Khamis, 28 Julai 2016

Doktor Bukan Tuhan..




Awan berarak masuk.Guruh berdentum dentam di angkasa.Langit gelap gelita,sarat memboyot seperti ibu menunggu detik untuk bersalin.

Jemuran segera diangkat.Sang ibu terpekik terlolong memanggil anak-anak yang sedang bermain untuk pulang segera.

Apa yang bermain di minda pastilah hanya satu perkara ; hujan ribut pasti akan melanda.

Biasanya begitu.Namun adakalanya hujan ribut yang dijangka menjelma,tiba-tiba menghilang.

Ketetapan/ norma berlakunya suatu perkara inilah yang dinamakan SUNNATULLAH.

Bolehkah ketetapan itu berlaku sebaliknya?Tentulah boleh.Namun itu tergantung pada kekuasaan Tuhan.

Begitu juga bab kesihatan.

Sebagai contoh mudah buat kita.

Seorang lelaki,berusia 50 tahun,dengan sejarah kencing manis dan darah tinggi selama 20 tahun.

"Tekanan darah encik 200/100.Ini bacaan yang sangat tinggi.Gula darah ketika puasa pula 20.Juga sangat tinggi!" .Kata seorang doktor ketika mendatangi pesakit tersebut.

"Bukan sekali.Hampir setiap kali berjumpa saya,inilah keadaan encik!".

"Bahaya ni.Boleh kena serangan jantung,stroke.Tinggi risiko!".

Si doktor terus sabar memberikan nasihat buat si pesakit.

"Doktor bukan Tuhan.Stroke ke,sakit jantung ke,itu semua kerja Dia!"

"Kawan saya,apa-apa sakit pun tak perbah ada.Tiba-tiba je kena serangan jantung.Terus meninggal!"

Bentak si pesakit.

Amarah pula menguasai akal si pesakit.Bosan juga mungkin dengan bebelan doktor kepadanya.

Inilah kesalahfahaman yang sering menjerat minda segelintir masyarakat kita.

Kita bercempera balik ke rumah,angkat kain di jemuran SEBELUM hujan ribut.Dah terlambat apabila SUDAH hujan ribut.

Begitu juga al kisah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.

Penyakit sebegini yang tidak terkawal bakal memberikan komplikasi seperti stroke dan serangan jantung.Sunnatullahnya begitu.

Dengan ilmu perubatan dan ditambah dengan pengalaman para anggota kesihatan,proses pengubatan akan bersifat mencegah; yakni SEBELUM 'hujan ribut melanda'.

Jika SUDAH dilanda 'hujan ribut',menyesal tidak sudah dibuatnya.Lebih-lebih lagi kalau nyawa menjadi taruhannya.

Ya begitulah.

Doktor bukan Tuhan,namun dengan ilmu dan pengalaman yang diberikan Tuhan,doktor
mampu meramal ceritera para pesakit yang didatanginya.

Sekali lagi,itulah SUNNATULLAH..




Selasa, 5 April 2016

Cerita Tipu Hadis Garam


Kira-kira 5 tahun lepas,sewaktu pulang bercuti dari Bandung,saya berpeluang mengikuti abah untuk pergi berbekam.

Tempatnya di Pasir Mas Kelantan.

Pesan abah,
"Kalau tukang bekam banyak cakap,tolong senyap saja.Tak perlu balas ya!"

Saya hanya mengiyakan sepatah.

Jauh terbang ke ufuk fikir mencari sebab dek kenapa pernyataan sedemikian keluar dari mulut abah.

Sesampainya di sana,sudah ada beberapa buah kereta parkir di pekarangan rumah tukang bekam.

Orangnya separuh baya,berketayap putih.


Hadis Garam

"Antara petua Nabi adalah makan secubit garam sebelum menu utama!"

Menyirap darah dibuatnya.

" Makan garam boleh elak pelbagai jenis penyakit!"

Kata tukang bekam lagi.Nadanya serius dan penuh keyakinan sambil tangannya sibuk memperagakan tusukan jarum bekam ke bahagian belakang abah.

Akal rasional saya tidak mampu dibendung.Empangan fakta harus dihujahkan kepada 'pembawa ajaran sesat'.

Mujur isyarat abah menyuruh saya bertenang.

Gelisah punggung,panas hati siapa yang tahu.

Belum lagi cerita pemahaman perubatan Nabawi yang menyeleweng.

Secara mudahnya, hadis makan garam itu tertolak.Tidak sahih dari Rasulullah.

Mohon dibaca artikek dari Dr Rozaime Ramli berkenaan hadis garam ini.

http://rozaimiramle.blogspot.com/2012/09/adakah-mengambil-sedikit-garam-sebelum.html?m=1


Sunnah Garam

Garam itu bersifat masih.

Garam diperlukan dengan kadar sedikit untuk kegunaan tubuh kita,sekitar 6g per hari (1 sudu teh).Banyak makanan kita pada hari ini sudah terkandung garam di dalamnya.

Untuk pesakit darah tinggi umpamanya,makanan tinggi garam,budu,ikan kering dan sebagainya sangat harus dikurangkan.

Garam (Sodium Chloride aka NaCl) diperlukan untuk tujuan yang baik ; keseimbangan cairan,pH darah,kontraksi otot dan sebagainya.

Namun apabila sudah pada kadar berlebihan, garam akan merosakkan fungsi buah pinggang.

Seharusnya garam berlebihan harus dinyahkan dari tubuh,akan tetapi sifat garam adalah mengikat air.Garam akan kekal di dalam badan.

Apabila kekal di dalam badan,isipadu darah akan bertambah,dan seterusnya menyebabkan tekanan darah tinggi.

Analogi mudah seperti aliran sungai ketika hari biasa dan pada musim tengkujuh.Malapetaka maksudnya kalau isipadu air sungai terlampau tinggi.

Kita sudah melihat bah kuning pada penghujung 2014.


Kesimpulan

Rasululllah membawa mukjizat.Ajarannya dianggap sunnah.Maka mustahil amat kalau sunnah Nabi itu bersifat merosakkan seperti cerita garam tadi.

Mesti ada yang tidak kena.

Oleh itu,garam itu keperluan pada kadar wasatiyy.Jangan berlebih-lebihan sehingga garam dimakan sebagai menu utama.

Kita ada akal kurnia Ilahi,maka manfaatkanlah.

Sekian.

Rabu, 10 Februari 2016

Buah Pinggang Rosak Sebab Ubat Hospital? Antara Mitos dan Realiti..





" Kita tak boleh makan ubatan hospital banyak sangat.Takut lama-lama nanti kena penyakit buah pinggang!"

Kadang-kadang ada pesakit sendiri yang mengutarakan penyataan di atas.

Adakala setelah dicuit sedikit oleh doktor, terpacul juga penyataan yang sama. Ada juga yang bertanya demi mencari cerita sebenar.Berbondong-bondong testimoni disogok kepada pesakit menyebabkan kekeliruan, kesalah fahaman menjadi-jadi.

Testimoni yang diulang-ulang akan merasuk akal di bawah sedar.Sama ada sedar atau tidak,testimoni bakal membentuk sebuah kepercayaan.

Tidak dinafikan, selaku pengamal perubatan yang bertugas medan primer,soalan-soalan persis sama sentiasa menjelma mencari jawapan.

Jawapan Saya

1) Adil Dalam Menilai

"Mak cik biasa dengar ayat lazim dari sural Al Maun.Aroitallazi yukazzibu biddin..


" Ayat ke 5 berkata,Celaka/Neraka Wail lah untuk orang yang solat!"saya memancing.Terkedu seribu makcik.

"Betul tak ayat Quran ni makcik.Lepas ni bila makcik balik, tak perlulah nak solat Subuh,Zohor,Asar,Maghrib dan Isya.Solat terawikh ke,solat sunat hari raya pun,Semua bawa celaka!"

Saya tersenyum simpul.

Ya.Ayat ke 6 menerangkan lebih lanjut.Celaka itu kepada orang yang lalai dalam menunaikan solat.
Pokoknya, kalau nak mendengar, kena dengar sampai habis.

Kefahaman separuh benar bererti kefahaman yang salah.Kena dengar sampai habis.Islam mengajar kita mendengar sampai habis!


2) Kisah 2 Orang Lelaki, 60Tahun 

Lelaki A, berusia 60 tahun, datang ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan untuk pergi haji.Ketika hasil darah keluar, baru didiagnosa menderita sakit kencing manis, darah tinggi dan sakit buah pinggang.

Lelaki B, juga berusia 60 tahun.Sudah 20 tahun menghidap darah tinggi,10 tahun menderita kencing manis dan sekarang berdepan dengan komplikasi buah pinggang.Lelaki B ini sering berkata,
" Tak payahlah makan ubat kerajaan banyak-banyak,lama nanti macam aku.Kena penyakit buah pinggang dah!"

Lelaki C dan Lelaki D terdengar percakapan Lelaki C ketika duduk menunggu giliran bertemu doktor.Lelaki C terus mengurangkan jadual makan ubat beliau; dari sehari 2 kali kepada sehari sekali.
Lelaki D pula hanya makan ubat selang sehari.Kedua-duanya mendengar 'fatwa'dari Lelaki B tadi.

Apa bezanya A dan B ,padahal kedua-duanya lelaki dan berusia 60 tahun?

Macam mana mahu disalahkan ubat hospital padahal Lelaki A baru sahaja didiagnosa penyakit pakej tadi?

Kelu membisu Lelaki C dan Lelaki D mendengar analogi yang diberikan doktor.

Ya tak ya juga.

" Pokoknya yang sama adalah kencing manis dan darah tinggi kedua-dua Lelaki A dan B adalah TIDAK TERKAWAL.Lelaki A semestinya,langsung tidak pernah diperiksa.Lelaki B pula pasti disebabkan pengawalan yang lemah.Mesti ada 'diabetic nephropathy' ( kebocoran buah pinggang akibat komplikasi kencing manis) dan gula harian mesti berbelas-belas!"


3) Sambungan Adil

"Ya betul memang ada ubat-ubatan yang boleh membuat fungsi buah pinggang menurun!"

" Namun, apabila ubatan terbabit digunakan,kita akan memperhati fungsi buah pinggang secara terperinci.Jikalau ada terlihat penurunan fungsi, ubat tersebut akan diberhentikan oleh doktor!"

Contoh Ubatan:










"Antara ubatnya adalah ubat penahan sakit.Jangan sesekali menjadikan penggunaan ubat 'painkiller' ini seperti makan 'kace butir'.Kesannnya mungkin boleh memperburuk fungsi buah pinggang!"

Angguk-angguk.Tiada geleng-geleng.


Ingat, doktor juga boleh dibawa ke muka pengadilan andai menyalahgunakan preskripsi ubat-ubat tahan sakit sehingga menggadaikan nyawa pesakit.Buktinya sudah ada di luar sana. Sila rujuk pautan ini ,http://kfor.com/2016/02/06/southern-california-doctor-sentenced-in-overdose-deaths-of-3-patients/.



4) Ada Kesan Sampingan Juga.Habistu?

" Kalau macam tu ubat hospital tetap ada kesan sampingan la.Baik saya guna cara kampung,selamat!"

Ujar seorang pakcik setelah lama berborak.Aroma waktu petang masih syahdu dibuai penghawa dingin bersuhu 16 darjah Celsius.

"Kalau macam tu.Pakcik tak perlu la naik kereta datang ke sini,pergi masjid.Duduk rumah je,tonton televisyen, main Internet!"tersengih saya sambil menjawap.

Dalam hidup ini semuanya ada risiko.Ada beza antara pecut kereta 150km/jam di jalan berliku +'double line'+ depan sekolah sambil tidak memakai tali pinggang  dengan membawa kereta secara berhemah dan mengikut aturan ditetapkan.

Secara sunnatullah(aturan Allah), ikut aturan yang dikenakan namun masih mengalami kemalangan, itu takdir Allah atas usaha kita.Begitu juga dengan memakai ubat-ubatan.

Setiap ubat diuji beribu kali di makmal-makmal,memakan ratusan juta ringgit kajian demi memaksimumkan kesan dan keselamatan kepada para penggunanya

Namun adakah ubat-ubat kampung,ubat sengsei bagus kerana tidak mempunyai kesan sampingan?

Itu mudahnya ubat-ubat yang tidak dikaji secara 'evidence-based'.Ubat-ubat ini datang dengan testimoni mulut ke mulut.Ada yang boleh berjaya, namun yang gagal juga tidak sedikit.Barang diingat dalam hierarki 'evidence-based', testimoni merupakan bukti paling lekeh (izinkan saya menggunakan perkataan ini).


Kesimpulan

1) Bercakap jangan sebarang cakap.Cakaplah dengan ilmu.

2) Sila bertanya jika sesat jalan.

3) Jika sudah sesat jalan, jangan pula menyesatkan orang.

4) Bertanyalah sesuatu pada ahlinya.Apabila kita sudah membaca buku 'How To Drive Airplane', percayalah itulah kali pertama dan terakhir untuk menjadi jurumudi kapal terbang malang tersebut.

5) Hidup ini mesti berlandas bukti (evidence-based knowledge).

6) Berhujah bukan untuk tunjuk pandai, memenangkan ego.Berhujahlah untuk kebenaran.Kebenaran itu tidak bertuan satu.Tuannya banyak,miskinkah dia, kayakah dia,kebenaran akan mengenal ahlinya.



Selingan

'Chronic Kidney Disease' (penyakit buah pinggang) diukur dengan mengambil serum Creatinine (diambil dari darah).Pengiraan akan dilakukan mengikut beberapa jenis formula dan dari sini kita akan mengetahui di manakan peringkat penyakit buah pinggang seseorang.

Semuanya dari peringkat 1 hingga 5.Manifestasi kerosakan buah pinggang biasanya berlaku pada peringkat kelima dan di sini,pesakit memerlukan prosedur cuci darah secara rutin