Saya hanya melirik sekilas si ibu yang terbaring di pojok ruang kecemasan.
Keadaannya kelihatan stabil, dengan tiada sebarang keadaan darurat yang perlu ditangani. Fokus saya lebih terarah kepada 2 orang pesakit stroke, dan seorang pesakit yang mengalami 'diabetic ketoacidosis', suatu komplikasi kronis untuk pesakit kencing manis.
Si ibu tadi masih tetap di sana.
Lirik-lirik sekilas kepada doktor senior yang bertugas, saya terbaca profil si ibu tadi.
TENTAMEN SUICIDE
Apakah bendanya ini bermain di fikiran saya.Perkataan 'suicide' saya mengerti sekali.Bunuh diri.
Setelah diselidiki, rupanya si ibu baru menelan beberapa tegukan racun aerosol berjenama Bygone.
Saya terkedu.
Atas dasar apakah sebegitu tindakannya.Gurat wajah dan pakaian menampakkan yang dia benar seorang Muslimah.
Sebentar hala fikir saya terarah kepada kejadian bunuh diri yang sering kali dilakukan oleh artis-artis Korea dan Jepun kerana stress dengan kehidupan.
Disangka syurga bahagia,rupanya sangkar emas menempah derita sukma.
" Pagi pak. Suami ibu ya?"
Saya menyapa seorang lelaki pertengahan usia, yang dari tadi di samping si ibu.Benar, lelaki itulah si pendamping setia.
Menggangguk lemah si lelaki.
Isterinya belum sedar, dan dia lemah tersadai.
Doktor di ruang kecemasan, hanya mampu mengembalikan keadaan si ibu untuk kembali normal.Paling cepat, perut dan ususnya dibilas agar racun yang masuk tadi boleh diminimalkan kesannya.Prosedur 'gastric lavage'...
Namun , di sini, pedekatan terbaik adalah pendekatan psikiatri.
Kebarangkalian tinggi, si ibu akan mengulangi cubaan membunuh diri, di lain waktu dan ketika.Dan langkah pencegahanlah yang paling sesuai untuk arena bunuh diri.
Doktor sakit jiwa belum muncul.
" Cuba gali sebab kenapa seseorang itu mahu membunuh diri!"
Terngiang-ngiang kata guru sewaktu berlabuh di bahagian Psikiatri dahulu.Tiada salahnya mencuba.
Si suami didekati perlahan.
" Kenapa ya pak? Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan si ibu berkelakuan sebegini!"
Saya memulakan bicara.
Pandangan matanya kosong.
" Banyak hutang, doktor!"
Saya mengerti.
Si suami juga trauma. Keadaan fiziknya kelihatan normal. Namun, saya percaya, dia juga memerlukan terapi batiniah.
Dan setelah beberapa ketika, si ibu sedar.
Kerlipan-kerlipan kosong menembak siling putih ruang kecemasan.
Di pojok, 2 insan yang pernah melafaz akad sehati sejiwa, berkongsi pandangan kosong.1 ke Timur, 1 ke Barat.
Marah, kecewa, sedih berkecamuk.Anak-anak di rumah entah di dunia mana.
Dan saya menapak kaki ke kediaman, dengan untaian istigfar.
Diselidiki..
Rupa-rupanya, TENTAMEN SUICIDE itu adalah dalam bahasa Latin, yang jika dialih bahasakan kepada Bahasa Inggeris maksudnya adalah SUICIDE ATTEMPT.
CUBAAN BUNUH DIRI, bahasa orang kita.
Aduhai..
Dari Abu Hurairah ra, katanya Rasulullah saw., bersabda : “Siapa yang bunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; dan siapa yang bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab Sahihnya.
Sungguh mengerikan balasan kepada orang yang membunuh dirinya sendiri.
Setiap insan mempunyai masalah, sama ada kecil mahupun besar.
Masalah sentiasa menyesakkan oksigen jiwa, mencantas rasional fikir.
Sering, jalan pintas mengatasi masalah adalah dengan melarikan diri dari masalah.
Minum arak, membaham pil-pil khayal, dan juga ya, membunuh diri.
Bukan begitu caranya.
Wujud setiap masalah, bertujuan untuk dicari solusinya.
Masalah itu paket ujian, titipan dari Ilahi untuk sang hamba.
Lulus ujian, bertambahlah darjat si hamba.
Bunuh diri, ujiannya gagal.
Pabila gagal, sudah tiada jalan kembali.
Kita berlindung dengan Tuhan Semesta Alam, dari ujian dan masalah yang tidak mampu ditangani oleh diri.
Semoga~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan