" Tuan puan nak tengok ahli syurga?"
"Betul-betul ni. Tak percaya ke?"
Dalam nada serius berceramah, sang orator sempat bergurau canda.
" Ni yang banyak jalan-jalan kat bandar. Jangan main-main, mereka tu ahli syurga. Kepingin tidak jadi macam mereka!"
Lawak lelucon itu ada benarnya.Gempita hadirin hadirat menggamit sukma duha di tengah-tengah bandar Kota Bharu.
Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man empunya cereka. Di sebalik ketawa ceria, tersingkap sebuah kebenaran.
Ya, mereka ahli syurga. Tiada taklifan pahala dan dosa terhadap mereka.
Ya, orang yang punya masalah psikiatri atau bahasa rakyat, orang gila, adalah golongan yang tidak mampu disaman oleh Raqib dan 'Atid.
Ilmu Kesehatan Jiwa..
Di Indonesia, umum memanggil Psikiatri dengan Ilmu Kesehatan Jiwa atau ringkasnya J.I.W.A.
Sekarang, saya berada di dalam putaran di bahagian ini, 3 minggu lamanya. Dan hari ini, baru 2 hari baru dinoktahkan.
"Wahyu, Wahyu, kamu Wahyu kan?"
Ketika jejak sulung di bahagian ini, kami kaget seketika. Seorang teman di'serang hendap' oleh seorang pesakit wanita. Sangkanya teman ini adalah anaknya.
Cuak sang teman tiada berkesudahan. Kawan-kawan perempuan pula mula memposisikan diri di bahagian tengah, agar terhindar dari ' ancaman'.
Saya kurang memerhatikan taklimat oleh jururawat bertugas. Mata saya melilau-lilau melihat suasana sekeliling. Hapak, tengik menyambar aroma ciuman hidung.
Kurang menyenangkan.
" Ala bosannya. Menakutkan pun ada!"
Mula ada komentar terlontar sesama kelompok.
Kes pembunuhan berprofail tinggi dan penuh sadis di Malaysia, sering sinonim dengan pesakit mental. Menyembelih ibu dan bapa, membunuh anak kandung..
Benak fikiran kembali memutarkan kembali rakaman kejadian yang dipapar di dada akhbar dan kaca televisyen.Tidak tenang qolbu jadinya..
Positif Masih..
Saya percaya sesuatu kendali adalah di dalam tangan kita, kita yang menentukan jadinya A,B mahupun C. Ya, dengan doa dan kudrat Tuhan pastinya.
Memandang sebuah gelas yang masih penuh setengah airnya adalah betul.
Juga gelas yang sama bisa ditafsirkan sebagai kosong setengah, tidak pula suatu kesalahan fakta.
Tetapi, di situ ada bezanya.
Setengah penuh itu sentiasa bernada aura positif, kosong setengah pula mendambakan negitivism, salbiah benar akal di kepala.
Begitu juga di Jiwa..Penentunya adalah diri sendiri.
Mahu takut, sentiasa mencari eskapisme, kosonglah tangkapan ilmu.
Mahu berlapang dada, turun berkenalan, berdamping dengan 'ahli-ahli syurga', bertanya khabar, adalah suatu kesempatan emas. Jarang yang dihidangkan peluang seumpama.
Dan Hari Ini..
Tunggu punyalah tunggu, rupanya bimbingan dengan konsulen (doktor pakar psikiatri) ditunda ke sekian waktu.
Ada teman yang mengisi keperluan perut dan ada yang menghala pulang ke kediaman masing-masing. Saya pula malas untuk pulang.
Usai mencatat sedikit nota, saya masuk ke ruangan pesakit. Mereka dilepas, bebas.
Pendek cerita, aneka ragam adegan disaksikan dan terlibat.
Bermain pingpong dengan pesakit itu biasa, cumanya tadi kot putih saya 'terancam'.
Kot yang diletak di samping, diambil dan diperagakan oleh seorang pesakit skizofrenia. Mujur diminta terus diberikan kembali. Kalau tidak, jenuh mahu mengejar 'anak dara' seorang .
Bergaduh sesama pesakit, meludah-ludah.
Berjemaah menghidangkan 'air oren' ( baca air kencing) kepada teman-teman sewad. Semuanya meminum. Ubat kata sang penghidang.
Mandi di tengah-tengah ruangan, sambil cuba berbogel kerna permintaan baju baru tidak dilayan jururawat.
Dalam pening melayan kerenah mereka, saya tersenyum sendiri...
Kerja Tuhan itu sungguh istimewa..
Ada pesakit mental, adalah juga doktor datang menghulurkan terapi. Kedua-duanya manusia berlainan aksi dan cerita.
Ada yang punya halusinasi dan ada yang suka ada delusi.Sedih, marah dan kecewa bermaharajalela di takhta akal.
Pesakit mental ibarat anak-anak mumaiyyiz lagi. Beban dosa dan pahala hanyalah sekadar penghidupan sihat mereka dahulu, sebelum tersimbah sakit.
Yang satu hapak dan berbau, satu lagi wangi lagi kemas.. Belumlah tentu taqwa sang wangi lebih tinggi dari yang hapak berbau..Bahkan lebih tinggi, mungkin sahaja.
Moga satu sudah bercop rasmi Syurga. Mereka sudah 'mati' sebelum mati.. Manakala doakan yang satu lagi, yang berjuang menyelamatkan nyawa insan, bergerak juga menuju 'ajrun 'azim. Syurga yang abadi..
Semoga di J.I.W.A. , kita bertemu kasih, dan di Syurga , hati kita bersimpul mati..Dengan izinNya Rabbi,,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan