Selasa, 16 April 2013

Bila Nafas Nan Terhenti...



Baru sahaja derapan kaki ini melangkah ke wad Perubatan 2, wad di mana 2 bulan ini, tangan dan kaki ini melabuhkan khidmat, pandanganku menyapa katil no 10.

Semalam empunyanya orang lain.

Hari ini, tuan punya katil bertukar milik lagi.

Sekali pandang, wajah perempuan itu masih muda.

Penghujung 20-an, atau awal 30-an barangkali.

Nafasnya berat.Dihela seluruh tenaga untuk bernafas.

Sepasang lelaki dan perempuan tua setia mendampingi.

Bonda ayahandanya barangkali.



Detik Terakhir

Sesak nafasnya kerna jangkitan kuman pada paru-paru yang kronik, menyebabkan masalah teruk pada buah pinggangnya.

Sudah 3 jenis ubat penguat otot jantung diberikan, namun tekanan darahnya terus melemah.

" Tidak payahlah untuk masukkan tiub ataupun CPR anak saya ye doktor!"

Si ibu melafazkan ungkapan yang maha berat.

Biarkan dia pergi secara baik.

Dengan sejarah penyakit 'Cerebral Palsy' dan 'Epilepsy' sejak kecil, kemungkinan untuk terus hidup sangat rendah, dengan kadar pengetahuan yang Tuhan Maha Mengetahui kurniakan kami, para doktor.


Syahadah Terakhir

Mendayu kalimah Allah dilantunkan.

Bacaan Yasin berkumandang.

Detik bertemu Malakul Maut mendekati.

Innalillah wainna ilaihi rojiun..

Pergi tidak kembali seorang hamba, menghadap Sang Pemilik Alam.


Kematian

Umur 31 tahun.

Kematian ini, membuat saya tersentak seketika.

Dalam kesibukan bekerja, sering saya alpa dengan detik solat, Al Quran entah ke mana, jamaah sudah tidak di fikiran.

Namun kematian sering mengintai waktu untuk muncul menjemput pulang ke kehidupan sana.

Jangan beralasankan muda, ,masih sihat, sangat sibuk dan sebagainya.Pabila bertemu Munkar dan Nakir, alasan hanya tinggal alasan.

DariNya kita dicipta, kepadaNyalah kita dikembalikan..



-Dr Ahmad Zulfahmi, Jabatan Perubatan PPUKM-



Tiada ulasan: