Ahad, 28 Ogos 2011

Demi Ramadan : Ringankan Beban SOmalia!




Sewaktu masih di sekolah rendah, zaman di mana saya membesar dengan girang sebagai anak kecil, resmi anak-anak, saya suka menonton televisyen.

Rancangan kartun kegemaran utama.Namun di sela-sela itu, televisyen sering memaparkan keadaan di sebuah tempat di Afrika, bernama Somalia.Ibu kotanya dikenal sebagai Mogadishu.

Perang saudara di sana, sehingga kondisi negara tidak terkawal dan akibatnya 'pelanduk' yang menjadi mangsa.

Makanan sangat langka, minuman ditagih ke mana.Satu demi satu manusia rebah tidak bernyawa.Anak-anak seusia saya menderita durja.Ibu-ibu sudah kekeringan air mata duka, melihat seksa jiwa si muda belia.

Saya hanya melihat dan memerhati.

Melihat kontijen Malaysia berpartisipasi bersama menghantar pasukan pengaman dan bantuan ke Somalia.Masih ingat lagi beret-beret biru muda yang dipakai askar Malaysia.MALBATT panggilan buat mereka.Kepanjangannya apa , saya juga kurang pasti.




Ramadan Ini..

" Kasihan mereka di Somalia!"

Kata-kata seorang senior Indonesia sewaktu bertafakur pasca solat Zuhur di Masjid Asy-Syifa.Kasihan juga terbetik di hati kecil tatkala sama-sama membuka lembaran akhbar.



Kasihan tinggal kasihan.

Kasihan yang tidak membantu meringankan.

Kasihan manusia versi reaktif.

Hari ini masih ada sisa 2 hari lagi Ramadan 1432 Hijrah.

Peristiwa saya melihat di kaca televisyen tadi, berlaku sekitar 15 tahun silam.Zaman bocah riang, tidak mengenal erti dunia.

Sekarang apa kata dunia, seandainya jiwa anak-anak tadi masih lagi tidak berubah?

Apa kata Tuhan?

Apa kata baginda Nabi?

" Sesiapa yang tidak mementingkan urusan kaum Muslimin, bukanlah dia dari kalangan mereka!"

Kalam Rasul mengusik sendu jiwa Ramadan akhir.

Makan berkecukupan.Enak dan lazat..

Kadang-kadang sampai membuntal kenyang. Lupa akan nikmat Tuhan.Lupa juga akan dendangan Surah Ar Rahman..

" Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?!"

Ya Tuhan...

Aku lupa.

Aku pentingkan diri sendiri.

Aku fikirkan tembolok sendiri untuk diisi.

Wang aku, punya diriku.

Aduhai kejam sekali nafsu.

Anak-anak itu bukan berlebihan.

Mereka bertarung dengan nyawa, memperjudikan diri.

Dan adakah aku hanya akan memerhati.

Tidak sesekali ya Tuhan.Sesekali TIDAK...




Perhatian :

Salam sahabat-sahabat semua..

Anda Muslim?Atau Kristian? Hindu atau Buddha?

Siapapun anda, sumbanglah sesuatu untuk mereka.Atas nama kemanusiaan, tolonglah mereka.Sekecil apapun..

Bagi yang Muslim, lebihlah tanggungjawab di pundak anda.

Apa yang bakal dijawab di hari akhir nanti, tatkala anak-anak Somalia tadi bertanya.

" Saya mati kelaparan.Kenapa anda tidak menolong sedangkan anda berlebihan makanan di tempat anda.?!"

Allahu..

Sumbangkanlah wang anda ke akaun Maybank (5621 4270 8704) atau akaun CIMB (1259 0000 804 058) atas nama Islamic Relief Malaysia..

Bersama kita ringankan beban !



Jumaat, 19 Ogos 2011

JOKI Jaga : Sebuah Jejak Menempa Celaka..




"Rasa malas la nak 'oncall' malam ini, baik aku upah sesiapa yang hendak.Setakat Rupiah 400,000 (sekitar RM 150) kacang je!"

Si A dengan leluasa berbicara melontarkan misi bolos dari 'oncall'.Di Indonesia kalimah 'oncall' lebih identik dengan istilah JAGA.

Tawaran yang dilontarkan si A ternyata lumayan.

" Uishh Rupiah 400,000, banyak tu.Setakat jaga 12 jam, cukup lumayan.Boleh tambah duit poket"

Si B terpikat sakan dengan tawaran menggiurkan.Siapa yang menolak rezeki la katakan.

Begitulah sedikit sebanyak fenomena bak cendawan selepas hujan, yang sering kedengaran di halwa telinga, khas di kalangan mahasiswa perubatan.


Salahkah?

Resmi ada yang menjual, pasti ada yang bakal membeli.Lebih-lebih lagi habuan yang diterima ternyata lumayan buat mahasiswa yang belum mempunyai penghasilan tetap.

'MENJUAL JAGA' atau istilah yang sering digunakan adalah 'MENGJOKI'.

Bagi segelintir mahasiswa yang mewah kehidupannya, yang wang bukan suatu permasalahan, ditambah dengan sindrom kemalasan kronik, mengjoki adalah suatu pilihan yang cukup ideal.

Tidak perlu berpenat lelah, tidak perlu bersengkang mata, tidak perlu pening dengan kerenah pesakit. Syurga sementara di dunia pendidikan perubatan.

Jadi apa salahnya?

Menurut saya, sekadar pandangan diri yang penuh kedaifan ini, fenomena JOKI ini boleh ditinjau dari dua sudut utama.

Pertamanya, sudut agama.Dan kedua, etika perubatan.


Islam dan JOKI..

" Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi!"

Kalam Rasulullah yang dibentangkan kepada sahabat yang khusyuk mendengarkan.

Terpinga sebentar.Ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Lantas ada yang kembali bertanya.

" Wahai Rasulullah, menolong yang dizalimi itu kami sangat mengerti. Tetapi bagaimanakah pula dengan yang menzalimi? Bagaimanakah caranya untuk menolong?"

Sambil tersenyum Rasulullah menjawab.

" Halanglah, cegahlah kezaliman yang dilakukan olehnya!"


Itu sketsa dari abad Rasulullah dan sahabat.


Zalim itu mengikut ulamak maksudnya

" Meletakkan sesuatu perkara bukan di tempatnya yang asal"

Meletakkan sepatu di kepala itu zalim.

Menempatkan topi di kaki untuk berjalan itu namanya juga zalim.

Mencuri yang bukan hak juga zalim.

Melihat yang bukan-bukan di Internet, melihat aurat bukan mahram, juga bererti zalim.

Dan setiap yang zalim itu, berita baiknya adalah DOSA.

Dan DOSA yang menumpuk-numpuk akan mendapatkan 'sebaik-baik' tempat akhir bernama NERAKA.

Namun, apa kaitannya pula dengan cerita joki?

Ya.

Jaga ada gilirannya.Malam ini siapa, besok pula siapa.

Jaga adalah tuntutan atas seorang mahasiswa untuk belajar dengan kontak langsung ke pesakit, diarahkan fakulti untuk belajar nilai tanggungjawab sebagai seorang doktor.

Tatkala rutin jaga diJOKIkan kepada yang lain, inilah namanya sebuah KEZALIMAN.

Kezaliman pada diri, pada masyarakat, bangsa, negara. Paling utama, menentang arahan agama.Menentang arahan Rasulullah untuk tidak berlaku zalim.

Yang menjual jaga itu orang yang zalim.

Si pembeli jaga juga punya palitan zalim.Bukan mahu mencegah yang zalim, tetapi turut sama menggalakkan adegan kezaliman.

Bibit rasuah mula ditanamkan dalam diri si pembeli jaga.

Sudah dapat diagak, kalaulah dengan jumlah yang sedikit pada zaman mahasiswa sudah tergiurkan, bagaimanakah nanti sewaktu bergelar doktor. Sudah tiada rasa taqwa, bahawa Sang Pengarah Di Atas super melihat.

Ingat, tiada yang membeli, maka bakal tiada yang menjual.

Ingat teman, bukan sahaja si peminum arak yang dihukum dosa, malah si pemerah anggur dan penghantar juga dalam gerabak dosa yang sama.

Dan di sini cukup saya kongsikan sebuah potongan tinta Ilahi surah Ibrahim, ayat ke 42.

" Dan janganlah engkau mengira, bahwa Allah lengah daripada apa yang diperbuat oleh orang yang zalim"

Manusia boleh tertipu, insan boleh dibeli, namun pandangan Tuhan tidak sesekali.



Jajarkan ke Tengah
Perubatan dan JOKI...

" Doktor harus tepat waktu, banyak berkorban untuk pesakit. Kalau tidak mahu berdisiplin, jangan jadi doktor"

Begitulah nasihat yang sering terngiang-ngiang di telinga. Nasihat-nasihat dari guru-guru doktor yang banyak mencurahkan pengalaman dan mutiara hikmah dalam menelusuri perjuangan sebagai penyelamat nyawa.

Ya begitulah sinonimya doktor dengan sebuah kedisiplinan.

Sampai dianggap medan perubatan adalah zon tanpa kesalahan.Kerana setiap kesalahan dalam penatalaksanaan bakal memperjudikan nyawa pesakit, nyawa seorang manusia.Insan seperti kita, sama-sama bernafas menggunakan oksigen untuk hidup.

Bayangkan seorang mahasiswa perubatan yang sanggup mengjokikan jaganya..

Bayangkan dalam beberapa tahun mendatang, si dia sudah bergelar doktor, bagaimanakah nasib pesakit di bawah kendaliannya.

Kalaulah si pesakit tahu sejarah kelam hitam di doktor yang suka mengjoki, percayalah pasti langkah seribu si pesakit melarikan diri.

Jaga sahaja sudah tidak dapat diandalkan, bagaimana pula apabila ditanggungjawabkan dengan pesakit yang realiti. Parah jadinya si pesakit.

Demi menjadi seorang doktor yang super baik, jangan sesekali mengjoki. Bukan sekadar pintar dan bijak aspek penilaiannya, apakah nilai di hati juga besar perannya.


Namun..

Lampu merah jangan dilanggar.

Namun, pada keadaan tertentu,lampu merah harus dilanggar.

Ambulans membawa pesakit, bomba mengejar api yang marak, dan sewaktu kita berada di ceruk kampung, pada jam 2 pagi dan tiada kereta yang lalu-lalang, silakan melanggar lampu merah.

Berdisiplin tetapi tidak bodoh, fleksibel tetapi masih di dalam batas undang-undang.

Begitu juga halnya menjual jaga.

Kadang-kadang fizikal sakit, jaga harus digantikan orang. Memberi imbuhan kepada teman yang menggantikan lebih bersifat membalas budi, bukan sengaja mengjoki atas dasar malas.

Begitu juga, kerna terpaksa pulang cuti atas dasar-dasar yang konkrit.Rukhsoh dalam jaga juga ada.

Cuma jangan terlalu sering dan fleksibel, sehingga menjadi tabiat buruk yang sukar diubah. Hakikat yang pasti, mengjoki atau jual jaga tetap suatu kesalahan.

Bukan atas dasar dengki.

Bukan kerana raihan cemburu.

Saya hanya seorang manusia biasa, yang melihat dan mentafsirkan, mengikut prinsip-prinsip yang dipegang diri.

Kerna diri menyayangi saudara dan teman, sedih melihat ada yang terjerumus.

Hanya kerana saya seorang Muslim yang percaya pada kalimah berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Saksikanlah Tuhan.Aku sudah menyampaikan....


Perhatian :

Saya menulis tidak merujuk kepada sesiapa.Hanya berbicara mengenai fenomena menjamur ini di kalangan mahasiswa perubatan.

Anda berhak untuk setuju atau tidak dengan pandangan saya.Semua berhak memberikan pandangan.Cuma pandangan hendaklah diungkap dengan berhemah dan rasional.

Semoga bermanfaat ^^,


Ahad, 14 Ogos 2011

Tonik Pahala Menggunung Untuk Sang Doktor..



Ramadan ini adalah bulan perjuangan.

Bukan bulan bermalas-malasan, pulang awal dari tempat kerja, dan muka menggerutu seribu menahan lelah.

Ramadan adalah bulan mengasah nyali dan semangat.

Begitu juga dalam diari seorang doktor.

Ya memeriksa pesakit, merawat, sampai banyak waktunya tersita kepada membahaskan perihal pesakit.

Dalam pada orang lain sibuk bertilawah Al-Quran, tarawikh dengan tenang, masih banyak tabib dan tabibah yang bergelumang di ruang kecemasan, masuk ke ruang operasi.Mata bersengkang, keringat leluasa..

Lumrah dan resmi apabila sudah menyarung kostum putih itu..


Jadikan TABIAT..

Dalam kesibukan, bukan bermaksud ladang pahala tidak dapat dituai.

Boleh sahaja akaun pahala terus mengalir masuk mencurah-curah.

Antara yang harus ditancapkan di dalam hati adalah MENDOAKAN PESAKIT.

Selain menggunakan kata-kata yang bersifat positif seperti

" Semoga cepat sembuh", dan "Makan ubat betul-betul ya, nanti boleh kembali sihat seperti sediakala"..

Namun ada doa di sisi sunnah Rasulullah, yang cukup mujarab untuk dibaca. Bukan sekadar baca, tetapi hendaklah dihembus angin dari mulut kepada pesakit, selepas selesai membaca doa tersebut. Dan ia dilakukan sebanyak TUJUH KALI.



Kenapa perlu dihembus, kenapa perlu tujuh kali..Sukar untuk dijawab apakah hikmah yang tersembunyi.

Cuma apa yang kita imankan, inilah TEKNIK RASULULLAH.Teknik sebaik contoh teladan, teknik yang diwahyukan petunjuk Ilahi.

Semoga walaupun sedikit yang kita amalkan, Insyaallah saham pahalanya tetap lumayan dengan mencontohi prosedur standar dari Rasulullah..

Apalagi ditunggu wahai tabib tabibah..

Sabtu, 6 Ogos 2011

Produk Ramadan : Doktor Bermental Syariah (Episod 2)



Pesanan Penaja :


Jom kita melihat keluasan fiqh siyam (puasa). Bukakan fikiran dengan kepelbagaian dan kemudahan (taysir)..Dan jangan melabel siapa yang lebih benar dan bergaduh sesama sendiri.Bersederhanalah...


Artikel ini cantik dibaca dan digabungkan dengan fekah perubatan dalam bulan puasa.Boleh diklik link ini : http://maxchempaka.blogspot.com/2011/08/produk-ramadan-doktor-bermental-syariah.html..


Dari artikel saya sebelum ini, ada beberapa pertanyaan muncul kerana ada perbezaan pendapat.Dan menurut saya yang faqir ini, sebagai seorang doktor, saya cenderung untuk memilih pendapat yang lebih memudahkan pesakit..Dengan niat tanpa melecehkan pihak-pihak berbeza pendapat.Anda berhak memilih pendapat sendiri..


Dan dari artikel Dr Zaharuddin Abdur Rahman ini, semoga kita mendapat pencerahan yang sebaiknya.Allahul Mustaa'n..


Semoga bermanfaat ^^,



Puasa Kita Jika...

Ramadhan : Batalkah


Oleh : Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net




Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.


Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.


Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)


Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-


1) Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.


2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.


3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.


4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.


Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan.


Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-



1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.


Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)



2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.


Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.



3) Pil elak haid untuk puasa penuh :


Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.



4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :


Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.


Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.


Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)


Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.


Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "


والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه


Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.


Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.



5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:


Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan :


Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).


Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.



6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.


Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.


Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).



7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat


Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)



8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa


Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-


كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ


Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)


Dan satu lagi adalah : -


فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام


Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)


Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.



9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)


Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )



10) Keluar air mazi


Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.


Bagaima

napun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.



11) Keluar air mani tanpa setubuh


Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.


Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.



12) Menelan air liur dan kahak


Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran.


Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.



13 ) Mandi


Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?. Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minumsebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.



14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.


Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)



15) Mengosok gigi ketika berpuasa


Persoalan ini telah saya ulas di entry yang berbeza, sila ke tajuk link

'Gosok Gigi Ketika Puasa'



Sekian,

Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung zaharuddin.net

Zaharuddin Abd Rahman

13 Sept 2007

01 Ramadhan 1428 H

http://www.zaharuddin.net/

Isnin, 1 Ogos 2011

Sebuah Ketaatan Di Katil Pesakit..


Dari arah belakang daku melihat sebuah perjuangan ibadah kepadaNya.Pada waktu ini doktor ini sedang membuat 'visit' ke seluruh ruangan.

Azan Zuhur baru sahaja berkumandang di sukma angkasa.

Walau sulit untuk berdiri, payah untuk berbicara, makan dan minum bersuap lewat tiub, pesakit ini tabah menghadapinya.

Solat tetap solat. Sebuah manifestasi penghambaan kepadaNya.

Daku melirik kepada sanak saudaranya.

Bahasa bibirku perlahan mengungkap beberapa untaian perkataan.

" Lagi solat ye si bapa?"

Anggukan berbalas anggukan.

Si pesakit sudah solat, yang menunggu hanya melihat. Suatu pemandangan aneh..

Dan daku merakam detik kagum buat tatapan akal fikirku.

Sedangkan si sakit tabah bertarung untuk menghadap Yang Maha Esa, apatah lagi diriku yang segar bugar.

Tiada siapa bisa menjangka bahawa sihat itu milik mutlak diriku yang punya.Roda sakit dan mati pasti bertamu juga menjengah sekujur badan ini.

Jangan ada secebis detik yang dirugikan untuk bertaat kepadaNya.

"Sesungguhnya solatku , ibadahku, hidup dan matiku adalah demiMu ya Rabb!"