Ahad, 8 Mac 2009

Hakikat Hidup Seorang Manusia

Alhamdulillah,selamat mendarat  Vega R warna oren ke landasan Rumah No 50,Pondok Mulana pada pukul 2225,5minit awal dari detik yang dijanjikan..

Tok..tok..tok..

Assalamualaikum…

Pintu rumah diketuk perlahan.Lantas selak pintu dibuka lembut.Salam berjawab halus…

Penunggang dan pembonceng tiba di balai ketibaan dengan disambut,sapaan ramah si tuan rumah…

Acara ramah mesra mingguan…

Cuma kali ini,tidak seperti biasa,acaranya dijangka bermula di penghujung malam sehingga ke pagi hari..

Jika diizinkan Allah,kami akan bersama bangun menghadap Rabbul Izzati tatkala banyak lagi insan lain lena diulit mimpi.Semoga ruku’ sujud nanti,menjadi jambatan pengerat kami dengan Sang Pencipta..

 

MALAM YANG HIDUP…

Bilakah aku akan mati??

Esok??

Lusa??

Tahun depan??

Ataupun 30 tahun lagi??

Jawapannya aku tidak tahu…

Jawapan yang hanya akan terjawap apabila nafas terakhir dihembus keluar,tarikan nafas terakhir di tenggorokan..

Saatnya ketika sakaratul maut dirasa.Alhamdulillah jika akhirnya itu berakhir dengan kebaikan..Andai sahaja sebaliknya..

Mati itu datang tidak kenal masa dan tempat..Bak buah kelapa,bukan sahaja yang tua bertaburan di kaki pokok,akan tetapi terselit juga yang muda-muda turut menyembah bumi..

Ingin sekali kupetik analogi ini..

Seorang pesakit diberitahu oleh doktornya tentang perihal penyakitnya..

“Paling lama,pak cik ada masa sehingga hujung tahun ni je,”berat kata yang keluar dari doktor muda itu.Pasti pak cik yang disuap dengan berita itu mungkin terkejut,tergamam,mengalirkan air mata kesedihan,ketakutan,kecewa dan mungkin juga masih bertenang.Doakanlah agar pakcik itu ditetapkan hatinya.

“Ajal maut itu punya Allah.KepadaNya ku bertawakkal,”alangkah indah jika ayat inilah dilafazkan sang pakcik..

Andai doktor itu adalah aku dan pakcik itu adalah abahku tersayang,mungkin pada ketika itu juga air mataku berhamburan.Pasti aku menangis semahunya..Bukan menangisi takdir,akan tetapi itu fitrah diriku manusia…

Dalam aku bersedih,mungkin aku terlupa.Hujung tahun itu omongan manusia semata.Mungkin benar,mungkin juga tidak…Mungkin juga Malakul Maut menjemputku terlebih dahulu sebelum dia yang tersayang.Aku tidak tahu…

Kami hanya mutlak milikMu.Resmi barang pinjaman,harus dikembalikan kepada tuan empunya..

Biarlah sujud kami,ruku’ kami,melambangkan kami hak mutlakmu.Biarlah kami sedar hakikat diri..Andai Engkau meminta kembali ke pangkuanMu sekarang,aku takut Ya Allah,kami takut Ya Allah….

Kami tidak bersedia.Ampunkan kami Ya Allah…………

 

SESI PEMUDA KAHFI

Usai Subuh berjemaah di Masjid Bustanussalam,kaki diorak kembali ke teratak No 50.Rombongan kecil anak-anak muda menikmati hadiah dari sang pagi,sambil dibelai dinginnya irama sang embun.Gelak ketawa memecahkan zon senyap,ditambah geli hati melihat ada mata kuyu,hebat diserang kantuk…

Anak-anak muda itu bersila membentuk lingkaran..

Siap siaga sentiasa..

Majlis dibuka sang pembawa acara.Alunan surah At-Thur memecahkan hening pagi di Mulana..

“Rasulullah ni orang kata dia tukang tenung,ahli sihir,gila dan sebagainya.Kenapa??,”ujar Max(bukan nama sebenar).

“Rasul membawa seruan akidah,ajaran kebenaran.Tapi,banyak sangat yang menentang.Abu Jahal,Abu Talib,Abu Lahab tu sape??,”bertubi soalan dari Max.

“Semua keluarga rapat Rasulullah.Tapi tetap menentang kebenaran Rasul,”

“Begitu juga kita,jangan takut nak cakap benar.Sunnatullah kebenaran ni ,orang tak semua suka kat dia..”

“Berkatalah benar walaupun pahit,”

“Biasalah ada mulut mengeji mengata belakang,Rasulullah dulu pun sama”satu persatu ayat membakar semangat pagi…

Sedikit pengajaran bersama dari surah At-Tur..

 

BELAJAR TENTANG HAKIKAT MANUSIA

“Pagi ni kita akan berdiskusi pasal hakikat manusia,tajuk yang santai je”Max memulakan bicaranya..

Manusia itu makhluk Tuhan,dihiasi dengan sifat-sifat yang dianugerahkan kepada manusia.Manusia itu ada fitrah yang dikurniakan Allah.Lelaki sukakan perempuan,perempuan pula berkenan pada yang lelaki..

Tatkala seorang ibu baru melahirkan anaknya,tidak perlu sang suami mengarahkan isterinya supaya sentiasa memberi kasih sayang,membelai manja  anaknya..

Insan mukallaf,tidak perlu diajar di dalam ruang kuliyyah tentang wujudnya Tuhan.Semua percaya benda dijadikan dengan tukangnya..Umpama najis lembu di jalanan,pasti ada seekor dua melepas tanpa amaran..Manusia,apa jua agamanya,Hindu,Buddha,Kristian dan Islam semestinya,semua percaya wujudnya Tuhan.Cuma nama mungkin sedikit berbeza…

Abdul Mutalib,anaknya bernama Abdullah.Kedua-duanya bukan Muslim..Ketika Muhammad,anaknya Abdullah berumur 40 tahun,barulah seruan Islam sampai kepada Quraisy…

Kaabah namanya Baitullah,semenjak Lata Uzza Manat menjadi sembahan rasmi,semenjak Quraisy Jahiliah bertelanjang tawaf mengelilingi Kaabah….

“Allahumma ahlik Muhammada,”Ataupun Melayunya “Wahai Allah,hancurkanlah Muhammad”ini ungkapan Abu Jahal tika mendoakan kehancuran Muhammad Al-Amin…

Fitrah itu kurniaan Ilahi,tanda sayang Pencipta pada hambaNya,tidak kiralah manusia itu Sami Buddha atau berideologikan komunis menentang ketuhanan sekalipun…

Tetap memberi tanpa diskriminasi……

 

LEMAH FAQIR

Manusia itu sangat lemah.Oksigen yang dihirup,air yang diminum ,aspirasi Tuhan yang bersifat Al-Wahhab,Maha Pemberi,yang diberikan kepada hambaNya….

Langsung tidak bersyukur atas kurniaannya..Masih punya nyali bermaksiat kepadaNya.

Manusia pasti mendidih marah jika anjing yang makannya disuap,tidurnya dibelai,tiba-tiba menggigit ganas sang tuan..Dasar anjing celaka mungkin ungkapan kesal diri empunya anjing itu…Silap haribulan tamat nanti riwayat hidup anjing durjana di penghujung senapang sang tuan..

Apa kata Tuhan apabila munculnya ‘anjing-anjing’ sebegini di kalangan manusia ciptaanNya??

Wahai ‘anjing’ yang berakal,adakah kamu layak untuk hidup di muka bumi milikNya???

………………

 

JAHIL LAGI ZALIM…

Tanggungjawab sebagai pentadbir bumi ini berat.Hatta sang gunung gergasi,langit nan menggalah,bumi saujana memandang,menolak takut kan besarnya amanat yang bakal terbeban…

“Aku sanggup,”tuntas hebat seorang manusia…

Allah Taala merakam ceritera ini di dalam Al-Ahzab,ayat 72…

Bagaimana hebat seorang pelakon,arahan pengarah hendaklah diikuti.Dia yang lebih tahu perjalanan cerita.Ikut kehendaknya…Resmi pelakon sandiwara di layar milikNya,arahan Sang Pengarah jangan dikatakan tidak..Mahu ke mana perginya kita,andai diri dibuang negeri,dihambat keluar dari layar punyaNya!!!

Seringkali manusia menzalimi dirinya sendiri..

Sudah TAHU,hatinya pasti MAHU,akan tetapi bergerak menuju MAMPU itu tidak semuanya berjaya…

Tahu rokok itu haram,mudaratnya berlambak-lambak,hatinya usah disangkal,pasti mahu meninggalkan rokok.Sayangnya kemampuan diri menolak perasaan itu tersangatlah lemah…

Tahu keluar berdua-duaan antara seorang Adam dan Hawa yang belum mengikat ikatan ijabkabul itu suatu kemungkaran.Allah Al-Wahhab tadi pasti murka,manusia itu juga tahu.Sang Pengarah pasti bengang.Arahannya disebelahmatakan…

 

TEGUR KERANA SAYANG,MARAH KERANA CINTA..

Tegurnya seorang sahabat,demi sayangnya dia kepada sahabatnya itu.Marahnya seorang teman,semata-mata cinta kepada rakannya itu..

“Bukan tak tahu cerita masing-masing macam mane,tahu sangat-sangat.Cuma tunggu masa dan ketika je,”ujar Max sambil memandang setiap pasang anak mata di hadapannya…

“Berhemah itu bukan sekadar secara individu menegur dengan lembut semata,akan tetapi disesuaikan dengan keadaan semasa,”katanya lagi.

“Nasihat lembut untuk sang hawa yang tersasar arah itu betul,meninju KO seorang pencuri itu juga benar,membidas kaki cakap belakang itu sangat perlu!!!,”aroma pagi kian hening,masing-masing focus..

Mengangguk semuanya…Masing-masing menginsafi diri.Teringat hamburan kata-kata ‘I Love You’,ciuman Mmmuahh yang saban malam menghiasi skrin handphone…

Melihat tangan yang pernah bersentuh dengan kulit yang lebih jelek,hodoh lebih dari kulit khinzir,makhluk haram dimakan setiap Muslim..

Bersentuh dengan khinzir tidak terbayang,apatah lagi lebih dari itu…

 

INI NYAWA KITA

“Komunikasi ni nyawa manusia,”bicara Max bersambung.

Ada yang salah,cakap dan betulkan.Yang menegur berhemah dan jangan takut.Yang ditegur menerima seadanya,sedar hakikat diri yang khilaf..Terima kasih masih ada yang kisah..

“Hati berjiwa perwira berani ke hadapan,hati kecil menikus,juga berani,tapi hanya soksek-soksek saja di belakang,”tinggi nadanya bersuara..

Lumrah sepanjang zaman.Kaki gossip terus dengan arena gossip tabloidnya,kaki adu-domba masih bermaharajalela,kaki kutuk dan komen di belakang terus terpuruk hina di dalam gelanggangnya…

Tiada apa yang berubah.Hanya hati puas dengan hasad dengki,membusuk membangkai sampai mati!!!!

“Kita manusia biasa,tidak terlepas dari jebak kesalahan.Itu pasti..,”

“Jangan didiamkan.Diam bererti setuju.Yang salah akan hilang kapsul malunya jika tidak ditegur,”

Ada air mata jernih melirik di kelopak mata teman di sebelah.Ada yang menunduk terus.Sebak…

“Sekali melihat ada yang terperangkap,manusia bernama sahabat,kawan yang lain seharusnya menghulurkan tangan.Ini prinsip kita!!!,”simpul Max lagi..

Kami menggangguk sepakat…

Idola kita Rasulullah juga sama.Sayangnya Allah kepada kekasihNya itu,sampai Rasulullah ditegur dalam surah Abasa.Hanya kerana berpaling dari si buta,meminta fatwa darinya…

Apatah lagi manusia berpangkat rendah di akhir zaman ini,dosa dan khilaf itu mainan harian…Rawatan seharusnya diberikan berterusan agar symptom maksiat ini tidak terus bertakhta seenaknya…

Setiap yang hadir terus khusyuk sehinggalah bacaan kifarah Majlis diucapkan…

Hati ini terdetik.Biarlah bicara pada pagi itu membuahkan kesan,menghadirkan benih-benih perubahan menuju MAMPU..

Amiin Ya Allah…….

 

 

 

 

 

 

9 ulasan:

anasolehah_7 berkata...

Assalamualaikum,
(Muhasabah diri utk renungan bersama)
Solat dapat mencegah kemungkaran!

Tapi andai berdiri menghadap Illahi membawa EGO seorang hamba, bagaimana setiap kalimah Al-Fatihah hendak meresap ke dalam jiwa?

Rukuk cuma jasad yang menunduk tapi hati masih dengan EGO seorang hamba, bagaimana kita memuji, melafazkan KEBESARAN ALLAH?
Bukankah kita berdusta?

Sujud cuma jasad yang menyembah tapi hati masih denagn EGO seorang hamba, bagaimana kita memuji KETINGGIAN & KEKUASAAN ALLAH?
Bukankah kita berdusta?

"Inna Ila Rabbika Ruj'a"
Sesungguhnya kepada Tuhan kamu kembali

Ya Allah Kau terimalah taubatku~
Astaghfirullah(-_-)

Dr Amad berkata...

uh...cepatnya ada org komen..ahaks

duha berkata...

jzkk atas peringatan yg bermakna..harap dpt aplikasi n tak lupe..

Tanpa Nama berkata...

sheikh,sebagai sahabat yang kenal dgn nta, ana kagum dengan kesungguhan nta. teruskan usaha. jangan pernah jemu memberi nasihat,kerana ianya tetap akan berbalik kepada si pemberi nasihat itu...baarakallahhufik..=)

Unknown berkata...

Anasolehah_7-
Waalaikumussalam..
Terma kasih atas nilai tambah ini...
Fizikal dan rohani hendaklah sejajar.Mana mungkin tunuk dan sujud benar2 bererti jikalau masih bertuankan ego dan bongkak...

Ameen...
Semoga taubat hamba2Nya yang sering khilaf diterima.. ;-)

Unknown berkata...

Dr Amad-
Sape cepat dia dapat lar..ahaks

Unknown berkata...

Duha-
erm sekadar coretan pengalaman diri.kalo ada yang baik,manfaatkanlah ;-)


Drrazi-
Haiyya xda mende la.Berbalik kepada si pemberi nasihat itu betul.Memang selalu kene ingatkan diri...Bak kata seorang teman,syurga itu mahal.Kena bersungguh2 untuk mendapatkannya....

Dr Hana berkata...

Hm.. Manusia mmg cpt sgt lalai dan lupa, sbb tu kita disuruh saling ingat-mengingati.
Kita kena bsyukur Allah Maha Pengampun dan Penyayang, n sentiasa bersedia menerima taubat hambaNya.
terima kasih atas peringatan.

XD @ KPBI FK UNPAD 2006 berkata...

salam.izin dipinta utk melinkkan semula blog ini di http://kpbifk2006-unpad.blogspot.com.lulus?