Sabtu, 31 Julai 2010

Sabarlah Wahai Sahabatku, Khalis..

Sesungguhnya demam, sakit dan musibah itu datangnya dari Sang Penguasa Alam.

Datangnya sebagai imtihan duniawi, mahu menguji sebaik mana perlakuan tindak balas hambaNya. Jika sang hamba bersabar atas dugaan, ganjaran pahala bakal menanti.

Janji kita pada iftitah solat,

" Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah kepada Allah, Sang Pemilik Alam"


Musibah Buat Sahabat

Kecelakaan itu datangnya tidak berdendang salam, datangnya menjengah kamar hidup secara tiba-tiba.

Ditakdirkan Allah, sahabat yang dikasihi, Khalis ditimpa kecelakaan jalan raya. Lokasi kemalangan adalah di Jalan Dago, Bandung.

Kereta yang berhenti di pinggir jalan, membuka pintu kereta secara tiba-tiba. Tidak sempat mengelak, pintu itu dilanggar keras, jatuh terduduk di tengah jalan.

Perlanggaran tidaklah kuat, cumanya bahagian atas kaki Khalis terhiris dek besi engsel kereta. Luka yang agak dalam, sampai ke tulang putih.

Dipendekkan cerita, dia dikejarkan ke Rumah Sakit Sariningsih. Pembedahan minor terpaksa dilakukan segera bagi menutupi luka yang agak teruk.

Sejam sudah, semuanya selesai. Di samping itu, isterinya Khalis, Syamimi, tiada sebarang kecederaan serius.

Dan hari ini, Khalis dan isteri sudah berada di Kampung Kedemit, Tumpat, Kelantan. Tiket sudah ditempah awal, dan pulanglah pasangan ini dengan kaki berbungkus elok, bertongkat dua.
berehat di rumah

sudah boleh tersenyum

kaki yang berbalut

papa dan mama sang pesakit bersama pelawat


betis yang lebam


Anam dan Shiraaj


Doa Buat Sahabat


"Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung,Tuhan Arasy Yang Agung, supaya menyembuhkan engkau"

Dibaca 7x (HR Tirmizi dan Abu Daud)

Semoga cepat sembuh wahai sahabat dan bersabarlah atas dugaan ini. Sesungguhnya Dia bersama dengan hambaNya yang sabar..





Muslim versi Michael Schumacher..

Pengaruh adalah suatu unsur yang signifikan dalam medan kepimpinan dan dakwah.

Pengaruh bukanlah semata-mata diukur dengan banyaknya pengikut, berapi-apinya orasi di khalayak ramai, dan gahnya kostum luaran seseorang.

Pengaruh banyak ditentukan oleh integriti seseorang individu.

Dan bagi saya, saya susah untuk dipengaruhi sebegitu mudah.

Ada langkah dan tatacara yang harus dipenuhi terlebih dahulu untuk menambat hati saya.

Saya melihat, memerhati dari atas ke bawah, mendengar dengan mata dan akal, dan saya menjustifikasikan apa yang diperbuat dan dibicarakan oleh sang pemimpin.

Dengan neraca Islam berteraskan Al-Quran dan Sunnah semestinya..


Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Yang Kukenali..



" Dia waris, saudara Tuk Guru juga, asal Kelantan juga orangnya" suatu masa dahulu bonda bercerita.

Patutlah tidak pelik sekiranya pertuturan dialek Kelantannya ternyata masih pekat, masih berlidah budu dalam bicaranya.

Mastautin di ceruk Jengka, tetapi darahnya masih lagi Kelantan.

Dan tadi, ditakdirkan Tuhan, majlis kuliyyah ilmu di Dataran Ilmu Kota Bharu, dimulaikan oleh Ustaz Tuan Ibrahim, bekas Adun Jengka di Pahang. Sudah lama tidak bersua secara berdepan-depan dengan pemimpin hebat ini.


Medan PRU lepas, rezeki perjuangannya tersekat seketika di arena Jengka. Jengka dimenangi oleh YB Wan Salman(gambar atas) dari Barisan Nasional

Pertuturannya lembut, tetapi disulami ketegasan berprinsip.


Suasana Medan Ilmu Kota Bharu 30/07/2010



Islam Di Hati

" Kita tentang UMNO, bukan dengan orang-orang UMNO, tetapi atas dasar prinsip!"

" Bila kita bertemu, tegur sapa dan ramah mesra itu tuntutan Islam"

Kalibernya sebagai Naib Presiden PAS ternyata hebat.

" Rasulullah dulu, baginda membelai hati dan jiwa Abu Sufyan sewaktu Pembukaan Kota Makkah!"

" Rasulullah mengatakan, Sesiapa yang ingin selamat jiwanya maka masuklah ke rumah Abu Sufyan, pemimpin Makkah!"

" Islam menjaga hati dan maruah seorang pemimpin walaupun dia adalah seorang bukan Muslim!"

Runut-runut kalimahnya diutarakan satu persatu secara jelas dan tenang.

" Sehari dua ini, ada penulis blog tulis Haram Sani, Haram Jadah dan sebagainya, ini tidak betul, bukan cara Islam!!"

Benar sekali katanya. Sedangkan mayat Yahudi berlalu di hadapan Sang Rasulullah, baginda bangun memberi penghormatan.

Teguran diberikan kepada penulis-penulis blog yang tidak beradab sopan melabel SS Mufti Perak, Dato Harussani Zakaria dengan pelbagai panggilan tidak baik. Mahu memperdengarkan bicara Islam, tetapi nuansanya nyanyian yang tidak diredhai Allah dan RasulNya.

Akidah dan perjuangan mungkin berbeza, tetapi penghormatan manusiawi tetap tuntutan Al-Quran dan Sunnah.

Matlamat tetap tidak menghalalkan cara.

Tiada istilah Robin Hood of Sherwood versi Islam, dan juga tiada Pancho Villa of Mexico di dalam kamus kehidupan seorang pejuang Islam.

Hati saya damai mendengarkan untaian bicara Ustaz Tuan Ibrahim.

Berilmu tetapi merendah hati


Penutup Islam, Penutup Pergerakan Islam

Islam mahjubun bil muslimin, Islam itu tertutup oleh Muslim sendiri. Kata-kata mutiara dari Muhammad Abduh, seorang wirawan pejuang agama.

Enjin Ferrari memang berada di kelasnya tersendiri. Memecut sehingga 400km/jam dalam laluan lurus, itu adalah kemampuannya.

Syarat yang mesti dipatuhi adalah pemandunya mestilah Alonso atau Massa. Schumacher telah membuktikannya. Juara dunia 7 kali, 3 kali dengan pasukan Merah Hitam dari bumi Itali. Kuda hitam itu sentiasa megah di podium kemenangan.

Bayangkan jika sang pengemudi adalah seorang pak cik penarik beca di Bandar Hilir Melaka ataupun seorang supir angkot di belantara batu di Jakarta dan Bandung..Oh tidak tercapai dek akal waras insani.




Begitu juga Islam, sebuah revolusi yang cukup hebat. Hebat sebenar-benar hebat seandainya sang pendokong adalah Muhammad Al-Fateh, Salahudin Al Ayyubi, Umar Abdul Aziz dan yang lain-lain. Inilah 'Schumacher' yang sebenar-benarnya.

Keadaan boleh berputar 360 darjah seandainya mat-mat rempit, minah bohsia, couple jalan pegang tangan, pencaci maki di pentas ceramah, kaki gosip jendela, ahli keluar masuk penjara dan sebagainya, dibiarkan memandu suka hati ' kereta Ferrari' yang hebat tadi.

Silap-silap ngauman enjin pun belum tentu kedengaran.

Teringat kata-kata seorang sahabat.

" Kawe pun tawar hati nak ikut mana-mana organisasi Islam. Tengok orang tu ceramah agresif sangat, fanatik, jumud dan sebagainya!"

Nukilan kecewa seorang sahabat yang bernuansa Islami, tetapi kecewa dengan pendekatan segelintir individu dari gerakan Islam yang dikenalinya.

Islam yang cuba ditonjolkan oleh gerakan Islam itu , kelihatan jelek dan buruk di mata pandangannya. Semata-mata disebabkan 'promosi' yang buruk oleh ahli gerakan Islam tadi.

Promosi Islam ternyata mencacatkan wajah Islam. Sang tikus cuba membaiki labu, niat sang tikus baik, tetapi labu itu tidaklah semakin bagus, makin buruk malahan.


Tegakkan Islam Dalam Dirimu, Nescaya Tertegak Negara Islam Di Tempatmu

Hasan Ismail Hudaibi mengingatkan umat Islam akan hakikat ini.

Wajah Islam dicemarkan oleh orang Islam sendiri.

Walaupun saya tahu teh tarik manis dan sedap, tetapi apabila melihat air liur dan hingus meleleh, santun dengan pelanggan tidak dijaga, saya rela menjauhkan diri dari gerai itu.





Bicara Dr Asri Zainal Abidin ini wajar dijadikan iktibar dan teladan dalam kita mengamalkan ajaran Islami.

Islam itu adil dalam menilai dan memberikan hukuman. Tiada istilah pilih kasih dan matlamat menghalalkan cara.

Kepada saudara-saudaraku yang sama-sama bersyahadah, jadilah kita Michael Schumacher. Kita bukanlah sang penarik beca , bukan juga supirnya angkot..


p/s:

Rakaman kuliah YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz di medan ilmu pagi tadi boleh dimuat turun di http://www.mediafire.com/?c5c2t3pycb618jr manakala rakaman kuliah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di alamat http://www.mediafire.com/?ewlzzcvd5vrbo3p

Jumaat, 30 Julai 2010

Semoga Bahagia Sampai Ke Syurga Wahai Sahabat..



Kepada Sahabatku, Dr Mustassrikh dan isteri,

Barakallahulakuma wa baraka alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair.."







Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan sehingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggungjawab dan tanggungjawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara, dari dunia hinggalah ke syurga~ Ustaz Pahruol Juoi




Selasa, 27 Julai 2010

Sedamai Hati di Pustaka Aman Press, Kota Bharu

Usai menghantar bonda di medannya mendidik anak bangsa di Tawang, Bachok, Kelantan, saya menyempatkan diri menapakkan kaki di sebuah tempat yang banyak mencetak lembaran baca untuk warga Kelantan khasnya.

Pustaka Aman Press, di Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan. Sebuah pustaka antara yang paling awal mendapat tempat di Tanah Serendah Sekebun Bunga, semenjak zaman 60 an lagi.


Kalau dahulunya, banyak cetakan dibuat menggunakan alat lama berupa mesin taip, kebanyakan sekarang telah beralih kepada teknologi moden, mesin cetak laser dan sebagainya.

Kebanyakan pengarang yang banyak mendapat tempat adalah pengarang tersohor, anak jati Kelantan sendiri seperti Abdullah Al Qari Haji Salleh (gambar paling kanan) atau nama pendeknya AQHAS. Ustaz Loh Qori panggilan jelata marhaen.


Juga terdapat di sini tulisan-tulisan Profesor Hasbi Siddiqiey, Buya Hamka. Kedua-duanya dari Indonesia. Selain itu, buku-buku pergerakan Islam ala Ikhwanul Muslimin juga terselit seperti karya Hasan Al Banna, Hasan Hudhaibi dan Yusuf Al Qardawi.


Antara Pemandagan Interior Pustaka Aman Press (PAP)








2 Hasil 'Tangkapan'

Rahsia-Rahsia Diri, oleh Muhammad Iqbal, seorang tokoh pemikir dan filosof dari Pakistan.

Wahai orang-orang Barat, bumi Tuhan bukan toko, Emas yang kau anggap murni, ternyata renda nilainya, Peradabanmu sedang membunuh diri, dengan senjata sendiri, Sarang yang dibuat di ranting rapuh, tak akan aman.


Pendakwah, bukan Penghukum, oleh Hasan Ismail Hudhaibi, pengganti Hasan Al Banna sebagai Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin. Beliau adalah seorang peguam yang terkemuka pada zamannya.

"Apabila seorang pengajak sudah memulakan dengan sebuah penghukuman kepada sang yang diajak, nescaya pintu dakwah itu sudah tertutup"




dan tidak lupa juga, Radix Fried Chicken (RFC), telah bertapak di Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan. Lokasinya berhadapan dengan HUSM, Kubang Kerian.

Jom pakat-pakat boikot KFC. Hidup pejuang-pejuang Palestin. Allahuakbar!!



Isnin, 26 Julai 2010

Spesial Syaaban : Kisah Antah dan Nasi


Hari ini 26 Julai 2010, bersamaan 14 Syaaban 1431H.

Dan syukur, puji kepadaNya, kita masih lagi diberi kesempatan untuk mencapai dan menghayati detik-detik Syaaban yang penuh barakah.

Bulan Syaaban, bulan yang paling banyak Rasulullah mengikat perutnya untuk berpuasa sunat, selain dari Ramadan Al Mubarak.


Nisfu Berdua

Melayu kita, rata-rata kenal dan sinonim dengan dua Nisfu.


Satunya aktor lawak legenda, Ahmad Nisfu yang sering muncul menggamatkan suasana dalam filem-filem hitam putih zaman Studio Jalan Ampas. Adegan melibatkannya sering mengundang senyum dan kekeh tawa.



Dan satu lagi Nisfu yang terkenal adalah malam Nisfu Syaaban, malam 15 Syaaban yang penuh berkah.

Seringnya orang kita melakukan ibadah-ibadah seperti bacaan Yasiin 3 kali selepas Maghrib, diselang selikan dengan doa-doa di antaranya.

Ritual yang dibudayakan bertujuan baik, tetapi mungkin sedikit tersasar orientasinya lama kelamaan.


Suatu Ketika Dulu

"Cepat..Cepat.. Dah hampir Maghrib ni!" laung bonda tercinta dari dapur.

Kami adik beradik, bergegas menimba air dari perigi di samping rumah. Dari sebaldi, menjadi dua sehinggalah semua bekas yang wujud di muka bumi rumah kami, dipenuhi dengan air-air perigi.

Mengikut kata bonda, patuh pada arahannya.

Air itu digunakan untuk dimasak dan diminum. Dan ada juga air itu disebarkan kepada kerabat handai.

Adegan itu berlarutan buat beberapa tahun, seingat saya.

Alkisahnya, detik Maghrib itulah bakal masuknya 15 Syaaban.

Rahmat dan berkah turun melimpah-limpah ke muka bumi, dan air itu menadah keberkahan rahmat dariNya. Dan air itu harus diambil dan dimanfaatkan sebaiknya.

"Ustazah kata macam tu!" jelas bonda, dan kami anak-anak melongo percaya.

Putih kata bonda, maka putihlah pada mata kami.

Tahun berselang tahun, hari berganti hari, Syaaban dan Syaaban terus berlalu.

" Kenapa ye dulu kita timba air banyak-banyak dekat nak masuk malam 15 Syaaban?" saya melontarkan pertanyaan kepada warga rumah.

Zaman jahiliah dahulu bertandang di arena fikir.

Kami hanya tertawa kecil, menertawakan kejahilan ilmu dan cara fikir sendiri.

"Kenapa tidak disedut sahaja air satu sungai dengan jetpump. Takpun pergi kaut pasir dan batu masa hujung-hujung nak Maghrib, mesti berkat kalau nak buat rumah.." saya bermonolog sendirian.


Bukan Debatan Dicari

Tiada niat mahu menghujah dalil ibadah pada malam Nisfu Syaaban. Itu urusan mereka yang lebih arif.Cuma cukuplah ulasan dari Al-Qaradawi, ulama terkemuka pada zaman ini.

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).


Yasin 3 kali itu dianggap 'ibadah', dan dibudayakan dengan cambahan benih yang cukup menjadi. Akar dan rantingnya subur mengadat di sanubari kita Melayu Muslim.

Apabila akar telah menghunjam kuat pasak bumi, bukanlah semudah itu untuk membuangnya tanpa merosakkan kehidupan sang pokok.

Haruslah perlahan-perlahan membuang sedikit sebanyak akar yang rosak, biarkan akar-akar yang baru dan bersih muncul, agar keharmonian hidup sang pokok tetap terpelihara.



Seorang Ali Di Kampung Melayu

Ali berhijrah ke Kampung Melayu, sebuah kampung di ceruk pedalaman sana.

Rukun masyarakatnya aman damai. Agama dijaga , adat bersendi tegap.Suatu suasana yang cukup permai dan damai.

Cuma apa yang pelik lagi aneh bagi Ali, orang kampung semuanya makan nasi yang tidak cukup sedap, pada pandagannya. Hidangan nasi dipenuhi antah..

Dicuba juga dimamah perlahan, dikunyah saksama, menelannya tetap juga terasa perit.

" Apalah pasal masyarakat kampung Melayu ni suka makan nasi berantah. Tak sedap langsung!" ngomel Ali mengenangkan nasibnya harus menelan antah, berjamaah dengan penduduk kampung.

Dikuatkan semangat, akibat penasaran, Ali bertanya kepada seorang pak cik.

" Pak cik,pak cik.. kenapa ye masyarakat sini makan nasi dengan antah? Kurang sedap rasanya.." sopan-santun Ali menyusun laras bahasa.

" Antah..Apa ke bendanya tu nak oi. Pakcik tak tahu!" jawab sang pak cik, sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Ali terkesima, diamnya seribu bahasa.

Rupa-rupanya, sejak turun-temurun, nasi di kampung Melayu memang khas berantah. Antah tidak dibuang terlebih dahulu. Mulut yang mengunyah dan tekak yang merasa, telah lali dan terbiasa.

Nasi berantah itu sedap dan enak bagi masyarakat Kampung Melayu. Cuma tidak bagi Ali.

" Antah ni tak sedap dan langsung tak berkhasiat. Aku kena menyedarkan mereka!" jiwa besar Ali menyemangatinya untuk memahamkan hakikat antah kepada warga kampung.

"Ini antah..Ini antah..tak elok.tak sedap.." Ali menjaja 'perang dinginnya' dengan antah ke serata ceruk Kampung Melayu.

Penduduk kampung gempar.

Dakyah Ali terasa cukup asing, luar dari kebiasaan mereka.

Penduduk kampung terbahagi kepada beberapa golongan.

Golongan A bangun membantah dengan keras akan usaha reformis yang diperjuangkan Ali.

" Selagi nyawa dikandung badan, darah masih mengalir di urat sendi ini, nasi inilah yang akan kami makan. Ini darah daging kami, warisan nenek moyang!"

Golongan B pula, selepas mendengar penjelasan berhemah Ali tentang keburukan antah. Mereka mula menukar paradigma berfikir.

" Betul juga ya. Nasi ni, kalau tanpa antah, memang terasa lebih sedap, lebih nikmat. Khasiatnya pun mungkin lebih banyak. Terima kasih nak!"

Golongan C pula menjadi mangsa. Pelanduk yang terperangkap di antara rempuhan gergasi gajah di sekeliling.

"Eh betul ke macam tu. Nasi yang selama ini kita makan tak berkhasiat, bahaya. Jadi, jangan kita makan nasi lagi. Kita tukar makan pucuk-pucuk kayu!"

Oh, pening kepala Ali memikirkan perihal Kampung Melayu.

" Niatku baik untuk menyelamatkan mereka. Ingatkan semua akan jadi macam golongan B, tetapi ada A dan C juga!"

Kampung Melayu, oh Kampung Melayu..


Pengajaran

Pendek cerita, pokok pangkalnya, antah adalah benda yang tidak layak dimakan. Tidak sedap, dan tidak juga berkhasiat.

Bagi yang sudah biasa memakan antah, alah biasa tegal biasa. Sudah jadi tabiat hidup, sukar mahu diubah lagi. Hanya Sang Maha Penguasa yang maha membolak-balikkan hati.

Bagi yang mencuba nasi tanpa antah, ternyata nasi lebih sedap dan nikmat. Pujian bagiNya kerana membukakan jalan perubahan.

Kepada yang celaru, antah disangka nasi, nasi disangka antah. Akhirnya, terus nasi terkeluar daripada menu harian, sama ada berantah atau tidak. Kekurangan zat makanan, sehingga boleh membawa maut.

Kepada manusia bernama Ali, dialah sosok pengubah dunia Kampung Melayu, seorang yang berjiwa daie, proaktif mahu merubah sesuatu kongkongan tradisi yang kurang bergizi.

Matlamatnya hanya satu.

Jom semua. Kita makan nasi tanpa antah

Dan satu sahaja yang harus diingat bersama, para pemakan antah itu ada bermacam jenis gayanya. Ada yang hardcore, ada yang jenis flesksibel , suka mencuba resipi dan masakan baru dan ada juga yang berbuat ikut-ikutan mendengar khabar angin.

Kepada pembawa angin reformasi berjiwa Ali, bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam, dengar-dengar. Ingatlah para pemakan antah itu ada pelbagai lagaknya.

Juga ingatlah nasihat tetua Melayu..

Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak.


Antara Cerita dan Realiti, Ubahlah Mindset

A
pa kaitannya?

Pakat-pakat perdalamkan minda, kaitkan dengan amalan Nisfu Syaaban.

Apa yang penting, please readjust your mindset.


Mahu membaca Yasin. Bacalah kerana ianya adalah suatu ibadah, membaca ayat-ayat suci Allah, mukjizat kepada RasulNya.

Mahu membaca surah-surah lain, beristigfar, berpuasa bulan Syaaban pun silakan. Semuanya sunnah Rasulullah.

Cuma biarlah kita tidak mencampur adukkan antara 'antah' dan 'nasi'. Nasi sedap dimakan, berkhasiat untuk jasmani. Antah pula entahlah di mana pula enaknya, wajar untuk dibuang ke tepi.

Percayalah wahai pemakan antah, nasi putih bersih itu LEBIH SEDAP..

Sabtu, 24 Julai 2010

Taman Syurga di New Castle, Bumi Si Kijang

" Sesiapa yang melalui jalan untuk mencari ilmu, nescaya Allah akan memudahkan jalanNya ke Syurga"

(HR Muslim)

Kuliyyah Maulana Asri Yusof




Masa senggang yang punya harus diisi dengan sarana yang bermanfaat dan membangun jiwa. Bak kata pepatah Arab,

"Air yang statik tidak bergerak, akan rosak"

Begitulah juga panorama yang akan muncul untuk manusia, khasnya para pemuda yang masa terluangnya sangat banyak.

Cuti yang didamba-dambakan boleh bertransformasi menjadi pembunuh secara senyap.

Kotak pemikiran yang kosong boleh bersarangkan anasir-anasir syaitan.Subur untuk pembiakan zuriat musuh Allah.


Antara Topik Perbincangan

Alhamdulillah, pujian padaNya, kerana tadi telah berpeluang untuk menghadiri dan mengutip mutiara ilmu dari Maulana Asri Yusof.

Hari ini khas membincangkan Bab Tayammum, dengan meneroka khazanah ilmu dari Sahih Bukhari, bermula jam 9 pagi berlarutan sehingga 11.30 pagi di Kompleks Tabung Haji Lama, Kota Bharu, Kelantan.

..Tatacara tayamum
..Hukumya, sebagai pengganti mutlak air atau sebagai darurat semata-mata
..Dan juga jenis hadis tentang tayamum, ada hadis berbetuk lafaz dan ada juga menggambarkan gerklaku Rasulullah bertayamum.


Antara Hadirin



Jumaat, 23 Julai 2010

Sepermai Duha di Kota Bharu

Kota Bharu, ibu negeri Kelantan Darul Naim.

Tempat mastautin Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong, kubu kuat The Red Warriors skuad bola sepak negeri.

Negeri Serambi Mekah, jolokan yang tersohor.


Adat dan Agama

Orang Kelantan dikatakan kukuh memegang agama dan adat budaya. Islam mantap disendikan seri adat.

Di sini, ada benarnya penyataan itu. Orang Kelantan asli, apabila mereka memegang suatu prinsip, prinsip itu kan digenggam seerat mungkin. Menggenggam bara api sampai menjadi abu, kata-kata Melayu.
"Negeri kita ibarat sepetak bendang. Kita jaga, kita semai.. Tetapi apakan daya, kadang-kadang serangga perosak, penyakit tetap juga tersebar dari bendang lain.."

Ungkapan dari Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.

Dan pemandangan Serambi Mekah ini sekarang, tidaklah seindah dulu.

Bermacam cerita dan adegan. Aurat tidak terjaga, sola fardu entah ke mana.


Apa Yang Cantik

M
endidik rakyat adalah benda yang sukar tetapi bukanlah mustahil untuk dilaksanakan.


Kempen Menutup Aurat.

Kempen Solat.

Kempen Kebersihan dan sebagainya.

Sehinggalah apa yang dijadikan sebagai tradisi seperti majlis ilmu yang dikendalikan sendiri oleh Dato Menteri Besar di Medan Ilmu, Kota Bharu. Kuliyah Duha setiap pagi Jumaat.

Kalau dulunya, hanya Tok Guru sendirian, tetapi sekarang dimulakan dengan kuliyyah oleh para pembantu terpercaya seperti exco-exco kerajaan negeri seperti Husam Musa dan Nik Amar Nik Abdullah.

Umpamanya pada hari ini, 23 Julai 2010, kuliyyah disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan,merangkap ADUN Meranti Pasir Mas, Ustaz Nasarudin Daud.


Istimewa Murabbi Kelantan

Orang Kelantan pandai berfalsafah dan beranalogi. Bahasa mereka tinggi, dan kadang-kadang hanya orang tempatan yang mampu menafsir secara betul.

Isu Tuhan samseng antara isu lama.

Hari ini, Ustaz Nasarudin tidak kalah hebat analoginya.

Isu kenaikan harga barang, isu perpaduan, isu royalti minyak yang tidak berkesudahan semuanya dijelaskan sebaik mungkin. Ulasan siasahnya memang mantap.

" Jangan la pergi banding naik harga minyak 5 sen dengan negara Asean yang tiada minyak. Acu pergi laga dengan Brunei. Kita jangan jadi bodoh.. Nak bandingkan benda mesti spesies sama, kereta berlumba dengan kereta, penganjur yang tolol sahaja pergi lumbakan kereta dengan basikal!"


Semuanya ulasan Surah Al-Mulk, dari ayat 1-4. Ayatnya pendek tetapi padat dengan contoh-contoh terkini.


Biarlah Gambar Berbicara







Tugas Kita

Gambar di atas menunjukkan antara ribuan hadirin yang hadir, sesuatu yang membudaya secara elok di bandar Kota Bharu.

Banyak yang datang bertudung elok, dan berkopiah putih.

Penampilan soleh dan solehah dan diharapkan hati-hati di dalam dada juga terselubung iman, Insyaallah.

Cuma bak kata Ustaz Hasrizal..

" Saya mengukur berapa ratus, mahupun ribuan batu jauhnya saya dan pengajian saya, dari mereka yang lepak-lepak dan lalu lalang menhabiskan masa di Suria KLCC dan SOGO"

Kerajaan Kelantan sedang dan akan terus melaksanakan apa yang terdaya untuk ummah.

Dan kita, saya dan anda sekalian juga ada tanggugjawab bersama untuk membangun ummah.

Jangan sekali dilupa 'pejuang jihad' yang tersesat di trek lumba.

Jangan dilupakan pedagang tubuh yang haus rezeki di lorong gelap Chow Kit dan Dato Harun dan mungkin juga di Jalan Hamzah, Kota Bharu.

Aurat hawa-hawa Muslimah itu masih terdedah, sedang menunggu hidayah dari kita semua.

Proaktif dan optimis, nyahkan pesimis!!

Siiru ala baraktillah!

Selasa, 20 Julai 2010

Cemburu Si Masa ; Program-Program Cuti

Wal Asr..

Demi MASA!

Sesungguhnya kebanyakan manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran..



Kepada Sahabat-Sahabat..


Jom kita makmurkan masa dan kehidupan kita yang secebis cuma dengan aktiviti yang bermanfaat.

24 jam yang sama untuk setiap orang.Apa yang berbeza adalah bagaimanakah 24 jam itu digunakan.

Who YOU are, determine your 24 HOURS!!

Antara Program..


Ustaz Hasrizal @ Hospital Besar Melaka



Ustaz Hasrizal dan Dr Abdullah Yasin di Putrajaya



Program Tautan Budi, anjuran bersama orang-orang Pahang dengan Persatuan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) di Bentong dan Temerloh, Pahang.

Sabtu, 17 Julai 2010

Katakan TIDAK Pada SYIAH!!!!


Alhamdulillah, ucap puji dan syukur dipanjatkan kepada Ilahi, kerana dengan izin dan kurniaNya, Seminar SILAT telah dianjurkan dengan jayanya oleh Biro Agama Islam KUBI (BAIK).

S.I.L.A.T. , kependekan dari Syiah , Islam Liberal dan Tarekat Sesat.

Sebagaimana yang diketahui umum, Islam hari ini bukan sahaja diserang dari luar dengan pelbagai ancaman dikaitkan dengan teroris, ajaran-ajaran sesat versi Ayah Pin dan Al-Arqam, gejala sosial, kebobrokan sistem dan akhlak, tetapi Islam juga rosak dari dalam.

Kedua-dua sisi luar dan dalam ini haruslah sama-sama diteliti etiologinya dan eskapisme pemecahan masalah juga untuk kedua-duanya, bersamaan,

Rosak dari dalam, dengan pengamalan agama yang semakin jauh menyeleweng dari ajaran sang teladan agung, Muhammad Rasulullah.

Ada bidaah yang disangka ibadah, ada Rasul berkulit sawo matang, datang dari nusantara Melayu dan juga ada masalah berzaman dengan aliran-aliran Islam menyeleweng seperti Syiah umpamanya.

Rasul Melayu yang meletak jawatannya sebagai Rasul?




Di Kesempatan Itu


"Pelik juga Arab ni. Pakaian dah la semacam. Solat tadi tangan kat tepi je!"

Saya bermonolog sendirian. Pengalaman pertama secara berdepan berjumpa empat mata dengan seorang Syiah.Di Intec, 5 tahun lepas cerita nostalgia itu.

Mujurlah teman itu dari aliran Syiah Zaidiyah (sejenis mazhab dalam Syiah yang masih diiktiraf sah di Malaysia), belum lagi sesesat Syiah Imamiyah atau Rafidhah yang melampau.

Saya bersalaman dengannya, bermanis muka.

Dan di laman dewan Bale 4 telah bersaksi, saya hanya menyampaikan sebatas secebis ilmu yang punya, tentang hakikat Syiah.

Saya menaqalkan perkataan-perkataan dari ulama-ulama terkemuka dari Malaysia dan seantero dunia.

Dr Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis.

Maulana Asri Yusoff , seorang ulama hadis dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, ulama terkemuka abad ini.

Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama Parti Islam Semalaysia (PAS).

Dan murabbi hebat dari Marang, Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang , Presiden PAS.


Sedikit Rangkuman

Sejarah bermulanya Syiah oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.




Antara akidah dan ibadah Syiah yang menyeleweng dari Al-Quran dan Sunnah.


SOLAT SYIAH





AZAN SYIAH




AQIDAH SYIRIK SYIAH




HIBURAN SANG IMAM




Mencela Sahabat Suatu Tuntutan

Kebanyakan sahabat dihukumi KAFIR seperti Umar, Abu Bakar dan Usman. Sehinggakan Syiah juga berakidahkan RAJA'AH, iaitu keimanan bahawa Umar, Abu Bakar dan Usman akan dibangkitkan di akhir hayat dunia sebelum kiamat untuk dihukumi dan sahabat besar di sisi kita ini akan DISALIB!







Adakah Syiah itu KAFIR?



Antara mangsa fitnah Syiah adalah sahabat yang dijanjikan Syurga seperti Muawiyah Bin Abu Sufyan dan Yazid anaknya. Sehinggakan mungkin jarang sekali orang-orang kita menamakan anak dengan nama Muawiyah, nama yang sinonim dengan kejahatan mungkin.







Syiah dan Amerika..

Ya Ahmadinejad nampaknya hebat.

Betul.. Hizbullah berperang dengan Israel, Bukit Golan diperjuangkan sehabisan daya.

Sisi politik mungkin kita menyokong, tetapi sisi aqidah adalah kita bermusuh jika inilah semua doktrinnya.

Kerana kita cintakan Allah dan Rasul melebihi segalanya.




Nukilan Ulama..


Al-Qaradawi




Datuk Harun Taib






Dr Asri Zainal Abidin




Seminar Maulana Asri Yusof, pakar Anti-Syiah di Malaysia, sedutan 1 dari 21 video





Fatwa JAKIM

Ajaran SYIAH difatwakan SESAT di Malaysia kecuali beberapa aliran sederhana seperti Syiah Zaidiyah.

Sila rujuk http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html.

Islam dihunjam dari dalam dan luar.

Semoga sedikit perkongsian ini mampu memberi sedikit kefahaman kepada kita semua dalam menerapkan Al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan kita seharian.

Katakan TIDAK pada SYIAH!


Jumaat, 16 Julai 2010

Bumi Jatinangor Bumi Bertuah

Entah kenapa, buat pertama kali mungkin, saya benar-benar terasa sayu sewaktu kaki mahu melangkah pulang, keluar dari pangkuan bumi Jatinangor.

Ya, Jatinangor.

Bumi di mana kami , anak-anak Malaysia menimba ilmu dan pengalaman buat 4 tahun pertama kembara kami dalam menuntut ilmu perubatan. Sisa 2 tahun bakal dijalani di bandar Bandung, berdekatan dengan Rumah Sakit Hasan Sadikin.


Mulanya Kembara..

24 Ogos 2006, detik bertuah. Antara cita-cita dan air mata, bumi Jatinangor menyapa mesra, menyeka air mata rindu orang tua. Perjuangan bermula.

Katanya bumi Indonesia adalah wadah kelas dua, tiada setara dengan yang lain.

Kata-kata manusia ditelan saksama. Tauladan warga Merah Putih diserapkan sedaya ada, kejelekan direnungi jauh bersama.

Benar pepatah Melayu..

" Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain"

Saya bersyukur pada Tuhan, kerana di sinilah tempat menimba.

Dari tidak pandai mengaju pendapat, saya Alhamdulillah boleh berhujah sedas dua.

Dari pasif meringkuk di penjara kamar, mampu pula bergerak aktif ke sini sana.

Dari reaktif menuju proaktif, dan saya masih terus belajar.




Selongkar Tinggalan

Hati ini maha berat melangkah.

Dengan selonggokan tinggalan yang masih perlu dibereskan.

Projek itu dan ini.

Modul apa dan kenapa.

Silaturahmi sana dan sini.

Semuanya masih berlonggok, di denai sana.

Tetapi maaf Jatinangor, gamitan pulang tanah air disulami rindu bonda ayahanda lebih harus dijawab segera.

Terima kasih atas segalanya.

Jumaat, 9 Julai 2010

Sing Hade Hate (Berbaik Hatilah), versi Abah Iwan




Menjejak kaki pertama kali di bumi Merah Putih, perasaan saya berbaur.

Antara semangat mengejar cita-cita, rindu pada bonda ayahanda, dan juga sedih kerana hanya kelananya ke bumi seberang. Bukan di tanah Kinanah, bukan di bumi piramid, juga bukan di negeri empat musim dan sebagainya..

Tidak dapat dinafikan, pada awalnya saya memandang rendah kemampuan Indonesia, sama ada dari segi sistemnya dan juga perilaku tatacara kehidupan warganya.

Korupsi, tidak sistematik, menyusahkan hidup dan sebagainya. Itu titik kontra yang tidak dapat tidak, perlu dihadami realitinya.

Tetapi di sebalik semua kebobrokan manusiawi, terselit banyak agenda positif yang direncanakan Tuhan untuk hambaNya.


Sebuah Perkhemahan

Sewaktu memegang tampuk Yang Dipertua persatuan pelajar, saya dan teman seperjuangan, Hafiz aka Yoyo, kami diminta untuk menghadiri sebuah perkhemahan yang direncanakan khusus oleh fakulti, untuk semua peringkat sektor. Pensyarah, pemimpin pelajar dan juga karyawan (pekerja pejabat) fakulti, semuanya diundang khas.

"Alamak, kena ponteng kelas 2 hari lagi!Adoila...."

Saya mula melepaskan rungutan.

" Ni belum tambah lagi dengan seksa bekerja dengan orang Indonesia!"

Qalbu terus menelurkan rungutan, meluap-luap.

Tempat yang dituju adalah Situ, Lembang. Sudahla jauh dari bandar, perjalananan ditambah dengan meredah hutan bukit bukau selama hampir 2 jam. Hampir tercabut lutut dibuatnya.





Hawa dingin di siang hari sedikit membantu. Dilaporkan suhu pada waktu malam di tapak perkhemahan kami boleh mencecah serendah 14 darjah.Boleh hypothermia dibuatnya. Ada kes sebegitu dilaporkan sebelumnya, cukup mencuakkan kami.

Sesampainya di sana, sebentar melepas lelah dan lenguh, bifaq (khemah) berkumpulan terpaksa didirikan. Satu khemah empat orang.

Hanya tali, pisau dan beg tidur sahaja yang dibekalkan. Mulalah kelam kabut semua dibuatnya. Habis batang pokok dipatahkan, daun pisang diincar sebagai modal membuat atap dan bumbung. Lebih merunsingkan, dada langit dipenuhi awan berarak kelabu.

Sudah jatuh ditimpa tangga lagi.

"Habis basah kuyup aku."

"Khemah tak siap lagi. Atap pula tiris bocor."

Jam tangan pula rosak, air masuk!"

Baju hujan bagi, tapi serap air, apa kejadah!"

"Kaki tangan semua dah ketar-ketar, sejuk!"

Seranah hati sudah bermaharajalela.

Menyesal tidak sudah datang ke Situ.

Dengan hati yang kepanasan, fizikal yang menggigil , suatu laungan dari kejauhan kedengaran.

Komandan kem memberis isyarat darurat, semua harus kembali ke khemah utama, milik urusetia.

Dan di sinilah segalanya bermula.


Bertemu Abah Iwan




Orangnya kelihatan tegas, dengan berperawakan kepala yang botak.

Itu gambaran pertama saya kepadanya.

Iwan Abdul Rachman namanya, lebih mesra disapa dengan nama jolokan Abah Iwan.

Hati saya sudah terselimut benci tersesat ke dalam belantara sebegini. Pantas perasaan itu teralih kepada kem komandan. Siapa namanya tadi..

Abah Iwan katanya.

Nasib menyelamatkan kami.

Malam pertama syukur, khemah masih layak dipakai, walaupun ada sedikit bocor.

Malam kedua, hujan turun mencurah-curah, lebat menggila. Habis khemah kami rosak, malahan ada yang roboh.

Sepakat semuanya, jika kami dipaksa bermalam di dalam khemah itu, kami akan bangkit memprotes. Ini kerja gila namanya, mahu memperjudikan nyawa di dalam lebatnya hujan dan dinginnya sang malam di Situ.

Mujurlah penempatan malam itu dialihkan kepada khemah urusetia.

Sedikit demi sedikit, petualangan di sini mula merembeskan energi positif.

Abah Iwanlah puncanya.




Hormatlah Manusia

" Belajarlah dari alam"

Seringkali ayat ini diungkapkannya.

" Tutup mulutmu dan dengarlah suara alam. Nescaya anda akan belajar!"

"Ketika alam berbicara, diamlah kamu dan fokuskan dirimu padanya!"
"Rumput dan dedaunan sepanjang waktu memberi kita oksigen untuk bernafas, Hanya kita tidak melihatnya dan tidak menghargainya. "

" Kita tidak memberi hormat pada alam!"

Saya terkesan dengan pokok bicara Abah.

Kembali pada realiti, katanya..

" Berapa ramai antara kita sewaktu orang lain bicara, kita juga mahu bicara?"

Saya terkejut, terkena batang hidung sendiri.

"Juga boleh dilihat, para panelis forum umpamanya, sedang seorang bercakap, yang berdua lagi ngobrol(bercakap) berdua!"

"Mereka tidak menghormati si pembicara!"

Saya termenung panjang.

Benar sekali katanya.

Saya juga benci sewaktu saya sedang bercakap, ada yang bukan sekadar berbisik-bisik tetapi bercakap dengan suara yang kuat di hadapan.

Saya juga tidak suka orang yang bahasa badannnya endah tidak endah dengan percakapan saya.

Sibuk bermain telefon bimbit, diputar-putar, dibuka-buka dan apabila pesanan ringkas masuk ke kotak masuk, lantas ditekan-tekan skrin kekuncinya. Segera mahu membalas.

Apabila kita mendengarkan orang, nescaya kita akan belajar. Inilah POWER OF LISTENING.

Sebagai TANDA HORMAT, kita akan mendengarkan perkataan orang lain, waima siapapun dia, sama ada si tukang sapu jalan, ataupun pegawai-pegawai tinggi di Putrajaya. Semuanya manusia dan mereka layak untuk dihormati.

Si tukang sapu bukan berharap ditanya khabar setiap hari, dijamu makan sentiasa, cuma anggaplah dirinya seorang manusia, layak untuk ditegur dan didengari.

Si pegawai tinggi seringnya hanya suka mengomentari dan menjauhi mendengar omongan orang lain. Hormatilah manusia, kerna mereka punya hak untuk merasakan diri mereka manusia.


Antara Karya Abah Iwan

Bahasa Sunnah

Serius sewaktu mendengar butiran mutiara dari Abah Iwan, saya cukup-cukup terharu.

Tiada satupun hadis yang disenandungkan tetapi semua pokok isinya melambangkan peribadi Rasulullah.

Yang miskin, yang kaya semua tetamunya.

Cantik seperti Musaab sahabatnya, hitam legam seperti Bilal Bin Rabah juga sahabatnya. Kedua-dua sama dicintainya.

Anak-anak kecil turut dilayani dengan saksama. Hasan, Husain bermain-main di sekitar baginda sewaktu solat, malahan sujudpun terpaksa dilamakan.

Rasulullah menadah telinga mendengar masalah dan sungutan para sahabat. Wajahnya cerah, penuh senyuman keikhlasan.

"Wahai Rasululllah, aku punya masalah.Bolehkah.."

"Ya Nabi Allah, aku merasakan diriku munafiq. Saat bersamamu ku rasa imanku meningkat. Tetapi saat bersama keluarga, ku rasa diriku terumbang-ambing, imanku tercabar!"


Sahabat datang bergulat duka, pulang berkarung gembira.

Ummah merasakan mereka dilayani, mereka didengari dan mereka sebahagian antara satu sama lain.

Pokok bicara adalah KITA, bukannya AKU..

Rasulullah HEBAT MENDENGARKAN,dan HEBAT MENGHORMATI.

Dan di jalan ini, diri ini cuba mengikut jejakmu. Perlahan-perlahan walau ku tahu ku sering khilaf dan terlupa. Ciri diriku manusiawi.

Terima kasih Abah atas SUNNAH ini..

Hatur Nuhun..






“Beberapa orang hadir dalam kehidupan kita dan dengan cepat pergi.
Beberapa orang menggerakkan jiwa kita untuk menari.
Mereka menggugah kita pada sebuah pengertian baru dengan bisikan kebajikan.
Beberapa orang membuat langit menjadi begitu indah.
Mereka tinggal dalam kehidupan kita beberapa saat.
Meninggalkan jejak dan kesan dalam hati kita.
Dan kita, tidak pernah sama.”

~Abah Iwan, 12 May 2010