Khamis, 28 Julai 2011

Hikmah Si Nenek Tua



Si nenek tua itu mendatangi Poliklinik Telinga,Hidung dan Tenggorokan (THT), dengan keluhan sakit di bahagian tekak.

Usianya 73 tahun, merupakan seorang pendidik yang masih aktif.

Sambil diperiksa doktor, si nenek tua rancak bercerita.

"Kita jangan kalah dengan orang asing.Harus rajin berusaha!"

" Sayang negara ini, bahan mentahnya banyak tetapi sumber daya manusia entah ke mana!"

Kagum terdetik di hati.

" Saya sudah ada S1 (ijazah sarjana) di dalam Bahasa Inggeris, dan sekarang saya sedang mengambil S1 dalam Bahasa Mandarin!"

Katanya tersenyum mesra.

"Harus kuat berusaha.Doktor-doktor yang di sini hebat-hebat, usahanya kuat.Bagus !"

Hanya disugihkan senyuman, sebagai balasan.

Ibu itu benar-benar memaksudkan sedemikian, dengan besar nian harapan dirinya kepada bangsa.

Namun di hati ini, seakan-akan itu adalah perkataan psikologi terbalik yang menyeru diri untuk berusaha lebih kuat ke hadapan. Dri sendiri paling tahu realiti diri.

Tidak mungkinlah mahu mengalah dengan seorang nenek berusia 73 tahun.

Ayuh semangat wahai nafsi..

Ahad, 24 Julai 2011

Sketsa Polis Tarikh Luput Vs Syaitan..


Kalam wahyu mengatakan bahawa sosok pembazir itu karibnya sedajal makhluk. Syaitan namanya.

Hakikat yang tidak dapat disangkal.

Insan syahadah mengerti bahawa musuh abadi baginya adalah syaitan.Dendam kesumat dari zaman datuk Adam dan nenek Hawa, terus berkobar-kobar sehingga ke anak cucu, sehingga dunia ke titik penghujungnya.


Tingkah Manusia

Kadang-kadang mungkin disebabkan tidak sengaja, tidak perasan.

Mungkin juga mengambil mudah.

Ataupun sudah terlampau kaya, harta sepicing tidak ada nilai di hati.

Tabik pada Mama dan Abah untuk mengajarkan saya untuk belajar berhemah, jangan sesekali membazir.

Nasi biar sebutir harus dihabiskan, jangan ada sisa.

Makanan berlambak, jangan pernah dilempar mudah. Masih ada manusia di luar, kebuluran meminta nestapa kasihan. Sesuap nasi dijejaki.Bukan pekerjaan mudah buat mereka.

Syukur kami , masih ada punya..


Praktikal

Sepanjang hidup ini, saya banyak memerhati adegan sama.Roda putaran seringkali berulang.

Adegan membazir.

Maafkan saya.Bukan mengatakan diri ini baik atau apa, tetapi hati saya mengatakan bahawa adegan sebegini adalah salah.Salah segi moralnya, salah jelas dari sisi agama.Sebuah pertemanan syaitan.

Roti putih..

Sering tarikh luputnya hanya ada beberapa hari, paling lama seminggu.Setelah itu, pasti berkulat.Sudah bukan lagi bahan makanan manusia.

Harganya mungkin hanya beberapa ringgit Malaysia dan tidak sampai 10,000 Rupiah.Tetapi hakikatnya ini adalah suatu pembaziran.

Saya anti adegan sebegini.

Kalau tidak mampu dihabiskan sendiri, hulurkan tangan memberi pada teman, jiran dan sanak saudara.

Ah..Prinsip ananiyyah (individualistik).

Jika bukan diriku tidak makan roti ini, orang lain juga biar tidak boleh makan!

Suatu hari, rakaman pembaziran ini pasti akan ditanya.


Adegan lain..

Adegan rempah kari, rempah ratus bahan masakan.

Kalau roti tahannya seminggu, rempah kari minimum setahun.

Logiknya, berlambak zaman untuk menghabiskan sebelum diisytihar luput.Sudah hakmilik bakteria dan kuman.

Namun, acapkali, rentang waktu setahun itu berlalu bak angin lalu.

Rempah kari luput begitu sahaja.Luput dan dibuang.

Dan membuang itu membazir.Membazir yang boleh dicegah akibat bahana sebuah 'Aku Tidak Pedulisme.

Sebuah aksi kezaliman, kerna meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Dan begitulah kita seharusnya.

Kalam wahyu mengajar kita menjadi seorang 'polis tarikh luput'. Seorang penguasa yang cuba mencegah sebuah kezaliman, kecil pada pandangan insan, namun ada nilai di mizan neraca Ilahi.

Saksikanlah wahai ummah, ini adalah sketsa kezaliman..

Ittaqilah haisuma kunta..

Bertaqwalah kamu di mana sahaja kamu berada.

Kerna TAQWA, jom menjadi POLIS TARIKH LUPUT..

Alhamdulillah, kepingan puding roti terakhir, yang dibikin untuk mengelakkan pembaziran..


Sabtu, 23 Julai 2011

Adding Life To Years...





If you cannot add years for life, do add life for years..

Inilah mottonya dunia Ilmu Kedokteran Fisik dan Rehabilitasi atau dalam bahasa Inggerisnya Physical and Rehabilitation Medicine.

Dunia kedoktoran yang bergelut dengan usaha maksimal untuk mengembalikan fungsi manusia kepada normal pasca mendapat sesuatu penyakit, yang tentunya menjejaskan fungsinya.

Di kalangan dewasa, pengunjung tersering adalah penderita angin ahmar atau stroke.

Fungsi-fungsi otot harus dirangsang dengan latihan fizik untuk mengelakkan otot tadi menyusut akibat tidak digunakan.Dan juga bagi pesakit yang masih terlantar, keluarga diajarkan untuk mengubah posisi pesakit selang beberapa jam, bagi mengelakkan decubitus ulcer ( luka bernanah akibat baring terlalu lama).

Selain pesakit stroke, datang juga pesakit sakit belakang. Sering terjadinya kerana kesalahan posisi duduk, terutamanya pada pekerja-pekerja pejabat.

Kanak-kanak juga ada yang datang berkunjung dengan ibu bapa masing-masing.

Peratusan terbanyak adalah dengan penyakit Cerebral Palsy (CP), sejenis penyakit persarafan yang menyebabkan pertumbuhan anak terbantut,sama ada dari segi pergerakan, bahasa, sosial , fungsi akal (kognitif) dan sebagainya.Sabar si ibu tidak berputus harap pada si jantung hati.

Dan di sini juga ada ruangan untuk pembuatan alatan bantu seperti kaki palsu, kasut khas untuk penyakit tertentu dan sebagainya. Berhati-hati bagi yang tidak biasa dengan debu dan bau di ruangan ini, kerana ada kemungkinan terkena Allergic Rhinitis seperti saya.

Walaupun hanya seminggu bermastautin di sini, ilmunya sangat bermanfaat, mengajar diri untuk menjadi sumber manfaat kepada sesama insan.

Sesungguhnya harapan hidup berkualiti itu akan sentiasa subur adanya..

"Adding life to years"


Info Tambahan :

1) Allergic Rhinitis merupakan penyakit dengan gejala bersin-bersin, rasa gatal, hidung keluar hingus berair dan banyak air mata keluar.Sering terkena pada yang alergik.

Selasa, 19 Julai 2011

Sebuah Pertemuan Syurga...





Alhamdulillah pujian kepada Sang Penguasa Alam.

Bukan disebabkan punya waktu, tidaklah kerana masih sihat walafiat empunya badan, kerna masih ada yang punya minit-minit luang, sihat bugar sesegarnya, tidak diberi hidayah dan kesempatan untuk bersama.

Syukur, syukur kepadaNya.

Dan kali ini, tazkirah mingguan Sukagalih, beralih arah ke 'bumi' Pantai Timur, DarulNaim, baitun empunya Encik Khalis dan Puan Syamimi.

Sekejap di ribaan taman Syurga, bernaung di bawah sayap malaikat.

Dan giliran kali ini milik saudara Fahkrul Radzi untuk menjadi imam muda dan pentazkirah.

Ringkasnya, tazkirah berkisah tentang BERSUNGGUH-SUNGGUH.

Banyak manfaat yang boleh diambil..

Dan di sini dikongsikan sedikit tazkirah yang telah disampaikan..







Moga ada manfaatnya (^^,)V



Ahad, 17 Julai 2011

Rumah Sakit Hasan Sadikin : Bumi Taqwa Sebuah Ramadan


Dewan Keluarga Masjid (DKM) Asy-Syifa', Rumah Sakit Hasan Sadikin mempersembahkan IHRAM (Ihya' Ramadan)..

Tinggal kira-kira 13 hari lagi sebelum pesta ibadah bermula..

Ayuh kita semarakkan ibadah kepadaNya..

Allahumma Amin...



Ahad, 10 Julai 2011

Makna Sebuah BERSIH 2.0..


BERSIH 2.0 ..

Sebuah kependekan dari Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, kali kedua diadakan selepas buat julung-julung kalinya diadakan pada 2008 yang lalu.

Gelombang kuning, yang menuntut 8 buah tuntutan dalam pilihanraya mendatang, dengan matlamat untuk menyerahkan sebuah memorandum kepada DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin.


Kenapa BERSIH?

BERSIH timbul disebabkan oleh wujudnya sistem demokrasi dalam sistem pemerintahan di Malaysia.

Apabila rakyat melihat ada ketidakadilan dalam sistem pilihanraya di Malaysia, perasaan mahu membantah dan menyuarakan ketidakpuasan hati itu adalah sebuah fitrah manusia.

Persoalan yang sering timbul, apakah buktinya sistem pilihanraya di Malaysia penuh dengan kebobrokan?

Di sini saya tidak mahu memberi dalil-dalil, cuma sedikit memberi pandangan berkenaan.

Walaupun mungkin ada yang tidak berminat dengan politik, waima alasannya politik itu kotor dan sebagainya, kecaknaan kita terhadap politik itu perlu.Kerana ianya melibatkan masa depan, kehidupan kita secara langsung.

Cakna tidak bermaksud terlibat secara langsung, cuma mengambil tahu akan perihal apa yang berlaku.Biar tidak menjadi katak di bawah tempurung.Selama hidup, atap tempurunglah yang dianggap mercu tertinggi di dalam kegelapan,walhal masih leluasa langit luas di luarnya.

Layarilah Utusan,Malaysiakini, Harakahdaily.Bukalah laman sesawang berkaitan, dan dengarlah pandangan dari kedua-dua belah pihak.Ini untuk asas politik.Memadai..

Sudut pandangan berbeza akan berlaku apabila sumber informasinya dari kubu berbeza.

Dan di sini agama Islam mengajar untuk berlaku ADIL, melihat dengan saksama.Timbang taralah dan jangan bercakap tanpa dasar ilmu dan fakta.


Buat Yang Muslim..

Sebagai seorang Muslim, pokok bicara kita tidak boleh terlepas dari apa kata Al-Quran dan Sunnah dalam bab demonstrasi.

Adakah boleh, adakah tidak.

Ini bukan masalah kerajaan, atau pakatan rakyat.

Ini soal prinsip agama.Prinsip tidak mengenal mana-mana kubu dalam berbicara.Prinsip mengajar kita sentiasa selari dengan bicara wahyu dan sabda Nabi.

Saya bukanlah orang yang ahli dalam bab ini.Namun apa yang saya fahami, kadang-kadang para ulama' mempunyai pandangan berbeza dalam sesuatu perkara. Kefahaman terhadap nas-nas agama yang mendasari perbezaan pendapat ini.

Dengan syarat, kita menolak bicara 'syaitan bisu', ulama su', ulama yang berbicara dengan memperhatikan apakah bicara kubu yang disokongnya, kemudian menghiaskan dalil-dalil agama kepada prinsip kubunya.

Dalam sejarah Islam, kondisi sebegini acapkali berulang.

Fatwa Imam Nawawi terhadap pemerintah, fatwa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya. Banyak yang tidak 'sebulu' dengan pemerintah dan ulama sebaris pada zaman masing-masing, namun dunia kemudian melihat mereka sebagai tokoh ulama yang bangun mempertahankan prinsip agama.

Ya, walau berbeza dengan kebanyakan.

Ini pandangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan sahabat-sahabat.


Pandangan Dr Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis.


Untuk melihat perbezaan pendapat di kalangan ulama, tentang hukum demonstrasi, bolehlah melihat dan mendengar sendiri diskusi antara Dr Fadlan dan Dr Asri Zainal Abidin.



Fikir dan Analisis

Manusia dianugerahkan akal fikir.Di sinilah titik beza manusia dengan haiwan.

Menyokong dengan berfikir, menentang juga biarlah dengan analisis semasaknya.

Perihal BERSIH.

Pabila menyokong, pastikan ini bukan pesta musiman.

Menyokong itu dengan prinsip.Prinsip tetap sama, walaupun dengan ada atau tanpa BERSIH.

Akal fikir, tidak dapat dilarikan dari gandingannya iaitu EMOSI.

Kadang-kadang akibat terprovokasi, rasional mengatasi emosi.

Marah-marah, caci maki, menghina..

Kata-kata kesat sebegini bukanlah akhlak seorang Muslim.

Menghina seorang Muslim itu hukumnya fasik.Begitulah kata-kata Rasululullah sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Hati-hati teman..


Cerita KITA

‎"Bersih ruins my weekend!"

"Baik duduk rumah, lepak,kemas-kemas!""

Habis banyak roadblock, menyusahkan!""

Penyokong Ambiga, si pemurtad agama Islam,dah turun hari ini!"~

Fikir, analisa dan kemudian cuba jangan bercakap tentang diri sendiri..Orang tidak sebodoh itu untuk turun berdada, dengan banyak risiko,tanpa dibayar dengan apapun..

Kerana harganya MAHAL..


Ini status saya di jaringan Facebook.

Sejujurnya, ayat-ayat di permulaan status ini adalah refleksi dari pembacaan status-status di Facebook.Tidak teringat saya siapakah si penulis status sebegini. Kemungkinan ada, kemungkinan juga tidak ada.Rekaan saya semata-mata.Bahasa saya hanya bahasa umum.

Susah untuk menjelaskan.

Maafkan saya untuk berbicara.

Bagi orang-orang yang berbicara dan berfikiran sedemikian, kemungkinan yang paling besar adalah dianya tidak pernah merasakan kesusahan rakyat, makan pakainya cukup, telefon genggam sering bertukar jenama.Segalanya mewah.

Cuba jangan berfikir untuk diri sendiri semata-mata.Berbeza dengan yang hanya berkata dengan mereka yang merasa.

Mereka yang turun pada hari Sabtu 9 Julai, bagi saya tidaklah sebodoh itu untuk mengorbankan hari,wang,tenaga, dan memperjudikan nyawa sendiri dengan pelbagai kemungkinan.

Kerana mereka orang yang berfikir dan menganalisis.

Pokoknya, saya juga setuju dengan kontra sebuah demonstrasi seperti imej Kuala Lumpur tercemar,ada barang yang rosak, ada peniaga yang rugi (di samping ada yang mendapat untung berlipat), jalan banyak tutup, tidak boleh 'hang-out' di Sogo,Times Square hari Sabtu..

Tetapi apabila bertemu dua kemudaratan, maka dipilih kemudaratan yang kurang.Ini prinsipnya.

Tetapi apakah pula KEMUDARATAN yang maha besar selain di atas?

Ceritanya senang.

Pada pandangan mereka, apabila cara berperingkat seperti rundingan, surat, perbincangan secara demokrasi tidak menunjukkan kesan, pilihan demonstrasi yang diakui secara demokrasi adalah pilihan terakhir.

Korupsi membebalkan fikiran dan hati, merosakkan negara (meruntuhkan stadium juga) dan masa depan.

Korupsi, kebobrokan sistem pemerintahan dan pilihanraya semuanya terbukti.

Makanya 8 tuntutan ini dipersadakan.Suara hati orang yang cintakan keamanan bergema.

Kerana mereka juga mencintai MALAYSIA.Menyayangi bangsa, agama.


Kerana CINTA dan SAYANG, mereka turun.Cina,India,Melayu semuanya..



AKHLAK..

Para demonstran aman harus berakhlak, jugalah sang penjaga keamanan harus berakhlak.

Jangan ada yang memulakan provokasi.

Demonstrasi itu harus, provokasi itu haram.Bak kata Ustaz Zaharuddin.

Dan berbicara peristiwa kelmarin.

Berlaku adillah.

Kemungkinan ada demostran yang memulakan provokasi, kemungkinan juga ada polis yang memicu berlakunya keganasan.

Jangan dibakulsampahkan semua polis itu bobrok.

Jangan pula mengatakan para demonstran itu pemicu keganasan.

Mengumumkan benda yang khusus, sering menimbulkan penyalahertian dan kezaliman.

Hanya yang di Atas Maha Mengetahui.



Prinsip Seorang Muslim


1) Adil dalam menilai,analisis dan berpaculah pada kebenaran dan fakta
2) Berakhlak dalam kehidupan seharian
3) Fikirkan KITA,bukan DIRI SENDIRI
4) Niat ikhlas

~Sama ada kita pro-BERSIH atau tidak,inilah pegangan kita.Sia-sia menyokong BERSIH, tetapi hati kesumat dendam pada individu, bicara penuh caci maki, solat entah ke mana..Sekadar ingatan buat diri



Foto-Foto Bercerita..