Rabu, 26 Mei 2010

Demi Sebuah AMANAH KECIL ini!!!



" Ali, aku nak pinjam buku kau!!"

" Aku pinjam pendrive kejap ye!!"

"Pinjam VCD ni. Macam bagus je cerita dia!!"



Antara dialog lazim yang muncul di bibir sesetengah di antara kita. Meminta, meminjam dengan bermanis muka, bersusun kata, dengan teman sekeliling.

Fenomena biasa..

Lumrah..

Ada peminjam, benda dipinjam dan tuan empunya barang yang dipinjam..

Tetapi sedarkah kita, bahawa fenomena ini banyak mengundang noda-noda dosa??



Pandang Remeh..

Menyusun bahasa bicara bak menanam tebu di pinggir bibir, bersungguh-sungguh mengolah kata, lantas si tuan berkata..

" Ambillah.Nanti hantar balik ye."

Sesetengah manusia apabila sudah mendapat gading bertuah yang dihajati, langsung dia secara automatik terlupa kepada perkataan HANTAR BALIK..

Pinjam motor elok bersih, jangan dihantar comot terpalit lumpur dan kotor..

Pinjam buku putih bersih, tiada kedut, jangan dibawa kembali koyak rabak, berkedut seribu..

Dan pelbagai jenis senario yang mewarnai kehidupan kita pada hari ini..

Manusia MEMANDANG REMEH perihal ini..

Enteng, sebelah mata itu perkataannya..

Padahal si tuan, sangatlah menghargai barang miliknya, walau harganya mungkin seberapa cuma..

Ini belum lagi kes menghilangkan, memberi pinjam kepada orang lain dan sebagainya..

Pedih, menderita hati si tuan gerangan..


Dosa Kecil..

Membuat hati kecil manusia lain tersayat derita, menahan nestapa marah, tidak mampu disangkal lagi adalah sebuah DOSA..

"Ala, benda kecil je pun!!"

"Itu pun nak berkira!"

"Dosa kecil je, bukan aku berzina ke mencuri ke pe!!"

Antara bidasan biadap sesetengah peminjam yang tidak pandai berakhlak budi. Santun kata tidak menjadi perhiasan dirinya lagi.Madu habis diratah, apa lagi gunanya sepah yang hina dina..Entah ke mana hilangnya bahasa sopan, bunga diri..

Cuba kita perhatikan bersama..

Sewaktu kita berdepan dengan Perdan Menteri, sanggup tidak ketika mahu bersalaman dengannya kita melepas angin gempita dengan diiringi bau yang nian busuknya..

Dengan teman-teman, mungkin itu perilaku biasa, menjadi senda gurau lawak jenaka.Tetapi, adakah ini masih lagi JENAKA ketika dilakukan ketika berdepan dengan manusia paling besar jawatannya di tanah air kita?

Yakin saya bahawa semua tidak akan melakukan adegan ini.Hatta dalam mana-mana situasi sakit perut yang paling kronik sekalipun, pasti angin itu tidak akan dilepas semena-mena..

Silap-silap, kita ditahan oleh para pengawal peribadi atau pihak polis atas cubaan mahu memalukan Perdana Menteri. Ini bukan suatu dosapun, tetapi hakikatnya manusia itu adalah Perdana Menteri, wajar dihormati selayaknya..

Begitu juga kita...

Jangan sesekali kita melihat kecilnya dosa yang kita lakukan, tetapi lihatlah keengkaran, kemarahan siapakah yang kita cetuskan!!

Lihatlah kepada Zat Maha Agung manakah yang kita durhakai!!

Sedangkan diri seorang manusia bergelar PM kita sangat takut untuk melakukan kesalahan di hadapannya, inikan pula Tuhan pencipta seorang PM dan kita..Itu sejelasnya lebih-lebih lagi perlu diutamakan..

Tatkala sedang meremehkan episod dosa, tiba-tiba malakul maut datang menjemput pulang. Dosa hanya dilakukan apabila sudah tiada TAKUT dan RASA BERDOSA di dalam hati..

Kepalang celaka seandainya detik akhir kita adalah saat kita mendurhakai Tuhan, mencetak mata-mata dosa ke dalam akaun peribadi kita..

Astagfirullah....


Ramai Yang Buat..

Bilangan ramai atau sedikit bukanlah tolok ukur kebenaran suatu perkara.

Kalau dikira ramai adalah suatu KEBENARAN, nescaya pengikut-pengikut ajaran sesat seperti Kahar Ahmad, sang Rasul berketurunan Melayu, Ayah Pin Kerajaan Langit, pasti benar.Jumlah mereka tidak sedikit..

Tetapi realitinya tidak begitu..

Kayu ukurnya adalah setakat mana jitunya pegangan terhadap kata-kata Allah dan sabda RasulNya..

Walau sedikit di awal perjuangannya, bersama Khadijah , isteri nan setia , dan Abu Bakar, teman pendamping berkongsi jiwa raga, Rasulullah tetap berada di atas kebenaran..

Dan sememangnya Islam akan kembali menjadi asing, perlakuan manusia yang mahu membumikan Islam menjadi pelik dek khalayak ramai..

Tetapi itulah jalan bahagia, denai syurgawi yang telah dirintis Muhammad Al-Amin, 1400 tahun nan silam..


Jagalah Amanah Ini!!!

Saya juga insan biasa, tiada kekebalan terhadap semua karat-karat dosa ini, Tetapi yang penting adalah saya, kamu, dan kita semua harus sedaya upaya untuk mencuba dan terus mencuba..

Tika sang tuan menghulurkan kata " Ambillah" , dia juga mengikatkan kata itu dengan sebuah ikatan janji. Sebuah janji agar nanti barangnya nanti akan tetap selamat kembali ke pangkuannya..

Inilah amanah namanya.Al-Amin itu sikap pelakunya..Watak yang sejarah mencoretkan dalam tinta emas kepada seorang insan agung bernama Muhammad Bin Abdullah..

" Seandainya ada seekor keldai didapati terpelesek di Iraq, nescaya akulah orang yang bertanggungjawab atas kecelakaan tersebut!!"

Ini petikan bicara As-Siddiq Abu Bakar..

" Sekiranya nanti( di akhirat) diumumkan senarai orang masuk ke syurga kecuali seorang, maka aku merasakan orang itulah AKU!!!"

Umar, Sang pembeza kebenaran dan kebathilan, senandung pilunya ketika melihat seekor kambing rakyatnya mati, hingga membuatnya terasa sangat bersalah dan merasakan kematian kambing itu adalah disebabkan kelalaiannya..

Diari amanah Abu Bakar dan Umar, tercatat kukuh di lipatan sejarah..

Kecil pada pandangan manusia bilis seperti kita, tetapi BESAR dan CELAKA bagi mereka.. Kerana bukan dek kecilnya seekor kambing, buruknya seekor keldai, tetapi kerana AGUNG dan MAHA BESARnya sang PEMILIK ARASY..

Ratapan pilu dan sendu duka mereka sebagai dalil dan bukti..



Kita..

Wahai diriku dan sahabat,

Tatkala AMANAH yang SEKECIL inipun tidak MAMPU kita TUNAI, apakah kita mampu MENGHARAP kita kan melihat ISLAM akan tegak di tanah air kita!!

Usah bicara korupsi orang, pecah amanah si fulan, seandainya padakita, AMANAH KECIL inipun gagal kita laksanakannya..

Usah bicara IKUT SUNNAH, kalau AMANAH KECIL inipun sang nafsi membelakangkan jiwa Al-AMIN Muhammad..

Wahai diriku,

Demi sebuah AMANAH KECIL ini!!





Tiada ulasan: