Rabu, 29 Ogos 2012

Etika 'Operation Theatre'..


" Petugas medik sama ada doktor, jururawat haruslah orang yang sangat jujur!"

Mengomel-ngomel saya dibuatnya.

Apabila sering memasuki ruang pembedahan (" operation theatre"), petugas medik pada kebanyakan keadaan akan dihidangkan dengan pesakit yang dibius, hilang kesedaran, tiada kawalan terhadap diri sendiri.

Aurat pesakit terdedah sana dan sini.

Cacat cela, buruk baik semua tersingkap dek mata manusia.

Mata boleh meloroti sekujur tubuh, tangan boleh memegang seenak rasa.

Lebih-lebih lagi yang melibatkan pembedahan Caesarean, mengeluarkan hasil kandungan dengan membelah rahim dari luar.

Banyak yang tersingkap.

Seandai bukan jujur dan taqwa yang dianuti, andai bukan profesional yang dipegang, pasti ada permainan iblis yang menyelinap.

" Tahu tak perempuan tadi macam ni dan macam ni...!"

Andai kata-kata sebegini terkeluar dari petugas medik, bahanalah mulutnya.

Andai tadi isterinya yang ditelanjangi, dikeronyok ramai, apakah gembira hatinya.

Andai tadi ibunya yang dipertonton, dipermain, masihkah ada seronok rasa.

Andai sedar bahawa kulit, mata akan bersaksi terhadap diri, masihkah mahu seenak hati berperilaku.

Semoga Tuhan merahmati petugas medik..


Selasa, 28 Ogos 2012

Shaken Baby Syndrome..



Shaken Baby Syndrome, itulah gerangan nama penyakitnya.

Kejadian di mana seorang bayi tercedera akibat digoncang secara berlebihan. Ia boleh berlaku akibat kes dera bayi, secara sengaja, mahupun secara tidak sengaja, akibat kejahilan ibubapa dan keluarga.

Pernah melihat bayi diputar-putar, dilambung-lambung dengan gaya memujuk? Ala-ala gaya memujuk AR Tompel terhadap cucunya dalam cerita Ahmad Albab.


Ya, silap-silap di sinilah puncanya. Kegembiraan orang tua yang membunuh secara tidak sedar.

Akibatnya, dari lumpuh anggota gerak, mata berdarah, kejang, buta, sehinggalah kematian bayi tidak berdosa.Bahasa mudahnya, 'stroke'  untuk bayi.

Dan pada malam yang malang ini, kali pertama saya bersua dengan bayi yang dirundung malang itu.Yang jauh lebih malang adalah kemiskinan ilmu orang tuanya.

Datang dengan keluhan badan yang lemah, pucat dan menangis-nangis.Awalnya tidak menampakkan sebarang kelainan.

Kadar darah dalam badan menurun secara drastis.Tidak ada langsung perdarahan dari luar kelihatan.Sebarang trauma tumpul akibat kecederaan juga tidak terlihat.

Lama kelamaan, keadaan fizikal si bayi terus menurun.Tiba-tiba sahaja senyap dan berhenti nafas.

Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dilakukan saya dan jururawat bertugas.Belasan kali putaran CPR terus dilakukan.Tiada nadi berdenyut, tiada denyutan jantung terdengar.


Datuk, nenek, seluruh isi keluarga sudah tidak keruan.Ibubapa si bayi bak tersampuk jembalang, melihat bayi mungil, pucat tidak bernyawa.

Si ibu lemah longlai, pengsan beberapa kali.Sudah kering air mata hiba.

Air mata darah sekalipun tidak mampu menebus nyawa si buah hati pengarang jantung.

Dalam masa 5 jam dari 'digoncang-goncang', bayi itu dijemput pergi oleh Malakul Maut.

Hanya sempat 7 bulan si bayi menghirup nafas oksigen di atas muka bumi milik Tuhan.

Innalillah wainna ilaihi rojiun..


Sunnatullah Pendidikan Anak

Kita boleh berfikir positif dengan mengatakan bahawa bayi itu sudah menempa Syurga.Tanpa dosa, ibubapanya dijanjikan ganjaran Syurga, Tuhan mahu memberikan rezeki yang lebih baik dan pelbagai lagi hikmah yang tersirat.

Saya hanya mahu mengheret perhatian kita agar jangan memudahkan urusan bayi.

Bukan sekadar nama yang baik, diazan dan diiqamah, aqiqah dan sebagainya, sunnatullah dalam proses tumbesaran bayi harus menjadi aspek penting ilmu dasar pembentukan anak-anak.

Kalaulah Tarbiyatul Aulad, karangan Abdullah Nasih Ulwan, menjadi antara rujukan utama pembentukan karakter seorang anak, bidang medik, sesuai sunnatullah, juga harus dilengkapkan dengan ilmu membesarkan anak, sihat secara fizikal dan mental.

Khususnya kepada ibubapa, suami isteri, bakal-bakal pengantin dan yang senada dengannya.

Dari hal sekecil susu ibu, sehinggalah pendidikan seksual.Al-Quran sendiri sudah menyentuh perihal susu badan selama 2 tahun, menyentuh juga tentang waktu larangan masuk ke dalam bilik orang tua.


Sedar

Saya menulis kes Shaken Baby Syndrome ini di laman Facebook kira-kira 3 minggu yang lalu.Sangat menarik perhatian saya apabila melihat banyak kenalan yang mengongsikan cerita saya di laman utama masing-masing.

Kecaknaan kejadiaan kes sebegini ternyata masih kurang di kalangan orang awam, dan Alhamdulillah banyak yang mulai membuka mata apabila muncul kes berupa realiti di dalam masyarakat.

Dan bagi saya, selaku salah seorang petugas medik, saya menemui sesuatu yang sangat penting dan istimewa..

Rupa-rupanya menyampaikan kalimah Allah itu bukan sekadar dengan menjadikan diri hebat berhujah dengann Al-Quran dan Hadis, ijmak dan qiyas, ada sisi sunnatullah (ketentuan Allah) yang kebanyakan masyarakat masih lagi alpa.

Bidang perubatan , sebagai contoh, kes Shaken Baby Syndrome. Proses terjadinya penyakit dan kematian itu adalah suatu kekuasaan Allah, dalam tanganNya. Manusia, petugas perubatan khususnya berperanan di sini dalam menyampaikan bagaimanakan proses ketentuan Allah ini boleh berlaku.

Benar sungguh kalimah Allah dalam ayat 33, surah Af -Fussilaat.

" Siapa lagi yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyampaikan kalimah-kalimah Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ," Sungguh , aku termasuk orang Muslim yang berserah diri?"

Allahul Mustaan..Dialah sebaik-baik yang memberikan pertolongan..

Rabu, 8 Ogos 2012

Sebuah Soff Milik Ummah..




Ini sepotong gambar, diambil ketika solat tarawikh rakaat 9,10 di sebuah masjid di Tasikmalaya, Jawa Barat.

Kelihatan ada pelbagai kerenah makmum yang sendiri-sendiri membuat saff solat.Berdua-duaan, ada yang di bawah kipas.Belum lagi dari
 kesempurnaan saff dengan merapatkan tumit ke tumit, bahu ke bahu seperti yang diperintahkan Rasulullah.

Teringat Umar sampai mengupah jurubetul saff ketika mahu bersolat jamaah. Betapa jauh pemahaman..

Mula-mulanya, saya mengira ini hanyalah simptom terpencil.Rupa-rupanya saya kemungkinan besar salah setelah melihat kondisi jamaah solat di beberapa buah masjid di sini.

Saff solat memang seperti ular kena palu, dan prinsipnya ikut suka.

Bertambah pelik dan hairan apabila solat tarawikh, kadar kecepatan bacaan imam memang luar biasa. Pernah saya mendengar bacaan surah Al-Humazah, yang tersangat cepat, lintang-pukang tajwidnya.

Fokus terawikh pada menyelesaikan 23 rakaat solat secepatnya.Bayangkan hanya sejam diperlukan dari azan Isya' sampailah selesai rakaat witir terakhir.

Bukan dipermasalahkan kadar kecepatan itu, tetapi sudah hilang nilai sebuah ibadah, kualiti entah ke mana.

Belum ditambah dengan tazkirah keafdalan setiap tarawikh mengikut malam.

Menggeleng kepala saya dibuatnya. Jauh kalau mahu dibandingkan dengan tarawikh di masjid-masjid di Malaysia, mahupun di Qoryah Ramadan di Kota Bharu. Bicara bonda tentang meriahnya Ramadan di halaman sendiri, kadang-kadang mencetuskan cemburu nan dalam.

Terasa tidak lengkap Ramadan seperti ini.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ini salah satu situasi di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia.

Saya bukan mengeluh, bukan juga menghukum.

Cuma, apa yang saya pertontonkan mampu menjadi suatu gambaran bahawa masih sangat banyak 'homework' untuk para pendakwah, ustaz ustazah, muslim muslimah yang cintakan agamanya, di Indonesia khususnya, seluruh ummah umumnya.

ILMU agama yang sangat 'basic'. Pemahaman masih sangat dangkal. Namun, kehidupan beragama masih hidup di sini, dipertahankan kerana masih menjadi tradisi yang kuat mencengkam.

Saya percaya di pedalaman Malaysia juga sama.Badwi-Badwi Arab juga sama.

Teringat kisah Badwi kencing di masjid Nabawi, dan analogi najis unta dengan kewujudan Allah.

Menyampaikan sesuatu haruslah dengan kadar pemikiran akal seseorang.

Bukan mahu diperdebat, ditahqiq hadis keutamaan saff pertama, cuma konsepnya harus disampaikan dengan bahasa paling mudah dimengerti umum.

Apa yang saya buat? Mengeluh semata-mata?

Dengan kadar saya sebagai seorang musafir di tempat orang, hanya silaturahim , bertukar senyuman, salam-salaman, kenal mengenal menjadi tapak asas.Pokoknya berukhuwwah..

Dan iringi dengan doa agar kebaikan dan perubahan bakal berlaku.

Doa dari kita semua juga.

Kisah ini hanya secebis kisah, dari potongan aneka ragam cerita ummah.

" Wahai Tuhan kami, berikanlah kami hamba-hambaMu kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan jauhkan kami dari api nerakaMu"

p/s :
Saya memilih mengikut pendapat mengatakan hadis-hadis kelebihan setiap malam Ramadan adalah hadis palsu.Feel free to disagree..