Di Indonesia, perkataan hospital masih lagi menggunakan perkataan rumah sakit, persis seperti penggunaan di Malaysia sekitar pertengahan abad ke 20. Teringat pada cerita Melayu lama yang masih hitam putih yang sering menggunakan perkataan rumah sakit dan juga rumah pasung.Ternyata tidak jauh beza gaya bahasa negara serumpun ini.
Di RSHS, kali ini saya memasuki suatu alam perubatan klinis yang mencabar. Umum membahasakan sebagai sakit puan ataupun kebidanan.
Bahasa Inggerisnya dikenali dengan Obstetrics and Gynaecology. Di Malaysia kependekannya O&G manakala di bumi Merah Putih, kami menggelarnya sebagai ObGyn.
Ya Obgyn, ruang yang pesakitnya 100% adalah kaum Hawa.
Pertama Kali..
Tidak dapat saya nafikan, pada pandangan pertama, saya memang malas untuk mendampingi bidang ini.
Seribu satu mehnah boleh timbul, dari masalah komunikasi dan pemeriksaan kepada pesakit, sehinggalah kepada komunikasi dengan pihak keluarga pesakit.Macam-macam.
Lama-kelamaan, fikiran positif lebih mendominasi, takluk dari anasir negatif yang cuba mempengaruhi.
Menyelamatkan nyawa sebuah ciptaan Tuhan, membantu lahirnya sebuah nyawa yang baru, ternyata ia satu kepuasan yang tiada taranya.
Pengalaman pertama saya menolong persalinan adalah sewaktu di bahagian Paediatrics (Anak), kira-kira 3 bulan sudah.Walaupun penat menunggu proses persalinan, kepuasan menyaksikan proses hidup manusia, dan berperanan aktif membantu, nikmat puas menyebar manfaat itu sangat mengesankan.
Masih saya ingat air mata sang ayah luruh sewaktu mengazankan si mungil yang baru menjengah alam dunia.Seumur hidup memori itu bakal saya tancapkan di benak.
3 Jam Yang Sebentar..
Kuliah Dr Hadi
Minggu pertama di Obgyn.
Tradisinya , kami belum menyentuh pesakit. Seminggu ini adalah waktu untuk proses latihan secara amali sebelum benar-benar menyambut kelahiran bayi. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada prosedur-prosedur yang perlu dilakukan pada waktu kecemasan.
Menarik..
Kuliah demi kuliah sehingga sampailah kepada kuliah oleh seorang sosok pada atas kertas bernama Hadi.
Saya belum mengenalinya.Kali pertama bersua muka..
Penampilannya biasa.Postur tubuh sederhana, kemas, berkumis tipis dan berkaca mata.
Tajuk kuliahnya berkisar kepada Perdarahan Pasca Persalinan (Post-Partum Hemorrhage).Saya jangkakan biasa dan sebentar cuma.Namun andaian itu meleset jauh.
Luar dari topik , dia bercerita tentang dunia Obgyn.
" Apa yang perlu kamu punya adalah ilmu, ketrampilan, sikap yang baik, dan ilmu pengurusan yang mantap! "
Selang-selikan dengan segudang pengalaman berharga sewaktu dirinya masih muda di pedalaman, menyalurkan tenaga positif kepada para pendengar. Tiada yang terlelap.Semuanya memasang mata dan telinga.
" Apabila suatu itu dirutinkan, kadang-kadang kita terlupa bahawa yang di depan kita bukanlah robot. Mereka adalah manusia yang punya hati dan perasaan , boleh gembira dan marah..Rasakanlah empati kepada pesakit...
Seandainya itulah isteri, adik mahupun ibumu, apakah kamu tidak mahu sehabis daya berkorban untuk mereka ?"
Lantas, saya teringatkan perjuangan bonda sewaktu melahirkan diriku dan adik-adik.Pasti penuh darah dan air mata, lelah dan letih.Menderita kesakitan demi seorang cahaya mata.Kujanjikan pada diri, tidak akan mensia-siakan sebuah perjuangan suci bonda.Bonda tetap di bersinggahsana di hati, walaupun lautan luas yang memisahkan fizikal kita..
Seorang yang jauh berwawasan.Setiap pergerakan umur harus tahu pencak apa yang harus dimainkan diri.Padanlah selain seorang pakar di bidang Obgyn, dia juga punya Sarjana Muda dalam 2 bidang kesihatan yang lain.Takjub.
Bicaranya santai dan penuh dengan unsur humor.Gelak ketawa memecah panggung kuliah. Namun apabila bercakap tentang prinsip, dia adalah orang yang tegas. Seperti bicaranya tentang pengguguran kandungan.
" Saya tidak takut masuk penjara, tetapi saya takut dengan yang di ATAS!"
Tabik hormat dari saya, seorang murid, penuntut ilmu darinya.
Dirinya bernama Hadi Susiarno, Sp. OG (K), M.Kes, MHKes.
8 Minggu Mendatang
Masih jauh langkahan ini. Ada 8 minggu penuh cabaran harus dilalui.
Ujian, pesakit dan keluarga, semuanya bakal bergantian datang dan pergi.
Ada tenaga perlu diperah, banyak waktu perlu disita, segudang akal harus diberikan.
Bak kata Rasulullah,
" Sebaik-baik manusia itu adalah yang bermanfaat kepada seluruh manusia!"
Apapun dugaan, demi cita manusia terbaik, aku kan riang, penuh senyuman melangkah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan