Rabu, 21 Ogos 2013

Meneran Ibu Bersalin Itu Satu Perjuangan


Dewan Bersalin menemukan saya dengan pelbagai macam ragam suami yang menemani isteri yang hampir bersalin.

Ada yang suami takut darah, hanya menunggu di luar.

Ada suami terjelepuk letih, terlelap di sisi.Mata bengkak menahan kantuk.

Saat isteri meneran, ada suami yang diam membisu.Kaku.

Ada suami yang tercegat, hanya memerhati kosong.

Ada juga suami yang mengelap peluh isteri, disua seteguk dua air kosong dan memotivasi isteri untuk meneran.

Sungguh, meneran merupakan sebuah perjuangan, demi melahirkan seorang khalifah cilik ke alam muka bumi ini.

Lebih-lebih lagi, bagi pasangan kali pertama berdepan dengan situasi ini.

Meneran kekok.

Memegang anak yang baru lahir juga kelihatan janggal.


Hormat


Seorang suami, dengan isteri sedang berjuang meneran anak pertama.

Sebuah perjuangan untuk melahirkan si kecil, sehingga perlu menggunakan 'instrument', alat vakum.

Bayi berjaya dilahirkan namun keadaannya tidak berapa baik.

Doktor kanak-kanak yang sudah bersiap sedia terus menangani bayi.

Tiada suara raungan.

'Flat'..Istilah perubatan bagi bayi yang teruk keadaannya.

Bayi dipasang bantuan pernafasan dan dikejarkan ke Neonatal Intensive Care Unit (NICU).

Saya dan doktor senior memberi fokus kepada si isteri, ibu kepada bayi tadi.

Uri harus cepat dilahirkan, robekan jalan lahir harus cepat dijahit.

Tekanan darah, kadar pernafasan harus cermat diawasi.

" Macam mana anak saya doktor? Macam mana?"

Hati si isteri tidak keruan.

Secara langsung melihat anak yang baru dilahirkan , berjuang untuk hidup.

" Kita serahkan kepada doktor kanak-kanak, selebihnya kita berdoa banyak-banyak kepada Allah.."

Suaminya menitiskan air mata, berjuraian melihat anak sulung yang baru dilahirkan, dilarikan ke dalam NICU.

Air mata yang ikhlas.

Semoga Tuhan memberi kemudahan buat mereka.



Nadi

Kerja doktor ini memang sangat melelahkan.

Dari satu pesakit, kepada pesakit yang lain.

Tiada putus.

Apa yang membuatkan saya masih boleh hidup dan terus bergerak, hanyalah dengan perasaan bahagia dan senang apabila mampu menolong.

Memberi manfaat kepada orang lain.

Saya mahu saat isteri saya mahu bersalin, doktor dan jururawat yang menangani adalah jenis yang memberikan perkhidmatan terbaik.

Teori ' What You Give You Get Back' teraplikasi di sini.

Semoga keikhlasan bercambah di dalam hati setiap petugas perubatan..




1 ulasan:

Meis Izz berkata...

"Saya mahu saat isteri saya mahu bersalin, doktor dan jururawat yang menangani adalah jenis yang memberikan perkhidmatan terbaik..."

Aamiin... mudah-mudahan, doc