Sabtu, 21 Januari 2012

Kusta : Antara Bumi Wali Songo,Lembah Harapan dan Alcatraz Malaysia...


Sudah seminggu saya bermastautin di bahagian Kulit dan Kelamin (Dermato-Venereology Disease).Pelbagai penyakit yang menghuni kulit, organ terbesar milik manusia,sudah ditemui.

Dari penyakit disebabkan jangkitan bakteria,virus, fungi,sehinggalah penyakit yang kronik seperti kusta, alergi ubat ( sila 'google' Steven-Johnson Syndrome-Toxic Epidermal Necrolysis), berdatangan setiap hari.


Penyakit Kutukan

Antara semuanya, saya tertarik lebih kepada penyakit yang dinamakan sebagai kusta. Nama umumnya begitu.

Bahasa Inggerisnya 'Leprosy'.Juga dinamakan dengan penyakit Hansen.

Penyakit kuno yang ada disebut di dalam kitab Bible.Seringnya, masyarakat tradisional menggelarkan kusta sebagai sebuah kutukan.Tidak sedikit penderita kusta yang diusir keluar dari kampung halaman.

Gambaran realiti dari cerita-cerita zaman pertengahan di Eropah, memperlihatkan adanya penderita kusta.


Fakta

Penyakit ini terjadi kerana jangkitan bakteria bernama Mycobacterium Leprae.Suatu jangkitan yang bersifat lama, sering terkena pada saraf-saraf tangan dan kaki serta pada mukosa saluran pernafasan.

Jika tidak dicegah, kusta akan menyebabkan kecacatan kekal pada wajah, kehilangan penglihatan dan sebagainya.

Di bumi Wali Songo, kusta masih lagi mengganas. World Health Organization (WHO) menetapkan penyakit kusta dianggap telah dieradikasi apabila kejadian penyakit ini kurang daripada 1 per 10,000 orang penduduk.


Di bahagian Jawa Barat sahaja, statistik menunjukkan masih banyak kawasan seperti Subang, Indramayu, kejadian penyakit kusta masih banyak.


Cerita Lembah Harapan

" Penderita kusta tidak boleh dihalau dan dipisahkan.Ini suatu penyelesaian yang bertentangan dengan norma kemanusiaan dan hukum!!"

Guru saya, Dr Muljaningsih, doktor pakar kulit bercerita panjang lebar tentang penyakit kusta.

Benar.

Setuju.

Ingatan saya terarah kepada tanah air sendiri.

Kepingan-kepingan 'puzzle' ingatan cuba saya cantumkan tentang adegan kusta di Malaysia.Teringat saya kepada isu yang pernah dibangkitkan oleh Majalah 3 pada suatu ketika dulu, berkenaan dengan Lembah Harapan.

Ya Lembah Harapan.

Suatu lokasi khas di daerah Sungai Buloh,Selangor, yang pernah dijadikan sebagai Pusat Kawalan Kusta Negara.

Suasana wad kusta Lembah Harapan

Lembah Harapan

Unik kerana ia merupakan satu dari dua pusat kusta di Asia.

Lebih istimewa, sejarah tempat ini menceritakan suka duka perjalanan penghidap kusta yang diasingkan oleh penduduk, semenjak tahun 1926 lagi.

Bagaimana komuniti ini diasingkan dan mereka membentuk pawagam,padang permainan,masjid,dan hatta, matawang sendiri.

Kontijen polis di Sungai Buloh

Salah seorang penderita kusta di Sungai Buloh

Matawang rasmi di Lembah Harapan


Ajaib.

WHO telah membebaskan beban endemik kusta dari Malaysia pada tahun 1994, di mana bilangan pesakit kusta adalah di bawah 1 per 10,000 penduduk.


Statistik pesakit kusta di Malaysia

Pesakit kusta masih ada, kesnya masih wujud, tetapi tidaklah separah dulu.

Kini, alhasilnya,tempat ini telah dijadikan sebagai hospital satelit setelah munculnya Hospital Daerah Sungai Buloh.

Sejarahnya memikat hati saya.


Jerejak, 'Alcatraz' Malaysia



Pulau Jerejak


Ada sebuah pulau kecil, berdekatan dengan Pulau Pinang.Lintasan feri dan jambatan ketiga terpanjang di Malaysia akan mempertontonkan kita kepada sebuah pulau mini, seluas hampir 300 hektar.

Jerejak namanya.

Dikatakan Francis Light pernah bertapak di sini.

Fungsinya pada penghujung abad ke 19 adalah sebagai tempat pengasingan penderita kusta,kebanyakannya pada waktu itu adalah imigran-imigran dari China.

Sehingga tahun 1969, pusat kusta di sini ditutup dan pulau ini bertrasnformasi kepada sebuah penjara.

Penjenayah yang memasukinya jangan berharap untuk melepaskan diri.Inilah Alcatraz milik Malaysia.

Tugas sebagai penjara berakhir pada tahun 1993.Sekarang, chalet-chalet tumbuh mencendawan di Jerejak,tumpuan para pelancong.


Kusta Hari Ini

Kusta pada hari ini sudah ditemui ubatnya.WHO membekalkan Multi Drug Treatment (MDT) untuk terapi penyakit kusta dengan ubatan seperti Rifampicin, Dapsone dan Clofazimine.

Jumlah pesakit berkurangan.

Namun,masih banyak di ceruk-ceruk desa, ada nuansa kusta yang muncul.

Stigma, persepsi buruk kepada penderita dusta (mereka pernah dijuluki sebagai 'lepers') ternyata masih ada.

Kutukan, akibat dosa dan sebagainya.

Dunia terus berputar, cakerawala ilmu mengglobal,sikap manusia tidak jauh berubah.

29 Januari 2012 dicanangkan sebagai Hari Kusta Se-Dunia.

Katakan tidak pada stigma, sembuhkan mereka, dukungi mereka!


Sumber :

1) Yohei Sasakawa Blog : Chairman of Nippon Association

2) International Leprosy Association

3) Tesselar

4) Blog Hashimshah

5) Foto-foto Pusat Kawalan Kusta Negara,Sungai Buloh

6) Blog Sepanjang Jalan Pulang

Tiada ulasan: