Rabu, 12 Januari 2011

Bidikan Hikmah Cakerawala Dakwah



Saya jenisnya orang yang mudah terasa.Senang berkecil hati, namun, lebih berbahagia untuk memendam dan merahsiakan.

Begitu juga apabila berbicara.Maujud perkataan kawan dan teman, handai dan taulan yang menjentik hati.Ambang batas sensitif itu,suatu ketika, sangat rendah takarannya.

Dan disebabkan begitu, saya jadinya lebih berhati-hati dalam berbicara.Saya mudah berkecil hati dan saya juga tidak enak seandainya ada juga yang berkecil hati disebabkan oleh kata-kata saya.

Dan disebabkan cakap yang beralas, pendekatan saya dikategorikan sahabat-sahabat sebagai lembut.Gaya Abu Bakar katanya.

Saya tidak pula mengiya dan juga menidakkan.

" Berlapik-lapik,beralas-alas ini, kadang-kadang, maksud bicara tidak sampai ke pendengar!" seorang sahabat berkongsi suatu ketika dahulu.

Lembut..


Hikmah

Sesetengah orang mengatakan lembut itulah hikmah. Hikmah dalam menegur,hikmah dalam memberikan komen dan cadangan.

Segala sesuatu yang lembut disinonimkan dengan hikmah,dan antagonisnya pastilah perkataan keras,kurang beradab, dan sebagainya.

Saya memikirkan sepotong hadis yang popular.

"Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran,maka cegahlah dengan tangan, yakni kuasa.Jika tidak berkemampuan, gunalah lidah.Dan jika tidak mampu juga, bencilah dengan hati,itulah selemah-lemah iman.."

Andai terlihat seorang perompak memasuki rumah, nyata dan jelas itu satu kemungkaran.Maksiat dan membuahkan dosa.


Anda Muslim,dan saya juga Muslim.

Apakah tindakan paling hikmah di sini?

Pabila hikmah disinonimkan dengan lembut, pasti ada Muslim yang pergi merapati sang perompak bersenjata lengkap,pisau belati tersisip erat di pinggangnya.

Assalamualaikum dilemparkan kepada perompak.Muslim juga barangkali.

"Tidak baik merompak,Tuhan marah!"

Kaget sang perompak tadi seraya merodok perut Muslim yang 'berhikmah' tadi.Teguran lembut tadi berbuahkan tuba.Susu putih yang diharapkan,bertransformasi menjadi darah pekat mengalir.

Suatu hikmah yang tersalah..

Tepat di dalam perkataan, perbuatan dan keyakinan, serta meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.

Inilah namanya hikmah.

Tika terserempak perompak sebegitu lengkap persenjataannya, hempaplah kepalanya dengan kayu terlebih dahulu.Biarkan dia lumpuh seketika, ikat dan serahkan kepada pihak polisi.

Islam tidak menjadikan umatnya bebal mengikut satu acuan semata.Semuanya bergantung keadaan.Memukul sehingga pengsan seorang berprofesikan perompak adalah sesuatu kekerasan,akan tetapi, sangatlah sesuai dengan kondisi sewaktu.

Sedangkan Rasulullah pernah bergusti sehingga memenangkan pertandingan, dan alhasilnya sang kalah memeluk agama Islam. Dan pernah juga tangan lembut itu menyuap mulut Yahudi tua yang dengan mulut yang sama menghamburkan caci maki kepada Muhammad, namun di akhirnya, Yahudi itu terkesan akhlak Muhammad dan sudahnya melantunkan dua kalimah syahadah. Itupun hanya usai kewafatan baginda.

Pokoknya, keras dan lembut dua-dua bisa jadi berhikmah asal kena tempat dan cara.


Persoalan Kemudian..

Seterusnya, macam mana pula mahu mengetahui penggunaan hikmah metode keras atau lembut ataupun lembut keras?

Sesuatu yang subjektif.

Apa yang saya belajar, yang paling penting, apa sekalipun tindakan kita, fikirlah kesan baik dan buruk natijah dari tindakan kita.

Sesuatu benda boleh dilihat dari 360 darjah. Sungguh suatu kepelbagaian.

Lihatlah gajah sebagaimana orang celik yang bijak dan cerdas melihat gajah. Orang yang bodoh,walaupun celik, boleh melihat gajah seperti seorang buta mengenal gajah.


Dipegang perut, gajah itu seperti perempuan mengandung.

Diraba telinga, sepertinya gajah itu tampi yang besar.

Disentuh-sentuh belalai, pasti gajah itu seperti paip getah yang panjang dan tinggi.

Suatu gaya bertindak yang tidak tepat.Orang yang celik, cerdas seharusnya melihat gajah, keseluruhannya, bukan sebahagian kecil.

Begitu juga dalam menilai suatu aspek.Perhatikan saksama alhasil tindakan.Renungkan jauh ke hadapan..

Kemudian, apabila pertimbangan akal bersih, pilihlah jalan yang dirasakan terbaik. Dengan cahaya petunjuk kalam Ilahi dan tinta Sabda pastinya, sebagai neraca..


Adegan Kapel

Walaupun ini adalah suatu yang membarah banyak, sudah namanya barah, pasti sudah bukan suatu nuansa berunsur kebaikan.Barah sinonim dengan keburukan.

Itulah adegan kapel.

I love you, you love me..Sehingga menggadai 'body', menjual diri.

Sebagai contoh, kawan kita kapel menggila.Diusung ke hulu ke hilir bak belangkas pasangannya.Dan kita mahu menegur.

Caranya?

Adakah dengan marah depan-depan secara terbuka?

"Kapel HARAM, tempah NERAKA!!"

Ataupun dengan berbicara berdua, menyelami perasaan teman dan berkongsi sedikit sebanyak..Memberi semangat dan pencerahan.

Kedua-duanya adalah pilihan.Dalam genggaman kita..

Dan kemudian kita memilih pendekatan kedua, dengan cara berlembut, agar dia lebih lunak dan sentiasa menyedari bahawa tindakannya khilaf.

Namun, kesan jangka pendek tidak juga terlihat.

Kapel masih bersemarak.

Cinta makin membiak.

Persoalannya..

Adakah kita salah teknik?

Rasulullah pernah ke Thaif untuk mendapatkan sokongan pemuka kaum di sana. Namun, mimpi yang disemai indah bertukar mala petaka.

Datang bersambut caci dan hina, dilempar batu berbuah derita luka.

Adakah Rasulullah juga salah teknik?

Strategi Rasulullah menyebarkan sayap ke luar Makkah itu benar, tetapi Arab Quraisy cepat tindakannya.Hasutan dan omongan jahat bermain di maya Thaif.

Nostalgia duka ini ditatap Jibril.

"Jangan Jibril jangan!"

Ditahan Jibril dari menghempap ashab Thaif dengan bukit Uhud.Dan ternyata keturunan pelempar batu itu menjadi pendokong kuat Islam di kemudian hari.

Kita hanya pendakwah bukan pemberi hidayah.Ini intinya..

Berusaha dan berusaha..Dan serahkan sebulatnya hal pintu hidayah kepadaNya.


Kisah Luqman,Anak dan Unta


Luqman berjalan.

Sang anak membuntuti.Tali kendali unta ada pada tangan Luqman.

Pertama-tama, Luqman mengendarai unta.

"Zalim punya ayah, anak dibiarkan berjalan sendiri!"

Turun Luqman, seraya menaikkan anak ke pelana unta.

"Apa punya anak.Tidak kasihan orang yang tua!"

Turunlah sang anak pabila mendengar opini publik yang mengatakan dirinya.

Dan kemudian Luqman dan anaknya berjalan.Dan juga sang unta juga berjalan.Dan manusia juga berkata-kata..

"Bodoh manusia.Unta ada , tetapi tidak digunakan!"

Dinaiki unta oleh keduanya.Masyarakat sinis.

"Bebal punya manusia.Kasihan unta itu!"

Jika anda mencari redha manusia, anda akan kecewa dengan manusia.

Manusia tiada satu prosedur baku untuk sesuatu perkara.Subjektif sifatnya..

Begitu juga perihal hikmah.

Hikmah itu sofistikated.Lebih-lebih lagi di zaman ini..

Sehikmah-hikmah anda, pasti akan muncul juga aura negatif dari pelosok tertentu. Mungkin ada yang terasa, berniat jahat mahupun dengki.

Saya teringat suatu ceramah Tok Guru Nik Aziz yang memperkatakan bahawa Allah itu samseng.Saya hanya tersengih apabila isu itu menjadi polemik hangat.

Al-Jabbar diterjemahkan sebgai samseng.Diputarkan di layar televisyen dan dikatakan Tok Guru sesat lagi menyesatkan.Lupa sekali media pada keadaan dan lokasi ceramah tersebut diadakan.

Lokasinya di bumi Tok Janggut.Resmi orang Kelantan, bahasa penuh analogi dan susun atur katanya boleh bermadah.Orang Kelantan paling memahami bahasa orang Kelantan.Jangan diputarbelitkan kepada orang Johor dan Melaka.Salah pengertian jadinya.

Begitu juga, Dr Asri Zainal Abidin dikatakan kasar, namun loghat Kedahnya kena dengan orang-orang Utara. Ustaz Azhar Idrus dimaklumi keras, bergurau pun kasar.Tetapi ribuan yang turun ke Surau Ladang,Manir dan sebagainya.Di Terengganu, namanya suatu fenomena.





Dan ketiga-tiga mereka juga ada bicara negatif dari manusia, walau sehikmah manapun mereka.Dan percayalah mulut manusia tidak mampu ditutup.Kecualilah apabila dipenuhi tanah kelak.

Dan sering manusia sebegini berbicara juga pasal hikmah.

"Pendekatan kamu tidak berhikmah.Ini tidak betul!"

Namun acap kali tatkala diminta memperagakan aksi hikmah, terkial-kial mereka dibuatnya.

Manusia lupa bahawa bumi ini milik Tuhan.Manusia hanya mahu mendengar apa yang mahu didengar.Segala yang menyusahkan, memberatkan, berlawanan dengan kehendak nafsu, diketepikan..

Pokoknya, FIKIR BAIK dan BURUK, LAKUKAN, TAWAKAL dan DOA, SABAR dengan kata-kata MANUSIA..

Manusia oh Manusia..

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau aku suka dakwah cara abu bakr. lembut dan berhikmah. kalau aku la..

kalau cara yang keras pun sebenarnya aku tak kisah sangat. tapi aku ada kawan. kawan kita2 jugak actually. yang disebabkan dakwah yang keras terus dia jadi lagi jauh. sedih kan?

Unknown berkata...

Hang Adi~

Aku pun suka cara Abu Bakar.Terasa dekat dengan hati..Tetapi Abu Bakar juga ada ketika dia menjadi sangat tegas..Umpama ketika mahu memerangi golongan tidak mahu membayar zakat dan Nabi-nabi palsu..Sedangkan sahabat-sahabat lain, ada yang menyuruh dia bertolak ansur..

Dan bagi aku, berlembut itu mendamaikan tapi, jangan pula disebabkan berlembut, kita senyap,dan membenarkan perlakuan yang salah..Sampai tidak ada prinsip..

Dan part orang menjauh, bagi aku la sangat menyedihkan..Aku boleh berfikir adakah cara sendiri yang salah (yang bermaksud super menyedihkan) dan juga mungkin itu disebabkan fitrah dalam menyampaikan ajakan(Rasulullah ajak baik2 pun ada yang bangun menentang).Kena muhasabah banyak2 di manakah silap dan salah..

Macam kat blog..Sebagai contoh,memasak kuih-kuih manis di Kelantan,orang Kelantan suka..Tetapi apabila orang2 luar masuk ke kedai, tidak semua menyukai yang manis-manis..

Keadaan berbeza jika ada tetamu karib datang ke rumah dan kita tahu yang dia sangatlah suka pedas.Lantas, masaklah kita yang pedas..

Bab umum ini kita sukar mahu memuaskan orang seperti kuih2 manis tadi..Tapi kalau bab khusus,pandai2la kita guna yang pedas..

Dr Maza sampai ditangkap,Ust Azhar Idrus orang kata tak berhikmah..

Tetapi ramai juga berhasil menerima Islam dari tangan mereka kan...

Apa2 pun fikir dulu baik buruk,buat dan doakan kebaikan berlaku..

Mungkin bukan hari ini pintu hidayah itu terbuka, mungkin sahaja esok, lusa mahupun belasan tahun mendatang..

Maaf terpanjang pulak..Boleh buat artikel lagi satu ni :-)

Akmal berkata...

good one.

hikmah tu subjektif.

dengan cara lembut pun ada orang boleh terima dakwah.

dengan cara 'keras' pun ada yang boleh cair hati.

tak semestinya berlemah lembut orang tak faham.
manusia ni beragam, bukan satu fe'el je.

maka para pendakwahlah harus bijak memahami manusia. pendakwah bukan stereotaip.

Unknown berkata...

Akmal~

Terima kasih komentar dan nilai tambahnya..

Sama2 menasihati satu sama lain..

Tiada manusia yang sempurna :-)