Ahad, 12 Mei 2013

Doktor, Tayamum Berapa Rakaat?


Allahuakbar..Allahuakbar..

Azan Maghrib berkumandang dari corong pembesar suara masjid berdekatan..

Kaki ligat menapak memasuki wad..

Waima apa waktupun, pesakit tetap wajib didatangi..

Tiada masa yang tiada pesakit..

Jadual 'oncall' seorang pegawai perubatan siswazah, kadang-kadang boleh melangkaui 40 jam, tanpa berhenti, tanpa tidur.

Bukan tiada langsung, respon normal manusia pastilah tersengguk-sengguk di meja ada ketikanya.


Maghrib, waktunya itik berlenggang pulang ke reban, kambing lembu dipulangkan ke kandang, saya masih berteleku menekuni pesakit.

" Macam mana nak solat ni doktor?"

Tanya seorang pesakit kepada saya.

Usianya sudah menjangkau 80-an. Serban terlilit kemas di bahagian lehernya.

Saya memang tiada masa.Masih ada banyak urusan pesakit lain yang jauh lebih perlu diutamakan.

" Saya dulu imam di kampung.Jadi bilal pun biasa.Tapi saya tak pernah tahu macam mana nak solat dalam hospital ini!"

Terkesima seketika dibuatnya.

" Pak cik pandai tayamum?"

" Pak cik tahu jamak solat?"

"Pak cik tahu cara solat duduk atau baring?"

Saya mengejar masa.Berderet langsung soalan saya ujarkan kepada si pak cik tua.

" Saya ada masa 5 minit nak terangkan secara ringkas kepada pak cik!"

" Pak cik boleh guna air untuk wuduk kalau mampu. Anak atau jururawat boleh tolong ambilkan.Kalau tak mampu guna air, boleh tayamum. Tayamum guna debu, sapu muka dan sapu tangan, kemudian selesai!"

" Pak cik juga boleh gabungkan solat.Cuma jangan diqasarkan. Zohor 4 rakaat tambah Asar 4 rakaat, Maghrib jamak dengan Isya' !"

Saya menghela nafas. Memang sukar untuk dijelaskan secara terperinci dalam masa 5 minit.

" Niat pula macam mana? Pak cik tak ingat la!"

" Maghrib dijadikan 2 rakaat ye? "

" Niat tayamum macam ni ke ' nawaitu tayammumi arba'a rakaatin lillahi taala?"

Saya memandang wajah berkedut seribu itu, seraya tersenyum.

Cuba disuguhkan mekaran senyuman kepada hati saya.

Panas juga mahu menjelaskan dalam keadaan terkejar-kejar.

" Pak cik niat dalam hati pun dah sah.Lain kali , untuk lebih baik, pak cik boleh hafal bila balik rumah!"

" Pak cik nak tak saya tayamumkan pakcik?"

Saya menawarkan khidmat.

Saya lumurkan tangan ke birai katil, mencelup debu, ditepuk sedikit sebanyak, dan disapu kepada wajah dan tangan si pak cik tadi.

Selesai.

" Silalah solat pak cik.Dah tayamumkan.."

Saya bergegas keluar.

Gemersik lembut suara takbir kedengaran..

Alhamdulillah, syukur..


Walau hanya beberapa detik, walau hanya sekelumit ilmu dikongsi, entah mengapa saya merasa bahagia.

Melihat seorang Muslim, mengadap Tuhan, membuahkan seribu satu perasaan puas.

Semoga si pak cik istiqamah, dan kita juga terus istiqamah..




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalammualaikum Dr...
saye nak tanya.. Apakah hukum tayamum pada solat jamak? Dan bagaimana cara nya?

Khairul Addin berkata...



Assalamualaikum,
Set Debu Tayamum Terbaru 2014
Like kami di facebook - Debu Tayamum Tanah Liat Sertu / Samak. Terima Kasih Admin

https://www.facebook.com/pages/Debu-Tayamum-Tanah-Liat-Sertu-Samak/414735495321036?ref=hl