Sabtu, 16 April 2011

Magis Negeri 5 Menara..




Apa yang terlekat karat negatif dalam diri saya, adalah saya mudah merendahkan tulisan ataupun buku keluaran Indonesia. Pertama kali saya terkena paku buah keras adalah apabila bersua dengan buku Saksikanlah Aku Seorang Muslim pada tahun 2007.


Siapa Salim A. Fillah, si penulisnya? Namanya tidak pernah didengari, jauh dari panggang tulisannya bakal mempersada di hati sanubari.Bisik jauh di sudut hati.

Namun, realiti apabila helaian demi helaian diselak ternyata berbeza 360 darjah.Pertemuan 3,4 kali dengan Ustaz Salim A Fillah membuahkan magis hebat ke dalam diri.Takjub..

Impak positif mendominasi diri dan saya bangga bersyahadah sebagai seorang Muslim.


Sekali Lagi..

Ogos 2010 silam sekali lagi mempertontonkan sikap saya yang kurang baik. Ke Jakarta, menghadiri sebuah pesta buku.

Di atas panggung, ada sosok bernama A Fuadi. Hadirin khusyuk mendengar bedah buku Negeri 5 Menara yang sedang didiskusikan.


Usai diskusi, penonton bak histeria merebut novel tersebut sambil mengejar-ngejar tandatangan si penulisnya, A Fuadi, seorang jejaka berkaca mata, dan berambut separas bahu.

Saya hanya melingas selintas.Endah tidak endah melihat.

Pulang ke Bandung, sosok si penulis dan bukunya tiada tercantum langsung dalam kamus fikiran.Semuanya hilang, sesuai dengan beredarnya hawa panas Jakarta.

Namun, ditakdirkan Tuhan, kawan-kawan Indonesia banyak yang mengesyorkan.

" Bacalah Negeri 5 Menara ya Fahmi!" kata teman sekelompok ketika di Public Health.

Saya tersengih bak kerang busuk. Antara dengar dan tidak.

Hidayah Tuhan mendetikkan hati untuk membeli.

Ternyata sisipan demi sisipan.Dari 10 halaman bertransformasi menjadi 100 halaman.Sekejap cuma..

Pengembaraan seorang Alif Fikri dengan bekal " Man Jadda Wajada" , sesiapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya, terasa masuk ke jiwa.


Perjuangan, pengorbanan, kesabaran semuanya memadu dan menjadi resipi istimewa sebuah kejayaan. Saya terkesima.

Seorang anak hingusan Maninjau, pada pandangan saya, mampu bermetamorfosis menjadi sosok hebat dengan mantera sesakti itu.

Hebat..

Dari sentuhan Negeri 5 Menara, saya bergerak pantas mencari Ranah 3 Warna, novel kedua dari trilogi ini.

Dalam Ranah 3 Warna, sketsa difokuskan kepada Alif Fikri yang mulai kuliah di Univesitas Padjajaran, dan juga pergulatan fizikal dan emosi dirinya di rantau Quebec, Kanada.Sebuah negara di Amerika Utara...

Ternyata mantera sakti Man Jadda Wajada semata tidak cukup.Harus digabung jalinkan dengan mantera magis Man Sabara Zhofira, sesiapa yang sabar bakal mendapat kegembiraan.

Sekali lagi saya tersihir dengan Alif Fikri, si jejaka yang berjiwa mendunia luas.

Tidak sabar sang hati untuk membaca novel ketiga, penamat kepada trilogi ini.


Kesimpulan

Negeri 5 Menara sangat berbaloi untuk dibaca.

Aliran tenaga positif mengalir dari urat nadi terkecil, membuak-buakkan semangat positisme ke dalam sukma.


Ranah 3 Warna melengkapkan penangan positif. Kesabaran menggunung dalam menggalas ujian dan beban, tiada kan sesal, pasti berbuah gembira dan suka di penghujung.

Apa tunggu lagi...

Tiada ulasan: