Selasa, 20 Ogos 2013

Ayah Menjadi Bilal Kepada Bayi..


Saya  sekarang sedang berada di Jabatan Obstetrik &  Ginekologi.

Senang cerita, bahasa awamnya adalah 'Sakit Puan'.



Nasihat Pertama Buat Bakal Ayah..

Uweek..Uweek..Uweekk

Tangisan pertama si mungil membingitkan suasana dewan bersalin.

Apabila bayi menangis, itu suatu tanda yang baik.

Bayi menangis untuk membuatkan paru-parunya berfungsi dengan elok.

Selama 9 bulan lebih, hidupnya bersumberkan ibu, hari ini, hirupan oksigen harus diusahakan mandiri.

Alhamdulillah, syukur.

Lelah ibu meneran terhapus dek melihat wajah fitrah makhluk mungil, penghuni baru dunia.

Debar bapa surut dek melihat buah hati pengarang jantung, sudah selamat menjengah alam dunia.

Penantian 9 bulan ini berakhir sudah.


Ragam Bapa-Bapa

Islam menjadikan azan dan iqamah kepada bayi yang baru lahir sebagai suatu sunnah tuntutan.

Minimum 5 kali sehari azan dikumandagkan dari corong pembesar suara masjid.

Ada bapa menitiskan air mata kesyukuran dek kelahiran zuriat saat mengazankan anak.

Ada yang azan sekuat hati, tanda syukur kepada Ilahi.

Ironinya, Melayu Muslim ada yang 'buta' azan.

Isteri saya bercerita sampai ada yang menggunakan telefon bimbit, memperdengarkan rakaman azan.

Allahu..

Suatu kejadian lain, sewaktu saya sibuk memeriksa bayi yang baru lahir.

" Dah azan anak belum encik?"

Saya bertanya kepada seorang lelaki yang baru menjadi bapa.

" Belum,"

Jawabnya sekilas.

" Mari sini. Sila azan sekarang!"

Saya menyuruhnya azan.

Tugas sebagai doktor  rupanya tidak selesai saat berjaya menolong ibu melahirkan bayi, ada sisi lain yang belum tuntas.

Rupanya si bapa berseluar di atas lutut dan tidak ada wuduk.Itu yang dijadikan alasan untuk tidak mengazankan bayi.

Macam-macam..

Sedangkan azan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isya' dan Subuh, azan tetap sah walau tidak punya wuduk. Wuduk itu untuk mendirikan solat.

Berwuduk itu digalakkan, bukan syarat untuk mengazankan bayi.


Kepada Bakal Pengantin

Buat anak-anak dara yang masih mendambakan suami, sila pastikan setidak-tidaknya bakal suami anda reti azan.

Kita belum bicara soal lampin, susu, pakaian, pendidikan untuk anak-anak.

Andai azan pun tidak lepas, bagaimanakah pula untuk mengharapkan benda yang lebih besar dari suami sebegini.

Ya.. Pastikan anak yang bakal dilahirkan itu mempunyai seorang ayah yang tahu mengalunkan azan.Asal dia Muslim, tidak perlu sampai menjadi seorang imam, bilal mahupun seorang ustaz.



Tiada ulasan: