Ahad, 16 Januari 2011

Selamat Hari Lahir Adindaku Faiz..


Beza umur kami dalam 6 tahun.

Saya abang yang sulung dan dia anak yang keempat.

Semenjak sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah, antara kegiatan rutin hampir setiap hari saya adalah dengan adik yang satu ini.

Langsung tidak berfaedah kegiatannya.Apa lagi, kalau bukan menyakat si adik ini.

Sakat-sakat yang berlebihan bakal memprovokasi. Tumbuk, pukul, cubit, kejar mengejar, menangis dan sederet alat seksa dan dera, saya pernah mencuba.

Dan tidak jarang, abah menjadi pengadil yang tidak berkecuali.Dia kena pulas telinga, saya kena rotan.Berbirat la jawabnya.

Namun, serik tidak pernah datang bertandang di benak akal.Sensasi seronok mendominasi.

Yang pasti, air dicincang selamanya tidak akan putus. Ketika membaca komik Mutiara Naga,Misteri Naga,Jengking Merah kami bersama.

Detiknya beradu bermain badminton, kami juga bersahabat.Apabila seruan mama mengajak ke dapur, sama-sama bergerak menyahut dakwah seorang mama.Senda dan gurau menjadi hiasan.

Seiring perubahan dari kanak-kanak, menjadi remaja dan bertransformasi menjadi dewasa, kami sama-sama berubah.

Mendapat 5A dalam UPSR, dia melanjutkan teratak belajarnya ke Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah,Kelantan.Satu-satunya, anak Cikgu Kamaruzaman dan Cikgu Maimon yang keluar dari laman bonda sedini usia 13 tahun.Semua yang lain baru mulai menapak usai habis Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).


Kini, Al-Quran menjadi pedoman, lekat di bibir. Moga di bibir berbaur sampai ke hati hendaknya.Semoga..

Usai SPM, dengan keputusan yang cemerlang, langkah dilanjutkan ke Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) di Nilai,Negeri Sembilan. Bidang yang mahu diambil adalah persis sama dengan abang sulungnya.Ya, perubatan..

Masih panjang perjalananmu adikku..Baru mengenal dunia luar yang buas, dan penuh dengan cabaran dan rintangan.

Hanya titipan warkah selamat dari kekandamu dari jauh..

Selamat Hari Lahir ke 19 wahai adindaku, Muhammad Faiz Bin Mohd Kamaruzaman. Semoga menjadi doktor yang bakal mengharumkan nama mama dan abah, Islam ,bangsa dan negara..




Tiada ulasan: