Rabu, 30 Jun 2010

JJJ ( Jom Julai Jakarta) (^^,)V

Peduli Palestin Kami Bersamamu
3hb Julai 2010
0800-1300
Kedutaan Besar Malaysia, JAKARTA






Pesta Buku Jakarta 2010
2-11 Julai
Istora Senayan,Jakarta




Sementara ada kelapangan dan masa, ayuh kita manfaatkan ruang dan peluang ini dengan berkunjung ke Jakarta.

" Sesiapa yang bergerak dalam jalan mencari ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan jalanNya ke Syurga"

Jumaat, 25 Jun 2010

Video : Bukan Sekadar Lawak Murahan





Antara sebab kemunduran umat Islam, adalah kerana penguasaan ilmu yang lemah.

Sama ada ilmu pengetahuan duniawi ataupun ilmu agama bekalan diri, kembara menuju Ilahi.

Ayat pertama yang muncul sebagai tanda mukjizat kenabian Al-Amin Muhamad adalah IQRA'

Bacalah..

Pentingnya membaca sebagai wasilah penguasaan ilmu.


Ilmu Agama

Ayat Qurani adalah pengantara Ilahi dengan manusia insan, disampaikan melalui tangan Sang Rasul.

Rasul mengajar apa, bila, bagaimana mahu sujud dan patuh pada arahan Rabbi, Sang Pemilik Langit dan Bumi.

Tidak boleh direka, dan dianggap baik mengikut pemahaman jahil, bodoh lagi dangkal manusia.


Manusia Pendakwah

Kita semua tidak dapat tidak adalah hambaNya. Mahu lari ke mana, merentas masa dan ketika, hakikat itu tiada dapat diubah.

Mari kita pakat melihat dengan kaca mata merubah, dan belajarlah dari hakikat senario ini.

Anda dan saya, kita semua boleh tergolek-golek menggelakkan si pelaku. Tetapi ini adalah senario benar yang realiti di dalam masyarakat.

Apakah peranan kiat..

Ayuh kita melihat dengan nada proaktif merubah.

Khamis, 24 Jun 2010

Anak Adam, Pengurusan Kewangan Buatmu..



Di dalam sebuah pelayaran, seorang nakhoda kapal berdiri tegak di buritan. Pandangannya jauh, melewati sorotan luas saujana mata memandang.

Awak-awak kapal menfokuskan perhatian kepada sang nakhoda.Masing-masing menunggu dengan penuh kesabaran akan pokok bicara sang nakhoda.

" Makanan dan minuman dah dibawa naik?"

" Ubat-ubatan pula macam mana?"

" Jaket keselamatan, pelampung dan sampan semua dalam keadaan elok tidak?"

"Alat-alat komunikasi semua dalam keadaan optimum?"


Begitulah peri pentingnya peranan seorang nakhoda kapal. Pelayaran yang bakal ditempuhi jauh ke depan, diantisipasi setiap jenis masalah yang mungkin membawa onar dan sial.

Bersiap-siap dengan segala kemungkinan.

Ilmu, pengalaman antara ramuan yang perlu dilengkapi dengan mahir oleh seorang nakhoda. Di tangannya, segala kejayaan atau kesalahan terpikul di bahunya. Itulah beban yang harus digalas seorang bergelak nakhoda.


Nakhoda Kehidupan

Dalam sebuah kehidupan, lelaki adalah terajunya.

Sama ada statusya sudah beristeri atau masih bujang solo, kendali rencana menjadi tanggungjawab yang harus sedia ditanggung.

Waima menjinjing ringan, ataupun memikul berat, itulah kapasiti seorang lelaki.

Dan di dalam arena moden hari ini, antara komponen penting untuk kehidupan yang layak adalah sesuatu yang kita kenali sebagai WANG.

Wang bukanlah segala-galanya, tetapi wang penting untuk segala-galanya.

Yang penting biarlah tangan kita berkuasa terhadap wang, dan bukannya wang yang menguasai hati kita.


Dialog Bulanan

" Alamak duit dah kering. Biasiswa lambat lagi masuk!!"

" Kena ikat perut la lepas ni!"

Inilah antara dialog rasmi bagi para pelajar, terutamanya di setiap hujung bulan.

Apabila kocek penuh kembali, sakan berbelanja membeli itu dan ini, sampai lupa dunia. Sesal yang sudah tiada guna.

Setiap orang manusia berbeza-beza tahap kemampuan kewangannya.

Bagi yang berlatar keluarga yang berada, semua yang dihajati boleh didapatkan dengan mudah.

Blackberry berharga RM 2, 3 ribu.

Motorsikal baru berharga RM 5,6 ribu.

Komputer riba berjenama hebat.

Pakaian-pakaian berjenama luar negara.

Kalau ada yang mahu pulang ke tanah air, tiket pesawat ditaja secara penuh oleh orang tua.

Seandainya mahu kahwin, setakat hantaran belasan ribu ringgit dan lembu 2,3 ekor, ayah dan emak boleh menanggung.

Saya tidak menyatakan salah bagi yang mendapat kelebihan ini. Alhamdulillah, kurnia Tuhan buat mereka.

Saya cuma mengharapkan bagi yang mempunyai kelebihan, tolonglah bersifat empati kepada yang lain.

"Tidak semua orang seperti anda!"


Bagi seorang yang dari keluarga biasa-biasa, aliran keluar wangnya adalah cukup terhad. Setiap sen yang keluar perlu direncanakan terlebih dahulu.

Mahu telefon genggam yang baru?

Alamat menabunglah 2, 3 tahun.

Mahu pakaian, kasut baru?

Tunggulah beberapa detik menjelang raya.

Hati teringin mahu menikah?

Niat diundurkan terlebih dahulu. Duit belum ada untuk itu..


Cerita Seorang Teman

Saya ada seorang sahabat. Orangnya biasa-biasa dari penampilan luarnya. Tetapi hatinya sungguh baik.

" Berapa simpanan kau sekarang?" suatu hari saya bertanya lewat Yahoo Messenger.

Masih saya ingati, perkongsian saya dengannya tentang isu perkahwinan, tentang hantaran, mengenai persediaan dan persiapan kami sebagai seorang lelaki.

" Alhamdulillah kat sini, banyak benda yang boleh dijimatkan. Sekarang dah ada dalam RM 30,000!!" jawabnya spontan.

Saya terkesima. Cukup banyak jumlahnya.

" Dah layak nikah tu.." saya membalas dalam nada bergurau.

" Betul tu. Ada juga rencana ke arah tu, tapi sekarang, aku ingat nak bagi ayah aku la. Dia ada hutang RM 20,000 lebih. Aku nak bayar untuk dia. Lagipun dia tak berapa sihat sekarang!"

Saya terkedu.Sayu.

Rupa-rupanya ayah sang sahabat baru terkena serangan jantung.Mungkin banyak biaya yang diperlukan.

Hebatnya kamu, sahabatku!!


Cerita Seorang Adik

"Kenapa sampai gastrik, tak makan ke?" saya bertanya lewat sistem pesanan ringkas.

Tanggungjawab saya sebagai Yang Dipertua pelajar pada waktu itu dan memandangkan adik itu adalah antara yang rapat dengan saya.Saya meringankan diri bertanya, berkongsi masalah.

"Macam mana boleh tak ada duit, bukan biasiswa kan?" saya bertanya, penasaran.

" Saya dapat RM 800 per bulan, tapi bang..Saya hantar balik ke rumah RM 500!" dia membalas, masih menyempatkan diri menulis ikon smiley.

"Rumah kena bayar, elektrik, makan minum ayah yang sakit, adik beradik lagi. Kerja kilang emak manakan cukup!" jelasnya mulus tulus.

Ya Allah.. Maafkan aku, aku tidak mengetahuinya.

Pada waktu itu juga, hati saya terasa sangat perit. Masih ada insan semulia ini, berjuang di rantau orang, bertungkus lumus, perut sentiasa diikat..Pulangnya setahun sekali. Hati meruntun pulang, masakan mungkin dengan wang yang tiada.

"Mulia benar hatimu wahai adikku!!

Di sinilah, titik perubahan paradigma saya. Tidak semua pelajar yang
mendapat biasiswa tetapi masih susah, disebabkan boros berbelanja.


Bergeraklah Ke Arah Perkahwinan

Saya juga bukanlah berasal dari keluarga berada.Tetapi segala puji bagiNya, semuanya mencukupi.

Masing-masing ada keupayaan kewangan tersendiri. Subjektif per individu.

Bagi seorang lelaki, sang nakhoda pelayaran hidupnya, rencana kewangan adalah sesuatu yang perlu mendapat prioriti dalam kehidupannya.

Langkahan pemikiran dari usia dini harus dimulakan. Jangan sibuk memikirkan perkahwinan, kenduri, baju pengantin dan sebagainya, tetapi habuk pun tiada untuk berakit-rakit ke arah itu.

Di sinilah benih tanggungjawab sebagai seorang suami, nakhoda sebuah kapal rumahtangga, harus dipupuk dan bercamnbah.

Sang mertua, terutamanya sang bapa menilai di sini.

" Makan pasirkah anakku nanti?"

" Bagaimana kalau sudah beranak pinak?"

Melepaskan baton tanggungjawab seorang ayah kepada lelaki lain, adalah satu detik keputusan yang sukar bagi seorang ayah. Seorang ayah pasti mahukan yang terbaik untuk anaknya, terbaik seperti dia memberikan yang terbaik untuk anakandanya yang tersayang..

"Adakah tatangan minyak penuh yang akan diberikan lelaki ini untuk anakku?"


Monolog seorang ayah pasti berbicara.


Mulakanlah..


Mulakan dari alam bujang lagi. Menabung sedikit-sedikit secara rutin.

Bagi yang berada di Indonesia, silalala sertai skim perkhidmatan simpanan yang diberikan oleh bank-bank di Indonesia.

Umpamanya, Bank Niaga ada meyediakan skim Niaga Mapan.

Setiap bulan, bergantung pada tarikh dan jumlah yang kita tentukan, simpanan kita akan dikeluarkan dari akaun utama.

Wang itu akan dikumpulkan sampai mencapai jumlah yang kita mahukan atau sampai tarikh yang kita mahukan, wang akan dikembalikan ke dalam akaun utama.

Ramai sahabat yang sudah mendaftar, bagi yang belum silakan.

Kalau dulu, kalau tidak silap, minimum persyaratan adalah Rp 100,000(Rm40) sebulan selama setahun.

Lumayan untuk setahun mendapat 1,2 juta secara tidak sedar.Hampir Rm 500.

Dan di sini, bukan untuk memuji abah dan mama saya, tetapi hasil didikan mereka membuatkan saya berhati-hati dengan pengeluaran wang.

Bagi yang sudah berumah tangga, simpanan pendidikan sebagai contoh, antara contoh yang baik.

Orangtua saya umpamanya, membuka akaun Tabung Haji untuk kami adik beradik semenjak kami kecil lagi. Setiap bulan, RM 10 dimasukkan ke dalam akaun kami.

Mungkin sedikit bagi sesetengah orang. Tetapi layaklah bagi kami yang seadanya hidup. Yang penting, abah dan mama mencontohkan teladan yang baik buat kami.Saya percaya orang tua anda juga ada perancangan yang tidak jauh bezanya.




Saya teringat juga. Dalam beberapa tahun dahulu, saya mendapat informasi. Jikalau sewaktu anak kita dilahirkan dan kita membuka akaun bank untuknya pada saat itu juga, dan dimasukkan sebanyak Rm 1000, ketika anak kita berusia 55 tahun, wang yang disimpan sebanyak RM 1000 tadi, tanpa dikeluarkan dan ditambahi, anak kita akan bergelar jutawan pada ketika umurnya 55 tahun..

Satu fakta yang menarik bagi saya..

Kata kuncinya, mulakanlah walaupun sedikit..


Jangan Ikut Trend

Belajarlah mengawal diri dalam berbelanja dan jangan senang mengikut fesyen semasa.

Orang ada IPhone, kita pun nak. Padahal tiada manfaat untuk diri.Lainlah belinya untuk kemanfaatan maksimum.

Orang pakat cari kasut Adidas terbaru, kita pun turut terkinja bersama, padahal deretan di rumah, masih banyak pasang kasut yang tersimpan elok.

Jangan menjadi insan reaktif terhadap suasana. Susah hidup jadinya..

Di sinilah erti disiplin dan keberanian berkata tidak sangat-sangat diperlukan.


Pendek Kata

Status kewangan bukanlah segalanya.

Tetapi apa berkisar tanggungjawab, banyak dipengaruhi oleh status kewangan.

Belajarlah bertanggungjawab wahai anak Adam.

Tanggungjawab itu bukanlah suatu proses pembelajaran alam skim cepat kaya.

Ia perlukan waktu dan pengalaman.

Jom jadi bertanggingjawab kawan-kawan Adam sekalian..







Rabu, 23 Jun 2010

Ustaz Fadzil Noor Dalam Kenanganku..




Peribahasa Melayu menggambarkan ..

" Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama"


Wangi semerbak sepotong nama tergantung pada budi dan jasa sang jasad sewaktu masih hidup di kelana dunia.

Busuk menusuk , mual menyebut sebaris nama tergantung pada karat dosa dan dendam pusaka, yang mengguris rasa seluruh penghuni dunia, sama ada yang masih hidup atau yang telah berangkat ke alam fana.


Tanggal 22 Jun,8 Tahun Silam

Sewaktu itu, saya masih lagi di bangku pengajian sekolah menengah. Masih di Tingkatan 4.

Usai pulang dari sekolah pada siang harinya, saya menonton kaca televisyen. Dan pada masa itu, Mesyuarat Agung UMNO sedang berada pada puncaknya.

Saya masih bertatih dalam memahami senario politik di tanah air. Bertatih tetapi bukan bermaksud naif.

Seantero Malaysia heboh apabila melihat Tun Dr Mahathir( Perdana Menteri pada ketika itu) menangis teresak-esak, mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada ketika itu.

Keputusan yang cukup drastik dan mengejutkan kawan dan lawan.

Teringat Datuk Seri Rafidah Aziz melantunkan kata-kata..

"Why Dato Seri, why?"

" Tolong tarik balik keputusan Dato Seri!!"

Dewan bergemuruh dengan suara pujukan dan pujukan. Esak Dr M. tidak kunjung tiba. Saya hanya memerhati.




Dalam pada itu, di Institut Jantung Negara (IJN), ada seorang nyawa yang bergerak ke detik penghujungnya. Detik nan pasti yang dijanjikan buat setiap makhluk bernama manusia.

Sakit jantung yang diderita menunjukkan tanda kambuh. Seluruh sahabat saudara dan insan yang mengenalinya, mula mengungkapkan tanda lega dan gembira.

Tetapi ternyata, Tuhan lebih menyayanginya.

Seluruh negara berduka.

Saya masih teringat halaman utama Berita Harian pada ketika itu memaparkan 2 tajuk berita yang cukup mengejutkan tanah air.

Dr M meletak jawatan

Presiden PAS meninggal dunia

Belasungkawa

Ummah menangisi pemergian seorang tokoh ulama yang memperjuangkan agamaNya.

Sejujurnya, pada detik itu, saya tidak mengenali secara terperinci sosok yang meninggal dunia.

Cuma apa yang saya tahu, ustaz-ustaz saya di Kota Bharu, Menteri Besar saya, semuanya bergegas ke Pokok Sena untuk menziarahi jenazahnya.

Ada sedikit nada sedih di hati saya.

Khabarnya , hampir seratus ribu yang mengiringinya.

Terdetik rasa kagum di hati saya pada waktu itu.



Sekarang

Betul sekali kata hikmah.

Kita tidak akan terasa kehilangan seseorang, kecuali apabila dia betul-betul tiada bersama kita.

Saya betul-betul terlambat mengenalinya.

Saya khatamkan biografi peribadinya. Halaman demi halaman diselak. Saya hayati perjuangannya, keihklasan peribadinya. Almarhum disegani kawan dan lawan. Saya kagum sekali. Air mata tidak mampu diempang lagi. Jatuh berderai perlahan-lahan.

Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, tempat yang diperjuangkannya, menjadi tempat peristirehatan untuknya.

Sosok bicaranya kelihatan lembut. Tetapi Subhanallah, apabila diteliti video-videonya di Parlimen Malaysia, mewakili Pendang pada waktu itu, saya terasa keterikatan hati yang cukup kuat. Lembut, tetapi apabila dihujjah dengan perkataan-perkataan yang memperlekehkan agama, ketegasan jelas terpancar.

Saya kurang senang dengan perkataan kesat yang digunakan sewaktu berceramah politik.

Saya tidak suka, bercakap tentang isu semata-mata, tetapi basis akidah dan Islam tidak ditekankan.Saya jemu dengan orang sebegitu.

Tetapi Almarhum adalah versi yang saya cukup sukai, hormati dan ingin sekali saya contohi.

Huraian isu, ditegakkan dengan basis-basis agama yang mencakup bab akidah dan Islam dengan mendasar.





Ramalannya tentang isu buang bayi, kebejatan sosial, telah dilaungkan di Parlimen pada tahun 2002. Telinga yang mendengar, hanya masuk dari kanan, keluar melalui kiri. Tiada hati yang menyahut seruannya untuk bertindak merubah.

Bahasanya ikhlas, meruntun hati yang lain untuk menyahut seruannya.

Saya teringat berbuka puasa hari Arafah di dalam kereta bersama-sama Dr Mohd Asri Zainal Abidin aka Dr MAZA, mantan Mufti Perlis. Kunjungan ke Bandung tempoh hari dimulai dengan kesesakan lalu lintas yang teruk menyebabkan kami terpaksa berbuka puasa di dalam kereta.

Dr MAZA mengungkapkan testimoninya terhadap Almarhum.

" Almarhum seorang tokoh agama, ahli politik yang hebat. Dia meraikan Muslim dan Non-Muslim!!"


Saya Merinduinya


Seorang sufi berkata.

"Seberapa banyak orang yang menghantar jasad kita ke peristirehatan terakhir, menentukan seberapa banyak pengikut yang telah menerima pengaruh dan teladan baik darinya."

1oo ribu lautan ummah mengiringi pemakamannya. Kesesakan paling hebat disaksikan Pokok Sena.


Karamah seorang ulama disaksikan seluruh alam. Kapal terbang yang membawa jenazahnya terus diiringi awan sepanjang perjalanan. Sang juruterbang berkomentar, lantas melafazkan syahadah kesaksian.



Berdakwah walaupun setelah meninggal dunia.

Makammu telah kujejak, ku doakan kebaikan terbaik buatmu. Semoga aku boleh menuruti derapan tapakmu dan moga-moga kita sama-sama dapat berjumpa di SyurgaNya nanti. Insyaallah.





Ustaz Fadzil Nor, jasadmu dalam kenangan, pidatomu kucontohi, dirimu tetap selamanya segar di minda dan akalku.

Semoga Tuhan merahmatimu...



Selasa, 22 Jun 2010

Sentuhan Positif Seorang Berjiwa Pemimpin




Kes 1 : " Ali, projek ni engkau yang kena buat!"


Kes 2: "Ali, tolong buat projek ni ye !"



Kedua-dua ayat di atas mempunyai maksud yang sama, tetapi di sini, ada benda yang berbeza.

Ya. Struktur ayatnya, jenis penggunaan gaya bahasa berbeza.



Pemimpin = Pakar Komunikasi


Saya bukanlah pemimpin atau ketua yang hebat. Saya tiada bakat itu, cuma saya bertatih dalam belajar. Setiap kali jatuh, saya bangun. Dan sekarang, saya masih terus belajar.

Sepenggal memegang jawatan, pengalaman ditimba cukup banyak, sebagai aset pelajaran untuk masa depan.

Saya belajar dengan orang, dan orang lain juga belajar daripada saya. Hubungan sinergis ini sentiasa wujud, jika manusia mencarinya.

Antara ciri seorang pemimpin yang baik adalah kemampuannya untuk berkomunikasi. Saya bukanlah seorang yang ahli. Bercakap sahaja, masih terketar-ketar, tergagap-gagap. Tetapi mungkin ada sedikit perkongsian ingin diceritakan.

Dalam ruang perbincangan atau mesyuarat, sewaktu tugas mahu didisribusikan, di sini, gaya percakapan memainkan peranan yang cukup penting.

Pemimpin harus membiasakan dengan penggunaan kata-kata positif.

Arahan diberikan kepada makhluk bernama manusia, dan manusia punya hati dan perasaan. Emosi positif perlu ditanamkan ke dalam hati mereka, perasaan itu perlu diraikan.


3 Perkataan Ajaib..


Terima kasih..

Setiap kali permintaan dianjurkan dan arahan telah dilaksanakan, seorang pemimpin harus pandai mengungkapkan ucapan terima kasih. Bukan ucapan terima kasih secara formaliti, tetapi berterima kasihlah seikhlas hati.

Pandang anak mata si anak buah, jabat tangannya, tepuk bahunya, dan ungkapkanlah ucapan ini. Nescaya, orang bawahan kita akan terasa dihargai. Kita bahu membahu dalam menjayakan suatu program , masing-masing ada tugasan tersendiri. Masing-masing punya lelah dan penat, ukirlah ungkapan ini, berbungalah hati, hilanglah anasir penat dan lelah.


Maaf..

Seandainya, ada kesalahan, kelewatan tercipta, ringankanlah diri untuk merendahkan hati untuk menyusun sepuluh jari , pinta kemaafan, hatta dari orang bawahan kita. Mengakui kesalahan tidak akan mengurangkan martabat seseorang, bahkan ia tanda keberanian seorang perwira.

Ucapkanlah dengan tulus, pasti manusia senang menerimanya, dengan syarat, kesalahan dan kelewatan adalah sesuatu yang bukan kebiasaan atau tabiat peribadi diri.



Tolong..

Setiap kali mahu bekerja, atau meminta sesuatu dibuat, raikanlah hati manusia. Gunakanlah perkataan tolong sebaiknya..

Seperti contoh di awal artikel di atas, kedua-dua arahan bermaksud sama, tetapi tindakbalas manusia yang mendengarnya seringkali berbeza.

Manusia lebih suka bertindakbalas, memberi reaksi positif apabila perkataan 'tolong' digunakan.

Hati yang diraikan, tidak akan membuat sesuatu perkara atas dasar terpaksa, hati membuatnya dengan rela dan suka.


Kata Paling Penting

Kita

Seringkanlah menggunakan perkataan ganti diri ini. Kita adalah perlambangan anti- pentingkan diri sendiri. 'Kita' mengajak semua orang untuk berpartisipasi.

Kita.. Kita..Dan kita..

Dan jauhkanlah dari perkataan..

Aku

Aku adalah lambang kemegahan diri, berfikir untuk diri sendiri.

Seorang pemimpin yang sering ber'aku-aku', susah untuk mendapatkan perhatian dan kepercayaan orang.





Alhasilnya

Saya juga terus belajar. Kadang-kadang, saya juga terbabas. Ilmu dan pengalaman ada waktunya terlupa dek minda.

Sampai sekarang, kalau saya diberi arahan atau disuruh untuk membuat sesuatu, saya sukar menerima orang yang susah mengungkapkan perkataan TOLONG di pangkal ayatnya..

Sehingga kini, kalau saya bekerja untuk sesuatu bersama-sama dengan manusia lain, saya suka mendengar ucapan TERIMA KASIH. Bukan mahu meminta, cuma tolonglah raikan perasaan manusia lain.

TERIMA KASIH oleh seorang atasan, akan meningkatkan motivasi untuk terus bekerja seorang bawahan, dan TERIMA KASIH kepada orang atasan juga tanda penghormatan seorang bawahan.

Pendek kata, hubungan antara manusia memerlukan penggunaan kata-kata ini dengan efektif dan efisien.


Asas

Setiap pemimpin harus menguasai bahasa positif yang asas ini.

Saya teringat sepotong hadis, terdapat di dalam hadis ke 40 dalam Hadis 40.

" Jadilah kamu di dunia seperti seorang asing atau pengembara"

Fokusnya bukanlah kepada matan atau isi hadis, tetapi pada penceritaan gaya Rasulullah dalam membicarakannya.

Ibnu Umar terlibat dalam perbicaraan ini dengan Rasulullah.

" Rasulullah mendekatiku, dan memegang bahuku.."

Kemudian barulah sang Al-Amin Muhammad, melantunkan nasihatnya.

Bagaimanakah perasaan kita apabila dinasihiti dalam keadaan sebegitu seperti Ibnu Umar?

Sang hati pasti berbunga, kata-kata nasihat terus menusuk kalbu.

Sentuhan dan bahasa yang cukup positif.

Rasulullah sudah mencontohkan, bagaimana kita pula, wahai para pemimpin...

Khamis, 17 Jun 2010

Suatu Catatan : Denyut Kasih Medik



Denyut Kasih Medik, begitulah nama judulnya.

Kira-kira 3, 4 bulan sudah, buku karya Dr Farhan Hadi ini, begitu menjadi bualan di bibir sahabat-sahabat di Malaysia. Bicara di Facebook juga agak hangat.

Banyak yang berencana untuk memilikinya.

Pandangan pertama saya pada waktu itu, kemungkinan besar publisiti sampingan yang dibekalkan oleh isteri tercinta penulis buku ini, seorang penulis tersohor tanah air, Fatimah Syarha Nordin, merupakan antara faktor penyebabnya.

Karyanya memang hebat bagi saya secara peribadi. Seindah Mawar Berduri, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul, Tautan Hati dan Syabab Musafir Kasih, ada banyak mesej bermanfaat, tersirat dan tersurat.


Don't Judge A Book By It's Cover..

Memang tepat penangan ayat orang Inggeris ini.

Gambaran awal di kulit luar, tidak akan mampu menggambar realiti sebenar isi di dalam. Manusia sering tertipu, diperdaya dengan topeng luaran.

Begitu juga saya.

Rencananya mahu membeli buku tersebut apabila pulang ke tanah air nanti, tetapi Alhamdulillah, rencana Allah lebih baik. Secara tidak sengaja, seorang kawan yang pulang dari Malaysia, membawanya ke sini. Alhasilnya, saya meminjam dan sudah mengkhatamnya.

Subhanallah hebat!!!


Fiqh Perubatan

Antara isu yang diketengahkan adalah isu-isu kontemporari.

Penggunaan Clexane, sejenis ubat anti-koagulasi yang bercampur dengan unsur-unsur dari khinzir.

Penggunaan air selusuh

Euthanasia atau Mercy Killing

Abortion ( pengguguran anak dalam kandungan)

Fiqh solat dalam keadaan sakit dan darurat

Penggunaan tangkal

Isu fiqh berkaitan haid, nifas, wiladah dan istihadah

Penggunaan alat pencegah kehamilan dan pengawalan anak


Fiqh Cinta

Isu cinta juga ditimbulkan dengan rona cantik dan berhemah.

Saya ada membaca pendapat beberapa orang berkaitan buku ini.

" Novel tulisan doktor.Faham-faham jelah! "

Bahasa yang digarap dalam novel ini, ya, memang biasa. Tidaklah lenggok bahasa yang berbunga-bunga, cuma bagi saya, gaya tulisan yang bersahaja ini cukup cantik dan menarik.

Ada suatu perasaan positif mengalir ke dalam diri. Dan keadaan ini tidak akan tercapai dengan semena-mena sahaja, kecuali dengan satu ramuan khas..

Tulislah dengan hati nan ikhlas, nescaya hati-hati yang lain akan memahami!

Inilah resipi rahsianya.

Secara ringkasnya, petua bercinta sesuai syariat yang dilakarkan penulis, memang cukup mengesankan. Susah, payah, tetapi hasilnya indah..


Kehidupan Seorang HO

Buku ini juga memaparkan jerih perih kehidupan seorang doktor muda.

Kepenatan, sering dimarahi dan sebagainya.

Mujurnya, penawar penat dan marah adalah objek dakwah yang merata di hadapan.

Hati terus tabah dalam memberi khidmat dan saran kepada manusia. Hati terus bahagia melihat sekujur badan terus , tanpa erti penat, terus-terusan memberi.

Realiti dipaparkan dengan cukup elok.


Kesimpulan

Saranannya, buku ini elok dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Pelajar perubatan agar bergerak kehidupan Islami, para remaja pendamba cinta agar termateri cinta sejati, masyarakat agar tahu agama dan hidup memberi seorang doktor..

Selamat membaca...




Ahad, 13 Jun 2010

Perempuan : Antara Sebaik Perhiasan dan Seburuk Fitnah..




Suatu ketika, seorang sahabat yang rapat dengan saya menghubungi melalui Facebook. Seorang yang bagi saya dan sahabat-sahabat lain adalah seorang lelaki yang cekal, hatinya sangat sensitif dengan kemaksiatan.

Ana sebenarnya memendam perasaan..

Kadang-kadang ana nak je cakap kat dia supaya dia tak menaruh harapan kepada ana..

Tapi tak sampai hati sebab ana pun masih ada perasaan..

Sekarang ni ana mujahadah jer mi,tundukkn pandangan,banyakkan puasa,kurang bercakap..

Tapi kan mi,ini kadang-kadang menganggu ana..

Ana berdoa kalau dia ni dah fitnah bagi ana,minta Allah jauhkan ana darinya,tapi kalau tak,ana minta Allah mudah kan urusan



Suatu ketika yang lain, saya menghadiri usrah mingguan di rumah naqib kami. Alang-alang pulang dari bertemu doktor pembimbing skripsi di Bandung, saya terus menghalakan langkah ke rumahnya. Hujan gerimis malahan.

Jeda waktu masih lama. Sambil menunggu kehadiran sahabat-sahabat yang lain, saya membelek-belek beberapa halaman dari Kitabullah. Datang sang naqib dengan anak buahnya. Kami berkenalan sejenak.

Kenapa ya sering terasa rindu, mahu SMS dan sebagainya kang(panggilan abang orang Sunda)?

Terasa sudah sampai masanya mahu mengkhitbahnya, tetapi saya masih belum cukup sedia!

Sulit kang, mahu melupakannya!

Harus kuat perjuangannya!


Rupa-rupanya juga masalah peribadi yang sama. Saya hanya mendengar perbualan mereka sambil tersenyum. Pertama kali, saya menjadi orang ketiga perbualan. Seringnya, saya terlibat dengan perbualan aktif..

Mungkin inilah masanya saya menggunakan hikmah dianugerahkan Ilahi dengan sepasang telinga dan hanya satu mulut. Lebihkan mendengar dari berbicara!

Gurat resah sang teman diselang-selikan dengan nasihat dan mutiara hikmah dari sang naqib. Orang yang sudah diijabkabulkan secara halal, pandangan empatinya lebih berjiwa memahami. Orang bujang hanya bercakap atas landasan teori dan pengalaman orang.Biarkan yang ahli berkata-kata.

Semoga terus kuat sahabatku!!


Seindah Perhiasan Dunia..

Masih lagi tertancap kejap di ingatan hadis riwayat Muslim ini. Sewaktu di INTEC, dalam 5 tahun lepas, hadis ini terus melekat di papan putih rumah penginapan kami. Hampir setengah tahun dibiarkan tanpa ada yang mengusik.

" Dunia itu perhiasan. Dan seindah perhiasan dunia adalah wanita solehah!!"

Mungkin anak-anak muda penghujung belasan tahun, sedang mabuk dengan lagu-lagu dendangan In-Team dan Unic. Sungguh melenakan.

Kalau dilihat dari fitrahnya, Alhamdulillah, jalannya sudah tepat dan benar. Cuma tepat dan benar itu bukanlah suatu yang jelas. Banyak cara menghalakan jalan fitrah itu , tersadung dengan bisikan syahwat dosa sang syaitan.

Exist punya Jesnita, Julia, Siti.

Search dan Wings punya Isabella, Rashidah.

Dan nama-nama lain, Rabiah, Farhana, Ana, Seri.

Semuanya memuja insan bernama perempuan.Puja dan puji itu tidak semuanya salah, cuma apabila rentak dan arena dendangan lagu sering mengumandangkan cinta kepada perempuan, sedikit sebanyak ianya menanam bibit-bibit nafsu di dalamnya.

Kadang-kadang, tanpa disengajakan atau memang sengaja di hati, kita mampu melantunkan bait demi bait lirik nyanyian ini, secara spontan.


Seawal-awal Fitnah..


Orang berkata,

" Di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada seorang perempuan di sebaliknya!!"

Ada benarnya.

Rasulullah punya isteri tersayang Khadijah, Ali memiliki hawa solehah Fatimah, Tuk Guru Nik Aziz ada pendamping setia Datin Sabariah.

Tetapi jangan dilupakan, anak hawa juga merupakan mercu kejatuhan seorang lelaki, fitnah yang mampu meruntuhkan gunung. Fitnah itulah maksudnya ujian, dugaan, bala dan sebagainya.

Napoleon Bonaparte kalah dengan perempuan.

Tiger Woods menikus..

John Terry dilepaskan dari kapten England.

Bill Clinton, sampai sekarang manusia masih mengingatinya dengan Monica Lewinsky, hatta sudah bercerai dengan mantan isterinya, Hillary..


" Sesungguhnya seawal-awal fitnah pada Bani Israil adalah pada perempuan!"


Hadis Muslim ini bercerita tentang kejatuhan Bani Israel, perempuan sumbernya.

Tiada yang salah tentang itu.



Kepada Perempuan, Anda Punya Dua Alam..

Baik pun boleh, buruk pun boleh.

Tergantung mana yang suka dek citarasa hati.

Pilihannya tergantung mana satu yang akan menjadi jalan pilihan.

Adalah sesuatu yang susah lagi payah, jika sesuatu keputusan adalah di luar jangkauan tangan kita. Kita hanya mampu berfikir secara positif atau negatif terhadap keputusan di luar kehendak kita.

Adalah sesuatu yang lebih mudah lagi menyenangkan, jika sesuatu keputusan adalah dalam radar bikinan mutlak kita sendiri. Kita menentukannya..

Perempuan baik , mahukan pendamping yang baik.

Perempuan yang kurang baik, juga mahu pendamping yang baik.

Perempuan yang jahat, jauh di penjuru hatinya, dia tetap mahukan seorang lelaki yang baik, mahu mengajarkannya solat dan puasa, menerangi hidupnya dengan lantera kebaikan.

Bergeraklah menuju kebaikan, saudaraku hawa-hawa sekalian, nescaya yang baik bergerak juga menuju anda.



Kepada Lelaki, Anda Mahu 'Alam' Yang Mana?


Pilihan di tangan kita, kita yang menentukannya.

Saya percaya, dalam banyak keadaan, lelaki adalah orang yang memegang kendalinya, pemegang 'remote control'nya..

Perempuan tidak akan memulakan adegan dosa, kecuali apabila lelaki-lelaki sial, meleburkan benteng malu seorang anak hawa. Anda menguji diri sendiri, dengan merosakkan seorang anak hawa yang baik, bergelumang dosa dengannya.Tahankah diri dengan panas api dunia sebelum api akhirat sana?

Seandainya ada episod Zulaikha dalam diari hidup seorang lelaki, kendalinya tetap di tangan sang lelaki. Mahu jadi perwira, menancapkan kebal iman di dada bak Yusuf, ataupun lembik terkulai, dinodai nafsu liar oleh kebejatan perempuan seperti isteri Nuh dan Lut..

Pilihan di tangan kita, seorang lelaki..

Kepada dua sahabat saya di atas, kendalinya di tangan anda. Mahu yang baik, atau mahu mencuba yang buruk.

Kadang-kadang, jalan kepada kebaikan itu bak mendaki gunung. Penat, letih dan seakan-akan sudah mahu kecewa dan berputus asa. Akan tetapi, di sebalik kesusahan itu, nescaya ada kebaikan yang menunggu lagi tersirat. Hanya yang kuat dan tidak pernah kenal erti putus asa yang akan berjaya sampai ke puncak.

Huruf condong
Begitu juga bab perempuan.

Tuhan menguji untuk melihat kemampuan kita. Membiarkan segenap potensi sabar dan taat kepadaNya. Ya payah dan susah..

Tetapi Tuhan Maha Mengetahui, isi yang tersirat di belakang, ganjaran yang bakal ditempa dan segalanya..

" Sesiapa yang Allah mengehendaki baginya kebaikan, nescaya dia akan duji."


Kan kita makhluk bersifat hamba. Kan hamba itu resminya diuji.

Semoga berjaya..



p/s :

1) Khas ditulis untuk sahabat yang meminta motivasi.Saya tidak berapa pandai, ini sahajalah yang mampu.Peace :-)