Khamis, 16 September 2010

Sabra dan Shatila Sentiasa Di Hati..




Petang semalam, hujan renyai-renyai membasahi laman Cik Siti Wan Kembang. Ketika itu saya dalam perjalanan menjemput bonda , pulang dari mengajar.

Destinasi rutin, medan bonda mendidik, bertempat di SK Tawang, Bachok, kira-kira 15 km dari teratak sederhana kami sekeluarga, di pinggiran bandar Kota Bharu.

Gerimis yang menyapa lembut, mengundang sayu di hati.

Sambil menunggu doa pulang dibaca pengawas sekolah, dengan melihat adik-adik berlarian ceria pulang ke dakapan ayah bonda, helaian halaman Al-Quran diselak, seketika cuma.

Sayu itu bertandang, entah mengapa. Kamar hati menyambut salam sang sayu.

Sebak.




Saya ada ibu, punya adik, miliki suami dan zaujah di sana, ya, di Gaza sana.

Walaupun pada 16-18 September 1982, saya masih lagi nasi dan padi, hubungan itu diikat Ilahi semenjak azali.

Jari-jari kita menelunjuk ke langit, bersyahadah, menyembah Tuhan Yang Esa, yang sama tiada berbeza.

Ikatan mahabbah silaturahmi itu umpama satu badan, jika sang paha merengus sakit duka, lengan juga mengaduh sama.

Aduh, pedih..Pedih.

Pengganas-pengganas Yahudi, bernafsu binatang, berhatikan syaitan menerobos masuk bak singa lapar. Beribu-ribu perempuan, anak-anak kecil, orang-orang tua mengungsi kem Sabra dan Shatilla, itu dipandang bak binatang buruan, yang tiada nilai di sisi mereka.

Fatimah, Aishah, Nur dirogol beramai-ramai dan dibunuh, dengan sadis.

Si cilik menangis, sedu-sedan, melihat bonda dan kekanda diperlakukan buas.

Si lelaki berdada telanjang, terjun ke medan, hanya mengepal penumbuk, mencabar kereta kebal dan senjata api automatik. Kehormatan harus dipertahankan, walau nyawa barang gadaiannya.

Tembus dek peluru, lumat dek lenyekan kereta kebal alhasilnya.

Abi..Abi...Si cilik memanggil ayahanda. Tangis dan sendu sudah tidak ada batasan.

Abi..Abi..

Semakin perlahan rengekan dan tangis.Perlahan, perlahan, sehingga sayup tiada.Hanya jasad mungil terbaring, lubang peluru menghiasi jasad.


(Ariel Sharon, sang kepala algojo)





















Doa Buat Ashabul Gaza

Salam hina dariku buatmu pejuang di bumi Gaza.

Allahumman sur ihwananal mujahidina fil ghazzah ( Wahai Allah, tolonglah saudara kami di Gaza sana)

Allahumman sur hum Ya Allah..( Wahai Allah,tolonglah mereka ya Allah)

Allahumman surhum Ya Rahman, Ya Rahim.. (Wahai Allah, tolonglah mereka Ya Rahman Ya Rahim)

'Paha' di sana merengek hiba, Insyaallah sedaya upaya, 'lengan' di sini kan menghulurkan tangan, menyapa lembut , demi menghilangkan aduh dan derita.

Allahuakbar...


............

Air mata dikesat, perlahan.Bonda melangkah ke dalam kuda tunggangan miliknya, Kenari hitam DAY 8455. Fizikal dalam Kenari, hati berada di Gaza.

Pergi sebelum pergi,kata Ustaz Pahruol Juoi, Insyaallah..

1 ulasan:

mutiara solehah berkata...

subhanallah.. sebak membacanya..