Isnin, 6 Jun 2011

Sketsa Ikhlas Seorang Tukang Cuci


Hari ini ruang unit kecemasan Obstetrics & Gynaecology agak sepi.Hanya ada beberapa orang pesakit myoma uteri,kanser endometrium yang datang bertandang.

Tiada sosok ibu hamil yang berkunjung untuk melahirkan.Pada kebanyakan keadaan, saya bersama teman-teman dokter muda yang lain hanya duduk-duduk sambil membaca dan berdiskusi.

Resmi saya yang kebosanan dan suka mencari teman bicara, berkenalan dengan orang-orang baru dalam hidup itu ternyata memberi sebuah kepuasan positif.

Kenalan dan pertemanan yang baru, selain menambah jaringan komunikasi, paling penting pada saya adalah mendapatkan sebuah pelajaran berharga.Sebuah pertemuan yang diatur Tuhan, dalam bentuk utusan berupa manusia dalam menyurati hikmah kepada sang hamba.


Ilmu Persahabatan

Setiap seorang itu, kaya mahupun miskin, tua bahkan yang muda, ada rencah sendiri dalam kehidupan.

Pengalaman itu berbeza, kelat dan masinnya pelbagai, pahit dan manisnya berbaur.

Pengalaman walau tidak dirasai, namun boleh dialirkan kepada sesama dengan berkongsi.Perkongsian yang tentu sahaja penuh dengan kemanfaatan.

Tidak mengenal darjat untuk mengajar dan berbagi rasa.

Lihatlah manusia pada ciptaan Tuhan, lihat dengan tafakkur alam dan penuh sensasi syukur.Pujian padaNya.


Kisah Sang Cleaner

Ibu-ibu bidan sudah tiada jurangnya dengan saya.Boleh bercanda secukup adab, cuma mungkin kekurangan bahasa Sunda saya sedikit merencatkan hawa mesra.

Dan di pojok bidan, dalam kekangan waktu yang cukup longgar di unit kecemasan, borak daku diperkenankan temu dengan si ibu berbaju abu-abu (kelabu dalam Bahasa Melayu).

"Saha' namina' bu ?" (Siapa namanya ibu dalam bahasa Sunda)

"Abdi Bu Leni.. ( Saya Ibu Leni)

Dari titik permulaan bicara, cakerawala kondusif mendominasi.Senyuman manis terukir di bibir.Ikhlas menghiasi tali silaturahmi dua insan.

Ibu Leni empunya nama.Berusia 36 tahun. Sudah mempunyai 2 orang anak dari suami pertama, dan dari suami keduanya, tidak ada rezeki yang terkabul.


Bicara IKHLAS

" Dari jam 7 pagi ibu bekerja sampailah jam 5 petang, setiap hari.Gajinya sekitar Rp 700,000 (tidak sampai RM 300) per bulan."

"Penat memang penat.Tetapi ibu suka.Menikmati pekerjaan sebagai cleaning service"

Bicaranya penuh senyuman.

"Kenapa ya bu senang dengan pekerjaan ini?"

Pertanyaan anak kecil dari saya, si doktor muda.

"Ya..Saya suka memberi, membuat orang senang dan gembira."

"Ibu-ibu bidan juga senang.Habis semua ruang, lantai, dinding ibu bersihkan.Bila ada persalinan, jangan dibiarkan darah, kotoran berselerakan ke mana-mana tidak dibersihkan!"

"Doktor tak suka, bidan marah-marah, si pesakit pula mungkin tertekan dengan keadaan sebegitu!"

" Ibu ikhlas berbuat demikian.Bukan untuk dilihat manusia.Bukan seperti sesetengah cleaner yang lain, yang sering ditegur ibu kerana sambil lewa sahaja bekerja.

"Ya dengan gaji yang minimal, namun ibu bahagia.Biar Tuhan sahaja yang melihat, cukup.."

Saya kagum dengan semangatnya.Aura ikhlas dalam memberi.


Cerita Cinta

"Ibu nikah kali kedua, selepas suami yang pertama meninggal dunia.Kami sudah punya 2 orang anak"

"Dengan suami yang kedua tidak ada"

Jelas si ibu, tanpa dipinta.

"Kenapa bu?"

Saya berusaha menjadi pendengar yang baik.

" Ibu sudah disteril ( sudah diikat saluran ovumnya dengan prosedur bernama tubektomi).Ya di sini juga sama doktor kandungan."

"Hamil anggur ( bahasa medisnya Mola Hidatidosa) dua kali dan doktor mengesyorkan untuk diikat langsung, kerana mungkin akan membahayakan ibu (Mola Hidatidosa boleh bertumbuh menjadi kanser)."

Saya menggangguk-angguk.

"Mujurlah suami kedua ibu ini sangat memahami."

"Ibu nikah pun dulu nikah dengannya bukan atas dasar cinta pacaran, tetapi berkenan dengan pekerjaannya sebagai guru Al-Quran untuk anak-anak tadika di masjid"

"Tapi pasti kan selepas nikah, pasti cinta itu membibit.Sayang bertunas subur.Benarkan bu?" saya pula yang menjawab untuk ibu.Tersengih dia membenarkan.

Walaupun pengalaman secebis cuma, berani pula berhadapan dengan yang si ibu yang penuh, kaya sejuta pengalaman di dada.Monolog sendirian di sukma hati.

"Alhamdulillah anak-anak ibu dulunya belajar Al-Quran dengan suami ibu sekarang.Rapat."

"Dan sekarang mereka juga walaupun sudah bersekolah menengah dan darjah lima, solatnya tidak pernah disuruh, mereka melakukannya sendiri!"

"Syukur pada Tuhan.Takut ibu apabila melihat keadaan anak-anak sekarang yang lepas laku, tanpa kawalan!"

Saya melihat naluri keibuan tumbuh subur di sanubarinya.

Walaupun hanya berjawatankan sebagai tukang cuci, namun visi dan misinya melangkaui orbit manusia lain.

Hebat.


Sebuah Teladan

Sedangkan jam yang rosak di dinding ada 2 kali dalam sehari pasti ianya benar.Tetap ada sekelumit manfaat dirinya.

Apatah lagi manusia insan.

Dan dari Ibu Leni, saya bersujud syukur.Dalam menongkah arus kehidupan mendatang, semangat nan ikhlas, cahaya tawakkal bergemerlapan di akal fikirnya.

Seorang insan yang kecil di mata dunia, namun di akhirat kelak, mungkin sahaja bertakhta di atas singgahsana mukmin.

Ibu Leni, hatur nuhun atas didikanmu..



Tiada ulasan: