Rabu, 26 Januari 2011

Hatur Nuhun Doktor K...


Bahagian Perinatalogi merupakan laman di mana bayi yang sejurus dilahirkan ditempatkan buat seketika. Bayi diukur panjang badan, berat badan, lingkar kepala dan dibuat pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan keadaan bayi normal atau sebaliknya.

Prosedur-prosedur rutin dilakukan seperti biasa untuk setiap kali kelahiran.

Terlihat wajah-wajah senyum bonda ayahanda.Lebih-lebih lagi bagi yang menimang cahaya mata buat pertama kali.

Azan di telinga kanan, iqamah di telinga kiri.Suatu mukaddimah soleh dalam hidup seorang insan..

Dan di sinilah bicara dua insan ditakdirkan Robbi mengambil tempat..


Dia Seorang 'Qualif'

Dia seorang perempuan.

Umurnya mungkin di penghujung 20-an. Sesuai saya bahasakan dirinya sebagai seorang kakak.Namakan sahaja sebagai Doktor K..

Dan dia merupakan seorang 'qualif' di bahagian Pediatrik.

Qualif merupakan gelaran yang diberikan pada doktor yang baru memulakan spesialisasi, masih di awal semester pertama.

Resmi seorang qualif, hidup tidak teratur. 'Oncall' minimum 2 kali per minggu.Biasanya sampai 3 kali seminggu, maksudnya selang sehari harus bermastautin tetap di rumah sakit.

Orangnya, pada pandangan pertama, kelihatan ramah dan mesra.Sesuai untuk diajak lawan bicara.

Dan cukuplah saya katakan namanya sangat terkesan di hati. Namanya sempena seorang sohabiyah yang kehilangan anak-anak semuanya di medan perang, dan namanya turut menjadi gelar seorang bonda di Palestin yang semua anaknya syahid berdada telanjang menentang Zionis.

Sambil-sambil merekodkan data bayi yang baru dilahirkan, menginjeksi vitamin K dan sebagainya, saya memulakan kalimah.

Lebih kepada perkongsian.Mengalir pengalaman dirinya kepadaku..


Jiwa Pengubah..

Sesiapa yang pernah menjadi doktor muda di Rumah Sakit Hasan Sadikin,Bandung, pasti tahu dan jelas, bagaimanakah realiti menjadi seorang residen Anak.

'Residen'..Suatu istilah untuk doktor yang sedang melakukan spesialisasi.

'Masuk sekolah lagi', antara kata-kata doktor-doktor residen, selepas bertungkus lumus selama 5,6 tahun di fakulti perubatan.

Residen, bekerja di rumah sakit, belajar di rumah sakit dan mereka tidak dibayar gaji. Gaji hanya datang melalui pekerjaan luar rumah sakit.Pendapatan sendiri-sendiri..

Dan beban kerjanya sangatlah berat. Belajar, dengan 'oncall' yang berderet, kerenah pesakit, melayan doktor-doktor senior dan spesialis..Semuanya bertimbun menjadi suatu punca menumpuknya stress.

" Saya ada anak.Saya punya keluarga.Dan saya punya tanggungjawab terhadap seorang lelaki bergelar suami.."

Saya hanya mendengarkan.Berat di telinga yang mendengar, jauh lebih menggunung berat bahu yang memikul.

" Mujurlah suami jenis memahami.Menolong membuat pekerjaan rumah dan keluarga mertua sangatlah mendokong dan memberi semangat.."

Ya..Saya pernah mendengar testimoni ini.Bukan sedikit doktor perempuan yang jatuh di medan spesialisasi.

Bukan disebabkan kurang bijak, tidak juga berpunca dari kosongnya poket untuk menampung wang yuran.Semua hanya kerana keluarga tidak memahami dan beban tanggungjawab yang ranah bertimbun.Hujungnya, perjalanan itu hanya sekerat jalan.

Semangat yang membara terhapus dek beban yang merumitkan kepala.

Saya mengangguk dan mengangguk.

Dan di Anak, saya melihat kebejatan yang sama terus berlaku.Seperti mana bejat yang saya anti sewaktu menjadi Yang Dipertua suatu ketika dahulu.

Ada senior, maka wujudlah junior.

Kalau bagus pembawaan, sanggup mengajar dan menghulurkan tangan bantuan, itu tidak mengapa.

Namun apa yang menjengkelkan, doktrin junior harus melayani dan menuruti kehendak senior terus bertapak di kalangan doktor yang mengikut pendidikan spesialisasi.

Hormat itu harus, beradab itu perlu.Tetapi tidak bermaksud sehingga tiada perkataan TIDAK dalam kamus kehidupan.

Membuat itu ini, beli makan dan minum, disuruh menaip dan pelbagai aneka gaya mendera ruhani.Dan Doktor K bercerita dan berkongsi pengalaman peribadi selama bergelar 'qualif'.

"Jiwa pengubah ini tidak mudah doc.Banyak halangan dan rintang kerana kita yang memulakan.Namun, jika bukan kita yang memulakan, siapa lagi?"

Saya memberikan kata-kata perangsang kepadanya.

"Semoga terus kuat ya doc!"





Cubaan Perempuan..

"Selama menjadi dokter muda, benda paling berbahaya buat kamu adalah PEREMPUAN"

Untaian kata itu memasuki ruang pendengaran.Cuping menangkap getaran bunyi, menyalurkan kepada gegendang telinga, terus sehingga sampai di otak.

Kata-kata itu merangsang fikir.

Saya sendiri tidak mampu menafikan.

Di Indonesia, sebuah negara yang mendokong hak asasi manusia.Semua benda bisa..

Yang berlegar-legar di rumah sakit, sama ada doktor, jururawat, kakitangan administrasi dan juga pesakit serta keluarga, bukan sedikit yang berpakaian minim.

Terbelah sana, terselak sini.Ketat di bawah, berbalut sarung nangka di atas..

Rambut ikal mayang, hidung bak seludang kelapa, semuanya berpakej lengkap.Bukan namanya lelaki jika tidak berkenan pada yang berdahi licin sebegini.

Dan ketika merawat pesakit berlainan jantina, jurang antara ikhlas dan nafsu sangatlah kecil. Syaitan sangatlah kreatif untuk memanipulasi dan membisikkan aura iblisi kepada anak Adam.

Imam Syafie kehilangan bijaksana dek kilasan betis haram yang tiada disengajakan.

Diriku? Bukan sekadar yang tidak sengaja.Yang sengaja juga tidak terbilang.

Astagfirullah.Banyak benarnya di sini..

" Terima kasih doc"




Terapi Harian..

"Saya dahulu sewaktu menjadi doktor muda, saya mampu untuk membaca Al-Quran sejuzuk setiap hari!"

" Ini terapi batin kita.Kesibukan dengan urusan duniawi akan menjadikan hati kita hampa dan kosong, seperti tiada apa-apa!"

Jelas-jelas saya terpukul.

Al-Quran entah ke mana.Ketika beralasankan SIBUK, itulah sihir yang paling mujarab.

Pernah tiada wahyu Ilahi terpancar di mulut pada sekian hari.Padahal, bukanlah keadaan sesibuk mana.Masih sempat melepak, berborak kosong, melayan Facebook dan internet dan sebagainya.

Jika Al-Quran itu benar-benar dicintai, berpisah nan sekejap pun pasti tidak rela.Ingin dibelai, ditanya dan ditatap mesra senantiasa.

SIBUK, seni beralasan yang menakjubkan..

Dan ketika kami rancak berborak, panggilan ke kamar bedah diterima. Ada pesakit yang bakal melahirkan melalui jalan pembedahan Caesaerian.

Selaku dokter muda Anak, saya mengikut Doktor K dari belakang, bergegas ke kamar bedah, menunggu sang mungil menjengah dunia.

Saya memerhati.

"Hebat perempuan ini!"

Tertancap kagum di hati.

Insyaallah, segala mutiara nasihatnya akan saya ingati.

Hatur Nuhun Doktor K....

Tiada ulasan: