Beek...Beek..Beek..
Honda C70 tua meraung kuat memecahkan sepi dinginnya pagi.
Suara yang cukup dikenali.
Motor tua kepunyaan Abah mengaum dari luar rumah.Auman sebagai siren terakhir, tanda bahawa kami adik beradik harus mengangkat kaki langkah seribu ke kamar mandi.Gandingan Abah dan motor tua itu menandakan bahawa mereka sudah selesai berjamaah Subuh di masjid.
Saya yang paling tua, namun antara yang paling liat untuk bangun pagi.
Disiram oleh mama itu biasa.Dibambu oleh mama sedikit luar biasa.Kalau dari mama, semuanya tidak lut.Saya kebal, anti bangun Subuh.
Namun, rengekan motor tua Abah, itu maha menakutkan.Kalau berjaya 'ditangkap basah' oleh Abah, padah jawapannya.
Pasti berbirat badan.Suara guntur bakal kedengaran.
Inilah saya, saya sepanjang di sekolah menengah agama tersohor di bumi Kelantan, Maahad Muhammadi.
Jangan diharap mahu berjamaah Subuh, solat sehari 5 waktu pun hanya di rumah.Paket kilat lagi..
Di Intec,Shah Alam
Allahuakbar..Allahuakbar..
Sayup-sayup kedengaran suara azan berkumandang dari surau Cemara.
Terpisat-pisat membuka mata.
Dingin, sungguh enak terbalut di dalam selimut.
" Ada ke orang yang nak solat Subuh kat surau tu?Sedangkan aku,budak sekolah agama pun haram nak pergi!"
Entah tiba-tiba terpancar kilasan di fikiran.
Perlahan-perlahan, kaki menapak.
Wuduk perlahan,berbaju Melayu bersarungkan kain pelikat yang seminggu sekali digunakan untuk pergi bersolat Jumaat di masjid.
Surau Cemara menjadi destinasi.
Hati yang kepingin tahu.Berdebar-debar.
Pintu surau sudah di hadapan.
Dengan namaMu ya Tuhan..
Hanya ada beberapa sosok.Sosok biasa geng masjid yang saya kenali di kuliyah.
"Ala biasa.Budak-budak ni memang dah baik sejak azali.Tak hairan!"
Saya bermain dengan kata-kata sendiri.
Namun mata saya terpaku pada sekujur tubuh yang cukup saya kenali.
Sosok seorang teman yang sehariannya cukup biasa, bersekolah tidak bercopkan Maahad mahupun sekolah agama, teman yang sama mengambil Advanced Level Medicine.
Ego saya berkecai.
Sesungguhnya hati saya menangis.
Sujud dan rukuk pada Subuh hening itu,mengingatkan daku bahawa aku benar-benar seorang hamba yang lupa.
Mujur Tuhan, pada usia 19 tahunku memberikanku petunjuk dengan menghantar seorang sahabat kepadaku.
Sahabat yang sampai sekarang yang sampai ke saat ini, tidak mengetahui bahwa dia telah menjadi asbab hidayah kepadaku.
Terima kasih sahabat!
Syarat Kemenangan Islam
Berdegar-degar memperkatakan tentang perjuangan syahid di bumi Palestin.
Somalia bagaimana, khabar Pattani,Iraq,Syria pula.
Seorang musuh Islam pernah berkata,
" Islam tidak akan menang selagi mana solat Subuh setiap hari di masjid tidak menjadi seperti solat Jumaat setiap minggu!"
Kata-kata ini realiti yang harus ditanggung bersama.
Saya,dengan keterbatasan sebagai seorang manusia bergelar doktor, berjuang untuk sama-sama merealisasikan agar makmurnya solat Subuh di masjid.
Kadang-kadang, pasca 'oncall', badan tidak mendengar deringan jam dan telefon tangan.Tidur yang tidak cukup, fizikal yang tidak segar,membantutkan torehan langkah.
Biasa solat Subuh terlajak menginjak jam 6, 7 pagi (waktu Indonesia Barat lambat sejam dari Malaysia).Walau atas bukan dasar sengaja, keadaan ini cukup meresahkan jiwa. Kekeringan.
Dan pada saat ini, saya sangat merindui suara guntur Abah dan rengekan Honda C70nya.
Baru sekarang, setelah 8 tahun meninggalkan sekolah menengah, baru saya memahami fikiran seorang Abah.
Terima kasih Abah atas nilai yang cuba dipupuk kepada anakmu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan