Rabu, 4 Mei 2011

Sketsa Hidup Mati Di Kamar Bersalin


Hari ini sebuah keberuntungan.Mungkin buat saya.Pengalaman sendiri..

Hari ini juga sebuah kesedihan.Buat mereka dan juga mungkin buat saya..

Hari ini dalam sejarah!


Pertanyaan Biasa

"Berapa partus (persalinan) yang berjaya ditolong?"

Inilah ayat skema yang sering ditanya ulang ketika berada dalam putaran bahagian Obstetrics & Gynaecology.Kebidanan dan sakit puan bahasa orang awam.

Saya tidak menafikan peri pentingnya bagaimana seorang doktor muda membantu persalinan.Sebuah pengalaman berharga.Setakat ini saya sudah mendapat satu persalinan yang ditolong..

Syukur dipermudahkan.

Namun hari ini, dalam memperkatakan tentang pengalaman, sujud syukur saya rafa'kan kepada Ilahi.

Ia bukanlah sebuah partus,tetapi cukup mengesankan hati, jiwa dan akal.Sebuah pengalaman segudang intan harganya.

Biarlah saya rahsiakan segala latarbelakang,nama-nama yang berkaitan dengan kejadian.Cukuplah saya namakan watak dan latarbelakang buatan sahaja.

Minggu ini rotasi saya di rumah sakit luar dari Rumah Sakit Hasan Sadikin.Rumah Sakit C yang berjarak sekitar 20 minit perjalanan motor.

Rutin mingguan pekan ini.

Dan hari ini saya bergerak awal pagi menuju Rumah Sakit C.

Sesampainya di sana, sedikit menyapa ibu-ibu bidan, dan rakan sejawat yang melakukan syif malam, saya terus melakukan 'follow up' pesakit seperti biasa.

Membuat pemeriksaan fizik rutin, sembari bertanya khabar dengan pesakit serta keluarga.Cuba mengelakkan bahasa robotik kaku dengan pesakit agar hubungan interpersonal berjalan baik.Pesakit gembira, kami doktor muda juga ceria.

Sementara keadaan di kamar bersalin, terlihat agak sibuk,dengan arus keluar masuk pesakit baru.Bidan-bidan serta doktor bertugas tidak cukup tangan kelihatannya.

Berjas putih segak,daku melangkah menyingsing tangan menghulur tangan bantuan.

Ada sekitar 9 orang ibu yang terbaring di atas katil masing-masing.Ada yang di peringkat pertama proses persalinan dan ada yang sudah terbaring senyum, walau masih terserlah aura keletihan pasca persalinan.

Kerumunan doktor R dan bidan-bidan bertugas di satu katil,membawa tapakan kaki saya ke sana.Terheret sama.

Rupanya itu tempatnya Ibu AM.Berusia penghujung 30-an, hamil anak ketiga.

Pesakit yang masuk ke dalam wad sekitar 2 hari yang lalu sewaktu giliran saya syif malam.

Diagnosisnya G3P2A0, gravida 34-36 minggu + Preecclampsia Berat.

Hamil kali ketiga, punya dua anak, tidak pernah keguguran, dan usia kehamilan sekarang 34-36minggu. Datangnya dengan penyakit Preecclampsia Berat, sebuah penyakit tekanan darah tinggi yang berlaku dalam kehamilan atas 20 minggu.Antara tandanya adalah bengkak di tangan dan kaki, dan air kencingnya mengandungi kandungan protein berlebihan dari biasa.

" Ibu AM sesak semenjak tadi malam.DJJ (denyut jantung janin) sangat sulit kedengaran. Ada kemungkinan IUFD ( Interuterine Fetal Death , istilah untuk kematian bayi dalam kandungan)!

Pembukaan jalan kehamilan ternyata sangat cepat.Dari 2cm tadi malam, menjadi lengkap pagi ini.Ubat perangsang kontraksi bekerja dengan sangat baik!"

Doktor R menjelaskan terperinci.Rencana saya hanya mahu melihat memandangkan sudah banyak bidan yang membantu.

Proses meneran bermula.

Payah kelihatan sang ibu mencuba.

Lama sekali keadaannya.Diperberat nafas yang agak sesak.

Kepala bayi masih belum muncul walau sehabis daya, dengan bantuan manual juga didorong. Episiotomy (prosedur menggunting sedikit bahagian bibir luar untuk memperbesar jalan lahir) juga telah dilakukan. Liat sungguh kelihatannya.

Setelah berhempas pulas, muncul juga kepala mungil itu.Payah.

Aksi diteruskan untuk melahirkan bahu dan seluruh badan.

Janin itu mengalami Dystocia Bahu (keadaan di mana proses melahirkan bahu tersekat lama).Menambah deretan penyulit.




Proses yang biasanya paling lamapun sekitar 5 minit berlarutan hampir 30 minit.



Dipendekkan cerita, detik ini bagi orang tidak terbiasa boleh jadi sangat menyeramkan.

Ada bahagian badan bayi yang tercabut dari badan, tulang-tulang patah.

Embryotomy istilahnya.Proses mengeluarkan janin yang telah mati dari dalam rahim sang ibu. Di sinilah juga wujudnya prosedur Cleidotomy, proses memotong tulang belikat bayi, untuk memendekkan jarak antara bahu kanan dan kiri,bagi memudahkan proses kelahiran.

Bahasa kemanusiaan menafikan semua ini.Doktor R yang melakukan prosedur berpeluh dingin.Sekejap,sekejap ditelefon kepada doktor spesialis yang lebih ahli.

Astagfirullah..Astagfirullah..Saya bisikkan kepada ibu yang meraung-meraung kesakitan.Cubaannya untuk bangun kerana tidak tahan dengan sakit yang dideritainya.

Hati saya mengucap panjang. Mahasiwi-mahasiswi kebidanan banyak yang menjauhi.Gerun dengan keadaan di depan mata mereka.

Kesudahannya, janin yang meninggal di dalam kandungan itu berjaya dilahirkan,walaupun prosedurnya sangat sulit.Bidan-bidan sibuk menguruskan sang ibu.Placenta belum dilahirkan lagi,sementara saya bersama Doktor R, bergerak ke pojok berbeza. Janin itu harus dirapikan kembali.

Segala yang tercabut,harus dijahit.Dan saya menjadi penolong yang setia.

"Dik, ini pengalaman pertama kamu?"

Doktor R bertanya.

Saya menggangguk, tanda mengiyakan.

"Saya pernah menangani kes IUFD banyak kali, tetapi ini ternyata paling sulit!"

Testimonial Doktor R sambil tangkas menjahit.Fokus.

Jasad mungil itu saya perhatikan.Tiada kesempatan buatnya menyapa dunia fana.

"Terus ke Syurga ya kamu!"

Monolog sang hati bergetus.Sebuah kepasrahan dengan Alhamdulillah.


Fiqh Awlawiyyat (Prioriti) Dalam IUFD

Syeikh Yusuf Qardhawi memperkenalkan fiqh yang berbicara tentang keutamaan dalam memilih.Pilihan tidak menjadi masalah antara keburukan dan kebaikan kerana itu jelas.

Namun di manakah neraca timbangan apabila terpaksa memilih salah satu antara 2 buah keburukan atau hanya mampu memilih salah satu kebaikan antara 2.

Mizan itu kabur jika tidak diketahui kriterianya.

Sebagai contoh dalam makalahnya.

Ada beberapa orang Muslim yang dijadikan tawanan perang dan dijadikan perisai untuk pasukan musuh maju ke depan.Antara mahu menjaga nyawa tawanan (wajib menjaga nyawa di sisi Islam), dan pasukan musuh terus melaju masuk ke dalam kawasan Islam (merbahayakan lebih banyak nyawa kalau pasukan musuh masuk ke dalam,dan pasukan Islam boleh mengalami kekalahan), kita dikehendaki memilih yang lebih rendah mudaratnya.Dalam kes ini, kalau terpaksa membunuh tawanan Muslim tadi, maka lakukanlah.

Kembali ke kes IUFD.

Bayi tadi terpaksa 'dirosakkan' dengan cara yang luar batas kemanusiaan, untuk melahirkannya, demi untuk menyelamatkan nyawa sang ibu. Jika tidak dilakukan sedemikian, maka nyawa sang ibu yang bakal melayang.

Pertimbangannya adalah sang ibu masih harus menjaga anak-anak di rumah, dan bakal ada peluang untuk hamil seterusnya.Tidak tertutup langsung peluang ke arah itu.

Seandainya dipilih sang bayi untuk hidup, nyawa ibu pula yang melayang.Tekanan darah tinggi pada kehamilan bakal memberi kesan buruk pada ibu.Kegagalan organ-organ penting seperti jantung, paru-paru dan perdarahan stroke boleh berlaku.Dan bayi itu, jika selamat, bakal tidak mempunyai ibu dari usia sehari.

Dan di sinilah saya menemani Doktor R, berdiskusi secara ramah dengan suami, dan abang kakak kepada si ibu tadi.

"Tadinya saya marah kenapa si suaminya ini bersetuju untuk dianiaya si bayi.Sekarang saya memahami!"

Jelas si abang.

Penerangan dari A sampai Z dilakukan.Sebak terhias di raut wajah.

Si suami diam membatu.Hanya tepukan seketika di bahunya sebagai penguat semangat.

Di kamar bersalin, si ibu masih terjelepok kelelahan.Keadaannya stabil, namun harus diobservasi ketat.Tekanan darah, suhu, nafas , semua diperhatikan secara berkala.

Selesai sebuah sketsa di kamar bersalin.


Apa yang saya dapatkan?

Dari segi kompetensi seorang doktor, prosedur ini ternilai jarang.Dan saya beruntung kerana dapat melihat langsung, dan berpartisipasi secara aktif dalam menolong.Pengalaman ini pasti melekat di otak, sampai jasad dihantar ke lahad.

Dari sudut pandang seorang manusia biasa, sesungguhnya ini pengalaman hidup nan berharga.Erti perjuangan seorang ibu, nilai sebuah kehidupan,erti sebuah kematian dan peri pentingnya hidup yang punya Tuhan.Pakej lengkap sebuah keinsafan.

Dan semoga perkongsian ini mampu menjadikan diriku manusia yang benar-benar manusia, dan dengan izinNya, sedikit sebanyak, mampu memanusiakan manusia-manusia yang lain.

Moga diperkenankan wahai Tuhan segala manusia...

6 ulasan:

duha berkata...

jzzk atas perkongsian pengalaman.

Unknown berkata...

Semoga ada manfaatnya :)

Bayu berkata...

Terima kasih atas perkongsian pengalaman. Semoga entry ini dapat di manfaatkan.MOhon kongsi di blog saya.

penulisan anda bagus. Sudikah anda jadi penyumbang untuk life as a medical student blog?

Unknown berkata...

Bayu~

Insyaallah kalau diberi peluang,ok je untuk memberi kontribusi..

Semoga ada manfaatye :)

yann. berkata...

Ya Allah. Saya sangat kagum dengan kerja-kerja doktor. Teruskan berbakti :)

Unknown berkata...

Yanee~

Terima kasih..Selagi hayat dikandung badan Insyaallah ^_^