Ahad, 29 Januari 2012

Antara Busur dan Anak Panah..


" Jom memanah!"

Tiba-tiba, Dr Sullifan (bukan nama sebenar) mengajak.

Kami dalam rangka menjaga pos kesihatan, agar kesihatan para peserta perkhemahan tertata dengan elok.

Dan di sela-sela para peserta keluar bersenam menuruni denai, memanjat bukit, waktu yang luang, jangan dibuang sia-sia.


Memanah

Rupa-rupanya, tersedia untuk peserta peralatan memanah yang lengkap.

Peluang keemasan.

Bertahun sudah diri mengidam memperagakan aksi Robin Hood dan Legolas.Selama ini, hanya di kaca televisyen dan permainan imaginasi akal yang menyantuni diri.

" Ajarkan anakmu berenang,menunggang kuda dan memanah"

Kalam Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menceritakan.

Teknik mendidik anak dengan keterampilan di dalam bidang kecergasan fizikal.

Tidak hairan apabila kita melihat dalam sirah, para sahabat semuanya pakar dalam bidang pertempuran.Fizikal mereka telah dipersiapkan semenjak mereka masih hijau.


Konteks Kontemporari

Berenang sudah pernah walau hanya mampu bertatih berkuak dada.Berlumba seperti Phelps, Ian Thorpe atau menjadi jaguh negara seperti Lim Keng Liat, itu hanya gurauan di minda.

Setidaknya masih dalam proses, dan ia sudah bermula.

Menunggang kuda..

Pernah sekali dua, tidaklah seprofessional ekuin-ekuin negara seperti Qabil Ambak, mahupun Sultan Mizan, Sultan Negeri Terengganu Darul Iman.

Setidaknya pernah mencuba, dan teorinya sudah melekat.Cuma perlu diasah keberanian, dan teruskan berlatih.

Zaman berubah, teknologi meroket tinggi.

Pasti tidak terfikir di benak Rasulullah dan sahabat-sahabat, akan muncul senapang pelbagai jenis mengalahkan busur dan anak panah milik mereka.

Tunggangan mereka yang paling laju, kuda, boleh dikalahkan oleh pelbagai kenderaan.Motor, kereta, kereta perisai, kereta kebal, amfibia sehinggalah kepada pesawat-pesawat terbang.

Namun, intinya tetap sama.Rasulullah dan sahabat berpaksi menyiapkan diri dengan persiapan fizik yang terbaik.

Teknologi terbaik mengikut zaman, kata mudahnya.

Mengajar anak menunggang kuda masih lagi relevan, berenang juga sama, memanah juga tidak ketinggalan.Semua sukan ini masih dipertandingkan di Olimpik, dan yang pasti, sukan-sukan ini diakui di seluruh dunia ini.


Beraksi


Tali busur ditarik perlahan.

Anak panah ' meneropong' target 6 meter di hadapan.

Wossh...

Meluncur laju...

Dan kena pada sasaran.

Nilai mata 6.

Tidak terlalu buruk bagi seorang yang baru menceburkan diri.

Target itu mempunyai 10 lingkaran, dari yang beerwarna putih bahagian terluar, sehinggalah bahagian paling dalam berwarna kuning, dengan nilai markah 10.

Tersasar dari bahagian putih terluar, alamat putihlah mata.


Fokus

Peralatan yang digunakan masih lagi pertukangan separa professional.Maksudnya, busur, anak panah dan peralatan kecil yang lain dibuat secara tradisional. Bahan asasnya masih kayu.

Di Bandung, Indonesia, sekadar pengetahuan saya, belum ada fasiliti memanah yang dibuka untuk umum.

Masyarakat rata-rata hanya mengenal memanah melalui layar televisyen.

Di Malaysia, memanah sudah memasuki arena komersil.Sesiapa sahaja boleh mencuba untuk memanah.Kompleks-kompleks membeli belah juga tersedia arena memanah, seperti di Sunway Pyramid.

Mudah.

Murah.

Sunnah lagi.




Jom memanah ^__^


P/S :
Hati-hati sewaktu memanah. Pastikan anda memakai pelindung jari dan pad pelindung di lengan.Kalau salah tekniknya, jari dan lengan boleh lebam-lebam jadinya.


Sabtu, 21 Januari 2012

Kusta : Antara Bumi Wali Songo,Lembah Harapan dan Alcatraz Malaysia...


Sudah seminggu saya bermastautin di bahagian Kulit dan Kelamin (Dermato-Venereology Disease).Pelbagai penyakit yang menghuni kulit, organ terbesar milik manusia,sudah ditemui.

Dari penyakit disebabkan jangkitan bakteria,virus, fungi,sehinggalah penyakit yang kronik seperti kusta, alergi ubat ( sila 'google' Steven-Johnson Syndrome-Toxic Epidermal Necrolysis), berdatangan setiap hari.


Penyakit Kutukan

Antara semuanya, saya tertarik lebih kepada penyakit yang dinamakan sebagai kusta. Nama umumnya begitu.

Bahasa Inggerisnya 'Leprosy'.Juga dinamakan dengan penyakit Hansen.

Penyakit kuno yang ada disebut di dalam kitab Bible.Seringnya, masyarakat tradisional menggelarkan kusta sebagai sebuah kutukan.Tidak sedikit penderita kusta yang diusir keluar dari kampung halaman.

Gambaran realiti dari cerita-cerita zaman pertengahan di Eropah, memperlihatkan adanya penderita kusta.


Fakta

Penyakit ini terjadi kerana jangkitan bakteria bernama Mycobacterium Leprae.Suatu jangkitan yang bersifat lama, sering terkena pada saraf-saraf tangan dan kaki serta pada mukosa saluran pernafasan.

Jika tidak dicegah, kusta akan menyebabkan kecacatan kekal pada wajah, kehilangan penglihatan dan sebagainya.

Di bumi Wali Songo, kusta masih lagi mengganas. World Health Organization (WHO) menetapkan penyakit kusta dianggap telah dieradikasi apabila kejadian penyakit ini kurang daripada 1 per 10,000 orang penduduk.


Di bahagian Jawa Barat sahaja, statistik menunjukkan masih banyak kawasan seperti Subang, Indramayu, kejadian penyakit kusta masih banyak.


Cerita Lembah Harapan

" Penderita kusta tidak boleh dihalau dan dipisahkan.Ini suatu penyelesaian yang bertentangan dengan norma kemanusiaan dan hukum!!"

Guru saya, Dr Muljaningsih, doktor pakar kulit bercerita panjang lebar tentang penyakit kusta.

Benar.

Setuju.

Ingatan saya terarah kepada tanah air sendiri.

Kepingan-kepingan 'puzzle' ingatan cuba saya cantumkan tentang adegan kusta di Malaysia.Teringat saya kepada isu yang pernah dibangkitkan oleh Majalah 3 pada suatu ketika dulu, berkenaan dengan Lembah Harapan.

Ya Lembah Harapan.

Suatu lokasi khas di daerah Sungai Buloh,Selangor, yang pernah dijadikan sebagai Pusat Kawalan Kusta Negara.

Suasana wad kusta Lembah Harapan

Lembah Harapan

Unik kerana ia merupakan satu dari dua pusat kusta di Asia.

Lebih istimewa, sejarah tempat ini menceritakan suka duka perjalanan penghidap kusta yang diasingkan oleh penduduk, semenjak tahun 1926 lagi.

Bagaimana komuniti ini diasingkan dan mereka membentuk pawagam,padang permainan,masjid,dan hatta, matawang sendiri.

Kontijen polis di Sungai Buloh

Salah seorang penderita kusta di Sungai Buloh

Matawang rasmi di Lembah Harapan


Ajaib.

WHO telah membebaskan beban endemik kusta dari Malaysia pada tahun 1994, di mana bilangan pesakit kusta adalah di bawah 1 per 10,000 penduduk.


Statistik pesakit kusta di Malaysia

Pesakit kusta masih ada, kesnya masih wujud, tetapi tidaklah separah dulu.

Kini, alhasilnya,tempat ini telah dijadikan sebagai hospital satelit setelah munculnya Hospital Daerah Sungai Buloh.

Sejarahnya memikat hati saya.


Jerejak, 'Alcatraz' Malaysia



Pulau Jerejak


Ada sebuah pulau kecil, berdekatan dengan Pulau Pinang.Lintasan feri dan jambatan ketiga terpanjang di Malaysia akan mempertontonkan kita kepada sebuah pulau mini, seluas hampir 300 hektar.

Jerejak namanya.

Dikatakan Francis Light pernah bertapak di sini.

Fungsinya pada penghujung abad ke 19 adalah sebagai tempat pengasingan penderita kusta,kebanyakannya pada waktu itu adalah imigran-imigran dari China.

Sehingga tahun 1969, pusat kusta di sini ditutup dan pulau ini bertrasnformasi kepada sebuah penjara.

Penjenayah yang memasukinya jangan berharap untuk melepaskan diri.Inilah Alcatraz milik Malaysia.

Tugas sebagai penjara berakhir pada tahun 1993.Sekarang, chalet-chalet tumbuh mencendawan di Jerejak,tumpuan para pelancong.


Kusta Hari Ini

Kusta pada hari ini sudah ditemui ubatnya.WHO membekalkan Multi Drug Treatment (MDT) untuk terapi penyakit kusta dengan ubatan seperti Rifampicin, Dapsone dan Clofazimine.

Jumlah pesakit berkurangan.

Namun,masih banyak di ceruk-ceruk desa, ada nuansa kusta yang muncul.

Stigma, persepsi buruk kepada penderita dusta (mereka pernah dijuluki sebagai 'lepers') ternyata masih ada.

Kutukan, akibat dosa dan sebagainya.

Dunia terus berputar, cakerawala ilmu mengglobal,sikap manusia tidak jauh berubah.

29 Januari 2012 dicanangkan sebagai Hari Kusta Se-Dunia.

Katakan tidak pada stigma, sembuhkan mereka, dukungi mereka!


Sumber :

1) Yohei Sasakawa Blog : Chairman of Nippon Association

2) International Leprosy Association

3) Tesselar

4) Blog Hashimshah

5) Foto-foto Pusat Kawalan Kusta Negara,Sungai Buloh

6) Blog Sepanjang Jalan Pulang

Sabtu, 14 Januari 2012

A True Story : Jalan Jihad Sang Dokter


Sewaktu pertama kali melihat buku ini dibaca oleh seorang teman dari Indonesia, saya segera tertarik.Mengamati.

Judulnya sahaja sudah menggamit hati untuk menelaah sebentar.

"Pinjam sebentar.."

Saya memaniskan muka meminjam barang sebentar.'Scan and skim' seluruh isi.

Terpikat jatuh cinta.


Jalan Jihad Sang Dokter

Buku ini berkisar kepada perjalanan dr Joserizal Jurnalis, seorang pakar bedah tulang, dan teman-temannya di Medical Emergency Rescue Committee (MER-C), yang bergelumang dengan dunia pertolongan medis di belahan dunia yang bergolak.

Ambon,Acheh,Pakistan,Iraq dan tidak ketinggalan Gaza.

Ya Gaza.

Kota suci umat Islam yang ketiga.

Bedilan dari pesawat tanpa pengendali, bom fosforus yang mereputkan tulang.

Anak-anak kematian ibu bapa, ibu bapa mendakap si jantung hati yang kaku.

Tontonan di televisyen saat Gaza diserang Israel, melambai-lambaikan tangan memanggil ummah untuk turun ke Gaza.

Begitu juga dr Joserizal.

Dari Indonesia, mendapat restu dari Menteri Kesehatan Indonesia pada saat iti,Siti Fadillah Supari, semangatnya berkobar-kobar.

Sehinggalah sampai di Jordan dan Mesir,melewati bandar Arish di sempadan,bercerita tentang Rafah Gaza dan Rafah Mesir sampai ke detik melangkah tapak ke bumi suci Al Quds.

Bertemu para jenazah ahli Syurga..

Bersilaturahmi dengan anak-anak yang masih tersenyum walau peritnya kaki yang hampir putus dek bom fosforus Zionis laknatullah.

Aneka rentetan episod yang menjemput titisan demi titisan mutiara dingin dari kelopak mata.

Cukuplah saya mengatakan,bagi sesiapa tidak sebak ketika membaca buku ini, imannya pasti belum lengkap.

Tersedar dari lamunan.

Buku ini yang sebanyak 310 halaman, berjaya saya sudahkan dalam masa 2 hari.Seakan-akan buku ini memberikan tazkirah pengingat kepada diri tentang peranan individu dan ummah terhadap isu Palestin ini.

Lebih-lebih lagi, 'worldview' saya sebagai seorang doktor benar-benar tercabar tatkala membaca kisah-kisah perjuangan 'tanga-tangan Tuhan' di bumi Gaza.

Sangat terkesan di benak kalbu.

Saya menyesal kerana banyaknya diam,masa terbazir kosong dek dosa,banyaknya melihat dan diam, dan hanya menghantar pesan kasihan sedetik pabila melihat di layar kaca adegan-adegan Al-Aqsa.

Allahualllah..

Kesimpulannya,buku ini sangat berbaloi untuk dibaca.Pelaburan untuk membeli buku ini tidaklah seberapa ketika dibandingkan dengan isinya yang sarat dengan manfaat.Patut dibeli.

Saya memberikan 5 BINTANG kepada Jalan Jihad Sang Dokter.




P/S :

Bagi yang berada di bumi Bandung, bolehlah memesan buku ini kepada saya dengan harga Rp 50,000.

Kalau di dalam buku ini nama Joserizal,Sarbini,Faried,Arief sering dituturkan, Insyaallah pada masa hadapan ada nama Ahmad Zulfahmi dan anda.

Semoga,Insyaallah~



Khamis, 12 Januari 2012

Hargai Ibu Bapa

Setinggi mana mata mendongak mencakar langit, tangan menggapai bintang di raya angkasa, mengejar kehebatan cita dan nama, jangan sekali dilupa kaki yang sekian lama memijak rumput...

Sehebat manapun kita,sepanjang manapun jejeran pangkat, di sana ada bonda dan ayahanda, pemilik kasih sayang titipan Tuhan sejak azali.

Berbaktilah pada mereka, jagalah bahasa sewaktu berbicara dengan si dia yang mengandungkanmu dengan sangat bersusah payah, hargailah mereka..

Siapalah diri, tanpa Mama dan Abah.

Ayuh,semangat berjuang untuk menggembirakan mereka ^__^