Jumaat, 29 Oktober 2010

Di Arena Psikiatri Kita Bertemu, Wahai Teman...



Kali pertama melangkah ke dalam ruangan Jiwa, hati saya berdebar-debar.Antara seronok dan takut..

Seronok kerana pengalaman yang bakal ditimba, merupakan kesempatan yang tidak semua insan punya kesempatan untuk mendapatkannya. Takut dek kes-kes yang timbul bersangkutan pesakit-pesakit mental.Membunuh, mengamuk, mencederakan diri sendiri dan aneka ragam tingkah yang menerbitkan aroma-aroma keseraman di benak hati..


Mereka..

Dari cuak nan memuncak,seram yang membukit, saya mulai beradaptasi. Ruangan dikenali dengan saksama. Jururawat-jururawat, yang kebanyakan berstatus ibu dengan saya, disapa mesra.

Sudah dikenali Pak Nurman, ketua jururawat di ruangan, dibantu oleh Ibu Indra yang sangat suportif dan jururawat-jururawat lain. Doktor-doktor yang sedang mengambil pengkhususan dalam bidang Psikiatri juga melemparkan senyuman mekar, menghulur tangan , membuka bicara apabila konsultasi diperlukan.

Dan di sinilah juga kukenali mereka..

Mamat,Asep, Tuyanto,Pak Arif, Rudy, Aang, Cepi, Hatari, Taufeq..Mereka lelaki yang tertimpa malang. Tuhan menghantarkan ujian kepada mereka,insan-insan terpilih..Beban ujian yang sedikit di luar kemampuan tanggungan , menjadikan mental mereka 'terkejut'.

Setiawati dan Ami yang masih anak remaja, Euis dan Yanti yang sering berulang-alik setahun dua, tiga kali masuk ke ruangan, dan juga Nek Masilah dan Mahayanti, sudah 70-an usia gerangan. Anak-anak hawa ini berkumpul di dalam satu ruangan, dengan hati yang sudah mati rasa, hilang rasional di akal.

Dan di laman inilah ku kenali dirinya..


Kisah Seorang Iwan..

Hari itu ada seorang pesakit yang baru didaftarkan masuk.Seorang lelaki, seusia saya. Namanya Iwan. Masih segak, sihat dan bergaya.

Saya amati rekod kesihatan anak muda ini.

Ditelusuri sejarah silamnya. Bila, kenapa dan apa yang berlaku pada dirinya. Tekun menyiasat..

Dari jauh saya memerhati, melihat gerak-geri gerangan diri. Secara fizikal, tiada keanehan terpancar daripada luaran.

"Assalamualaikum.." saya memulakan mukaddimah bicara.

"Waalaikumussalam.." dijawabnya sepatah, seraya melabuhkan punggung di samping.

Perkara pokok dalam ilmu kejiwaaan, jangan biarkan ada jurang yang mendasar antara doktor dan pesakit. Anggaplah pesakit seperti teman seperjuangan, nescaya dia akan suka untuk bersama kita..Bukan sekadar disebabkan pakaian serba putih sebagai hak mutlak mewawancara, kepercayaan secara semulajadi pesakit juga antara tunjang penting..

Iwan mulai bercerita dan bercerita.Saya tahu sejarah silamnya, cuma biarkan sahaja dia berbicara..Biar dia melepaskan sesak di dada, menyimpan perasaan di lubuk hati.

" Saya mendengar suara perempuan, mengejek-ejek. Suara itu mengancam untuk membunuh adik perempuan saya.Saya takut suara itu akan benar-benar melakukannya!" jelas Iwan dengan raut wajah bersungguh.

Saya mendengarkan.

Biasanya, simptom-simptom halusinasi ini didahului dengan stressor atau faktor pencetus yang menyebabkan pesakit hilang kawalan terhadap fikirannya sendiri. Sama ada disebabkan kehilangan orang tersayang, kematian ibubabapa, hilang harta benda dan sebagainya.

"Cari faktor pencetus itu, gali dari kata-kata pesakit!" terngiang-ngiang kata doktor spesialis yang membimbing saya.

"Teruskan.." saya menyambung noktah pada bicaranya.

"Saya ada cubaan mahu membunuh diri, kerana itu syarat untuk menyelamatkan adik saya! Saya mahu memotong kemaluan saya!" ujar sang pria tuntas. Tiada sesal terpancar di wajahnya.

Astagfirullah..Astagfirullah..Mengurut dada saya dibuatnya.Bukan sekali tetapi 3 kali cubaannya mahu 'menyembelih' alat sulitnya.

Gurat wajah saya masih tenang, tetapi hati beristigfar panjang.

"Sekarang bagaimana? Masih mahu 'potong' kemaluan kamu?" saya menguji sama ada masih ada idea bunuh diri pada dirinya.

"Tidak..Tidak ada."katanya..

Hati ini bersyukur, lega.Syukur padaMu ya Tuhan..

"Benda ini salah kan?"

"Kalau tahu sudah salah, kalau saya yang menyuruh kamu memotong kemaluan kamu, kamu masih mahu lakukannya?" saya menasihati, memotivasi biar dia boleh berfikir.

Iwan mengangguk setuju.

"Ya, sesiapa sahaja yang menyuruh, perbuatan ini tetap salah.Saya berjanji tidak akan melakukannya lagi Doc!" kerasionalan berfikir pada dirinya sudah hampir normal. Sudah boleh diperkirakan bahawa aksinya sebelum ini memang menyanggahi norma manusia normal.

Faktor pencetus belum saya ketemu.

"Kamu ada perasaan bersalah?" terkeluar pertanyaan itu dari mulut saya. Seringnya dari perasaan bersalah, timbul tekanan atau stress kepada pesakit sehinggan menimbulkan gangguan kejiwaan.

"Ya ada.." kata Iwan, mengaku spontan.

"Saya sering masturbasi , Doc..Selepas melakukannya, saya rasa sangat bersalah!"

Setelah sekian lama berinteraksi, akhirnya, terbit juga sumber dan akar aral yang menimpa.

Kesian.

Empati.

Saya juga lelaki sebaya.

Saya juga memahami gejolak nafsu yang sering mengajak melakukan benda-benda mungkar.

Tidak dapat melampiaskan nafsu kepada perempuan, diri sendiri menjadi mangsa..


Perihal Solat..

"Kamu solat lima waktu?" tanya saya.

"Solat Doc.." jawapan itu keluar dari mulutnya, tiada teragak-agak.

"Di sini solat?"

"Tidak Doc.."

" Solat itu kan tiang agama. Solat itu menjadi benteng kamu mengawal nafsu, berdoa, memohon pada Allah.."

"Kan solat yang benar caranya, ikhlas niatnya, nescaya kamu tidak akan melakukan perkara-perkara berdosa tadi.."

"Bila kamu mengingati Allah, Dia akan sayang sama kamu.Dia akan memelihara kamu dari perkara-perkara tadi.Asal kamu mengingatiNya.."


Panjang saya ber'ceramah' di hadapannya. Nadanya bukanlah nada seorang ustaz.Nada itu datangnya dari seorang teman, yang prihatin mendengarkan.

"Sudah waktu Zohor kan Doc?" tanya Iwan sambil saya mengiyakan.

Lantas, perlahan-lahan dia meminta izin ke bilik mandi. Wuduk diambil dan dari kejauhan saya memerhati.

Sejadah dihampar menghadap kiblat Baitullah.Dan...

Allahuakbar....

Mata saya berkaca-kaca. Hati sudahpun 'menangis' hiba. Penuh syukur..

Dalam hapak dan masam aroma ruangan, di sini lahirnya seorang insan fitrah..Sedar akan khilaf silam, berjanji pada diri dan Ilahi untuk menjadi hamba sebenar hamba..

Di dunia yang punya pahala dan dosa, menuju akhirat yang membahagiakan, Syurga di sana..

Dan bagi diriku, walaupun hanya dialog sebentar, aku bahagia menolongmu wahai temanku..

Duhai sang teman, semoga menjadi insan yang berbakti kepada orang tua, menyebarkan manfaat pada agama, bangsa dan negara..Aku mendoakanmu..

2 ulasan:

mek klate berkata...

gud luck dalam meneruskan dakwah anda...^_^

Unknown berkata...

mek klate~

Terima kasih atas sokongan moral. Saya hanya manusia biasa, berbangga menolong sesama manusia memerlukan..

Hari ini hari mereka, hari lain mungkin juga hari kita :-)