Rabu, 15 September 2010

110 Mutiara Kata Nik Abdul Aziz Nik Mat



Hebat seorang pemimpin bukanlah pada mahalnya kostum luaran, kereta mewah berdozen, istana tersergam indah, mahupun bertimbun-timbun harta dalam simpanan.

Pemimpin adalah seseorang yang berpengaruh. Manusia sekeliling, marhaen jelata memandang penuh saksama, lahir dengan nubari percaya di hati, golongan al-mala' al-mala' sama ada kawan teman mahupun musuh lawan punya hormat di sukma.

Pengaruh itu adalah nilai-nilai istimewa, yang bukan dibuat-buat, dipertontonkan kepada rakyat.


110 Kata-Kata Hikmah

Sudah 20 tahun, kerajaan Kelantan diperintah oleh barisan kepimpinan diterajui Dato Bentara Setia Tok Guru Nik Abdul Aziz.




Orangnya biasa-biasa, cuma auranya luar biasa.

Senantiasa dalam kehidupan seharian, dari teguhnya sebuah baitul muslim sehinggalah teraju sebuah daulah bernama Kelantan, Rasulullah adalah agenda idolanya.

Bukan mahu menggahkan sosok ini, tetapi banyak suri teladannya harus dijadikan skema kehidupan kita.

Seorang pegawai diplomat Malaysia yang berlainan 'kem' dengan Tok Guru pernah meluahkan..

" Tok Guru ada 'tulah'. Tidak boleh sembarangan nak kutuk, komen dia"

Saya hanya tersenyum mendengar bicara anak watan Kuala Krai itu.

Dan tiada aneh, acapkali dalam ucapannya, perkataan Syurga dan Neraka, dosa dan pahala, hidup berTuhan, pasti diutarakan.

Ustaz Ahmad Fadli Shaari (gambar bawah), setiausaha akhbar Menteri Besar Kelantan, berkesempatan menukilkan mutiara hikmah Tok Guru sepanjang 2010 ini, 110 petikan semuanya.




Harganya hanya RM 1o, dan ianya dilancarkan di Kuliyyah Tok Guru di Medan Ilmu pada penghujung Ogos yang lalu.

Autograf penyusunnya juga sempat didapatkan.


Antara Petikan..

"Seekor haiwan tidak akan peduli tentang halal dan haram makanan yang ditelannya.Ia tidak peduli kebun atau harta orang kerana halal haram bukan satu persoalan baginya. Berbeza dengan manusia, halal dan haram merupakan satu persoalan yang perlu difikir sebelum makan atau melakukan sesuatu. Jika tidak, seorang manusia itu samalah tarafnya dengan haiwan.."

" Saya ingin bertanya kepada orang yang konon-kononnya membela Melayu, sampai ke mana mereka nak bela Melayu? kalau setakat di dunia, apakah nasib Melayu itu selepas meninggal dunia? Kalau kita menghidupkan Islam di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu, bukan setakat di dunia mereka selamat, bahkan selepas mati hingga ke Syurga mereka akan selamat.."


Tiada ulasan: