn tangan untuk berdamping dengan karya beliau.Diskaun besa dengan harga Rp 11,ooo sahaja(RM 4).




    Seorang Kartini, ikon perjuangan wanita di Indonesia.Tertarik untuk mengenali sisinya lebih dekat.Hanya kecil bersaiz poket.Sekitar RM 2 sahaja bang!

    Buku ini mengisahkan tentang HAID dan NIFAS.Ada juga WILADAH.Apakah mereka ini?Hanya Tuhan sahaja yang tahu siapa mereka.Dengan kecetekan ilmu keperempuan saya, saya mendapatkan buku ini di toko buku murah dengan harga Rp 20,000.Kulit tebal dan sekitar 250-an halaman.Sangat berbaloi..Moga-moga terjawab persoalan saya yang bermain di benak fikiran ini.Mudah dan senang.

    "Tengah perut memulas dan kontraksi biasa-biasa, ibu-ibu ni wajib solat lagi tidak?"

    "Kalau dah melahirkan dengan operasi Caesarian, ada masa wiladah tidak?15 hari ke tak boleh solat ibu ini?"

    Kecamuk fikiran, moga-moga boleh terungkai.Semoga Ya Tuhan..


    Cinta Suci Zahrana

    Setelah menngegarkan dunia penulisan dengan Ayat-Ayat Cinta,Ketika Cinta Bertasbih,Dalam Mihrab Cinta dan Bumi Cinta dan kawan-kawan, Kang Abik, panggilan buat Habiburrahman EL Shirazy akan mengeluarkan buah tangan baru..

    Cinta Suci Zahrana namanya..

    500 cetakan dijangka habis dalam waktu sehari.Khabarnya Kang Abik akan mengadakan bedah bukunya pada tanggal 15hb Mei 2011,di Braga,sekalian membawa 500 buah buku.

    Saya Insyaallah akan mendapatkannya.Sudah janjian mulut dengan taukeh Penerbit Basmala tadi.


    Tiada Kecewa

    Buku kan tiada mengecewakan.

    Dibaca, diingat dan dimanfaatkan.

    Sebuah buku di tangan walau di mana kaki bertandang.

    Sebuah buku, kunci pembuka Syurga.

    Ya, buat seorang Muslim.

    Selamat Membaca ^_^

    Isnin, 9 Mei 2011

    Me,My Enemy!



    Orang kata ,doktor itu sibuk.Tiada masa.

    "Duit banyak, tetapi tiada waktu untuk menikmatinya"

    Lontaran kata bersimpang siur dikumandangkan di medan bicara, berkisahkan seorang doktor.

    Seorang doktor dan kesibukan.Dari zaman sebagai seorang pelajar perubatan,sehinggalah menjadi seorang bertaraf professor sekalipun.Sudah irama dan lagu bidang perubatan..


    Bicara Hati

    Orang yang mengatakan bahawa mereka sibuk, pada banyak keadaan bukanlah benar-benar sibuk.

    Manakala orang yang yang dengan tenang menghadapi sebuah kesibukan, jarang sekali mengeluhkan bahawa mereka adalah kaum yang sibuk.

    Seringkali orang yang mengganggap diri mereka sibuk, masih ada banyak masa untuk menonton televisyen, berborak kosong, menghadap Facebook dan Twitter berjam-jam dan sebagainya.

    Maka merugilah orang yang mengganggap sibuk itu punya mereka, padahal mereka adalah sosok yang rugi.


    Wal Asr..Sesungguhnya itu bicara Tuhan pada yang tidak kenal erti mahalnya masa.

    Manusia itu semua modalnya 24 jam, namun berbeza masing-masing cara pakainya.Dirimu menentukan langkahmu.

    “Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”
    (QS at-Tawbah /9: 105)

    Ya Tuhan, kuatkanlah hati dan semangat untuk terus melangkah.Redhamu kucari...Dan jauhkanlah diriku dari insan yang suka beralasan ini dan itu, dan moga diri ini terbebas dari kelompok khosiirin yang maha rugi..

    Amiin Ya Rabb..


    ~Tazkirah buat diri yang tidak sedar diri.

    Rabu, 4 Mei 2011

    Sketsa Hidup Mati Di Kamar Bersalin


    Hari ini sebuah keberuntungan.Mungkin buat saya.Pengalaman sendiri..

    Hari ini juga sebuah kesedihan.Buat mereka dan juga mungkin buat saya..

    Hari ini dalam sejarah!


    Pertanyaan Biasa

    "Berapa partus (persalinan) yang berjaya ditolong?"

    Inilah ayat skema yang sering ditanya ulang ketika berada dalam putaran bahagian Obstetrics & Gynaecology.Kebidanan dan sakit puan bahasa orang awam.

    Saya tidak menafikan peri pentingnya bagaimana seorang doktor muda membantu persalinan.Sebuah pengalaman berharga.Setakat ini saya sudah mendapat satu persalinan yang ditolong..

    Syukur dipermudahkan.

    Namun hari ini, dalam memperkatakan tentang pengalaman, sujud syukur saya rafa'kan kepada Ilahi.

    Ia bukanlah sebuah partus,tetapi cukup mengesankan hati, jiwa dan akal.Sebuah pengalaman segudang intan harganya.

    Biarlah saya rahsiakan segala latarbelakang,nama-nama yang berkaitan dengan kejadian.Cukuplah saya namakan watak dan latarbelakang buatan sahaja.

    Minggu ini rotasi saya di rumah sakit luar dari Rumah Sakit Hasan Sadikin.Rumah Sakit C yang berjarak sekitar 20 minit perjalanan motor.

    Rutin mingguan pekan ini.

    Dan hari ini saya bergerak awal pagi menuju Rumah Sakit C.

    Sesampainya di sana, sedikit menyapa ibu-ibu bidan, dan rakan sejawat yang melakukan syif malam, saya terus melakukan 'follow up' pesakit seperti biasa.

    Membuat pemeriksaan fizik rutin, sembari bertanya khabar dengan pesakit serta keluarga.Cuba mengelakkan bahasa robotik kaku dengan pesakit agar hubungan interpersonal berjalan baik.Pesakit gembira, kami doktor muda juga ceria.

    Sementara keadaan di kamar bersalin, terlihat agak sibuk,dengan arus keluar masuk pesakit baru.Bidan-bidan serta doktor bertugas tidak cukup tangan kelihatannya.

    Berjas putih segak,daku melangkah menyingsing tangan menghulur tangan bantuan.

    Ada sekitar 9 orang ibu yang terbaring di atas katil masing-masing.Ada yang di peringkat pertama proses persalinan dan ada yang sudah terbaring senyum, walau masih terserlah aura keletihan pasca persalinan.

    Kerumunan doktor R dan bidan-bidan bertugas di satu katil,membawa tapakan kaki saya ke sana.Terheret sama.

    Rupanya itu tempatnya Ibu AM.Berusia penghujung 30-an, hamil anak ketiga.

    Pesakit yang masuk ke dalam wad sekitar 2 hari yang lalu sewaktu giliran saya syif malam.

    Diagnosisnya G3P2A0, gravida 34-36 minggu + Preecclampsia Berat.

    Hamil kali ketiga, punya dua anak, tidak pernah keguguran, dan usia kehamilan sekarang 34-36minggu. Datangnya dengan penyakit Preecclampsia Berat, sebuah penyakit tekanan darah tinggi yang berlaku dalam kehamilan atas 20 minggu.Antara tandanya adalah bengkak di tangan dan kaki, dan air kencingnya mengandungi kandungan protein berlebihan dari biasa.

    " Ibu AM sesak semenjak tadi malam.DJJ (denyut jantung janin) sangat sulit kedengaran. Ada kemungkinan IUFD ( Interuterine Fetal Death , istilah untuk kematian bayi dalam kandungan)!

    Pembukaan jalan kehamilan ternyata sangat cepat.Dari 2cm tadi malam, menjadi lengkap pagi ini.Ubat perangsang kontraksi bekerja dengan sangat baik!"

    Doktor R menjelaskan terperinci.Rencana saya hanya mahu melihat memandangkan sudah banyak bidan yang membantu.

    Proses meneran bermula.

    Payah kelihatan sang ibu mencuba.

    Lama sekali keadaannya.Diperberat nafas yang agak sesak.

    Kepala bayi masih belum muncul walau sehabis daya, dengan bantuan manual juga didorong. Episiotomy (prosedur menggunting sedikit bahagian bibir luar untuk memperbesar jalan lahir) juga telah dilakukan. Liat sungguh kelihatannya.

    Setelah berhempas pulas, muncul juga kepala mungil itu.Payah.

    Aksi diteruskan untuk melahirkan bahu dan seluruh badan.

    Janin itu mengalami Dystocia Bahu (keadaan di mana proses melahirkan bahu tersekat lama).Menambah deretan penyulit.




    Proses yang biasanya paling lamapun sekitar 5 minit berlarutan hampir 30 minit.



    Dipendekkan cerita, detik ini bagi orang tidak terbiasa boleh jadi sangat menyeramkan.

    Ada bahagian badan bayi yang tercabut dari badan, tulang-tulang patah.

    Embryotomy istilahnya.Proses mengeluarkan janin yang telah mati dari dalam rahim sang ibu. Di sinilah juga wujudnya prosedur Cleidotomy, proses memotong tulang belikat bayi, untuk memendekkan jarak antara bahu kanan dan kiri,bagi memudahkan proses kelahiran.

    Bahasa kemanusiaan menafikan semua ini.Doktor R yang melakukan prosedur berpeluh dingin.Sekejap,sekejap ditelefon kepada doktor spesialis yang lebih ahli.

    Astagfirullah..Astagfirullah..Saya bisikkan kepada ibu yang meraung-meraung kesakitan.Cubaannya untuk bangun kerana tidak tahan dengan sakit yang dideritainya.

    Hati saya mengucap panjang. Mahasiwi-mahasiswi kebidanan banyak yang menjauhi.Gerun dengan keadaan di depan mata mereka.

    Kesudahannya, janin yang meninggal di dalam kandungan itu berjaya dilahirkan,walaupun prosedurnya sangat sulit.Bidan-bidan sibuk menguruskan sang ibu.Placenta belum dilahirkan lagi,sementara saya bersama Doktor R, bergerak ke pojok berbeza. Janin itu harus dirapikan kembali.

    Segala yang tercabut,harus dijahit.Dan saya menjadi penolong yang setia.

    "Dik, ini pengalaman pertama kamu?"

    Doktor R bertanya.

    Saya menggangguk, tanda mengiyakan.

    "Saya pernah menangani kes IUFD banyak kali, tetapi ini ternyata paling sulit!"

    Testimonial Doktor R sambil tangkas menjahit.Fokus.

    Jasad mungil itu saya perhatikan.Tiada kesempatan buatnya menyapa dunia fana.

    "Terus ke Syurga ya kamu!"

    Monolog sang hati bergetus.Sebuah kepasrahan dengan Alhamdulillah.


    Fiqh Awlawiyyat (Prioriti) Dalam IUFD

    Syeikh Yusuf Qardhawi memperkenalkan fiqh yang berbicara tentang keutamaan dalam memilih.Pilihan tidak menjadi masalah antara keburukan dan kebaikan kerana itu jelas.

    Namun di manakah neraca timbangan apabila terpaksa memilih salah satu antara 2 buah keburukan atau hanya mampu memilih salah satu kebaikan antara 2.

    Mizan itu kabur jika tidak diketahui kriterianya.

    Sebagai contoh dalam makalahnya.

    Ada beberapa orang Muslim yang dijadikan tawanan perang dan dijadikan perisai untuk pasukan musuh maju ke depan.Antara mahu menjaga nyawa tawanan (wajib menjaga nyawa di sisi Islam), dan pasukan musuh terus melaju masuk ke dalam kawasan Islam (merbahayakan lebih banyak nyawa kalau pasukan musuh masuk ke dalam,dan pasukan Islam boleh mengalami kekalahan), kita dikehendaki memilih yang lebih rendah mudaratnya.Dalam kes ini, kalau terpaksa membunuh tawanan Muslim tadi, maka lakukanlah.

    Kembali ke kes IUFD.

    Bayi tadi terpaksa 'dirosakkan' dengan cara yang luar batas kemanusiaan, untuk melahirkannya, demi untuk menyelamatkan nyawa sang ibu. Jika tidak dilakukan sedemikian, maka nyawa sang ibu yang bakal melayang.

    Pertimbangannya adalah sang ibu masih harus menjaga anak-anak di rumah, dan bakal ada peluang untuk hamil seterusnya.Tidak tertutup langsung peluang ke arah itu.

    Seandainya dipilih sang bayi untuk hidup, nyawa ibu pula yang melayang.Tekanan darah tinggi pada kehamilan bakal memberi kesan buruk pada ibu.Kegagalan organ-organ penting seperti jantung, paru-paru dan perdarahan stroke boleh berlaku.Dan bayi itu, jika selamat, bakal tidak mempunyai ibu dari usia sehari.

    Dan di sinilah saya menemani Doktor R, berdiskusi secara ramah dengan suami, dan abang kakak kepada si ibu tadi.

    "Tadinya saya marah kenapa si suaminya ini bersetuju untuk dianiaya si bayi.Sekarang saya memahami!"

    Jelas si abang.

    Penerangan dari A sampai Z dilakukan.Sebak terhias di raut wajah.

    Si suami diam membatu.Hanya tepukan seketika di bahunya sebagai penguat semangat.

    Di kamar bersalin, si ibu masih terjelepok kelelahan.Keadaannya stabil, namun harus diobservasi ketat.Tekanan darah, suhu, nafas , semua diperhatikan secara berkala.

    Selesai sebuah sketsa di kamar bersalin.


    Apa yang saya dapatkan?

    Dari segi kompetensi seorang doktor, prosedur ini ternilai jarang.Dan saya beruntung kerana dapat melihat langsung, dan berpartisipasi secara aktif dalam menolong.Pengalaman ini pasti melekat di otak, sampai jasad dihantar ke lahad.

    Dari sudut pandang seorang manusia biasa, sesungguhnya ini pengalaman hidup nan berharga.Erti perjuangan seorang ibu, nilai sebuah kehidupan,erti sebuah kematian dan peri pentingnya hidup yang punya Tuhan.Pakej lengkap sebuah keinsafan.

    Dan semoga perkongsian ini mampu menjadikan diriku manusia yang benar-benar manusia, dan dengan izinNya, sedikit sebanyak, mampu memanusiakan manusia-manusia yang lain.

    Moga diperkenankan wahai Tuhan segala manusia...

    Ahad, 1 Mei 2011

    Aku dan Kedokteran Keluarga..

    Family Medicine, atau dalam Bahasa Merah Putihnya, Ilmu Kedokteran Keluarga, merupakan sesuatu yang cukup istimewa.

    Bidang perubatan bukan hanya sekadar melihat seseorang individu dari aspek penyakit serta cara pengubatannya, malahan seseorang manusia itu dilihat dari seluruh aspek kehidupan,secara holistik.

    Contoh yang praktikal,sebagai contoh.

    Max (bukan nama sebenar ) datang ke klinik dengan keluhan cirit birit lebih dari 5 kali dalam waktu sehari.Kebiasaannya, sang doktor akan memberikan ubat cirit birit, menyuruh banyakkan minum air dan sebagainya.

    Namun Ilmu Kedokteran Keluarga ternyata melihat lebih daripada itu.

    Sang doktor diharuskan untuk datang melihat ke gubuk sang pesakit.Datang secara proaktif, melihat medan bermain si pesakit, sekalian berkenalan dengan keluarga si pesakit. Kenapa sedemikian menyusahkan?

    Mudah.

    Cirit birit bukanlah semata disebabkan oleh salah makan pedas, atau alergi. Cirit birit mungkin sahaja berpunca dari faktor stress pekerjaan, sanitasi lingkungan yang jelek dan sebagainya. Seribu satu kemungkinan boleh muncul. Dan di sinilah bidang Ilmu Kedokteran Keluarga bermain.Segala macam faktor risiko diteliti.


    Saya dan Pesakit

    Pertama kalinya, saya sendiri sedikit kekok dengan pendekatan sebegini.Lebih-lebih lagi mahu berkenalan dengan lebih rapat dengan si pesakit.Kadang-kadang Bahasa Sunda yang hanya mampu melepaskan itik tersepit sahaja kemampuan saya, menjadi faktor penyulit komunikasi.

    Tetapi, apa yang paling merisaukan hati saya adalah pada respon si pesakit.Tidak semua pesakit akan menghulurkan tangan terbuka kepada sang doktor. Tidak tertutup kemungkinan bahawa sang doktor akan mendapat sambutan dingin, kerana dianggap cuba masuk campur dalam hal rumah tangga si pesakit.

    Sulit juga rupanya.Tidak jarang saya melihat ada pesakit yang datang berubat , dari perawakan bicara dan tingkah, kelihatan mereka agak tergesa-gesa untuk menamatkan perbualan.Cemas mungkin dengan pertanyaan yang banyak berbaur interogasi bak mafia.

    Pesakit gelisah,doktor hilang arah.

    Punah.

    Di sinilah titik di mana kebijaksanaan sang doktor memainkan peranan penting. Sempadan antara pesakit dan doktor harus dicairkan terlebih dahulu. Tatkala sudah mendekat ikatan kedua belah pihak, barulah mudah untuk manusia dua dunia berbeza ini untuk berkomunikasi.

    Sambutan lebih hangat, dan dihargai.


    Perkenalan Itu

    Ibunya kelihatan biasa.

    Penampilannya kurus, berkaca mata.Datangnya ke klinik bertemankan sang anak bongsu.Setia si anak dara menemankan bonda.

    Saya jelas.

    "Ini klienku!"

    Dari perbualan di luar,sampailah kepada pemeriksaan fizikal, segalanya mulus.

    Sehinggalah saya mendiagnosa si ibu punya penyakit Nasopharyngitis (radang pada saluran pernafasan). Manifestasinya adalah sakit tenggorokan, batuk-batuk dan demam.

    Ubat diberikan dan si ibu pulang.

    Detik demi detik seterusnya.Kunjungan beberapa kali dilakukan.Seluruh keluarga dikenali.Bumi bertuah punya sang ibu ditandangi meriah.Setiap kunjungan berbuah sambutan hangat.

    Dan di sini, barulah saya sendiri lebih mengetahui bahawa sang ibu lebih merungsingkan penyakit lain.

    Dia sering kedatangan 'ulcer', luka-luka kecil putih di dalam ruang mukosa mulut.Sering beberapa kali dalam sebulan.

    Alhasil, kaunseling dilakukan kepada si ibu dan suami.Sangat proaktif bertanya, dan saya sebagai doktor menawarkan alternatif penyelesaian.Pilihan di tangan mereka untuk memilih.Saya hanya membuka ruang dan pintu yang selama ini mungkin di luar pengetahuan mereka.

    Hasil akhir positif.Ada tanda yang mereka mahukan perubahan.

    "Terima kasih pak dokter!"

    Saya hanya tersenyum riang.Mampu membantu dan menyebarkan manfaat sesama insan.

    "Dokter, boleh saya panjangkan ilmu dokter kepada teman-teman yang lain?"

    Tanya si suami, yang mengjangkau usia 80-an sudah.Masih kekar badannya,hasil latihan tentera sewaktu muda, dan rutin senaman yang dilakukan.

    Berbunga juga hati seorang doktor dengan tawaran si suami.Presentasi saya tidaklah seberapa, sekadar bahasa kampung yang mudah dimengerti oleh rakyat bawahan di bumi Bung Karno.








    Ya..

    Hanya sekadar beberapa potongan slide yang cukup mudah untuk dihadam.

    Namun bagi seorang doktor muda, ia ternyata cukup bermakna dalam diari seorang Ahmad Zulfahmi.

    Di Ilmu Kedokteran Keluarga, apa yang paling penting bagi saya, adalah bagaimana jurus dan tingkahnya mahu menembus ke dalam masyarakat.Seorang doktor tanpa masyarakat, ibarat badan tanpa nyawa.

    Tanpa masyarakat, isyaratnya Malakul Maut sudah bertandang bagi seorang doktor.

    Dan ternyata, hidup itu cukup indah, dengan berbagi sesama insan.

    Bak kata sang Rasul,

    " Sebaik-baik manusia itu adalah yang paling banyak manfaatnya kepada sesama manusia!"

    Maka, di denai cinta inilah aku melangkah.

    Semoga Ya Tuhan...