Isnin, 23 November 2009

Jangan Cepat Bersangka...


Seringkali kalau bercakap menasihat,saya akan mengatakan..

"Jangan cepat bersangka dengan orang.Kebanyakan sangkaan itu perbuatan dosa"

Ini adalah hakikat tekstual yang dipaparkan dalam Al-Quran sendiri dalam surah Al-Hujuraat..

Saya mengimaninya.Kita semua mengimaninya.Percaya sebulat suara...

Teorinya sebegitu.Tetapi jelas tidak mudah untuk mengaplikasikannya sebagaimana dipertontonkan Muhammad Rasulullah..


Masih Belajar...

Telinga yang paling dekat dengan mulut yang berbicara adalah sepasang telinga,kurniaan Ilahi untuk diri ini.Telinga sendiri..

Saya sendiri masih belajar mengimplementasikannya dalam kehidupan seharian..

Perlahan-lahan,saya mengajar diri berfikir bahawa di sebalik sesuatu kejadian atau perkara,pasti ada banyak perkara yang tersirat dan berselindung.Kebenaran terselubung dengan pelbagai debu-debu menipu pandangan mata..

Hatta dalam situasi paling buruk sekalipun..

.................................................................................................................................................

"Kenapa tak tolong kawan korang yang susah?Makan,minum korang senang.Kawan nak makan pun susah,apatah lagi nak berbelanja mewah macam korang!!!"suatu hari saya menempelak beberapa orang adik..

Ada seorang teman mereka yang agak kekurangan dalam aspek material.Saya mengetahuinya dan mungkin tanpa kaji selidik yang mendalam,saya melemparkan hamburan marah berapi kepada adik-adik tadi..

Kononya pada pandangan saya,mereka hanya melihat bodoh,bersilang kaki,acuh tidak acuh tentang perihal kekurangan sang teman..

Masing-masing menunduk pandangan.Pesanan SMS tidak berbalas..

"Padan muka!!"puas hati kecil saya..

Keadaan macam ini harus ditegur,kalau berlanjutan,pasti merekahkan tali ukhuwwah sesama..

........................................................................................................................................


Tetapi..

Kondisi yang saya sangkakan berubah 360 darjah berlawanan arah.

Pesanan SMS berbalas setelah beberapa detik.

"Abang tahu permukaan masalah je.Kami ni siang malam menangis bersama,jerih perih dia kami jinjing berjamaah"sayu kata-kata adik yang saya marah-marahkan tadi.

Lantas adik tadi menceritakan keseluruhan cerita.Plot-plot yang kelam,dijelaskan sebaik mungkin.Kebenaran muncul akhirnya setelah lama dilindungi arakan awan-awan mendung sangkaan..

"Astagfirullah..."kekesalan beraja di kamar jiwa.Ucapan istigfar saya lantunkan syahdu..

"Aku menzalimi mereka.Betapa mulianya kamu adik-adikku!!"menyesal tidak sudah atas keterlanjuran diri.

Namun saya bangga melihat ukhuwwah yang kukuh antara sesama mereka.Begitu indah kalau berjumpa kawan-kawan yang susah bersama,menangis beriringan,menjalani mehnah kehidupan dengan penuh syukur..


Pengajaran..

Tadi suatu contoh ringkas keterlanjuran dalam berfikir datangnya dari dalam diri saya sendiri..

Apa yang saya harapkan dan cuba amalkan,saya cuba berfikiran positif terlebih dahulu. Berjumpa,selidiklah terlebih dahulu..Jangan cepat bersangka merangka konklusi dan kesimpulan...

Dalam aspek apa-apa sekalipun,politik,agama,budaya,pendidikan dan dan ekonomi,cubalah kita memberi sedikit ruang penyiasatan terhadap sangkaan yang bertapak di hati...

Saya cuba yang terbaik..

Sahabat-sahabat sekalian juga harus menempelkan sikap ini dalam kehidupan..

Lebih-lebih lagi pada yang Muslim, Al-Quran telah berbicara pada kita,

"Kebanyakan sangkaan itu adalah DOSA"

Setakat mana,beriman dan percaya kita kepada Al-Quran adalah didasarkan pada perbuatan dan amalan.

Bacaan Al-Quran bukanlah sekadar retorik permainan bibir,tidak sekadar kosmetik penyeri majlis,tetapi ia adalah setakat mana kita mampu mengamalkannya...

Ayuh berubah!!!

Selasa, 17 November 2009

Penawar Penat,Pengubat Lelah...




Dalam dunia yang penuh kesibukan,kelelahan pasti hinggap di tubuh sesiapa sahaja.


Menggerakkan tulang empat kerat dari pagi sampailah ke larut malam,semuanya mengandalkan tenaga.Waktu tidur cukup sedikit,sekadar penghilang penat seketika..


Ada sepotong hadis yang sangat wajar untuk kita hayati bersama dan ambillah teladan seadanya..


Terimalah..


..............................................................................................................


Diriwayatkan daripada Saidina Ali k.w katanya:


Saidatina Fatimah r.a mengeluh sambil mengilas tangannya.


Waktu itu beliau mendengar Nabi s.a.w mendapat seorang tawanan yang boleh dijadikan sebagai khadam.


Saidatina Fatimah r.a pergi menemui Nabi s.a.w namun beliau tidak menemui baginda, cuma berjumpa Saidatina Aisyah r.a dan menceritakan maksud kedatangannya.


Apabila Rasulullah s.a.w pulang, Saidatina Aisyah r.a terus menceritakan kepada baginda mengenai kedatangan Saidatina Fatimah r.a. Nabi s.a.w kemudiannya pergi menemui kami.


Waktu itu kami sedang berada di tempat tidur, kami bangkit untuk menemui baginda lalu baginda bersabda: Tetaplah di tempat kamu. Baginda seterusnya duduk di antara kami sehinggalah aku reda dari memarahinya kemudian baginda bersabda:


Inginkah kamu aku ajarkan sesuatu yang lebih baik dari permintaan kamu?


Apabila kamu berada di tempat tidur masing-masing, kamu hendaklah membaca *takbir (a) sebanyak tiga puluh empat kali, tasbih (b) sebanyak tiga puluh tiga kali dan tahmid (c) sebanyak tiga puluh tiga kali*.


Semuanya itu adalah terlebih baik dari seorang khadam.



Hadis Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: “Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: “La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan.” (Hadis riwayat Muslim)



.................................................................................................................



Pengajarannya yang boleh diambil..


Sebelum tidur,bacalah Takbir 34x,Tasbih 33x, dan Tahmid 33x.Itu sunnah Nabi.Berpahala melakukannya..


Ulama bukan sekadar melihat dari rangka tekstual,ulama pandangan mereka tajam,tembus ke hadapan.Sinar makrifah mereka melebihi orang biasa..


Kenapa diumpamakan lebih daripada seorang khadam?


Adakah itu sekadar fadilat?


Ulama menakrifkan bahawa orang yang betul-betul mengamalkan amalan Sunnah ini bukan sekadar mendapat pahala dek kerana ini Sunnah Rasulullah,tetapi juga zikir ini mampu memberi tenaga luarbiasa bagi pengamalnya...


Fatimah tersangat penat dengan menguruskan hal keluarga.Lantas meminta bantuan seorang khadam dari Rasulullah...


Zikir ini lebih baik dari punya seorang khadam,kata Rasul..


Wallahualam..


Sekadar tonik ringkas,bingkisan Rasulullah pengubat lelah anakanda Fatimah.Semoga kita mampu mencontohinya ;-)

Isnin, 16 November 2009

Adakah Ku Mencintainya...



Jika bercinta,semuanya pasti indah..

Rindu asmara tiada jemu mengetuk pintu hati..

Sehari tidak bertemu,bagaikan setahun menunggu seksa..

Biar tidak bertemu,asal bauan kiriman angin terubat jua..

Resmi sang pencinta..


SIBUK



Sibuk merupakan perkataan penuh sihir magis.Manusia boleh melupakan segala-galanya apabila diheret kesibukan menggila..

Makan minum,kasih sayang dilupakan terus.Hilang dari diari kehidupan seharian..

Begitu juga dengan wahyu agung dari Ilahi.

Biasanya mungkin dibaca sehelai dua sebagai panduan jiwa rohani.Tetapi apabila tanggungjawab-tanggungjawab yang lain datang berlambak,adakah Al-Quran masih diutamakan??

Tugasan kuliah,belajar,kegiatan luar,pekerjaan,urusan anak isteri dan seterusnya..

Manusia yang tahu kehebatan,kepentingan,pasti berkorban sehabis daya untuk membelek
lembaran-lembaran Al-Furqan..

"Macam mana mahu istiqamah berdamping dengan Al-Quran dalam keadaan sangat sibuk dengan tugasan,ujian,kokurikulum dan sebagainya??"tanya seorang teman kepada seorang ustaz terpercaya..

"Kalau ada CINTA,sesibuk manapun dirimu,pasti sentiasa ada masa untuknya!!"jawapan pamungkas kata sang ustaz..

Semuanya kerana CINTA..


p/s:

1)Saya banyak kesibukan tersendiri.Jawatan,pekerjaan KKN dan thesis,pelajaran dan sebagainya..

2)Akan tetapi,sering saya kata,kesibukan adalah alasan yang dibuat-buat..
(bz tapi kenapa ada masa lagi untuk berhura-hura ;-) )

3)Nasihat kat atas untuk diri.Semoga tulisan pendek ini mampu mengistiqamahkan dunia penulisanku yang sedikit terbantut.Ameen ;-)

Ahad, 1 November 2009

Iman Sudah Tiada..



Iman merupakan suatu unsur yang penting dalam kehidupan beragama seorang Muslim yang bersyahadah.

Iman adalah apa yang berada di dalam hati,dan dibuktikan oleh amalan luaran.

Iman dan amal,adalah suatu yang seiring sejalan.Irama dan lagu yang sama.Tidak boleh dipisahkan.


Kemalangan Jiwa..

"Sesiapa yang melihat kemungkaran,cegahlah dengan tangannya,kalau tidak mampu,dengan perkataannya,dan jika tidak mampu juga,maka bencilah dengan hati,itulah selemah-lemah iman"

HR Muslim

Andai dilihat sekali imbas,kita akan memahami bahawa setiap kemungkaran itu wajib kita tangani sebatas kemampuan kita.

Setiap manusia dikurniakan kemampuan berbeza dalam nahyu munkar ini.Faktor jawatan,kuasa,harta,ketakwaan adalah penentu takat mana keimanan kita.

Melihat pasangan bercumbu mesra di taman.Jelas suatu kemungkaran..Kalau berkuasa,segera kita meyergah kelakuan tidak senonoh itu tadi dan menyuruh pasangan itu beredar.Jika tidak mampu,mungkin kita menasihat sedaya upaya atas kesilapan mereka..

Dan paling tidak,selemah-lemah iman adalah kita membencinya!!!

Dan KEMALANGAN JIWA yang paling besar boleh berlaku adalah apabila maksiat itu TIDAK LAGI dianggap sebagai maksiat.

Disebabkan melihat maksiat itu adalah fenomena harian,dan diri sendiri yang mula membuatnya.Kebiasaan....


Selemah-lemah Iman..

Benci dikatakan sebagai selemah-lemah iman.Secara logik akal,ketika suatu benda dikatakan sebagai 'paling',pasti sudah tiada benda lain yang boleh mengatasinya.

Begitu juga iman..

Acu kita bertanya kepada hati kita sendiri.Apakah tahap imanku sekarang??

Pernahkah kita melihat seorang anak Adam dan anak Hawa sewaktu mula berjinak-jinak dengan cinta?

Dimulakan dengan SMS,memberi sepenuh perhatian sehinggakan makan,tidur,kencing semuanya dilaporkan kepada si dia..



Detik pertama keluar bersama-sama,mungkin sahaja 'diam-diam',tanpa pengetahuan orang.Rasa malu menguasai..

Kedua,masih lagi kekok sedikit.

Pertemuan ketiga dan seterusnya sudah terbiasa.Lumrah..Tidak lengkap kirannya kehidupan tanpa bertemu si dia.

Bagai hidup manusia perlukan makan dan minum,begitulah jiwa sang pencinta kepada primadona hatinya.

Rasa bersalah,takut dilihat kawan dan keluarga,malu,semuanya sudah luput dari ingatan..

Begitu juga kes minum arak,berzina,berjudi dan rasuah.Semuanya memerlukan detik pertama sehingga terbiasa..

Masih punyakah IMAN kita?Adakah hati-hati ini masih membenci maksiat ini?

Selemah-lemah iman pun belum tentu tatkala hati sudah redha dan seronok melakukannya..


Malu..

Cuba difikir sejernih rasional akal..

Kenapa malu itu dibilang Rasullullah sebagai sebahagian dari keimanan?

Hurm..Benar sekali.Sifat malu manusia itu menjaga dirinya dari kemaksiatan kepada Tuhan Yang Esa.Malu kepada sang Pencipta yang sentiasa melihat hambaNya dan paling tidak,masih ada seberkas malu ketika di khalayak manusia.Malu untuk diketahui...


Ramai..

Sikap manusia adalah senang condong kepada trend terkini.Kebiasaan,lumrah,mengikut suara majoriti pada suatu detik dalam kehidupan seharian..

Manusia bangga apabila melihat diri mengikut perkembangan terkini.

Manusia terhina apabila dikatakan tidak 'up-to-date'.

Apabila suatu kedurhakaan kepada Pencipta tidak dicegah,kedurhakaan itu akan menghasilkan kedurhakaan yang lain.Beranak pinak,menambah populasi..

Bukanlah disebabkan ramai yang melakukan,maka sesuatu perkara itu dianggap sebagai 'halal'..

Banyak yang rasuah,adakah rasuah itu dibolehkan?

Bertimbun pasang belangkas berdua-duaan,makan bersama,membonceng bersama,bergambar pipi bertangkup,adakah RAMAI itu adalah suatu COP PENGHALAL aksi?

"Sekiranya engkau mengikuti kebanyakan manusia,nescaya kamu akan tersesat"


Bilangan yang ramai tidak menjadi kuasa veto penentu kebenaran.Bak kata Abdullah Ibnu Mas'ud,

"Perkumpulan itu adalah apa yang ada pada kebenaran (Al-Quran dan Sunnah) walaupun engkau sendirian"


Sensitif..

Hati yang sensitif akan cepat merasa titik-titik maksiat yang mula bertumpuk.Hati yang apabila dibacakan ayat-ayat Allah,hati akan bergetar seakan-akan ayat itu menujukan panah ucapan kepada pembacanya..

Kalaulah hidup kita di atas muka bumi,tiada penamatnya,apalah guna iman itu,walaupun sekelumit.

Sebaliknya,hidup ini hanya sementara.Berlakon sepenuh masa sebagai hamba dan khalifahNya..Sang Pengarah mengawal mutu aksi sepanjang masa kehidupan..

Aksi yang terbaik memerlukan nilai 'IMAN' yang terbaik,yang disukai Sang Pengarah.Menentu dan menilai mutlak..

Detik anugerahNya tika bertemu Syurga atau Neraka..