Seandainya sewaktu berbonceng hangat di atas kenderaan beroda dua yang dinamakan sebagai motor, anda dan teman tapi mesra anda mengalami kecelakaan yang tidak terduga.Malang tidak berbau.Langsung tidak terhidu kedatangannya..
Dan ditakdirkan Allah, Malakul Maut menjemput anda pulang menuju ke dunia abadi peristirehatan. Tanyakan pada hati suci bersih punya anda pada detik itu, CELAKA atau GEMBIRA habuan didapat...
Dalam gelak dan tawa, dalam seringai nan bahagia, tiada terduga dek firasat manusia, duka yang menjelang tiba.
Al-Kisah Teman-Teman..
" Dah ada motor nanti, jangan la pula diusung ke hulu ke hilir anak dara orang ye!!" suatu hari saya bergurau dengan seorang rakan yang baru mengusung pulang motor baru ke pangkuannya.
Kami sama-sama bergelak ketawa.
Dan gelak ketawa itu tinggal dalam lipatan kenangan.Sudah menjadi gelak ketawa yang mematikan, membunuh rasa dan tingkah..
Dan ternyata, di mana ada motornya, di situlah ada si buah hati pengarang jantung.
"Awak tolong la nasihatkan dia, awak kan rapat dengan dia.Tak elok bawa anak dara orang ke hulu ke hilir macam tu!!" seorang senior meluahkan perasaan yang terbuku di hati, melihatkan aksi seorang sahabat yang sedang khilaf. Fatamorgana cinta cukup mendodoikan hati dan perasann. Perasaan malu sudah lama terbius mati.
Mahu tidak mahu, inilah rentak moden, inilah gaya hidup anak muda zaman sekarang.
Setiap hari, di mana-mana lembayung milik Sang Kholiq ini, trend ini sudah bersifat lumrah.Sudah menjadi biasa..
Bahkan pelik pula, kalau ada yang tidak berbonceng dengan mana-mana perempuan, dengan alasan menjaga.
Usah bertanya kehalalannya, saya merasa semua sudah jelas. Antara mahu dan tidak semata-mata. Jelas, perkara yang seronok sering sinonim dengan dosa, dan bab-bab ketaatan dilabel sebagai membebankan dan menyekat kebebasan sosial.
"Jangan kamu dekati ZINA!!"
"Tundukkanlah pandanganmu!!"
Ayat-ayat cinta dari Tuhan ini sudah cukup menjelaskannya. Tuhan bukan mahu menyekat hak kebebasan manusia.Tidak sekali-kali..Tidak..
Cuma Dia yang paling mengetahui makhluk ciptaannya. Ada cas yang menarik, ada aura yang cuba membaurkan..Itulah sinergis makhluk bernama lelaki dan perempuan.
Tundukkan pandangan itu bernada mencegah.Agar jangan dari mata, menyerbu ke hati tanpa kendali..Seandainya, mata dan pipi sudah melekat di bahu bidang sang arjuna hati, apatah lagi komplikasinya. Hanya Tuhan yang tahu..
Ala..Bukan Buat Apa Pun..
Bosan saya mendengar ungkapan ini.Ayat penghalal bicara manusia..
Cuba menafsirkan dalil dengan pemahaman sendiri.Trend ingin mengurangkan rasa berdosa gamaknya.
Hantar balik rumah, pergi kelas, dia sakit,dan aneka ragam manusia pembuat 'fatwa halal'.
Saya teringat kepada kisah Yahudi, pada hari Sabtu. Mereka tidak dibenarkan keluar menangkap ikan pada hari Sabtu, kerana itu hari suci buat mereka..
Ujian turun buat mereka. Hari-hari lain kurang sekali ikan yang mahu melekat di jaring.Akan tetapi, setiap kali hari Sabtu, ikan-ikan timbul di permukaan air, seakan-akan mengejek manusia tadi.
Lantas...Mereka manusia yang masih cuba taat, masih ada riak takut untuk melanggar peraturan hari Sabtu.Mereka masih tidak berani keluar menangkap ikan pada hari Sabtu, cumanya mereka menahan jala, dan membiarkannya di penghujung hari Jumaat, Ahad mereka kembali..
" Kita tak tangkap ikan kan hari Jumaat.Tengok hari ni, hari Ahad, baru kita datang.Banyak pula ikan yang tersangkut!!" berdekah-dekah ketawa insan memecah sepi.
Lupa mereka, bahawa Sang Pengarah di atas Maha Mengetahui.Cuba mempermain dan mempersenda Tuhan, celaka balasannya.Bahagialah kamu kera-kera yang hina!!
Hati-hati teman!!
Mereka sudah bergelar kera.Jangan kita bodoh membuntuti jejak langkah kera-kera. Cuba bertindak cerdas membodohkan Tuhan, akhirnya nasib derita terkena diri..
Positif..
" Habisla motor aku.Nanti kalau keluar outstation nanti, susah sangat kot nak elak tak bonceng perempuan!! rengek sang teman, hampir-hampir terpaksa dia menodai 'maruah' motornya yang terjaga rapi selama ini.
" Waktu tu ketika hujan.Akak naikla motor kawan.Dia ajak..Pertama kali naik, semua orang pandang serong,sebab selama ni tak pernah membonceng dengan mana-mana lelaki!! panjang lebar cerita seorang kakak, sedih bunyinya.
Manusia senang menghukumi manusia lain. Satu kesalahan itu nampak besar ketika pertama kali orang yang tidak pernah melakukannya, melakukannya..Mulalah murai-murai bergosip, membawa mulut, bercerita ke sana sini.Tercongek ekor kata orang Kelantan...
Padahal dosa itu tetap dosa. Waima siapapun pelakunya..
Di Indonesia, ada kumpulan masyarakat yang bekerja sebagai 'ojeg'.Ojeg iaitu pemandu motor yang akan membonceng sesiapa ke mana sahaja destinasi yang ingin dituju.Bayaran akan dikenakan mengikut tarif tertentu..
Seringnya ojeg adalah lelaki. Bab hukum menaiki ojeg adalah harus.Ia berbeza dengan membonceng lelaki lain.Saya tidak ingin membicarakannya panjang lebar cuma ingin berkongsi dengan anda perihal sahabat-sahabat perempuan yang tetap tidak berkenan mencemar duli untuk menaiki ojeg..Tentang persoalan hukum, tanyakan pada yang ahlinya.
"Saya tak naik ojeg!!"
"Selama 3,4 tahun kat sini, sekali dua je naik ojeg.Tu pun sebab kecemasan!!"
Antara skrip kawan-kawan yang pernah didengari.
Ada bahagian yang menarik yang ingin diperkongsikan tentan beberapa kawan yang tidak pernah 'mengojeg'..
Suatu hari, saya melihat 2 orang sahabat perempuan menaiki motor berdua. Mereka tiada motor, dan kawan-kawan serumah dan jiran mereka juga tidak punya. Penasaran...
" Motor siapa tadi?" saya bertanya seperti anak kecil.
" Kami naik motor pak cik ojeg. Motornya kami bawa berdua..Pak cik ojeg ikut dari belakang, sambil membonceng motor temannya.Balik dia ambil la !!" jawabnya sambil memekarkan senyum lebar.
Saya tergelak kecil. Takjub dengan kecerdasan mereka.Semata-mata kerana tidak mahu membonceng.Semoga Tuhan merahmati mereka...
Bukan Sok Suci...
"Bajet baik sangatla nak perbetul orang!!" panas telinga mendengar ngomelan persis sebegini.
Dasar manusia. Ada yang terkesan dengan celupan yang positif dan segelintir mungkin menyambut dengan tangan dingin membeku. Mungkin ada yang panas sampai cuba menjatuhkan sahabat-sahabat yang berpandangan menegur.
Bagi makan nenek Yahudi yang buta. Bajet baikla!!
Tak membalas sewaktu dihunjam dengan batu sampai berdarah.Bajet baikla!!
Kalaulah Rasulullah itu terkesan dengan kata-kata manusia yang hasad dengki, tidak suka, rasa-rasanya kemungkinan besar, tiadalah Islam akan tegak di atas muka bumi ini..
Sepakat kita sayangkan Rasulullah.Kita cintakan sunnahnya.. Tidak boleh mencontohi semua tidak bermaksud kita harus tinggalkan semua.Cubalah sedikit-sedikit biar riak-riak sunnah itu punya pada kita..
Ini bukan arena kelabu. Kes ini sudah jelas hitam dan putih.Cuma manusia sahaja yang suka mengelabukan keadaan..
Kerana sebuah cinta, pilihlah destinasi anda..
Kerana cintakan si dia, pilihlah antara dua..
Antara Syurga dan Neraka...
1 ulasan:
Bagi mengelakkan salah faham, gambar orang membonceng motorsikal di atas adalah gambar hiasan semata-mata...
Tiada kena mengena dengan mana-mana yang masih hidup atau telah meninggal dunia..
Wallahul musta'an...
Catat Ulasan