Isnin, 23 Januari 2017

Banjir bukan Pesta.



Musim bah bukanlah musim berpesta.
Musim tengkujuh bukanlah saatnya untuk berpesta ria.
Sehingga saat ini, banjir sudah meragut 3 nyawa setelah sehari semalam melanda negeri Kelantan. Kadar kematian yang tinggi.
Beberapa langkah mudah semasa banjir berlaku ini sebagaimana diambil daripada Panduan Keselamatan Banjir oleh Kementerian Kesihatan Malaysia , mampu untuk mengelakkan musibah melanda.
1) Matikan utiliti anda di suis utama.Jangan sentuh mana-mana peranti elektrik jika anda berkeadaan lembab/ basah atau berdiri di dalam air.
2) Jangan berjalan melalui air yang deras untuk mengelakkan dari terjatuh dan tercedera.
3) Minum air masak atau air minuman berbungkus seperti air botol sekiranya tiada air bersih.
4) Berikan tumpuan kepada amaran banjir. Jika terdapat risiko berlakunya banjir kilat di mana anda berada, segera ke kawasan yang lebih tinggi, jangan berlengah.
5) Jangan biarkan anak-anak anda bermain air banjir.
Nasihat-nasihat mudah ini mampu mengelakkan tragedi daripada berlaku.Janganlah kegembiraan yang seketika sewaktu berpesta menyebabkan duka yang tiada noktah kepada kita.




Rabu, 18 Januari 2017

Cerita Sangka Buruk





Saya membentak marah. Andai kemarahan itu mampu untk dilihat, nescaya ia tidak akan kalah dengan letusan Merapi.

Bayi berusia 8 bulan lebih.Dikendong oleh neneknya.

Datang dengan keluhan cirit-birit, demam selama 3 hari.

Tampaknya bayi itu kurang aktif.Tidak tidur, tidak juga menangis.

" Kenapa datang ke sini?" tanya saya.

Keluarga itu berasal dari daerah luar.Jaraknya sekitar 20 kilometer dari hospital tempat saya bertugas.

" Saja doktor.Jalan-jalan makan angin!" selamba badak jawapan si nenek.

Si ibu kepada bayi itu diam membisu.Hanya tersengih-sengih bila ditanya.Si nenek yang mengambil alih tugas sebagai jurucakap.

Padahal, ada hospital berdekatan dengan rumahnya.Ada juga 2,3 buah klinik kesihatan terdekat , namun tetap hospital yang berjarak 20 kilometer menjadi pilihan hati.

Ah, sudah.Malas mahu bertekak lama.Tiada kesudahan ceritanya nanti.





Terkejut Lagi

" Doktor kelmarin ada bagi ubat batuk kepada anak saya!" si ibu akhirnya bersuara, menceritakan perihal preskripsi ubat sewaktu mendapatkan rawatan di klinik swasta sehari sebelum.

Merapi sudah bertukar menjadi Krakatoa.

Kemarahan saya tidak mampu diempang lagi.Panas membara tidak mampu dilawan oleh aura sejuk penghawa dingin.

"Mana boleh bagi ubat batuk.Anak puan baru umur 8 bulan!"

" Bayi boleh sesak nafas, lembik, kejang sehingga mengancam nyawa kalau minum ubat batuk!"

Nada suara saya meninggi.Asap kemarahan dihala kepada doktor di klinik swasta tersebut.

Termangu-mangu, terkulat-kulat seisi keluarga tersebut melihat perlakuan doktor di depan mereka.

Mereka orang kampung biasa, tidak tahu apa yang bahaya , apa yang tidak.Apa yang mereka tahu, ubat ditu dipreskripsi oleh doktor.Itulah hubungan paternalistik.


Ada Rupa-Rupanya


" Hello boleh saya bercakap dengan Doktor X?" sesopan mungkin bahasa diatur walaupun hebat benar maraknya api di dalam hati.

Saya inginkan kepastian.Maka, klinik swasta itu saya hubungi, usai bayi tersebut selesai dimasukkan ke dalam wad.

" It's unethical.It's wrong!" monolog hati.Kata-kata cercaan sudah siap dikarang di dalam kepala.Hanya menunggu masa untuk dihamburkan.

"Oh bayi itu.Ada datang kelmarin.Saya tak bagi ubat batuk.Saya bagi ubat Smecta (sejenis ubat cirit birit yang dibenarkan untuk bayi)!" jawap si doktor tersebut.

Lain yang diceritakan oleh si ibu, lain pula jawapan sang doktor. Pemahaman berbeza barangkali.

Krakatoa mengerdilkan diri.

Terdiam seribu bahasa.Hanya lantunan istigfar sedikit meredakan perasaan berdosa.

Aduhai diri.

Sangka buruk itu membinasakan.Binasa lisan, binasa diri membenihkan dosa.

Benar sekali kalam Ilahi di dalam surah Al Hujuraat , ayat ke 6 .

" Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepadamau maka periksalah dengan teliti agar kalian tidak menimpakan musibah akibat kejahilan kamu sendiri, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"


Verifikasi

Apa yang saya belajar ialah proses verifikasi.

Tenang dahulu, jangan terburu-buru.Kumpulkan maklumat, selidiki terlebih dahulu.

Baru bunga silat, rencak tarinya tidak cacat.

Pengalaman baru, walaupun pahit, merupakan ruang pembelajaran untuk menjadikan diri kita peribadi yang lebih baik.



Sumber

1) Ubat batuk untuk umur bawah 2 tahun
http://www.doktorbudak.com/2014/02/22/ubat-batuk-selsema-tidak-sesuai-untuk-kanak-kanak-bawah-2-tahun/