Khamis, 17 Februari 2011

Puskesmas Riung Bandung ; Sebuah Laman Bermasyarakat..

Indonesia mengenalinya sebagai Ilmu Kesehatan Masyarakat (IKM). Public Health dalam bahasa Inggerisnya.

Semenjak pengalaman saya berdamping belajar tentang dunia kedoktoran masyarakat, ada saatnya masam dan ada ketikanya manis.

Ketika zaman di Jatinangor, tatkala zaman teori, Public Health Oriented Program (PHOP) menjadi subjek rasmi.

Dari perbahasan mengenai komunikasi, kebisingan, kesihatan lingkungan kerja sehinggalah pembuatan minor thesis, semuanya silih berganti.

Awalnya, saya tidak mampu menafikan saya memang bosan dan mengantuk setiap kali kuliyyah PHOP.Perbahasan mengenai teori dan sistem, yang tidak dinampak dek mata, menyebabkan mata mudah sekali lena.Kepala pula asyik mengangguk.

Namun, perlahan-lahan, wawasan saya dibuka oleh para pensyarah PHOP, yang bagi saya, sangat berkarismatik.

Dr Ardini Raksanagara..Ketua Departemen Ilmu Kesehatan Masyarakat. Seorang yang sangat bersemangat, menghambakan diri untuk manfaat manusia.

"Love your work, you will reduce our power one-third"

"Hidup adalah gerak, gerak adalah hidup.Bergeraklah, kerana kita adalah manusia yang hidup!!"

Ayat-ayat yang pasti dikumandangkan olehnya..

Dr Deni K. Sunjaya..Perawakannya dari luar mungkin kelihatan dingin bagi pandagan pertama.Namun sewaktu membentangkan kuliyyah berkenaan Sistem Kesihatan dan Pengurusan, dia adalah orang yang terbaik..

Perbahasan tidak dilandaskan kepada teori yang statik semata-mata, tetapi juga disuburkan dengan adunan pengalamannya yang cukup penuh rencah.Orangnya kritis, mementingkan kesempurnaan..Dan saya dari A sampai Z,segar menghayati setiap bait kalimahnya..

Dr Henni Djuhaeni..Orang yang saya layak panggil sebagai ibu.Pangkat umurnya sudah menyamai mama.

Pertama kali mendengar namanya dari teman-teman, agak kecut perut dibuatnya dengan khabar angin mengatakan betapa mengerikan doktor IKM.Dan saya mendapatkan beliau sebagai penguji Minor Thesis di tahun keempat kelmarin..

Senyuman tidak lekang di bibirnya.Dalam menegur ada hikmah, kesalahan tidak disembuyi dan disenyapkan olehnya.Dialah penghasil banyak Pengarah Hospital di Indonesia.Banyak yang bergurukan dirinya..

Dan sewaktu pembekalan pada hari pertama di bahagian Ilmu Kesehatan Masyarakat, kaget saya dibuatnya.Asyik ditanya soalan..

Dan lebih menambahkan panik, rupa-rupanya Dr Henni merupakan kaki kamera, suka mengambil gambar.Dicantumkan gambar saya sewaktu dahulu mempersembahkan Minor Thesis, ke dalam halaman presentasinya..

Doktor Henni namanya..Aduhai.


Di Puskesmas Riung Bandung

Teman-teman di Riung Bandung

Pusat Kesehatan Masyarakat atau pendeknya Puskesmas bolehlah diibaratkan seperti Klinik Desa di Malaysia.

Di Riung Bandung, saya melabuhkan punggung selama sebulan.Mendalami Ilmu Kesehatan Masyarakat terus ke lapangan..

Indonesia..

Sebuah negara yang maha besar, ada 280 juta penghuninya.Di Jawa Barat sahaja, sudah ada 28 juta makhluk bernama manusia, menyamai jumlah warganegara Malaysia, dari penjuru Rantau Panjang sehinggalah ke Limbang.

Dari sistem yang belum tertata dengan elok, sehinggalah masalah pendidikan , ekonomi, dan kesihatan yang saling berkaitan.Putaran ganas sulit untuk diatasi kecualilah dengan usaha bersepadu antara semua sektor di dalam kerajaan.

Puskesmas Riung Bandung..

Hampir sejam perjalanan dari Rumah Sakit Hasan Sadikin.

Di sini banyak saya belajar.

Guru saya bukan sahaja Dr Soni Sondari, merangkap kepala Puskesmas, tetapi juga para pekerja di Puskesmas Riung Bandung.

Ada jururawat, ahli gizi, ahli farmasi, orang pejabat,bidan dan sebagainya.

Pak Ahmad..

Pak Mulyadi..

Pak Rianto..

Pak Yeyet..

Bu Ai yang kami panggil Ummi..

Ibu Anis dan Elis..

Pada artikel akan datang, Insyaallah saya akan kenalkan anda pada mereka semua.

Dan saya cukup kagum dengan mereka yang digelarkan sebagai kader.

Kader merupakan istilah yang merujuk kepada ibu-ibu surirumah yang sukarela bekerjasama dengan pihak Puskesmas dalam menjalankan proses kesihatan di tempat masing-masing..

Ibu-ibu Kader yang riang gumbira..


Mereka diajar dan dilatih tentang sistem kesihatan, diajar cara-cara asas menimbang berat dan mengukur tinggi badan bayi dan anak.

Mereka tidak dibayar.Cuma kadang-kadang ada insentif bulanan berupa wang sekitar Rp 25,000 ( dalam RM 10) diberikan kepada mereka.Itu cerita pada 2009.

Tahun 2010 mereka tidak mendapat saguhatipun.Tahun 2011, katanya akan ada seguhati Rp 50,000 perbulan ( kira-kira RM 20).

Sukarelawan dan bersemangat. Penuh kegembiraan dalam membantu.

Sopan dan santun, kadang-kadang berkostum rasmi sedondon menjadi identiti mereka..

Hanya pahala dan syurga buat mereka..

Ke hadapan, moga Tuhan mudahkan untuk mencoret lebih mendalam tentang mereka.Hanya insan biasa, tetapi berjiwa luar biasa..

Penimbang bayi versi lama..




Ruang pengubatan yang sangat minimal di rumah warga..

Selasa, 8 Februari 2011

Sebuah Cerita Pelampung Bocor Di Tengah Lautan..


Sewaktu pulang berkelana di laman bunda, antara tempat kunjungan wajib adalah Syarikat Jaafar Rawas, di Jalan Dato Pati , Kota Bharu, Kelantan.

Ia sebuah medan menjual buku agama paling besar di Kelantan.Hampir semua buku, dari yang dari arena pondok,kitab-kitab Arab dan buku-buku Melayu, semuanya tersedia.

Dan pulang kali ini, saya menyempatkan diri membeli beberapa buku yang sudah lama dicari. Dalam mecari terjumpa buku berjudul " Nasionalisme dan Ketuanan Melayu : Pelampung Bocor Di Tengah Lautan".

Buku kecil yang hanya mempunyai 48 halaman ini adalah nukilan sikap Dato Bentara Menteri Besar Kelantan, dalam menyatakan pendirian peribadi yang terus konsisten dalam berjuang menegakkan Islam.

Di dalamnya terdapat 7 artikel berupa tulisan Tok Guru Nik Aziz di blognya sendiri dan juga teks ucapan di beberapa buah majlis.

Sedikit petikan.Sila klik di SINI untuk artikel penuh..

Saya sentiasa optimis, UMNO dan Barisan Nasional sudah sampai di penghujung hayat di dalam memimpin negara. Jika saya boleh datangkan perumpamaan, UMNO adalah umpama pohon yang sedang mereput akarnya, sekalipun mungkin kelihatan dari zahir daunnya masih merimbun, ia sebenarnya menunggu masa untuk rebah ke bumi. Jika ada yang masih memilih untuk berteduh di bawah pohon yang bernama UMNO ini, mereka perlu bersedia untuk ditimpa bahaya. Jika diumpamakan pelampung di tengah lautan, nasionalisme yang dibawa UMNO tidak lebih daripada pelampung yang bocor, mereka yang berpaut padanya mengharapkan untuk selamat, sayang sekali ia bukan menyelamatkan, tetapi menenggelamkan

Kesimpulannya, buku kecil ini bagus untuk menilai sendiri pandangan seorang pemimpin kerajaan negeri yang beragendakan Islam sebagai sebuah perjuangan.


P/s:

Rasanya saya kena menghadirkan juga buku-buku yang memperkatakan tentang perjuangan UMNO juga.Sudah dibaca cuma belum ada kesempatan menulis..Buku itu pula ada di Kelantan..

Dan semasa di Bali kelmarin, sempat mendapatkan buah tangan dari Ybhg Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berupa buku tulisan beliau berjudul " Islam dan Persoalan Rasuah".. Insyaallah kalau hati berkeinginan, akan saya coretkan perbualan kami di laman ini..


Rabu, 2 Februari 2011

Epy Besday Ijah :-)

Gambar : Faizah(baju ungu), Farhana(baju hijau) dan Faiz

Dia si penghujung.

Dia sang bongsu.

Dia tiada adik, hanya berkakak abang.


Sudah 13 tahun

31 Januari, 13 tahun silam, dia menjengah laman fana' ini.

Ketika itu, aku baru berusia 12 tahun.Masih baru berjinak-jinak di penghujung hayat sekolah rendah..

Lahirnya dia menjadikan keluarga Cikgu Kamaruzaman dan Cikgu Maimon bertambah menjadi setengah dozen. 4 hero dan 2 heroin, termasuklah dirinya.

Satu yang aku amati.Dia orang yang kritis..Sesuatu perkara mesti bersebab musabab.

Ada tahi unta, maka pasti ada unta yang membuat onar..

" Kenapa perlu solat cepat-cepat?"

" Kenapa kena pakai tudung?"

Mujurlah abangnya lincah juga berkilas bahasa, bersilat logis.

Dan suatu soalan pada hari lahirnya ke 13..

"Kenapa tidak boleh memakai seluar ketika tidur?"

Alkisah dia ditegur sewaktu kem ibadah di sekolahnya. Dek kerana apa, 'kesalahan' memakai seluar ketika tidur.

Susah aku mahu menjelaskan.Kerana aku juga jenis yang kritis dan mendaulatkan logik..

Dan apa yang aku jelaskan adalah menukar pokok bicara kepada kenapa dia memasuki sekolah agama dan fenomena-fenomena khas sekolah agama.Biar dia mengerti..

Aku pun, sewaktu bersarungkan uniform sekolah dan berketayap putih selama 5 tahun suatu ketika dahulu, sering bertanya dan mengkritisi idea-idea yang kurang logik.Spesies sama dengan dia..

Kritis yang berguna..Kerana membawa daku mengenal erti faham, bukan doktrin.

Dan kali ini, walaupun 3 hari sahaja peruntukan waktu untuk berada di Kota Bharu, ku gagahkan kaki melangkah pulang.

Laman yang sentiasa mendamaikan.

Di sini menanti si dia bernama Nur Faizah Binti Mohd Kamaruzaman atau nama manjanya Ijah.

Selamat Hari Lahir ke 13 Ijah..

Selasa, 1 Februari 2011

Bicara Mukaddimah Buku 'Fiqh Ibadah di Hospital'..



Dengan nama Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

Segala puji hanya milik Allah Swt., Tuhan sekalian alam, dengan rahmat dan izinNya, lahirlah buku kecil ini yang berjudul ‘Fiqh Ibadah di Hospital’.

Untuk makluman semua, inilah buat pertama kalinya dalam sejarah Biro Agama Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI), sebuah buku diterbitkan.

Dewasa ini, kecaknaan beribadah di hospital, sama ada di kalangan pesakit, keluarga pesakit dan mahupun pekerja-pekerja di hospital seperti doktor dan jururawat, belum lagi menampakkan takat yang cemerlang. Sehubungan itu, hadirnya buku ini bertujuan membantu para pelajar Malaysia di Indonesia secara khasnya, untuk memperdalam selok-belok dalam beribadah secara rukhsah, dan amnya, kepada Muslim seluruhnya.

Dalam proses pembikinan buku kecil ini, selaku Biro Agama PKPMI Pusat, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara Khairul Hafidz selaku Yang Dipertua yang banyak memberi dokongan dan kontribusi idea. Juga tidak dilupakan tulang belakang editorial saudari Raihanah, Farhana, Farah Liyana, Syafiqah dan juga kepada Qayyum sebagai model. Hanya Tuhan Yang Maha Kaya mampu membalas rimbunan jasa anda sekalian.

Akhir kata, tiada bahasa lain apabila terbitnya sebuah buku kecuali sebuah harapan agar buku ini mampu menebar manfaat sebanyak-banyaknya kepada para pembacanya.

Selamat membaca..


Bandung, Safar 1431H / Januari 2011,
Ahmad Zulfahmi Bin Mohd Kamaruzaman,
Exco Agama,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Pusat (PKPMI Pusat).



p/s :
Buku ini sudah selesai proses pembikinannya.Dan , Insyaallah akan dilancarkan sewaktu Kongres Pelajar di Bali bermula 3-6 Februari 2011 mendatang...

Beberapa naskhah akan diberikan kepada setiap dari 16 cawangan PKPMI di Indonesia..

Semoga ada manfaatnya...