Jumaat, 15 Oktober 2010

Jejak Sulung di IGD (Unit Kecemasan)



Setinggi kemaafan dijunjung wahai lamanku tersayang. Hampir sebulan tiada sebarang artikel baru..Sekarang empunya diri sudah berpindah mukim ke Jalan Sukagalih, Sukajadi, di tengah jantung kota Bandung..

Bertugas di rumah sakit (baca hospital) dengan bidayahnya di bahagian Saraf. Dan kini telah 3 minggu berlalu dan bahagian saraf telah dilalui dengan jayanya. Syukur Alhamdulillah..

Internet pula baru 2 hari berjaya dengan stabilnya mengetuk pintu laman rumah kami, Villa Intan, gerangan kun'yahnya.


Jejak Sulung di IGD

Bismillah.. Jejak diatur, hati dicerna seikhlas mungkin.

Instalasi Gawat Darurat atau Unit Kecemasan menanti di depan.

'Oncall' kali pertama di ruangan nyawa bersabung. Malakul Maut berkunjung datang dan pergi.

Tugas saya hanya di ruangan Penyakit Dalam kerana di situlah pesakit-pesakit bahagian Saraf datang bertandang.

Mudah bahasanya, Saraf adalah anak kepada Penyakit Dalam. Tetapi kadang-kadang, pesakit-pesakit yang datang menderu dipertanggungjawabkan kepada doktor-doktor saraf.

Seringnya serangan angin ahmar ataupun bahasa klinisnya stroke adalah penyebab paling utama, di samping sawan epilepsi, tetanus, meningitis ( radang otak) dan aneka ragam nama penyakit yang lain.

Mendebarkan namun mengasyikkan.

Detik demi detik berjalan, namun tiada terasa sang waktu melambai pergi.

Dari tugas asas mengambil nadi, suhu, kadar respirasi, dan tekanan darah, sehinggalah memasang 'nasogastric tube' ( tiub dari hidung sampai ke perut), memasang ' catheter' ( saluran kencing tiub) dan pelbagai tugas dokter muda, saya beranikan diri untuk mencuba.

Lihat jururawat lakukan terlebih dahulu, kemudian dengan namaMu Tuhan, saya memberanikan diri. Pesona memberi manfaat sesama manusia, saya sukakannya.

" Semangat nampak. Rajin benar ke sana ke mari!"

Doktor-doktor yang sedang membuat spesialisasi (panggil Residen) menegur ramah. Pertama kali mungkin. Kalau sudah berpuluh kali hadir di Unit Kecemasan, mungkin saya juga dihinggap jemu melata. Sudah terlalu biasa pasti..

Cuma saya berkata pada diri, sematkan dalam nubari, semuanya pasti ada ganjaran di sisi Ilahi Rabbi..

"Aku hanya seorang hamba insani, sekadar perpanjangan tangan Tuhan kepada makhluk dikasihi. Aku bangga untuk peribadi ini.. DemiMu Ya Allah..."


Detik Itu..

Setelah penat lebih 2 jam berjuang dengan pesakit yang mengamuk kerana tidak mahu cairan tulang belakangnya diambil, saya melepaskan lelah di kerusi. Sebentar..

Masuk seorang pesakit, sudah tidak sedar.

Menurut keluarganya, semenjak 3 minggu lalu, kesedarannya kian menurun.

Umur pak cik itu sudah melebihi 80 tahun. Subsidi umur yang diberikan Tuhan kepadanya.

Berganding dengan seorang teman, kami berbuat prosedur biasa. Saya memeriksa nadi. Masih berdenyut elok..

Sang teman pula terkebil-kebil, tekanan darah tidak juga-juga berjaya didapatkannya. Sangkaan diri kemungkinan tekanan darahnya tinggi, sehingga sukar untuk dibaca jitu.

Datang seorang jururawat, saluran vena di tangan kiri sang pesakit ditusuk jarum. Hajatnya untuk memasukkan cairan infusa. Sang pak cik masih lagi kaku, tidak sedar. Pernafasannya berbantu tabung oksigen.

" Doktor, matanya sudah 'mydriasis' (bebola mata berkembang tanda pesakit hampir meninggal dunia)"

Berkejar saya mencari doktor residen yang berada di kaunter.Secepat kilat..

" Sudah meninggal. Biarkan sahaja.." kata doktor apabila saya masih cuba melakukan CPR. Dadanya ditekan-tekan..Hanya mencuba.Kudrat lemah seorang manusia biasa.

Terpaku.

Kaget.

Keluarga pesakit dijelaskan. Nyawanya sudah habis. Kembara dunia berakhir, perjalanan akhirat bermula.

"Allah..Allah..Allah.."

Anak-anak sang jasad kaku membisikkan kalimah agung di telinga. Air mata mengalir tiada henti. Esak tangis bergema di ruangan kecemasan.

Saya melihat, memandang sayu suatu episod yang pasti.Doa dihambur dari hati dan lidah..

Saya, ibu dan bapa saya, anda dan juga keluarga anda..Kita bakal-bakal jenazah itu..Tiada Insyaallah untuk sebuah kematian , Insyaallah hanya pada sebuah husnul khatimah, penutup yang terpuji.

Sama ada esok atau lusa, sekarang atau sedekad lagi, hanya dalam pengetahuan Rabbi..


Jangan Mati Rasa..

Sebagaimana kubur itu dikunjungi untuk menerbitkan insaf dan ingat, begitu juga ruang kecemasan. Laman kunjungan rutin makhluk pencabut nyawa, Malakul Maut panggilannya.

Sedar seketika..

Sesungguhnya hospital itu suatu perkara yang subjektif. Kita menentukannya dengan nilai kita secara individu.

Mencari jururawat-jururawat comel (baca perawat imut) , bergaul tanpa batas dengan teman berlainan jantina, bertempuk tampar sedaya mahu, memperlaku pesakit seperti tiada mata dek kemiskinan dan papa kedana dan pelbagai aneka sikap celaka dan mencelakakan.

Mahu mengawal mata sangat susah, merawat hati yang sakit, bergelap dosa apatah lagi..

Kepada sejawat, tatkala bertungkus lumus di kamar kecemasan, sama-sama kita ingatkan diri tentang MATI.

Di bawah pepohon kelapa, banyak kelapa-kelapa tua berwarna coklat bertebaran sana sini. Namun di antara sensasi tua itu, ada kelapa-kelapa muda berwarna hijau khudra' berselang seli.
Jatuhnya tidak punya alamat dan ketika..

Sekarang mungkin yang sekujur kaku di perbaringan di depan mata adalah pesakit kita, esok lusa, perbaringan itu kan menjadi takhta milik sendiri.Kaku sendiri..

Cerdaslah wahai diri, jom mengingat mati..

" Sesungguhnya setiap yang hidup pasti kan merasai MATI"






4 ulasan:

cOkodok berkata...

encountered the same situation during my first week in Peds.

a baby came with dysentry, parents didnt know their baby died while they were queuing up for registration. fuh~

heartbreaking. but life goes on.

we can try to do everything but Allah is the one who makes the final decision.

Unknown berkata...

cokodok~

tq bro atas sharing..

Jemputla datang rumah.Kalau datang PVJ, rogerla ye :-)

Unknown berkata...

Cokodok~oops silap. Ini bukan cekodok.Ambo silap..

Peds..,Hurm..

Kelate murtad ko?Huhu

cOkodok berkata...

hahaha.. ape lah yang anda melalut ini.. saye jua tara paham

plis dech.. saye klate celup, bukan murtad~ haha