Detik-detik ini benar menegangkan, tekanan mulai memuncak.
Ada yang terpaksa ponteng kuliyah kerana harus turun ke medan, mengumpul data untuk minor thesis.Minilecture, aktiviti lab terpaksa dipinggirkan dengan berat hati.
Ada yang sentiasa tersengguk-sengguk di ruangan tutorial dan kuliyah.Seringnya penuh perhatian, mungkin terkesan dengan kepenatan dan berjaga malam.
Selalunya hidup penuh keceriaan, tawa suka membingit suasana.Tetapi, wajah itu sudah mulai suram, berkerut seribu menahan derita. Lidah tiada bersuara, cuma gurat muram itu memperihalkan segala.
Ujian..
Ajaran di tahun ke 4 sudah tamat ke penghujung.Dua bulan mendatang, hari demi hari akan dilalui dengan hadirnya gerombolan ujian.
Ya ujian..
Entah untuk ke sekian kalinya, ujian dan ujian.
Manusia tidak suka akan ujian.Manusia akan diuji..Dan akan ada menang dan kalah, suka dan duka, serta pahala atau dosa.
Dan ujian andai salah jalan trafiknya, boleh menghantar orang kepada tekanan ultra negatif ,jika melebihi dosis yang sepatutnya.
Tekanan positif akan mengundang perasaan dan semangat untuk berusaha sehabis daya, untuk mengatasi segala halang dan rintang..
Dan manusia itu, senantiasa layak untuk diuji, sentiasa..
Lulus ujian, nescaya manusia itu berjaya.
Gagal ujian, itu alkisah sebaliknya.
Resmi Manusia..
Al-Mulk bercerita tentang manusia.Sang Kholiq mahu menguji mana yang terbaik amalannya.Demi sebuah hidup dan mati...
Dan ujian, kadar susahnya ternyata ada kelasnya tersendiri.
Tergantung pada orang yang dikenakan ujian.
"Alamak,hujan pulak.Sial la!!"
Baru sedikit rintik hujan bersujud di dataran bumi, marak marah nan membara sudah di luar kawal.Baru sedikit ujian menimpa..
" Saya redha, anak-anak dan isteri saya telah pergi terlebih dahulu.Tuhan lebih menyayangi mereka!"
Bahasa seorang suami dan ayah, yang kemas salutan taqwanya. Sedih itu jelas.Deraian manik-manik jernih mulus, lagi dingin, tidak mampu menghindar..Mengalir lesu, turun lewat pipi.
Tsunami meminta segala-galanya.Tsunami tidak mengenal cinta dan perasaan.Tsunami itu datang dengan arahan Tuhannya.Ujian buat hamba-hambaNya yang lain, dibentangkan jalan fujur dan taqwa.Silakan memilih..
Kembali Ke Asal..
Setiap hari, insan-insan bersyahadah, mematerikan setia dan janji, mengaku kekuasaan Rabbul Izzati.Ritual itu rutin dan sentiasa..Sama ada berdogmatiskan adat ataupun betul-betul siraman kefahaman dalam beragama, itu hanya maklum dek sendiri dan sang Kholiq.
Ibadah itu sendinya kefahaman.Solat itu kefahaman, bukan warisan budaya emak atau ayah.
Ujian akan datang, untuk disaksikan adakah benar-benar kefahaman itu melekat di nubari iman.Ataupun hanya lafaz semata-mata, sekadar cop bahawa aku seorang Muslim...Adakah sebegitu?
Setiap kali ujian datang bertamu, mintalah tunjuk-ajar dari Pemilik ujian itu. Ujian datang berbekalkan jawapan.Hanya harus dirujuk Pemiliknya tadi, untuk mencari penyelesaian ujian tersebut..
"Wahai orang-orang yang beriman, mintalah PERTOLONGAN kepada Allah dengan SABAR dan SOLAT.Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar"
~ Al-Baqarah : 153
Tonik Ilahi mengundang kita kembali padaNya.
Sabarlah dan terus kuatkan kesabaran. Kemudian solatlah semahu-mahumu.Saat sang hati gundah gulana, kembalilah padaNya, sang Pembolak Balik Hati..Bicara denganNya seenak-enak mahumu,Dia Maha Mendengar.Dia Maha Dekat..Lebih dekat dari alur darah di leher kita, sang manusia.
Ketika jalan penyelesaian berhujungkan denai yang mati,palingkan hati kepada sang Pemilik Jalan Yang Lurus.Dia kan membuka jalan yang tidak tersangka dek hambaNya.Taqwalah kepadaNya, nescaya kunci kepada kekusutan itu akan terlerai.
"Sesiapa yang bertakwa pada Allah, nescaya Allah akan menunjukkannya jalan keluar"
At-Tholaq : 3
Dan terakhir sekali, ingatlah bahawa kita ini hamba. Resmi hamba adalah taat tanpa ada belah bahagi. Tiada kata dua..Kalau hitam mahunya, maka hitamlah jawapannya..
Begitu jugalah skrip kita dengan sang Pengarah di atas.
"Cukuplah Allah sebagai penolong bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung"
Ali-Imran: 173
Tiada ulasan:
Catat Ulasan