Abul A'aala Al Maududi empunya nama.
Seorang tokoh gerakan Islam, Jamiah Islami di Pakistan.
Namanya sebaris dengan Hasan Al Banna dan Syed Qutub dari Ikhwanul Muslimin.
Seorang tokoh yang banyak menulis buku-buku fenomenal seperti Asas-Asas Islam dan Asas-Asas Iman.
Islam Masa Kini
Sewaktu berkeliaran di Pesta Buku Islam Braga, saya terjumpa sebuah buku bersaiz mini, hanya sebesar saiz poket dengan judulnya ISLAM MASA KINI, karya Abul A'ala Al Maududi.
Bahasa Arabnya dengan nama Islamul Yaum.
Terbitan Gema Insani, dan hanya berharga Rupiah 3,500, sekitar RM 1.50.
Menarik perhatian.
Sebuah produk dari seorang pejuang yang hebat.
Lantas saya membeli tanpa berfikir dua kali.
Pasca ujian di bahagian Obstetrics & Gynaecology, selesai juga buku kecil ini dihadam.Puji dan syukur kepadaNya.
4 Masa Islam
Buku ini membahagikan zaman Islam kepada 4 peringkat.
- Zaman Teladan Sejarah Islam
- Masa Kerajaan
- Masa Penjajahan dan Pengaruh Buruknya
- Masa Kemerdekaan
Zaman Teladan Sejarah Islam
Sebuah zaman keemasan Islam, dari permulaan Islam dianggap sebagai sebuah keanehan di jazirah Arab pada waktu itu.
Dari hanya beberapa orang pengikut, Rasulullah berjaya membina sebuah negara Madinah yang kapasiti penduduknya pada waktu itu hanya sekitar 7000 ribu orang.Ibaratnya seperti sebuah desa di Indonesia, sangat kecil.
Tiada yang menyangka Parsi dan Rom akan jatuh tersungkur dek kehebatan cahaya akidah dari Ilahi.
Siapa yang menyangka Arab yang gasar, sering berperang, penuh dengan adat budaya jahiliyyah, mampu menguasai 2/3 dunia.
Lengkap struktur ketenteraan, ekonomi, pendidikan dengan akidah tertancap teguh di sukma dada, akhlak bunga perhiasan diri.
Lihatlah akhlak tentera Islam yang datang bertandang di daerah orang.
"Pajak ini kami ambil dari kalian untuk melaksanakan tugas keamanan, bila kami terpaksa menarik diri, maka harta itu kami kembalikan"
Betapa mulianya akhlak yang terpancar.
Masa Kerajaan
Bermula dengan zaman Umayyah, Abbasiyyah , Usmaniyyah dan kerajaan-kerajaan Islam yang kecil di belahan bumi.
Di sini bermulanya beberapa kerusakan dalam diri umat Islam.
Pertamanya, Disintegrasi Kepemimpinan.
Ulama dan sultan mulai dipisahkan dari pemerintahan.Penguasa berkuasa penuh di bidang politik, dan ulama pula terpaksa memikul beban di sudut pemikiran, ilmu, pembinaan ruhani dan sebagainya.
Kedua, timbulnya fanatisme.
Fanatisme negara, kaum, batas geografi dan tanah air, menjadi faktor pemecah belah antara negara-negara umat Islam.
Konsep sebaik-baik orang adalah yang paling bertakwa, semakin lama, semakin menghilang, dibaurkan oleh kefanatikan yang melampau.
Lihatlah bagaimana penguasa Abbasiyyah mempergunakan isu kaum dalam menggulingkan Daulah Umayyah.Petaka buat umat Islam.
Ketiga, egoisme dan penghambaan nafsu.
Bertitik tolak dari kefanatikan membabi buta, komitmen terhadap Islam semakin luntur, dan kesetiaan ditumpahkan dalam kadar berlebihan terhadap kaum, bangsa dan negara.
Tidak sedikit juga yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Betapa ramai Muslim yang menjadi sewaan penjajah Barat untuk menghancurkan bumi umat Islam dengan ganjaran upah yang sedikit.
Masa Penjajahan
Sepanyol ada di Filipina. Belanda kukuh di Indonesia.
Libya dikuasai Itali.
Inggeris menjajah majoriti tanah air umat Islam, seperti Malaysia, India dan Mesir.
Namanya berbeza, tetapi mereka bersatu atas nama penjajah.
Gold, Gospel and Glory..Laungan yang tidak akan pernah padam di benak mereka.
Kolonialisme memilih untuk membatasi pendidikan umat Islam kepada pendidikan ala Barat, dan membatasi pendidikan agama. Dan hanya ada segelintir yang dibenarkan memasuki pendidikan ala Barat, biasanya golongan-golongan atasan dan aristokrat.
Produk-produk keluaran Barat ini kemudiannya diangkat menjadi pemimpin di bidang politik, ekonomi dan juga pendidikan.
Strategi yang cermat dan cukup bertahap.
Boleh dibayangkan betapa jauhnya golongan Muslim yang berpendidikan Barat dengan penghayatan agamanya sendiri.Dan Muslim inilah yang banyak memegang tampuk kekuasaan di bawah kendalian penjajah.
Lama-kelamaan, muncul semangat dan kesedaran untuk merdeka di kalangan produk didikan Barat.Bahasa demokrasi dan kemerdekaan tanah air bermain di benak mereka.
Dengan jawatan mereka sebagai pemimpin umat Islam, produk inilah yang banyak maju ke hadapan untuk menerajui gerakan kemerdekaan, memandangkan golongan berpendidikan agama masih jauh ketinggalan dari segi kepemimpinan dengan produk didikan Barat ini.
Walaupun selangit tingginya, jarak mereka dari penghayatan Islam, produk Barat ini menggunakan slogan dan simbol Islam untuk mengajak dan menggelorakan semangat umat Islam pada waktu itu.
Tidak malu-malu. Tiada.
" Peperangan ini adalah peperangan yang memisahkan Islam dan kekufuran. Wahai Muslimin, berjuanglah dengan jiwa dan harta kalian, agar kemenangan tercapai. Semua urusan hanya untuk Allah"
Mustafa Kamal Pasha di Turki juga demikian.
Dengan Al-Quran tergenggam erat di tangannya, dia berteriak.
"Wahai orang-orang Turki,tahukah anda apa yang ada di tangan saya? Jika kalian tidak keluar bersama saya untuk berperang melawan penjajah, maka Kitab ini tidak akan kekal di atas muka bumi ini!"
Masa Kemerdekaan
Merdeka sudah negara Islam.
Syurga dunia yang diharap, malangnya petaka menimpa.
Produk-produk keluaran Barat, merekalah pemimpin negara.Hatinya kosong dengan nuansa Islam.Hanya namanya mengatakan bahwa dia seorang Muslim.
Kiblat pemikiran mereka terpacu ke arah Barat.
Lihatlah Burguiba di Algeria.Setelah ribuan syuhada' berguguran..
"Kalian tidak perlu berpuasa di bulan Ramadan, kerana puasa akan mengurangkan keberkesanan pekerjaan seharian!"
Kata-kata yang diungkap oleh seorang Muslim.
Belum lagi bicara kita pada Mustafa Kamal di Turki.
Sekularisme bertakhta.
Islam semakin asing di kalangan Muslim sendiri.
Dan terjadilah pertentangan di antara penguasa dan rakyat akibat tidak sehaluan dalam menentukan agenda negara ke hadapan.
Bagaimanalah caranya untuk maju apabila tiada perpaduan.
Rencana Barat berhasil.
Itulah strategi mereka. Tidak semudah itu untuk melepaskan sebuah tanah jajahan dengan percuma.
Percayalah
Janji Allah itu pasti benar.
Islam pasti akan didaulatkan kembali.
Sekarang masa untuk bekerja untuk memberantas kemunafikan dalam Islam.
Agama fitrah ini akan kembali bersambut. Moga gerabak pembaharuan dan dakwah akan terisi oleh kita semua.
Semangat dan percayalah.
"Kebenaran itu dari Tuhanmu.Makan janganlah kamu dari golongan yang was-was"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan