Sabtu, 30 Mei 2009

Musafir Perjuangan





“Abang Fahmi,abang Fahmi,saya tak dapat naik kelas,”begitu tenang wajah seorang adik menyampaikan berita.Masih sempat menguntumkan senyuman…

Aku terkedu sebentar…

“Salam..Kena remed esok.Huhu..,”balasan SMS seorang lagi adik yang ujian oral SOCAnya tidak mendapat nilai yang diharapkan diri.

Dalam bahasa SMS yang kaku emosi,dapat dirasa kesedihan dan kekecewaan yang mencengkam kamar hatinya..

“Salam..Alhamdulillah ;) ,”jawapan seorang lagi sahabat seperjuangan..

“Saya dapat 60 lebih.Kecewa jugak…,”tambahannya lagi..

“Dengan penyampaian yang hampir lengkap,dan hanya tertinggal satu benda kecil,markah saya dirampas seenaknya.Markah itu adil untuk saya,kata sang doktor.Terus ketika itu juga,saya menangis di depannya,”panjang lebar cerita seorang sahabat,mengadu nasib diri,sambil cuba mempererat ikatan tali tawakkal kepadaNya..




“Salam akhi…Nasihatilah diri ini.Diri ini tengah berdukacita sekarang,”pendek SMS dari seorang teman jauh.Berat beban yang terpikul di bahunya.Berat yang seakan tidak mampu lagi digalasnya.Mata sudah membengkak dek air mata sedih dan kecewa..


Seorang teman lagi berat ujian miliknya.

Sewaktu mengambil ulangan SOCA,ibunya meninggal dunia.Berita kematianpun disorok oleh kawan-kawannya agar tumpuan si teman terfokus pada ujian..

Bertimpa-timpa,tidak ada henti..



UJIAN ITU TANDA SAYANG


Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul..

Senang mulut yang menasihat,tetapi tidak sesenang itu merawat hati yang berduka lara..

Biarlah sesekali kita seketika menoleh bersama ke 1400 tahun yang silam,ketika Muhammad Rasulullah masih lagi hidup,berjalan di atas muka bumi ini..

Pernahkah kita terfikir,kenapa Allah Yang bersifat Maha Penyayang lagi Mengasihani itu tidak memberikan pertolongan kepada kekasihNya Al-Amin sewaktu diri sang Rasul berada di Thaif,direjam kejam dek batu kerikil,berdarah nan merah dari rambut ke hujung kaki,dihina dinista sedemikian rupa??

Adakah Tuhan lupa itu Muhammad sang Rasul??

Kenapa Tuhan begitu kejam membiarkan RasulNya patah gigi,badan dipenuhi liang-liang luka,dan dianggap sudah mati sewaktu kecamuknya perang di bumi Uhud??

Di manakah pertolonganNya jika Dia benar-benar wujud??

Tinta sejarah yang lebih silam turut mengukir kisah Ayyub alaihissalam.Sakit yang menimpanya maha berat,tidak tertanggung dek badan.Semua sanak saudara menjauhkan diri kecuali isteri tercinta..

Adakah itu caranya sayang Tuhan kepada hambaNya yang soleh??

Kisah Yaakub alaihissalam persis tidak tumpah…Kenapa Yang Maha Esa membiarkan Yaakub,sang bapa,menanggung rindu dan sedih yang tidak tertahan-tahan akibat kehilangan anaknya, ,sehinggakan nikmat penglihatannya direnggut kembali??
Adilkah itu?

Kenapa tidak dibutakan sahaja mata Haman,Firaun,Namrud,awal-awal lagi sebelum mereka menyakiti utusan-utusan Tuhan ??

Kenapa??

Kenapa dan kenapa…

Apabila sesekali musibah datang melanda,kadang-kadang terus kita dibuai angin kecewa yang tidak berkesudahan ,sehingga kita melupakan bahawa kita punya TUHAN…




“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya beroleh kebaikan, nescaya diujinya dengan kesusahan” [Hadith riwayat al-Bukhari]



Sesungguhnya hanya insan-insan terpilih sahaja yang dianugerahkan ujian kepadanya.Diri yang mahukan kebaikan,fitrahnya akan diuji oleh Tuhan Sang Pencipta..

Resmi ujian di dalam kuliyyah,ia adalah aras penanda setakat mana kita mampu memahami dan mengaplikasi pembelajaran selama ini.Begitu juga di pentas kehidupan dunia, juga punya ujian.Andai berjaya melepasi ujian itu dengan sabar dan syukur,darjatnya di sisi Tuhan pasti kian meningkat..

Dan perlu sekali diingati,Allah tidak akan membebani seseorang itu lebih dari kadar kesanggupan dirinya bertahan dengan ujian dariNya..

Anda dapat rintangan yang ringan,pasti itu sesuai darjat anda.Jika aral yang amat hebat melintang,percayalah anda memang layak menerimanya.Dia lebih mengetahui tahap prestasi anda..



MUSAFIR PERJUANGAN



Ya…Bercakap atas angin,tidak sama apabila turun ke padang realiti..

Perit derita dialami,hanya diri yang merasa..

Begitu juga untuk diri ini.Andai suatu hari,aku berada dalam keadaanmu sekarang,nasihatilah aku..Ingatkanlah hakikat kehidupan kepada makhluk berjiwa pelupa bernama insan ..

Sahabat-sahabatku,ukirlah di benakmu bahawa kita ini perantau,musafir kembaranya hanya seketika di atas bumi ciptaan Ilahi..

Resmi perantau,sentiasa berdamping halang dan rintang.Cuma yang membuat hati senang dan gembira,destinasi akhir yang bakal digenggam erat..

Di pintu syurga kita melangkah bersama,mencapai destinasi nan abadi,janji Ilahi kepada yang mengerti...




Perantau…..
Musafir perjuangan…
Tabahkanlah hatimu…
.

Ahad, 24 Mei 2009

Selamat Hari Lahir Mama Tersayang....




“Mak kita ni satu je,tiada yang lain..,”bicaraku kepada seorang sahabat..

Matanya memandang lantai,tertunduk..

“Isteri,sesayang manapun kita padanya,kalaulah sudah meninggal dunia,boleh lagi dicari galang gantinya,”perlahan aku lafazkan bait-bait kalimah..

“Ibu kita,ibu yang mengandungkan kita Sembilan bulan sepuluh hari,menyusukan kita 2 tahun lamanya,sering tidak tidur malam,bersengkang mata mendodoi sang anak yang kelaparan…,”ujarku panjang lebar,meneruskan ..

“Dia,tiada galang gantinya.Patah boleh tumbuh,hilang bisa berganti,tetapi perginya seorang ibu tidak akan kembali.Walau air mata darah yang dicurahkan sekalipun..,”hati diheret sebak,pilu menyesakkan dada..

Kasihnya tanpa batas,sayangnya tinggi melangit…

…………………………………….

Ingatanku diheret mengingat kembali kesalahan-kesalahan diri yang menyusahkan, mengecewakan,dan paling tidak akan ku lupasepanjang hayat ,menyebabkan luruhnya air mata sang bonda tercinta..

Sewaktu berada di Tingkatan 3 ketika itu, terjadi suatu peristiwa yang sering meyeksa sukma hati ini,menyesal yang tidak pernah berkesudahan…


Kami adik-beradik meminjam pam basikal kepunyaan seorang jiran sebelah rumah.Janjinya mahu dipulangkan secepat mungkin..Akan tetapi,resam anak merangkak remaja,janji itu sekadar janji semata-mata..

“Mi,pergi hantar balik pam basikal yang pinjam semalam tu,”laung Mama dari bahagian dapur.

Aku sedang bersiap mahu ke kelas.Abah pula pada ketika itu,terpaksa berehat di rumah kerana penyakit goutnya agak kronik.Solatpun duduk,ke bilik air mengengsot,makan terpaksa dihadap ke hadapan..

“Malas lar,nak pergi sekolah ni,”dalam hati,aku membentak,tanpa ada nada kesal di situ..

Hendak dijadikan cerita,sang jiran datang menuntut janji.Dan alangkah terkejutnya aku,pam basikal itu rosak,tercabut bahagian atasnya..

Malu..

Takut Abah marah..

Rasa bersalah..

Dan pada detik itu jugalah,wajah bening itu suram bersalut duka.Pilu bermain-main di bebola matanya..


Setitis,kemudian dua titis,wajah itu melahirkan kristal-kristal jernih nan dingin.Wajah itu basah bermandikan air mata..

Tertunduk terus..

Dalam perit sakitnya,Abah dapat menguasai suasana.Pertama kali dalam riwayat hidupku,aku melihat air mata lelaki itu tumpah murah.Ego seorang lelaki itu tewas dek sedih melihat perangai kurang ajar seorang anak,anak sulung harapan keluarga..

Telinga ini dapat mengesan rentak syahdu sedu-sedan Abah..

Dua kali telapak tangan ini meyambut hayunan rotan Abah.Masih terdengar suara hibanya…Perit tapak tangan itu langsung tidak terasa.Cuma yang menikam batin,adalah setiap kali menatap wajah kedua-dua insan itu.Hati bagai disiat-siat hidup..

Sakit…

Perit…

Pedih…


Hayunan langkah ke kelas tidak serancak biasa.Hati dirundung muram sepanjang hari…

Semenjak peristiwa itu,sedaya upaya aku cuba ukirkan senyum tawa dan gembira di wajah mereka.Kutahu dan sedar,Mama dan Abahlah yang paling menderita saat merotanku .Hati merekalah yang paling sakit..

Air mata mereka mahal sekali harganya..

Keluarnya demi sayang dan cinta kepada seorang anak,zuriat kandung mereka..

Tidak ternilai harganya..

Janjiku pada diri..

“Jangan sesekali hati Mama dan Abah, insan tersayang disakiti lagi”



Hari ini,24hb Mei,genap sudah umur Mama 50 tahun..


Sudah separuh abad kembara hawa ini di atas muka bumi Allah ..

“Selamat Ulang Tahun ke 50,Mama,”kataku girang di talian telefon..

Mama tergelak kecil mendengar ucapan dari anaknya yang terpisah di bumi seberang..

Walau kita dipisah fizikal,tetapi hati kita tetap terpaut erat.Sayang dan cintaku tidak berbelah bahagi.Untukmu selamanya,selagi mana,hayat ini masih dikandung badan,selagi itulah kasih ini tertancap hebat di dasar sukma hati..

Andai suatu hari,kita terpisah dek nyawa kembali kepada pangkuan Sang Pencipta, sesungguhnya aku berharap moga-moga ,di pintu syurga nanti kita kan bertemu,melangkah bersama ke alam bahagia abadi..

Maafkan anakmu wahai Mamaku…

Love you so,so much……


p/s:

1)Maaf laptop rosak,gambar Mama tak dapat nak dipamerkan.Sedih2...

2)Pernah cakap dengan Mama "Kalau boleh Mi nak cari isteri macam Mama la,garang,suara kuat,tapi Mi tak takut pun".Hehe..

3)Maaf gambar isteri pun tak dapat nak dipamerkan.Bukan sebab laptop rosak,tapi sebab memang takda isteri lagi.Wakaka...

4)Selamat Ulang Tahun ke 50 untuk Mama.Semoga berbahagia dunia dan akhirat ;-)

Sabtu, 16 Mei 2009

Mutiara Jernih Demi Seorang Mama...





Masih tertancap erat di ingatan peristiwa sewaktu cuti semester pada bulan Julai-Ogos tahun lepas..Kalau tidak silap,17 Ogos tarikhnya.Kakiku menjejak bumi negeri Cik Siti Wan Kembang,tanah lahir tercinta.

Berdebar-debar hati tidak keruan.Mata ligat melingas mencari sosok ibuku.Dari jauh kupandang wajah jernih itu..Adik lelakiku,Faisal dan adik bongsuku,Faizah,menyeringai di sisi..

Perlahan-lahan,kaki menapak ke arah mereka.Ada cairan jernih bertakung di kelopak mata ibuku.Tangannya kusalam erat.Dahi dan pipinya kukucup syukur.Manik-manik air mata yang diempang,tidak tahan melawan gejolak rasa kasih dan cinta seorang ibu.Terharu kalbu melihat wajah gembira seorang ibu menyambut anaknya setelah sekian lama di perantauan..

Inilah ibuku yang 23 tahun silam,bersusah-payah melahirkan insan ini..


SAKIT


Ibuku kupanggil mama.Dari aku seorang anak yang masih berhingus ,pelat menyebut perkataan ‘mama’,sehinggalah detik ini..Panggilan itu pasti kan kekal walaupun nyawa memisahkan kami.Mama tetap mama ,dunia dan akhirat…

Pulang yang sekejap,akan aku cuba berbakti sebaik mungkin.Ke kedai,ke sekolah,ke masjid,ke pasar, pasti akan kuhantar mama atau di dapur sekalipun.Tidak sanggup aku menghampakan mama.Berat hati melihat gurat rasa kecewa berputik di wajahnya..

Berbakti selagi nyawa dikandung badan…

Belum sampai seminggu aku di rumah,badanku mula berasa tidak sedap.Suhu badan meninggi,kepala berat..Memang sedaya upaya,aku cuba bertahan.

“Kejap je ni,sehari dua kebahla,”kataku kepada mama dan abah..

Memang jenisku kurang ke doktor kecuali keadaan sudah di luar kawalan,dan mama dan abah sudah bernada memaksa.Akhirnya,aku akur ke klinik berdekatan,bertemankan mama.Preskripsi doktor diambil sebaiknya..Keadaan tidak banyak berubah.Demam kebah sebentar,kemudian naik menggunung tinggi.Rasanya pertama kali dalam sejarah hidupku,demam yang kali ini luar biasa,mencecah 41 darjah Celcius…

Abah menyangka aku terkena demam denggi.Sememangnya,ketika itu,di sekitar Kota Bharu memang demam denggi mewabak.’Fogging, sentiasa dilakukan di kawasan kami.Beberapa orang saudara dan jiran turut menjadi anggota jamaah denggi di hospital..

Bimbang…

Abah mendampingiku ke hospital.Ujian darah dibuat…Keputusannya,semuanya agak normal walaupun kadar platelet berada pada tahap batas hampir kurang.Hemoglobin masih dalam kadar normal..Doktor menasihatkan agar berehat di rumah sahaja.

“Keadaan awak tidak seserius pesakit yang lain.Cukuplah sekadar di rumah,”kata sang doktor memberi nasihat.Preskripsi turut diberi..

Keadaan tidak berubah.Selama 2 minggu,hampir setiap hari aku ke hospital,membuat pemeriksaan darah.Jawapannya hampir sama..Badan tersangat lemah,kaki tidak lagi larat melangkah..Solat sudah duduk,masjid sudah ditinggalkan dalam keterpaksaan.Panas badan memuncak setiap kali kesan ubat habis…Suhu badan sudah berpangkalkan nombor empat.Badan sudah berada di luar kawalan diri..

Menggigil….

Panas membahang.Mendemah dahi ibarat memegang bara api lagaknya..

Mama selalu setia di sisi.Tangan sang ibu berjiwa penawar..Sedaya upayanya,mama mengelap wajah dan badanku yang hangat membara.Hanya beberapa patah kata,mampu ku lafazkan..

Akibat terlalu lemah,antara malam-malam ujian itu,ketahanan badanku sudah jatuh berada di tahap paling mimimum.Mama dan abah mengejarkan diriku ke Unit Kecemasan Hospital Kota Bharu.Sesungguhnya aku benar-benar tidak berdaya.Kesedaranku menurun..

Mukanya menceritakan segala.Resah menjarah wajah,sukmanya apatah lagi.Hanya Allah mampu melakar gelisah seorang ibu ketika sang anak,lemah tidak bermaya di hadapan mata…Hatiku menangis hiba.Jiwaku longlai melihat sosok itu durja.Hatiku bermandi duka melihat adik yang mengiringi..Matanya kuyu menahan kantuk.Bahkan,ada ujian di sekolah menanti sang bongsu..

“Maafkan Mi,ma.Mi tak berniat pun nak susahkan mama,abah dan adik-adik,”monolog hati ini,bagai disiat-siat melihat insan-insan tersayang,kepayahan bersalut cemas melihat perihalku…


AKHIRNYA






Setelah 2 minggu berulang –alik hospital,akhirnya aku dimasukkan ke wad.Subhanallah…Barulah tahu kenapa doktor tidak mampu mendiagnosa penyakitku dengan betul.

Rupa-rupanya aku positif demam tifoid dan denggi pada masa yang sama.Rawatan selama ini hanya khas untuk tifoid..Tiada antibiotik khas untuk membunuh Salmonella paratyphii, yang menjajah badanku selama ini..

9 hari lagi pertapaanku di katil hospital…..

Demamku belum kebah sepenuhnya.Rawatan masih berjalan…

Mama dan abah sabar menemaniku di katil hospital.Aku masih longlai tidak bermaya.Selimut 2 lapisan pun masih belum menghilangkan rasa sejuk yang melanda.Menggigil sepanjang malam…

Mama keluar mengajar pada waktu petang.Kira-kira 5 jam sehingga pukul 1830.Syifnya disambung di katil hospital.Sepenuh masa menemani anak sulungnya yang terkapar tidak bermaya…

Aku sangat faham dia sangat-sangat penat.Pagi menyediakan sarapan adik-adik kesekolah,kemudian membasuh baju,mengemas rumah,kemudian memasak makanan tengah hari untuk abah dan adik-adik yang bakal pulang dari sekolah..Itu belum dicampur dengan tugasan sebagai seorang guru penyelia Petang merangkap guru Matematik…Badannya sudah berkata penat dan lelah.Cuma semangat dan naluri keibuaan yang terus membekalkan tenaga tidak putus-putus kepadanya…

Mama punya asma,tidak tahan kesejukan.Hujan sedikit ataupun musim tengkujuh melanda Pantai Timur,itulah saat-saat Mama mendambakan perhatian.

Wad tempat rawatanku itu terpasang pendingin hawa.Harus dipasang sebagai ruang pengudaraan, wahana bakteria-bakteria dinyahkan…

Suatu saat terbangun di tengah heningnya malam,kulihat jasad hawa pertengahan usia itu menggigil kesejukan,dingin yang menggigit ke tulang sumsum…………

Hatiku diruntun hiba…

Air mataku tidak mampu diempang lagi…

Berjejeran keluar,mengalir menyoroti belahan pipi..

Berderaian dalam diam…

Aku tidak mampu memaafkan ke’salahan’ ini..

Sepatutnya,akulah yang berbakti,bukan DIA..

Sepatutnya,aku menyelimutinya,menghangatkannya,bukan melihat dengan pandangan tidak berdaya…

Sepatutnya ketika diri ini sudah mampu berjalan,bercakap,menggerakkan tangan dan kaki,diri inilah yang sewajibnya membalas BUDI yang selamanya tidak akan terbalas..

Sesungguhnya,hanya Allah yang maha mengetahui betapa siksa jiwa dan raga ini menonton tayangan secara langsung itu…

“Mi minta maaf Ma.Mi tak sengaja nak sakit macam ni,takda niat pun nak meyusahkan Ma dan Abah,”aku membungkus diriku di dalam balutan selimut,menangis sedu-sedan…
Aku berjanji pada sang diri..

“Jangan engkau sakiti hati hawa ini selama-lamanya,jangan sesekali!!”

Kasih sayangnya tidak mengharapkan balasan..

Cinta kepada zuriatnya tanpa ada maksud tersirat..

Memberi cinta tanpa dipinta

Cinta yang TANPA SYARAT…



DEMI REDHANYA….



“Redha Allah dengan redha kedua ibubapa,dan murkanya Allah dengan murka kedua ibubapa”


Begitulah secebis untaian kata dari Rasulullah yang dikhabarkan oleh Bukhari dalam Sahihnya…

Tanpa keredhaan ibubapa,bagaimanalah pula mahu mendapatkan redha Allah,Tuhan sekalian alam.Tuhan yang meletakkan darjat ibubapa itu berada di tingkatan teratas di bawah darjat keagunganNya..

Nasihatnya penuh maksud tersirat,tiada yang lain kecuali mahukan sejuta kebaikan didoakan untuk sang anak.Jauh ke hadapan dia memikirkan kemaslahatan zuriat tersayang..

“Nak tak nak,saya nak kawen dengan dia jugak.Mak setuju ke tak,saya dah fikir masak-masak.Keputusan saya dah muktamad,”lancang perkataan kata dua dihamburkan oleh seorang anak yang sudah kemaruk cinta.

Resmi orang bercinta,dunia punya dia dan permaisuri di hatinya.Tiada yang lain..Langsung lupa dengan kewujudan perempuan yang selama ini bersusah-payah siang dan malam kerana dia..Hanya kerana seorang anak gadis,langsung si ibu tua diendahkan ke tepi..

Hakikatnya,si ibu pasti tersenyum gembira melihat anaknya tumbuh mengikut jalur fitrah seorang manusia biasa.Lelaki sukakan perempuan,hawa inginkan adam..Cuma mungkin nada seorang ibu yang penuh kasih dan cinta,inginkan yang terbaik untuk anaknya..Cinta itu membutakan,rasional ditolak ke tepi.Si ibu mungkin sahaja mahu memberi celik dari buta yang menggerhanakan.

“Apakah salah ibu wahai anakku??”pertanyaan hati seorang ibu,sambil melambaikan tangisan sayu kepada sang anak yang melangkah laju,tanpa berpaling sepicis…
Hancur hati seorang ibu…….


…………………………………………………………………

“Ma,Mi rasa macam nak kawen lar,dah sampai seru kot,”usikku riang kepada Mama suatu saat bersamanya.

“Kalau nak,pilih yang Kelantan je,”selamba Mama menjawab.

“Kenapa kena Kelantan je,negeri lain tak boleh ke?”tanyaku kembali sambil tersenyum.

Mama memandang,tiada emosi dipamerkan.Riak wajah yang belum dapat diteka sebetulnya…

“Orang sini ramai yang baik,agama pun ok.Dah la dekat…,”sepotong demi sepotong kata diluahkannya..

“Oh macam tu.Orang nak tanya sikit ye.Mama ingat tak kawan baik Mama.Tak silap Mi,orang Merlimau dulu.Baik tak dia?”aku memasukkan jarum,mencucuk perlahan-lahan.

Mama suka bercerita.Dan aku anak yang sulung yang suka mendengar.Tentang asal-usulnya dari orang Kuala Kangsar,tentang datuk nenek,tentang zaman mudanya dan pelbagai lagi rencah pengalamannya…..

Tidak silap,kawan Mama itu bernama Hamidah.Teman karibnya di maktab perguruan dulu..Pertemuan mereka yang terakhir adalah kira-kira 25 tahun silam,sewaktu masing-masing masih anak dara sunti.Tetapi,hubungan mereka masih rapat walaupun sudah bersuami dan beranak-pinak.

Cara orang lama berhubung,surat menyurat,kad hari raya,sering berbalas kunjung..
“Pandai la tu,”Mama membalas dengan mimik muka terukir senyum,mekar..

Kami pecah dengan hilai ketawa…….

...... ……………………………………….


Setiap sesuatu ada tempat dan caranya..

Setiap yang diutarakan pasti ada sebab musababnya,susur-galurnya...

Adakah tidak boleh berdialog dengan cara yang terhormat dengan seorang yang bergelar ibu dan bapa??

Adakah tidak boleh disapa halus,belai lembut hatinya sebelum mengutarakan pandangan yang sedikit berbeza??

Jawapannya boleh-boleh sahaja.Bergantung sepenuhnya kepada setiap orang bagaimana mahu menyikapinya.Diri kitalah yang mengawal “controller”nya…

Cubalah sedaya upaya kita untuk memutikkan senyuman seri di wajahnya..

Mungkin dengan belajar sedaya upaya,pulang ke kampung halaman dengan IPK yang bagus..

Mungkin juga dengan berakhlak dengan akhlak yang baik,menjadi hamba Allah yang taat dan sebagainya..

Apa-apapun tugasan kita,gembirakanlah mereka,ibu dan ayah…

Kita adalah jambatan wasilah kebahagiaan mereka.Selagi mana mereka masih bernyawa dan kita juga masih bernyawa,selagi itulah kita berbakti…

Bukan sekadar di dunia,akhiratlah yang paling utama..

Anak soleh dan solehah sebagai harta….





P/S:
1) Selamat Hari Ibu untuk Mama tercinta…


2) Selamat Hari Guru untuk Mama dan Abah ;-)

3) Selamat hari ketuaan untuk diriku ;-(

4) Sedih sebab Malaysia baru kalah semifinal Piala Sudirman ;-( ;-( ;-(



chong wei yang kalah.....

Selasa, 12 Mei 2009

Patung Sebagai Kabel???

Ada satu jawapan Quraisy yang diabadikan di dalam Al Quran dalam surah Az-Zumar ayat ke 3...


"Tidaklah kami menyembah berhala-berhala itu kecuali untuk mendekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya"


Jawapan skema manusia menggunakan perantaraan dengan Yang Maha Esa..

Isnin, 11 Mei 2009

Tribute Untuk Anak Akhir Zaman



“Mi,lihat sekeliling.Rumahnya penuh…Tapi,kita-kita aja yang memakmurkan masjidnya,”ungkap Pak Dudu dalam nada bersahaja sewaktu kami,dalam keheningan pagi, bergandingan pulang dari solat Subuh berjemaah.Cahaya mentari masih malu-malu berselindung di sebalik bukit..

Dalam nada mendatar,terselit irama hiba dalam alunan suaranya..

Pak Dudu,imam rasmi Masjid As-Solihaat,Cikuda.Sudah 3 tahun usia perkenalan kami.Sering bersongkok hitam,berkain pelikat,dia menapak ke masjid jagaannya…

Semangatnya masih utuh,waima kelihatan sendirian berjuang..

“Pak,kenapa nggak ada taalim untuk bapak-bapak di sini?”tanyaku suatu hari,mengeluarkan persoalan terbuku di lubuk hati.Sedikit pelik melihat,kaum Hawa sentiasa aktif dengan taalim mereka,setiap hari Selasa,selepas Zohor.Pasti kan terdengar suara ibu-ibu dari corong pembesar suara membesarkan Tuhan Yang Maha Esa..

“Bukan nggak ada,tapi dah mati.Udah dibikin tapi nggak ada sambutan!!”jawapnya sambil menghela nafas keluhan.Pohon yang ditanam,buah yang diharapkan.Realitinya,masakan berbuah,baru sehari dua pohon ditanam,sudah layu menyembah bumi.Hati mana tidak berbunga kecewa..

Aku juga berbungkus duka..


AKHIR ZAMAN SUDAH



Setiap kali Jumaat,pasti masjid itu sendat sesendatnya, mengungsikan manusia di sekitar..Semuanya berpeci putih,bersongkok hitam,berbaju koko(baju Melayu versi Indonesia)…

Pasti semuanya Muslim,pasti..

Cuma sayang seribu kali sayang..

Jumaat itu lebih kepada adat,bukan ibadat.Terasa janggal solat Jumaat ditinggalkan..Bahkan Wallahi,tidak pernah sekalipun alunan As-Sajdah dan Al-Insan diperdengarkan pada Subuh hari Jumaat sepanjang hidupku di sini..Walaupun itu Sunnah bukan kewajipan solat,dendangannya seakan-akan memberi nyawa kepada sang penghulu segala hari..

Jauh panggang dari api.Solat fardu sehari semalam pun susah..Bukan bilangan sofnya yang ingin dijadikan kayu ukur,untuk dijadikan aras kemakmuran suatu masjid itu..Azanpun tiada yang proaktif berani maju ke depan.Kadang-kadang,senyap sunyi masjid pada waktu Subuh,Zuhur,Asar,Maghrib,dan Isyai’..Kadang-kadang,sang imamlah imam,sang imamlah bilal,dan sang imam jugalah makmumnya.Semuanya imam..

Bukan niat mengutuk mengeji.Sekadar perkongsian,baik dijadikan teladan, buruk dijadikan sempadan..

Sang bilal bukannya tiada.Kediaman hanya beberapa langkah dari masjid.Cuma entah kenapa,hari Jumaat sahaja,kakinya diizinkan Allah, bertenaga melangkah ke masjid.Oh, terlupa, semasa bulan Ramadan dan hari raya juga..

Maaf pak!!

Hatiku cukup benci dengan arak dagangan di toko milikmu.Bukan disebabkan arak itu arak,hanya kerana perintah Allah dan RasulNya.Aku dengar dan aku patuh..Walaupun bapak sang bilal terhormat,taatku hanya pada Al-Quran dan Sunnah…

Tokomu kuboikot..


ZAMAN RASULULLAH



“Jika manusia mengetahui pahala dan ganjarannya,nescaya mereka berebut-rebut mengalunkan azan dan menduduki saf pertama”


Ini pesan Muhammad Rasulullah 1400 tahun yang silam..

Zaman Bilal Bin Rabah dan Abdullah Bin Maktum,diberi kehormatan memperdengarkan
bait-bait azan.

Hayya alas solah…

Hayya alal falah…


Sulit sekali hari ini,di sini,mencari jelmaan Bilal,orang Habsyah yang gelita, dan si buta ,Ibnu Maktum.

Sulit sekali hari ini,di sini,melihat saf-saf penuh,bahu-bahu merapat,masjidnya makmur sentiasa..

Sulit sekali hari ini,di sini,mencari kelibat Al-Amin,hatta menderita sakit,dipapah susah ke masjidnya..

Masjid itu rumah Allah..

Masjid itu berada di Indonesia,negara yang gah dengan bilangan umat Islam paling ramai,bukan berada di Itali atau di Argentina..

Pernah sewaktu Comrel,aku berbual dengan Bro Mursyid,dari Saba Islamic Media di Tanggerang,Jakarta..Pengalamannya 20 tahun di bumi Pak Cik Sam..

“Paling tidak,ada 3,4 sof penuh tatkala solat Subuh di masjid,”ulasnya,tertancap kekaguman di hatiku.Suatu sensasi yang hanya bersifat ilusi di sini.Alhamdulillah,di bumi yang punya kota judi dan maksiat, Las Vegas,di bumi seks bebas bermaharajalela, nilai keIslaman tumbuh subur di sana..

Syukur….


PERANAN KITA,WAHAI SAHABAT



Usah ditunggu azan dikumandangkan,biarlah kita yang mengumandangkannya..Jangan ditunggu iqamah,baru bergegas ke kamar mandi,mengambil wuduk..

Jangan lena di hadapan laptop,’syok’ mempergunakan Rasta dan Pudge,menunggu ‘tower’ kiri dan kanan dihancurkan..

Jangan terpaku melihat kelibat magik Shah Rukh,di alam Om Shanti Om.Biarkan Shah Rukh angau dibuai pesona Deepika Padukonenya..

Jangan berbalut mulus di dalam bungkusan hangat ‘comforter’ seharian,berikan masa ‘comforter’ itu dingin seketika..

Sesungguhnya sahabat-sahabat,Rasta dan Pudge tidak akan mampu melawan kuasa Malik,penjaga neraka,walaupun berjuta kali kuasa ‘ultimate’ dikeluarkan…

Ingatlah sahabat-sahabat,magik Shah Rukh tidak akan mempesonakan hurul ain di mahligai syurga.Sebelah matapun tidak akan dilihat Shah Rukh itu..Hanya pemuda beriman,menjaga pandangan,yang menjadi pujaan hati,dambaan jiwa ,sang bidadari bermata jeli…

Hakikatnya sahabat-sahabat,nikmat ‘comforter’ itu hanya picisan berbanding nikmat abadi di syurga kelak…

Menjadi pemuda pilihan di akhir zaman,ibarat mencari sebutir gula di dalam adunan tepung nan putih.Susah bukan bermaksud tiada..Jalan anak-anak Kahfi mengandalkan segala-galanya..



“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keridhaan Kami,benar-benar Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.Dan sesungguhnya,Allah beserta orang-orang yang berbuat baik”
Al-Ankabuut:69

Isnin, 4 Mei 2009

Ikhlaskah?

Bercakap pasal hati.Hanya sang pemilik hati dan penciptaNya sahaja yang tahu buruk baik seketul daging bernama hati itu..

Dengki dan hasad…

Cemburu dan iri hati…

Kecewa dan duka..

Juga ikhlas atau tidak…

Semuanya mainan kolbu,perhiasan manusiawi..


IKHLAS

Buat kerja kena ikhlas kerana Allah..

Belajar ikhlas..

Datang program ikhlas…

Hadir mesyuarat seharusnya juga ikhlas…

Syarat diterima atau tidak suatu amalan sama ada bersifat umum ataupun khusus,dilihat sama ada hati itu ikhlas kerana Allah atau tidak…

Bercakap hebat,pandai mentarannumkan ayat-ayat Allah,datang ke kuliyyah atau ceramah,semuanya memerlukan keikhlasan,barulah itu dikatakan suatu amalan..Ganjarannya pahala dari Allah..

Akan tetapi,mungkin sahaja perbuatan itu adalah baik,hati pula menarikan alunan songsang..

Mungkin kerana harta dan takhta..

Mungkin dari kejauhan,ada wanita-wanita yang didamba kasihnya..

Mungkin kerana memuja kehebatan diri di khalayak…

Mungkin,mungkin dan mungkin…..


ANTARA DUA DARJAT



Sinis mata memandang seorang pak cik di jalanan,kusut masai tidak terurus sedang mengangkut sampah demi mencari sesuap nasi untuk anak-anak di rumah..

Melintas megah,hidung meninggi,seorang pria muda mengendarai Mercedesnya,melintasi sang pak cik sambil memercikkan air dari lopak jalanan ke arah pak cik tadi..

Kuyup busuk si pak cik tidak bersalah…

Menangis sedih diperlakukan hina dek orang..

Manakala menyeringai puas sang pria dengan aksi hebatnya…

Timbul persoalan…

Mana yang lebih bernilai di sisi Tuhan Sang Pencipta??

Si pak cik atau sang pria?

Pak cik itu mungkin langsung tidak dikenali massa,tetapi dek ikhlasnya megutip sampah demi sebuah rezeki,dia mungkin jauh lebih dikenali dan mulia di sisi Allah…

Darjat materialistik hanyalah nilaian manusia.Darjat takwa milik Ilahi..

Ayuh perhatikan pesanan Rasulullah dalam sebuah hadis Muslim…

Ada 3 orang dihadapkan ke mahkamah Allah pada hari Kiamat nanti.Seorang lelaki dari yang tiga berkata ,”Aku telah menggunakan ilmuku dengan mengajari manusia”.Lelaki kedua pula berkata “Aku telah mempergunakan segenap kekayaanku untuk infaq di jalam Allah”…Dan yang terakhir menceritakan,”Aku telah menggunakan kehebatan fizikalku untuk berjihad di jalanNya dan lantas aku terbunuh”…

Kazzabta..

Kazzabta..

Kazzabta..

Kamu dusta..

Kamu bohong..

Kamu tipu…

Keputusan Allah telah diputuskan.Mereka semua penipu..

Bukanlah mereka di atas pencuri,penzina ataupun perogol bersiri,akan tetapi merekalah pada pandangan mata manusia seorang alim ulama,seorang hartawan dermawan dan seorang pejuang perang di jalanNya..
Alangkah sadisnya mereka divonis sebagai PENIPU,PENDUSTA,PEMBOHONG oleh Allah Taala pada Hari Akhir nanti..
Hanya semata-mata,hati mereka berpaling dari menjiwai keikhlasan keranaNya..

Wahai Sang Pembolak Balik Hati,tetapkanlah hati ini di dalam agamaMu,dan dalam ketaatan padaMu.Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau sahaja Ya Allah…